Followers

Tuesday, January 26, 2010

Adat vs Syarak


Adat merupakan sesuatu kebiasaan yang diamalkan di dalam masyarakat. Sebelum meneruskan sesuatu adat yang telah menjadi kebiasaan dalam masyarakat itu, sewajarnya dinilai kembali sama ada sesuatu adat tersebut bertepatan atau bercanggah dengan hukum syarak. Oleh yang demikian, sesuatu adat itu boleh dikategorikan kepada 3 iaitu:

1. Adat yang bertepatan dengan syarak - contohnya ialah adat memuliakan tetamu dalam kalangan masyarakat Jahiliyyah. Adat ini diakui oleh syarak dan memang sewajarnya diteruskan dan diamalkan dalam masyarakat.

2. Adat yang bercanggah dengan syarak - contohnya ialah adat bersanding, melempar beras, membuang sial di bulan Safar dan sebagainya. Adat seumpama ini hendaklah dihentikan kerana ia bercanggah dengan hukum syarak.

3. Adat yang tiada ketetapan daripada syarak - Contohnya ialah adat membuat bubur asyura', ia harus dilakukan selagi mana bubur yang dibuat itu sesuatu yang halal untuk dimakan.

Solawat Munjiyah


Sumber: www.darussyifa.org

Kepercayaan Khurafat pada Bulan Safar


Oleh: Ustaz Shauqi

Apabila tibanya bulan Safar terdapat segelintir umat Islam yang masih terbelenggu dengan amalan-amalan dan kepercayaan karut serta bidaah yang diamalkan dalam bulan Safar. Walaupun sekarang amalan tersebut tidak begitu ketara, namun masih ramai yang percaya bahawa bulan Safar membawa celaka dan sial. Justeru, terdapat dalam kalangan masyarakat Melayu yang menggunakan kertas atau papan yang ditulis dengan ayat-ayat tertentu dan mandi dengan air yang direndam ayat-ayat berkenaan untuk menolak bala.

Bulan Safar adalah bulan kedua mengikut perkiraan kalendar Islam yang berdasarkan tahun Qamariah. Safar bermaksud kosong. Ia juga memberi erti, meninggalkan sesuatu tempat apabila merujuk kepada perkataan `safir'. Telah dinyatakan juga bahawa dinamakan bulan Safar ekoran kebiasaan orang Arab yang selalu meninggalkan kampung halaman untuk berperang dan mengembara pada bulan tersebut.

Pada zaman Jahiliah, orang yang hendak bermusafir akan melepaskan seekor burung. Apabila burung itu terbang ke atas atau ke kanan, maka ia akan membawa petanda baik, tetapi jika ia terbang ke kiri atau ke bawah, mereka akan menangguhkan perjalanan kerana mereka beranggapan bahawa bala akan menimpa sekiranya perjalanan diteruskan.

Seterusnya, amalan khurafat dan bidaah yang bertentangan dengan syariat Islam diamalkan di dalam bulan Safar sebagai kesinambungan kepada warisan zaman Jahiliah. Ini kerana menurut kepercayaan turun-temurun sesetengah orang Islam yang jahil, bulan Safar merupakan bulan turunnya bala bencana dan malapetaka, khususnya pada hari Rabu minggu terakhir. Oleh sebab itu setiap tahun mereka akan melakukan amalan-amalan karut dan bidaah sebagai cara untuk menolak bala.

Sama ada sedar atau tidak, masyarakat Melayu Islam di Malaysia masih lagi dibelenggu dengan amalan khurafat dan tahyul seumpama ini pada bulan Safar. Di antara amalan khurafat yang pernah muncul di alam Melayu ialah upacara Pesta Mandi Safar. Amalan ini menjadi popular pada suatu waktu dahulu. Apabila tiba bulan Safar, umat Islam terutamanya yang tinggal berhampiran dengan pantai atau sungai akan mengadakan upacara mandi beramai-ramai dengan kepercayaan bahawa perbuatan tersebut boleh menghapuskan dosa dan menolak bala. Pada kebiasaannya, amalan mandi Safar ini dilakukan pada hari Rabu minggu terakhir dalam bulan Safar.

Selain itu, dalam kalangan masyarakat Melayu juga, khususnya dalam kalangan orang tua, mereka tidak mahu mengadakan majlis perkahwinan dalam bulan Safar. Ini kerana mereka berpendapat dan mempercayai bahawa kedua-dua pengantin tidak akan mendapat zuriat sekiranya majlis perkahwinan dilangsungkan dalam bulan ini. Amalan dan kepercayaan seperti ini jelas bercanggah dengan syariat Islam serta boleh menyebabkan rosaknya akidah seseorang.

Sebenarnya sial dan bala bencana tidak berlaku hanya pada bulan Safar. Firman Allah di dalam surah at-Taubah ayat 51 bermaksud: "Katakanlah (wahai Muhammad), tidak sekali-kali akan menimpa kami sesuatu pun melainkan apa yang telah ditetapkan oleh Allah bagi kami. Dialah pengawal yang menyelamatkan kami dan (dengan kepercayaan itu), maka kepada Allah jualah hendaknya orang yang beriman bertawakal".

Rasulullah s.a.w. menyatakan melalui sabdanya yang bermaksud: "Tidak ada penularan penyakit (tanpa izin Allah), tidak ada penentuan nasib dengan burung, tiada kemudaratan burung hantu, dan tiada bala bencana bulan Safar". (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Tambahan daripada itu, Rasulullah s.a.w. juga mengingatkan bahawa orang yang mempercayai keburukan itu datangnya daripada sesuatu selain daripada Allah adalah syirik, sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: "Menyandarkan keburukan kepada sesuatu adalah syirik, dan tidak termasuk dalam golongan kami melainkan orang yang beriman sahaja, dan Allah akan menghilangkan syirik itu dengan tawakkal". (Riwayat Ibnu Majah).

Sesuatu yang tambah menyedihkan lagi ialah apabila terdapatnya umat Islam yang melakukan pelbagai upacara menolak bala pada bulan Safar dengan tidak menganggapnya sebagai suatu perkara khurafat. Mereka seolah-olah tidak memahami apa itu khurafat, lalu melakukan amalan khurafat dengan sewenang-wenangnya. Khurafat ialah mempercayai sesuatu yang bertentangan dengan ajaran Islam. Kesan paling besar yang akan dihadapi oleh umat Islam apabila mempercayai perkara khurafat ini ialah ia akan menjerumuskan umat Islam ke lembah kekufuran dan kesyirikan. Mengamalkan perkara-perkara khurafat atau kepercayaan karut nyata ditegah oleh syarak.

Di samping itu, amalan khurafat tidak mendatangkan sebarang faedah, sebaliknya hanya boleh merosakkan akidah seseorang. Oleh yang demikian, umat Islam hendaklah menjauhkan diri daripada sangkaan atau kepercayaan karut tersebut supaya terselamat daripada amalan-amalan yang boleh membawa kepada syirik.Amalan khurafat juga boleh menjejaskan kegiatan sosial dan ekonomi umat Islam. Ia akan melahirkan budaya malas berusaha, minda menjadi jumud, kegiatan ekonomi terbantut, mudah berputus asa, tidak bertawakal kepada Allah serta menjejaskan martabat Islam yang syumul.

Apabila seseorang itu percaya kepada makhluk selain Allah, maka ia akan membawa kepada lenyapnya keimanan kepada rukun Islam keenam iaitu percaya kepada qada dan qadar Allah s.w.t. Kepercayaan dan amalan khurafat yang masih membelenggu umat Islam hari ini berpunca daripada akidah yang tidak mantap dan tidak mempunyai kefahaman yang jelas tentang hukum-hakam yang terdapat di dalam Islam. Perlu diingatkan bahawa sebagai seorang Islam, sewajarnya hanya memohon dan meminta sesuatu kepada Allah.

Kepercayaan dan amalan khurafat hanya boleh dibanteras jika seseorang itu berpegang teguh kepada ajaran Islam dengan menjadikan al-Quran dan sunah sebagai rujukan dalam segala tindakan. Dalam hal ini, Nabi s.a.w. menjelaskan kepada kita melalui sabda baginda yang bermaksud: "Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, kamu tidak akan sesat selama-lamanya sekiranya berpegang dengan kedua-dua perkara tersebut, iaitu Kitab Allah (al-Quran) dan sunnahku".

Kepercayaan dan amalan khurafat memang tidak memberikan manfaat langsung, malah lebih menjurus kepada perkara-perkara negatif. Oleh itu, bagi menangani masalah khurafat ini termasuk kepercayaan khurafat dalam bulan Safar, akidah umat Islam hendaklah diperteguhkan agar tidak terus berada di dalam kepompong kejahilan. Apabila akidah sudah mantap, maka minda umat Islam tidak mudah terpengaruh dengan unsur khurafat, sebaliknya akan lebih terbuka serta `berpijak di bumi nyata'.

Firman Allah dalam Surah al-A'raf ayat 33 bermaksud: Katakanlah: Yang diharamkan Tuhanku hanyalah segala yang keji, baik yang lahir mahupun yang batin, maksiat dan melampaui batas tanpa kebenaran dan kamu mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang tiada diberi keterangan kepadanya, dan kamu katakan kepada Allah sesuatu yang tidak kamu ketahui.

Wednesday, January 13, 2010

UMPAMA UTRUNJAH DAN KURMA


Oleh: Mohd Sukki Othman (Ustaz Shauqi)
(artikel ini telah disiarkan di Majalah Solusi, edisi 14)

Hadis Nabi Sallallahu ‘alaihi wasallam riwayat Imam al-Tirmidhi:

Daripada Abi Musa al-Ash'ari, beliau berkata: Rasulullah s.a.w. telah bersabda: Perumpamaan orang mukmin yang membaca al-Quran adalah seperti al-utrunjah, baunya harum rasanya enak, manakala perumpamaan orang mukmin yang tidak membaca al-Qur’an adalah seperti buah kurma, tiada bau tetapi rasanya manis.

Dalam hadis ini, terdapat dua bidalan dan perumpamaan yang boleh dijadikan renungan kepada orang-orang yang mencari hidayah dan petunjuk Allah Subhanahu Wa Taala. Bidalan-bidalan tersebut ialah:

1. Bidalan orang mukmin yang membaca al-Qur’an dan beramal dengan isi kandungannya.
2. Bidalan orang mukmin yang tidak membaca al-Qur’an, tetapi beriman dengan isi kandungannya.

Nabi Muhammad Sallallahu ‘alaihi wasallam telah mengumpamakan golongan yang pertama iaitu orang mukmin yang membaca al-Qur’an dan beramal dengan isi kandungannya dengan al-utrunjah iaitu sejenis buah limau yang mempunyai bau yang wangi dan sedap, di samping rasanya yang enak. Hal ini menunjukkan bahawa golongan mukmin tersebut adalah terdiri daripada mereka yang telah sampai kepada tahap kesempurnaan dalam keimanan mereka yang luhur dan murni kepada Allah Subhanahu Wa Taala sama ada dari sudut zahir mahupun batin (Lihat Al-Sabuni, Muhammad Ali, Min Kunuz al-Sunnah, Dar al-Irshad, Beirut, hlm. 71).

Menurut al-Mubarakfuri dalam Tuhfat al-Ahwadhi, golongan mukmin yang membaca al-Qur’an itu telah diumpamakan dengan al-utrunjah kerana buah ini adalah buah yang terbaik yang memiliki saiz yang besar, mempunyai rupa yang cantik serta mempunyai rasa yang enak, kelazatannya telah dirasai walaupun belum menjamahnya. (Lihat Tuhfat al-Ahwadhi, 8/138-139). Begitulah cantik dan indahnya mereka yang berdamping dengan al-Quran sehingga diibaratkan dengan buah yang enak dan lazat serta mempunyai bau yang amat menyelerakan yang menjadi idaman setiap manusia.

Manakala golongan yang kedua pula, iaitu orang mukmin yang tidak membaca al-Qur’an tetapi beriman dengan isi kandungannya, Nabi Sallallahu ‘alaihi wasallam telah mengumpamakan mereka dengan buah kurma yang mempunyai rasa yang enak tetapi tidak mempunyai bau. Seharusnya diketahui bahawa bau terhadap sesuatu makanan itu adalah pembuka selera kepada makanan tersebut. Seterusnya hal ini menunjukkan bahawa golongan mukmin ini adalah terdiri daripada mereka yang suci batinnya kerana penuh dengan keimanan laksana rasa kurma yang sedap, namun pada zahirnya tidak sedemikian kerana mereka tidak membaca ayat-ayat Allah Subhanahu Wa Taala, laksana kurma yang tidak mempunyai bau (Lihat al-Sabuni, Min Kunuz al-Sunnah, hlm 71).

Penggunaan bidalan dan perumpamaan dalam hadis di atas amat berkesan sekali kepada mereka yang mendengarnya kerana ia dapat memberikan gambaran yang amat menarik tentang kedudukan orang mukmin. Perumpamaan dan kiasan dalam hadis ini telah dapat memaparkan keimanan secara zahir dan batin yang sememangnya sukar dikenal pasti. Keimanan tersebut telah dijelaskan dengan baik sekali apabila ia telah diumpamakan dengan sesuatu perkara yang sudah jelas dalam kalangan masyarakat Arab iaitu sejenis buah-buahan yang terdiri daripada utrunjah (sejenis limau) dan kurma.

Melalui bidalan dan kiasan yang terdapat dalam hadis ini, menunjukkan bahawa betapa pentingnya membaca al-Qur’an kerana fadhilat dan ganjarannya amat besar sekali. Oleh itu, semua umat Islam hendaklah beristiqamah dalam membaca, menghayati serta beramal dengan isi kandungan al-Qur’an agar hati-hati mereka sentiasa disinari cahaya taufik dan hidayah daripada Allah Subhanahu Wa Taala.

Fadhilat Membaca al-Quran

Al-Quran merupakan mukjizat terbesar yang dikurniakan kepada nabi Muhammad Sallallahu ‘alaihi wasallam untuk dijadikan panduan kepada seluruh manusia. Pengertian dan definisi al-Qur’an telah disepakati oleh para ulama sebagai “kalam Allah yang mengandungi mukjizat, diturunkan dan diwahyukan kepada nabi Muhammad Sallallahu ‘alaihi wasallam, ditulis dalam mushaf, dipindahkan secara mutawatir dan pembacaannya dikira sebagai ibadah” (sila rujuk Al-Zarqani, Manahil al-'Urfan fi 'Ulum Al-Qur’an, hlm. 19).

Al-Quran yang diwahyukan oleh Allah adalah bertujuan untuk memberikan hidayah dan pedoman kepada umat manusia supaya dapat hidup dengan sejahtera di dunia dan di akhirat. Oleh yang demikian adalah tidak wajar bagi seseorang itu hanya membeli al-Quran lantas menyimpan sahaja di dalam atau di atas almari tanpa dibaca dan diambil pedoman daripadanya. Ada pula hanya mengenali al-Quran pada bulan Ramadhan sahaja, akan tetapi apabila Ramadhan berlalu, maka al-Quran sudah tidak dkenali lagi.

Sesungguhnya al-Quran itu apabila dibacanya sahaja pun akan mendapat pahala dan ganjaran di sisi Allah. Nabi Sallallahu ‘alaihi wasallam telah menyatakan bahawa setiap huruf daripada al-Quran apabila dibaca, maka akan digandakan pahala sebanyak sepuluh pahala. Nabi Sallallahu ‘alaihi wasallam juga menyatakan bahawa bukanlah alif, lam dan mim itu dikira sebagai satu huruf, sebaliknya alif satu huruf, lam satu huruf dan mim satu huruf. Oleh itu, bagi mereka yang membaca alif, lam, mim sahaja pun akan mendapat sebanyak 30 pahala.

Daripada hadis di atas, amat jelas menunjukkan kepada kita betapa ganjaran dan pahala yang disediakan bagi orang beriman yang membaca al-Quran itu amat banyak dan mudah diperoleh. Sehubungan dengan itu, amat malang bagi mereka yang tidak mengambil peluang dan ruang yang disediakan oleh Allah untuk mendapatkan ganjaran dan pahala melalui bacaan al-Quran sebagai suatu ‘aset’ dan bekalan untuk hari selepas daripada kematian.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, nabi bersabda yang bermaksud : "Bacalah al-Quran kerana sesungguhnya ia akan memberi syafa'at kepada pembacanya pada Hari Kiamat". Dalam sebuah hadis yang lain, Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Mereka yang membaca dan mahir al-Quran, ia akan bersama para malaikat pencatat yang mulia. Mereka yang membaca Al-Quran tetapi tidak lancar bacaanya dan susah baginya untuk membaca maka untuknya dua pahala."(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).

Ketenangan Jiwa

Tambahan daripada itu, bagi mereka yang menjadikan bacaan al-Quran sebagai amalan harian, ia juga akan menghasilkan ketenangan kepada jiwa. Tiadalah sesuatu yang lebih membahagiakan daripada ketenangan yang dimiliki oleh jiwa. Apa gunanya harta yang berlimpah-ruah dan wang berjuta sekiranya hidup dalam keadaan yang sengsara dan gundah-gulana. Betapa ramai manusia yang kaya pada hari ini, namun adakah mereka semua hidup dalam ketenangan dan kebahagiaan? Mengapa wujudnya jutawan yang membunuh diri? Mengapakah mereka sanggup melakukan kerja terkutuk itu sedangkan mereka mempunyai banyak harta? Tidak lain dan tidak bukan kerana mereka tidak mempunyai ketenangan dalam diri.

Ketenangan dan kebahagiaan sesuatu yang tidak mampu dibeli oleh sesiapa. Bolehkah seseorang itu pergi ke hypermarket yang paling besar, lalu memesan ‘tenang’ dan ‘bahagia’ untuk dibeli? Sudah tentu tidak boleh!. Sebabnya ketenangan dan kebahagiaan merupakan anugerah Allah kepada hamba-Nya. Anugerah ini hanya diberi kepada mereka yang mengingati Allah. Akan tetapi, ketenangan dan kebahagiaan tidak akan dianugerahkan Allah kepada manusia yang walau banyak mana sekalipun hartanya dan setinggi mana pun pangkatnya tetapi tidak mengingati Allah. Firman Allah dalam surah al-Ra’d ayat 28 bermaksud: ”Bukankah dengan mengingati Allah itu, hati akan menjadi tenang”. Antara cara paling berkesan untuk mengingati Allah ialah dengan membaca ayat-ayat suci al-Quran.

Ubat Hati

Setiap penyakit ada ubatnya. Namun, ramai orang hanya memberikan perhatian kepada penyakit jasmani dan fizikal sahaja, maka apabila salah satu anggota badannya sakit sama ada demam, selsesema, sakit kepala, darah tinggi, kencing manis, sakit jantung atau sebagainya, maka doktor, klinik dan hospital segera dicari agar dapat diubati penyakit yang dihidapi dengan secepat mungkin. Akan tetapi, bagaimanakah cara untuk mengubati penyakit hati? Penyakit hati adalah lebih berbahaya daripada penyakit fizikal kerana ia tidak dapat dilihat dengan mata kasar, akan tetapi apabila ia menghinggapi seseorang, ia akan merebak dengan begitu cepat sehingga boleh menghancurkan diri seseorang itu di dunia dan di akhirat kelak.

Akibat tidak memberikan perhatian kepada penyakit hati, maka begitu ramai dalam kalangan masyarakat Islam sendiri yang mempunyai penyakit hati yang kronik seperti hasad dengki, dendam, ‘ujub, sombong, takabbur dan sebagainya. Lalu, apakah cara yang paling ampuh dan berkesan bagi merawat penyakit hati? Tidak lain dan tidak bukan, cara yang paling berkesan untuk merawat hati adalah dengan berdamping dengan ayat-ayat Allah melalui kitab suci al-Quran. Seorang tokoh sufi yang bernama Ibrahim al-Khawwas telah menyatakan bahawa ubat bagi hati itu antaranya ialah ‘membaca al-Quran dengan penuh penghayatan dan tadabbur.

Sehubungan dengan itu, marilah sama-sama kita membaca, meneliti, serta memahami kandungan dan pengertian yang disampaikan di dalam al-Quran. Allah berfirman dalam surah Muhammad ayat 24 yang bermaksud:" Maka adakah mereka sengaja tidak berusaha memahami serta memikirkan isi al-Quran? atau telah ada di atas hati mereka kunci penutup yang menghalangnya daripada menerima ajaran al-Quran"