Followers

Monday, June 29, 2009

Puasa Bulan Rejab


Ramai orang bertanya tentang kesahihan puasa sunat bulan Rejab. Sebenarnya, bulan Rejab termasuk dalam bulan-bulan haram iaitu Zulkaedah, Zulhijjah, Muharam dan Rejab. Oleh itu, secara umumnya, sunat berpuasa pada bulan Rejab ini apatah lagi sebagai persediaan untuk menyambut bulan Ramadhan tidak lama lagi.

Namun, anggapan sesetengah orang tentang fadhilat puasa bulan Rejab yang diwar-warkan sejak sekian lama.... kononnya ganjaran puasa bulan Rejab ini akan mendapat pahala yang amat banyak, adalah tidak sahih, bahkan banyak fadhilat-fadhilat tersebut disandarkan kepada hadis palsu. Ada orang menyatakan bahawa untuk mendapat fadhilat dengan 'sebenar' ialah hendaklah berpuasa 3 bulan berturut-turut iaitu Rejab, Syaaban dan Ramadhan. Anggapan seumpama ini juga adalah tidak benar.

Nabi sendiri tidak pernah berpuasa sebulan penuh kecuali pada bulan Ramadhan. Dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim Aisyah r.a menyatakan bahawa: "Adalah Rasulullah saw sering berpuasa hingga kami menyangka bahawa baginda akan berpuasa berterusan. Dan baginda sering berbuka (tidak berpuasa) sehingga kami menyangka baginda akan berbuka (tidak berpuasa) seterusnya. Aku tidak pernah melihat baginda berpuasa sebulan penuh kecuali pada bulan Ramadan, dan aku tidak pernah melihat baginda berpuasa sunat dalam sebulan yang lebih banyak daripada puasanya di bulan Syaaban."

Usamah bin Zaid pula menceritakan; "Saya telah bertanya kepada Rasulullah saw, wahai Rasulullah saya tidak pernah menyaksikan banyaknya puasa tuan pada lain-lain bulan seperti di bulan Syaaban", lalu Baginda menjawab, "Itulah bulan (Syaaban) di mana ramai manusia lalai mengenainya iaitu di antara bulan Rejab dan Ramadan, ini adalah bulan di mana segala amalan diangkat kepada Tuhan Pemilik Sekalian Alam. Oleh itu saya (Baginda) amat suka kiranya amalan saya diangkat ketika saya sedang berpuasa.'' (Hadis riwayat Imam Ahmad dan Nas'aei).

Manakala hadis yang sering-kali diwar-warkan apabila datangnya bulan Rejab iaitu... “Rejab bulan Allah, Sya`aban bulanku dan Ramadhan bulan umatku”, adalah hadis munkar dan kebanyakan ulama' menyatakan bahawa ia adalah hadis palsu. Justeru, ia tidak sepatutnya disebarkan kerana ia tidak datang daripada nabi sebaliknya ia adalah hadis palsu yang direka.

Kesimpulannya, banyakkanlah ibadat pada bulan Rejab sama ada berpuasa, bersedekah, berzikir dan sebagainya.... namun ganjaran dan pahalanya terserah pada Allah... sekiranya ibadah-ibadah tersebut dilakukan dengan penuh keikhlasan, maka sudah tentu akan mendapat ganjaran yang banyak daripada Allah.

Saturday, June 27, 2009

Tanda-Tanda Sakit


1. MATA (Bertindak balas dengan keadaan hati).

i) Mata menjadi merah : Hati mengandungi paras toksin yang tinggi.Mata menjadi merah menandakan badan kita sedang dalam proses pembuangan toksin.

ii) Mata menjadi kabur : Sering berlaku pada waktu pagi. Menandakan proses penyeimbangan hati sedang berlaku.

iii) Keluar tahi mata : Fungsi hati lemah, pembuangan toksin sedang berlaku. Ini juga menunjukkan badan mengandungi asid berlebihan.

iv) Keluar air mata : Gangguan emosi yang bersangkut dengan hati atau bebanan kerja

v) Ketegangan mata dan kelopak : Tekanan perasaan kerana tidak puas hati atau bebanan yang berat.


2. HIDUNG

Hidung mempunyai hubungan rapat dengan paru-paru dan kerongkong.

i) Selesema : Proses pembuangan toksin di bahagian kerongkong. Badan mengandungi asid berlebihan (biasanya suhu badan meningkat).

ii) Hidung sumbat : Paru-paru mengandungi toksin yang berlebihan.Proses menyeimbangkan masalah alahan hidung.

iii) Bersina. Proses membuang toksin di bahagian kerongkong.b. Proses menyeimbangkan masalah alahan hidung.

3. Batuk

a. Batuk keluar kahak : Proses membuang toksin di bahagian kerongkong.

b. Batuk tanpa kahak : Paru-paru mengandungi toksin yang berlebihan. Biasanya kahak pekat keluar selepas beberapa hari memakan RG.

c. Batuk dan berasa gatal di kerongkong : Proses membuang toksin di bahagian kerongkong dan paru-paru, biasanya berlaku pada orang yang banyak merokok atau terdedah kepada udara yang tercemar.

4. KERONGKONG

i) Kerongkong kering. Proses membuang toksin sedang berlakudi seluruh badan. Ini adalah tanda bahawa badan kita memerlukan banyak air untuk membuang toksin.

ii) Sakit kerongkong. Seperti di atas. Paras keracunan lebih serius.

5. BIBIR (Berkaitan dengan fungsi sistem penghadaman)

i) Bibir pucat

a. Sistem penghadaman yang lemah.

b. Perut mengandungi angin.

c. Kurang darah yang disebabkan oleh sistem penghadaman yang kurang sempurna dan mengakibatkan kekurangan zat besi. Sepatutnya diperkuatkan fungsi penghadaman dahulu dengan RG sebelum memakan zat besi.

ii) Bibir kering dan pecah. Perut mengandungi banyak bahan toksin.


6. MULUT DAN LIDAH : Berkaitan dengan fungsi jantung dan sistem pengedaran darah.

i) Lidah atau gusi bengkak, sakit : Menunjukkan jantung mempunyai masalah, seperti lemak yang berlebihan, injap menjadi lemah, saluran koronari tersumbat dan lain-lain lagi.

ii) Lidah, tisu mulut atau gusi menjadi pecah-pecah (ulser). Menandakan darah mengandungi asid berlebihan.

iii) Mulut berbau busuk . Proses penyeimbangan fungsi perut untuk pembuangan toksin.

7. TELINGA: Berkaitan dengan buah pinggang.

i) Telinga terasa tersumbat : Buah pinggang mengandungi toksin berlebihan.

ii) Telinga berdengung : Sedang merawat buah pinggang yang lemah. Biasanya tapak kaki terasa sakit ketika bangun pagi dan sakit itu hilang setelah berjalan-jalan.

8. KULIT Berpeluh :

a) Peluh masin : Badan mengandungi lebihan asid urik.

b) Peluh berbau : Badan menyingkirkan toksin melalui perpeluhan.

9. RUAM DAN BISUL :
Badan menyingkirkan toksin yang berlemak dan toksin yang tidak larut dalam air.

10. KULIT GATAL DENGAN RUAM :
Proses menyingkirkan toksin melalui kulit akibat terlalu banyak memakan ubat yang mengandungi bahan kimia.

11. KULIT PECAH DAN BERAIR :
Proses pembuangan toksin yang larut dalam air.Sapukan serbuk Ganoderma pada kulit berkenaan.

12. RAMBUT GUGUR :
Menandakan fungsi buah pinggang yang lemah. Selepas proses gugur, rambut akan tumbuh semula dengan lebih sihat dan subur.

13. SENDI-SENDI, TANGAN DAN KAKI

a. Sakit Sendi

i) Rasa panas. Menunjukkan terdapat luka di bahagian sendi berkenaan dan tanda- tanda penyakit pirai (gout).

ii) Tidak rasa panas .Tanda-tanda sakit lenguh (rheumatism) .

iii) Sakit di bahagian bahu. Menandakan saluran darah telah menjadi keras dan fungsi metabolisme tidak seimbang.
b) KEBAS TANGAN : Pengaliran darah di bahagian atas badan tidak lancar.
c) KEBAS TANGAN KIRI DAN LENGAN : Tanda-tanda lemah atau sakit jantung. Jika rasa kebas menjadi sakit di bahagian lengan dan kekal di sana , ini menandakan serangan sakit jantung mungkin berlaku.
d) KEBAS KAKI : Pengaliran darah di bahagian bawah badan tidak lancar.
e) SAKIT TAPAK KAKI : Menandakan buah pinggang lemah. Biasanya disebabkan oleh kekurangan senaman dan duduk terlalu lama.
f) SAKIT TUMIT KAKI : Menunjukkan kelemahan fungsi alat kelamin.
g) RASA PANAS DI TAPAK KAKI : Penyeimbangan fungsi buah pinggang akibat lemah tenaga batin.
h) GATAL DI CELAH-CELAH JARI KAKI : Menunjukkan tanda awal penyakit kaki busuk (Hong Kong Foot).

14. TANDA-TANDA DALAMAN
A. KEPALA.Secara amnya, segala tindak balas yang berlaku di bahagian kepala mempunyai kaitan dengan sistem pengaliran darah, jantung dan saraf otak.
B. PENING/SAKIT DI BAHAGIAN DEPAN KEPALAMenandakan sakit tekanan jiwa (neurosis) akibat bebanan mental dan banyak berfikir.
C. PENING/SAKIT DI BAHAGIAN BELAKANG KEPALA

i) Bahagian atas . Menunjukkan penyakit tekanan darah tinggi.

ii) Bahagian bawah (tengkuk). Menunjukkan penyakit tekanan darah tinggi atau tekanan darah.
D. SAKIT KEPALA DAN RASA GAS KELUAR DARI TELINGA :Menandakan penyakit migrain.
E. BISUL TERJADI DI KEPALA: Tanda pembuangan toksin sedang berlaku. Kadang-kadang dikaitkan dengan penyakit migrain.
F. RASA PENING YANG MEMUSING: Tanda kurang darah atau pengaliran darah tidak lancar.

15. MULUT/KERONGKONG/ LIDAH

a. LOYA/MUNTAH .. Tanda penyakit lelah. Pembuangan bahan toksik dari bahagian perut.

b. MUNTAH DARAH

i) Darah merah : Pembuangan tisu yang sudah rosak di bahagian kerongkong dan

ii) Darah hitam: Pembuangan tisu yang sudah rosak di bahagian perut; misalnya penyakit ulser.

16. LIDAH RASA TEGANG DAN PENDEK : Tanda sakit jantung.

17. KELUAR AIR LIUR YANG PEKAT .
Proses pembuangan toksin dari kerongkong akibat jangkitan kuman

18. KENCING

a) KERAP KENCING ; Menunjukkan buah pinggang mengandungi kotoran yang

b) AIR KENCING BERKAPUR Menunjukkan penyakit batu karang dalam buah pinggang.

c) AIR KENCING BERMINYAK : Menunjukkan buah pinggang mengandungi kotoran berlemak.

d) AIR KENCING PEKAT BERWARNA COKLAT : Menandakan proses pembuangan toksin sedang berlaku.

e) AIR KENCING BERDARAH : Penyakit batu karang atau buah pinggang luka.

19. BUANG AIR BESAR

a) CIRIT-BIRIT/ KERAP BUANG AIR BESAR : Membersihkan kotoran/keracunan dari usus besar. Cirit-birit dengan serta merta selepas memakan RG, menandakan penyakit barah di bahagian usus besar.

b) SEMBELIT: Membersihkan toksin dari usus kecil.

c) NAJIS BERDARAH

i) Darah merah : Masalah penyakit buasir atau barah di bahagian usus.

ii) Darah hitam: Masalah penyakit ulser perut.

d) NAJIS BERWARNA HITAM : Menunjukkan proses pembuangan toksin di bahagian usus sedang berlaku.

20. BADAN

a) RASA SAKIT : Secara amnya, segala kesakitan badan adalah disebabkan saluran darah.

i) Sakit menyucuk : Proses menyeimbangkan urat saraf.

ii) Sakit sengal: Menandakan luka di dalam badan.

iii) Sakit menyentap: Proses menyeimbangkan urat saraf yang berkaitan dengan organ-organ badan.

iv) Sakit menegang : Proses melancarkan pengaliran darah.

b) BADAN TERASA BERAT/ MALAS/ LENGUH . Badan mengandungi asid yang berlebihan. Proses penyeimbangan

c) BADAN TERASA PANAS . Badan mengandungi asid yang berlebihan. Ini menandakan badan memerlukan banyak air untuk menjalankan proses pembuangan toksin.

d) BADAN TERASA RINGAN : Menandakan badan segar dan proses awet muda sedang berlaku.

21. RASA TAKUT MENGEJUT :
Lemah fungsi buah pinggang. Tenaga batin lemah.

22. CEPAT NAIK DARAH/MARAH : Fungsi hati lemah. Tekanan darah tinggi.

23. RASA BIMBANG DAN TAKUT : Sistem paru-paru yang lemah.

24. RASA SERONOK ATAU BIMBANG TANPA SEBAB :

i) Sistem jantung yang lemah.

ii) Sistem saraf otak yang lemah.

iii) Masalah pengaliran darah.

25. SUKA BERFIKIR DAN BERKHAYAL : Sistem penghadaman yang lemah.

Peranan Suami Dalam Mengemudi Rumahtangga Muslim

Suami merupakan ketua keluarga dan pemimpin bagi isteri dan anak-anaknya. Firman Allah dalam surah al-Nisa’ ayat 34: Maksudnya: “Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan”

Sehubungan dengan itu, Islam mewajibkan kepada para suami dan ketua keluarga ini untuk melaksanakan tanggung jawab mengemudi rumahtangga ke arah peraturan dan disiplin yang telah digariskan di dalam ajaran Islam.

Firman Allah dalam Surah al-Tahrim ayat 6: Maksudnya: “Wahai orang yang beriman! peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya terdiri daripada manusia dan batu (berhala)…”

Dr Wahbah Zuhayli ketika mengulas ayat al-Quran ini telah menyatakan bahawa Allah memerintahkan agar kita mendidik diri agar terselamat daripada seksaan api neraka dengan melaksanakan segala perintah Allah dan meninggalkan segala larangan-Nya. Seterusnya kita juga berkewajipan untuk mendidik serta menyuruh ahli keluarga untuk mentaati Allah serta melarang mereka daripada terjebak dalam sebarang perkara maksiat… ‘Nasihatilah mereka serta didiklah mereka supaya kamu dan keluarga kamu terselamat daripada azab api neraka yang besar yang bahan bakarnya terdiri daripada manusia dan batu’ (Dr Wahbah Zuhayli, al-Tafsir al-Munir, 28/316).

Ayat al-Quran di atas telah dikuatkan lagi dengan ayat lain yang menggambarkan tentang perkara yang sama iaitu mendidik serta menyuruh ahli keluarga untuk mentaati perintah Allah. Firman Allah dalam Surah Taha ayat 132: Maksudnya: “Dan perintahkanlah keluargamu serta umatmu mengerjakan solat, dan hendaklah engkau tekun bersabar menunaikannya. Kami (Allah) tidak meminta rezeki kepadamu, (bahkan) Kamilah yang memberi rezeki kepadamu. dan (ingatlah) kesudahan yang baik adalah bagi orang yang bertaqwa”.

Nabi SAW telah bersabda:
مروا أبناءكم بالصلاة لسبع، واضربوهم عليها لعشر، وفرقوا بينهم في المضاجع
( رواه أحمد وأبو داود والحاكم)
Maksudnya: “Suruhlah anak kamu bersolat ketika mereka berumur tujuh tahun, dan pukul mereka (sekiranya tidak mahu bersolat) ketika mereka berumur sepuluh tahun, dan pisahkan tempat tidur mereka”.

Secara ringkasnya, peranan suami dalam mengemudi rumahtangga adalah dengan melaksanakan perkara-perkara berikut:

1) Memberi nafkah (sara hidup) kepada isteri dan anak- anak berupa makan, minum, pakaian dan tempat tinggal yang sesuai dan munasabah menurut kemampuannya. Firman Allah dalam surah al-Talaq ayat 7: Maksudnya: “Hendaklah orang Yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya; dan sesiapa Yang di sempitkan rezekinya, maka hendaklah ia memberi nafkah dari apa Yang diberikan Allah kepadanya (sekadar Yang mampu); Allah tidak memberati seseorang melainkan (sekadar kemampuan) Yang diberikan Allah kepadaNya. (orang-orang Yang Dalam kesempitan hendaklah ingat bahawa) Allah akan memberikan kesenangan sesudah berlakunya kesusahan”.

2) Memberi didikan dan asuhan agama sepenuhnya kepada isteri dan anak-anak serta sanggup berkorban kerana kebahagiaan mereka. Firman Allah: Maksudnya: “Wahai orang yang beriman! peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya terdiri daripada manusia dan batu (berhala)…”

Sekiranya suami tidak mampu memberi didikan agama kerana kejahilannya, maka menjadi kewajipannya mencari guru atau menghantar mereka ke tempat-tempat yang boleh menambahkan ilmu agama mereka seperti kelas al-Quran, fardhu ‘ain dan sebagainya.

3) Bertanggungjawab tentang didikan dan pelajaran anak-anak selaras dengan kehendak Islam. Sabda Rasulullah s.a.w.:

كل مولود يولد على الفطرة، فأبواه أن يهودانه أو ينصرانه أو يمجسانه
Maksudnya: “Setiap kanak-kanak itu dilahirkan di atas fitrah (sifat semula jadi) dan kedua ibu bapanyalah yang mencorakkannya sama ada menjadi Yahudi, Nasrani atau Majusi”

4) Memelihara dan melindungi rumahtangga, isteri dan anak-anak dari sebarang bahaya. Firman Allah S.W.T.: Maksudnya: “Tempatkanlah isteri-isteri (yang menjalani edahnya) itu di tempat kediaman kamu sesuai dengan kemampuan kamu dan janganlah kamu adakan sesuatu yang menyakiti mereka(di tempat tinggal mereka itu) dengan tujuan hendak menyusahkan keadaan mereka (supaya mereka keluar meninggalkan tempat itu” (Surah al-Talaq : 6)

5) Membimbing dan memberi tunjuk ajar kepada isteri dan anak-anak dengan cara pimpinan yang bijaksana bagi mencapai kehidupan yang diredhai Allah S.W.T. Sebagai seorang ketua dalam rumah tangga yang mampu bertindak dalam berbagai keadaan dan suasana dengan penuh bijaksana. Firman Allah: Maksudnya: “Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan”

Jom Tangkap Ikan



Tuesday, June 23, 2009

Sekolah Hanya Ada Seorang Murid


TELUK INTAN 22 Jun - ''Saya bosan dan sunyi.'' Itulah luahan hati K. Humah, 12, satu-satunya murid yang belajar di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (SRJK) Tamil Ladang Sungai Timah, dekat sini, sejak enam bulan lalu.

Malah, Humah menjadi seorang murid yang pendiam kerana ketiadaan rakan untuk diajak berbual, apatah lagi bermain permainan disukai pada waktu lapang.

Sekolah itu terletak di kawasan ladang kelapa sawit milik MHC Plantation Berhad, kira-kira 40 kilometer dari sini melalui Jalan Teluk Intan - Lumut.

Selain Guru Besar, M. Paramiswary, sekolah itu dibantu oleh seorang guru akademik, M. Jayakuymar dan guru sandaran, V. Moganathaf, 19.

Humah, merupakan satu-satunya murid tahun enam yang belajar di sekolah berkenaan.

Apa yang menarik, sekolah itu mempunyai kelengkapan setanding dengan sekolah-sekolah lain seperti komputer, projektor, perpustakaan, bilik permainan dalam (indoor), peti televisyen 42 inci, kantin dan padang mini. (bukankah ini suatu pembaziran?)

Usaha Utusan Malaysia untuk mendapatkan ulasan lanjut daripada guru besar sekolah terbabit gagal apabila beliau dimaklumkan sedang cuti sakit.

Difahamkan, punca mengapa berlaku kekurangan murid adalah disebabkan kebanyakan pekerja ladang telah bersara dan berpindah ke tempat lain.


Tahun lalu, sekolah itu mempunyai tiga murid, masing-masing di tahun satu, tahun empat dan tahun lima.

Humah ketika ditemui di rumahnya di Ladang Edward yang terletak kira-kira lapan kilometer dari sekolah itu berkata, dia berasa sunyi dan bosan kerana terpaksa belajar seorang diri tanpa rakan-rakan sebaya yang lain.

''Di sekolah, saya menjadi murid pendiam kerana tidak ada rakan-rakan untuk berbual dan bermain pada waktu rehat,'' katanya yang bercita-cita menjadi guru.

Bapa Humah, P. Krishnan, 40, berkata, dia tiada pilihan lain kecuali terpaksa menghantar anaknya belajar di sekolah itu kerana tidak mampu menanggung kos jika ke sekolah lain.

''Saya terpaksa belanja RM200 sebulan belum masuk wang kocek jika menghantar anak saya belajar di Teluk Intan,'' kata bapa kepada enam anak yang merupakan pekerja ladang dengan gaji sebanyak RM400 sebulan itu.

Selain Humah, kata Krishnan, lima lagi anaknya juga pernah belajar di sekolah yang sama sebelum ini.

Monday, June 22, 2009

Penyakit Rasuah


Oleh: Mohd Sukki Othman (Ustaz Shauqi)


Istilah rasuah bukan lagi asing dalam kalangan masyarakat kita pada hari ini. Walaupun kadang-kala pelbagai nama digunakan untuk menggantikan istilah rasuah seperti ‘duit kopi’, ‘hadiah’, ‘wang belanja’, ‘sogok’, dan sebagainya, namun perbuatan seperti itu tetap menggambarkan betapa ianya sesuatu yang bukan sahaja bercanggah dan menyalahi undang-undang, bahkan ia merupakan perkara yang amat terkutuk dan haram di sisi Islam.

Rasuah merupakan penyakit sosial bersifat sejagat yang boleh berlaku di mana-mana dan boleh menjejaskan kelicinan perjalanan jentera pentadbiran sesebuah negara dan berupaya membinasakan sesebuah pemerintahan.

Ia boleh disamakan dengan penyakit kanser yang apabila telah menyerang maka sukar untuk diubati dan apabila gejala rasuah menjadi budaya, ia akan sukar dibanteras malah akan melumpuhkan sistem pentadbiran awam mahupun swasta. Di sesetengah negara, rasuah dikatakan menjadi darah daging dalam sektor awam dan swasta hingga mengakibatkan negara itu kerugian lebih berbilion dolar setahun.

Kita sering-kali mendengar terdapat bangunan yang sudah siap dibina, tetapi sudah pun retak. Bukan sekadar retak.... malahan runtuh menyembah bumi. Begitu juga kalau untuk mendapat sesuatu ‘projek’ hendaklah disertakan dengan ‘duit pelincir’. Penjualan bahan-bahan lucah dan haram begitu berleluasa walau pun kadang-kala penjualan tersebut agak ‘terbuka’ dan boleh dihidu sesiapa sahaja dan pelbagai contoh lain lagi yang amat banyak kalau hendak dinyatakan di sini.

Akan tetapi, yang pastinya ialah semua perkara tersebut adalah rasuah yang diharamkan. Mana tidaknya, akibat rasuah, bangunan menjadi retak walau baru siap dibina dan ia sudah tentu boleh menyebabkan nyawa manusia berada dalam bahaya. Begitu juga sesuatu projek itu tidak akan dapat dilaksanakan dengan baik dan cekap kerana yang memperoleh projek tersebut ialah mereka yang tidak berkelayakan. Akan tetapi, apabila rasuah diberi, maka sesuatu yang pada asalnya tidak layak terus menjadi layak.. Akibat rasuah juga, segelintir peniaga yang menjual barangan ‘haram’ yang menatijahkan rosaknya minda masyarakat terus berleluasa.

Rasuah sudah menjadi ‘darah daging’ bagi sesetengah orang. Kadang-kala seseorang itu merasakan hidupnya tidak akan sempurna tanpa rasuah kerana itulah yang menjadi punca rezekinya. Walau dalam masa yang sama , ia merasa jijik terhadap perkara haram yang lain seperti daging babi dan sebagainya. Mengapakah masih ada ‘mentaliti’ yang begitu ‘alergik’ terhadap makanan haram seperti daging babi, tetapi dalam masa yang sama tidak ‘alergik’ terhadap sumber rezeki yang haram seperti rasuah ini? Sedangkan haramnya daging babi tidaklah seteruk haramnya rasuah!

Islam sebagai agama yang diredai oleh Allah sejak dari awal lagi memberikan garis panduan dalam mencari harta dan kekayaan. Rasuah sememangnya sudah jelas diharamkan, namun apabila sesuatu peraturan dalam Islam itu tidak dipatuhi dan dijadikan budaya murni dalam kehidupan, maka ia menyebabkan agama Islam telah dicalarkan imejnya oleh golongan yang tidak bertamadun dan yang tidak mempunyai maruah diri sepertimana mereka yang terlibat dengan amalan rasuah ini.

Monday, June 15, 2009

Huruf Vokal Arab (Tanda Baris )


Oleh: Mohd Sukki Othman


Huruf-huruf Arab pada zaman Jahiliah dan pada zaman permulaan Islam tidak mempunyai baris. Orang Arab dengan sendirinya dapat menuturkan perkataan dengan tepat tanpa berpandukan kepada titik dan baris sebagai tanda bacaan kerana pengetahuan mereka terhadap bahasa mereka.

Namun, apabila wilayah Islam semakin luas, dibimbangi orang ‘Ajam yang tidak menguasai bahasa Arab akan melakukan kesilapan dalam membaca al-Quran, lalu usaha meletakkan titik dan baris pada huruf-huruf Arab pun dilakukan, terutamanya untuk memelihara daripada berlakunya kesilapan dalam membaca al-Quran.

Diriwayatkan bahawa Muawiyah Bin Abi Sufian telah menempelak Ziyad Bin Abihi yang merupakan gabenor Basrah ketika itu, ekoran anak Ziyad yang bernama Ubaidullah melakukan kesalahan ketika bercakap (tidak fasih dan menuturkan perkataan dengan secara tidak tepat). Sehubungan dengan itu, Ziyad Bin Abihi telah memberikan tanggungjawab kepada Abu Aswad ad-Du’ali (أبو الأسود الدؤلي ) untuk mencari jalan dengan meletakkan kaedah tertentu untuk memperbaiki bacaan al-Quran.

Pada mulanya, Abu Aswad ad-Du’ali enggan dan takut untuk meletakkan sebarang kaedah pada tulisan al-Quran kerana bimbang dengan perbuatan menambah sesuatu kepada al-Quran. Ziyad telah cuba meyakinkan Abu Aswad dengan hujah bahawa Saidina Uthman Bin Affan telah memerintahkan agar ditulis mushaf, walaupun sebelumnya ia tidak tertulis. Abu Aswad tetap menolak permintaan Ziyad itu kerana tidak berani melakukan sedemikian.

Namun, pendirian Abu Aswad berubah apabila mendengar seorang lelaki membaca al-Quran dengan baris yang silap pada ayat (أن الله بريء من المشركين ورسوله )- (Surah al-Taubah ayat 3). Huruf lam (ل ) pada perkataan (رسوله ) sepatutnya dibaca dengan baris depan (ضمة ), tetapi lelaki tersebut telah membacanya dengan baris bawah (كسرة ). Lantas, Abu Aswad mengasaskan teknik meletakkan baris pada ayat al-Quran.

Teknik perletakan baris yang dilakukan oleh Abu Aswad tidak sama dengan baris yang ada pada hari ini. Ini kerana baris yang dibuat oleh Abu Aswad adalah dalam bentuk titik yang ditulis dengan dakwat merah. Bagi menunjukkan baris atas (فتحة ), diletakkan satu titik di atas huruf dan diletakkan titik di bawah huruf bagi menunjukkan baris bawah (كسرة ).

Selepas itu, dua orang anak murid Abu Aswad iaitu Nasr Bin ‘Asim (نصر بن عاصم) dan Yahya Bin Ya’mur (يحي بن يعمر ) telah mengasaskan titik bagi membezakan huruf-huruf Arab yang sebelumnya tidak bertitik. Titik yang diasaskan ini ialah untuk membezakan huruf yang mempunyai bentuk yang serupa seperti ba, ta dan tha (ب، ت، ث).

Seterusnya, pada zaman Kerajaan Abbasi, al-Khalil Bin Ahmad al-Farahidiy (الخليل بن أحمد الفراهيدي ) telah menukar bentuk baris supaya tidak berlaku kekeliruan di antara titik huruf dan titik baris. Teknik yang digunakan oleh al-Khalil Bin Ahmad dalam meletakkan baris ialah diletakkan huruf alif kecil yang condong bagi menunjukkan baris atas (فتحة ), huruf Ya (ي ) kecil di bawah huruf bagi menunjukkan baris bawah (كسرة ), dan huruf Waw (و ) kecil di atas huruf bagi menunjukkan baris depan (ضمة ). Teknik yang diperkenalkan oleh al-Khalil ini tidaklah terlalu berbeza dengan sistem baris yang ada pada hari ini.

Fathi Yakan Meninggal Dunia


Seorang tokoh pejuang Islam yang terkenal iaitu Syeikh Fathi Yakan dari Lubnan telah kembali kerahmatullah pada pagi Sabtu 13 Jun 2009 ketika berusia 77 tahun. Dr Fathi Yakan lahir pada 9 Februari 1933 di kota Tarablus, Lubnan dan mempunyai darah keturunan dari Turki. Beliau merupakan salah seorang yang paling penting bagi gerakan Islam di dunia Islam, dan pengasas gerakan Islam di Lubnan sekitar 50an. Kelulusan tertinggi beliau ialah Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang Pengajian Islam dan Bahasa Arab. Beliau pernah menjadi ahli Parlimen Lubnan. Beliau telah menghasilkan banyak buku yang telah diterjemahkan ke dalam pelbagai bahasa. Antara bukunya yang paling terkenal di Malaysia ialah bukunya yang bertajuk "Maaza Ya'ni Intimaa'ie Lil Islam" yang diterjemahkan sebagai "Mengapa Perlu Saya Menganut Islam". Moga Allah mencucuri rahmat ke atas roh beliau dan moga semangat perjuangan Islam yang dimilikinya dapat dicontohi oleh generasi kini... al-Fatihah.

Asal Usul Tulisan Arab


Oleh: Mohd Sukki Othman

Terdapat pelbagai pendapat mengenai asal-usul dan perkembangan tulisan Arab. Antara pendapat tersebut ialah:

1. Pendapat Pertama: Kemunculan tulisan Arab adalah 'Tawqifi', iaitu ia datang terus daripada Allah. Justeru, ada yang menyatakan bahawa Nabi Adam a.s merupakan pelopor kepada tulisan secara keseluruhannya. Baginda mempelajari tulisan daripada Allah, lantas dapat menulisnya dalam pelbagai tulisan. Ada pula riwayat yang menamakan Nabi Idris atau Nabi Nuh sebagai pelopor kepada tulisan. Menurut Dr Ahmad Fuad ‘Alyan (2000), pandangan yang paling sahih dalam perkara ini ialah Nabi Idris a.s. Kenyataan Ini adalah bersandarkan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Zar al-Ghiffari bahawa Nabi saw bersabda:
أول من خط بالقلم إدريس – رواه أحمد
Maksudnya: ‘Orang pertama menggaris / menulis dengan pena ialah Idris a.s’

Dikatakan bahawa Nabi Ismail merupakan orang pertama yang menulis dalam bahasa Arab di samping bertutur dengan bahasa tersebut. Menurut Ibnu Khallikan, orang pertama yang menulis dengan bahasa Arab ialah Nabi Ismail a.s. Dikatakan juga bahawa Nabi Ismail telah belajar menulis dan bertutur bahasa Arab daripada kabilah Jurhum yang mendiami Makkah selepas terpancarnya mata air zam zam. Nabi Ismail dan ibunya Hajar yang tinggal bersama kabilah tersebut, telah mempelajari pertuturan dan penulisan daripada mereka.

Ibnu Salam dalam kitab (Tabaqat Syu’ara’) menyatakan bahawa ‘Orang pertama bertutur dalam bahasa Arab dan melupai lisan bapanya ialah Ismail a.s.’. Pandangan ini diperkuatkan pula oleh hadis nabi saw:

ألهم إسماعيل هذا اللسان العربي إلهاما – أخرجه الحاكم والبيهقي عن جابر
Maksudnya: ‘Diilhamkan bahasa Arab kepada Ismail a.s.’

Dikatakan bahawa orang Quraish pertama yang menulis dalam tulisan Arab ialah 'Harb Bin Umayyah Bin Abd Shams', yang mana beliau telah memperoleh tulisan ini dari seorang lelaki di Hirah yang bernama 'Aslam Bin Sudrah'. Lelaki ini pula memperoleh tulisan ini daripada seorang lelaki Anbar.


2. Pendapat Kedua: Tulisan Arab berasal daripada tulisan Himyar yang dikenali sebagai (al-Musnad). Ia juga dikenali sebagai 'Tulisan Arab Selatan' atau 'Tulisan Himyar'. Tulisan ini ibarat huruf yang bersambung. Tulisan ini berkembang melalui perdagangan sehingga ke Hijaz.

3. Pendapat Ketiga: Tulisan Arab berkembang daripada tulisan al-Nabatiy (Nabatean) yang dipunyai oleh golongan al-Anbat yang mendiami kawasan peninggalan sejarah yang dikenali pada hari ini sebagai Petra di Jordan. Mereka mendiami di kawasan itu sejak kurun kedua sebelum Masihi. Pada awal kurun ke 18 Masihi iaitu pada tahun 1724 M, G.J Klehr mendakwa bahawa terdapat hubungan yang kuat di antara tulisan Arab dan tulisan al-Nabatiy. Kemudian, pandangan ini diperkuatkan oleh Th. Noldeke pada tahun 1865 M, yang juga menyatakan bahawa tulisan Arab berkembang daripada tulisan al-Nabatiy.

Para pengkaji yang mengkaji bentuk-bentuk huruf serta tulisan Arab yang diukir di atas batu sejak zaman sebelum Islam, mendapati bahawa tulisan Arab kuno diderivasikan daripada tulisan al-Nabatiy. Tulisan al-Nabatiy pula telah diderivasikan daripada dialek al-Aramiy (Aramaic). Asal usul Aramaic pula ialah daripada Phoenician.

Tulisan Arab telah digunakan sejak kurun ke 4 Masihi. Teks pertama yang diketahui menggunakan abjad Arab ialah inskripsi yang dijumpai pada penghujung kurun ke 4 Masihi di Jabal Ram (50 km ke timur Aqaba, Jordan). Namun dokumen terawal dalam tiga bahasa yang dijumpai ialah inskripsi Arab, Syriac dan Greek yang dijumpai di Zabad, Syria pada tahun 512 Masihi.

Tuesday, June 9, 2009

Kenduri Kahwin


Macam biasa... setiap kali datangnya musim cuti sekolah, maka ramailah yang melangsungkan majlis kenduri kahwin. Namun, sesuatu yang sepatutnya dibuat 'muhasabah' ialah mengapakah majlis kenduri kahwin yang diadakan itu masih lagi dilangsungkan dalam suasana yang tidak 'berkat' iaitu dengan adanya perkara-perkara yang ditegah oleh syarak. Contohnya ialah majlis persandingan, karaoke dan sebagainya. Bukannya tidak boleh kalau nak bergembira di hari perkahwinan... tetapi biarlah ia selari dengan hukum syarak. Nak sewa 'deejay' pun boleh, tapi biarlah lagu-lagu yang dipasang itu hanyalah nasyid dan seumpamanya yang tidak menghakis 'keberkatan' majlis.

Bersanding pula kadang-kala menjadi acara wajib. Masyarakat kita sebenarnya sudah faham hukum bersanding itu, tetapi tetap diadakan dengan alasan untuk mengikut 'masyarakat'. Ibu bapa pengantin (termasuk ahli surau dan masjid) yang ditanya tentang persoalan ini, hanya berlepas tangan dengan mengatakan : "nak buat macam-mana, ini kehendak anak-anak". Seolahnya anak yang 'control' ibu bapa.... Bukannya ibu bapa yang menentukan majlis yang diadakan di rumahnya sendiri... mengapakah terjadi sedemikian???

Tuesday, June 2, 2009

Subjek Teras SPM: Subjek Agama akan dipinggirkan?


Sekarang ini sedang hangat diperkatakan tentang menghadkan subjek untuk diambil dalam SPM iaitu hanya 10 subjek. Antara alasan yang diberikan ialah agar tidak membebankan ibu dan bapa serta pelajar sendiri. Saya rasa alasan yang diberikan itu amat tidak konkrit kerana ia merupakan pilihan pelajar dan ibu bapa itu sendiri. Jadi apabila pelajar bersedia untuk mengambil berapa subjek sekali pun yang dikehendaki dengan izin dan restu ibu bapa dan guru... apalah salahnya.


Lalu dibincang pula tentang subjek teras yang ingin dikurangkan daripada 6 kepada 4. 6 subjek teras yang diguna pakai sekarang ini ialah BM, BI, Matematik, Sains, Agama (Moral) dan Sejarah. Apabila cadangan supaya dikurangkan subjek teras daripada 6 kepada 4... maka sudah tentu subjek agama akan menjadi korban. Natijahnya subjek agama akan menjadi elektif dan menjadi pilihan kepada pelajar itu sendiri untuk mengambilnya atau tidak. Sudahlah pada peringkat sekolah rendah... subjek agama tidak wajib diambil semasa UPSR... kini ia menular pula pada peringkat menengah.


Dalam kegawatan masalah sosial yang kian meruncing pada hari ini, amat diharap subjek agama makin diambil berat bagi menangani segala masalah kebejatan akhlak akhir-akhir ini. Apatah lagi persoalan modal insan sering-kali diperkatakan di peringkat nasional. Namun, sesuatu yang amat menyedihkan ialah 'retorik' sahaja tidak mencukupi untuk meningkatkan modal insan. Malahan usaha yang dibuat bukan lagi untuk meningkatkan modal insan.... Fikirkanlah