Followers

Wednesday, October 27, 2010

Malaysia & Rasuah


Malaysia masih kekal di tangga ke-56 pada Indeks Persepsi Rasuah yang dijalankan oleh Transparency International (TI) tetapi mata yang dikutipnya terus merosot daripada 4.5 kepada 4.4.Markah itu membuktikan bahawa negara telah gagal mencapai sasaran Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang meletakkan sasaran mereka daripada 4.5 kepada 4.9 daripada markah maksimum -10 mata.

Tempat teratas dikongsi oleh tiga negara - Singapura, New Zealand dan Denmark daripada 178 negara yang dikaji.Menurut TI Malaysia, meskipun laporan yang dikeluarkan petang tadi, menunjukkan negara menuju ke arah yang betul, namun masalah timbul ketika pelaksanaannya.
Presidennya, Paul Low berkata kejatuhan dalam markah itu “secara statistik tidak signifikan”.

Beliau berkata kegagalan menangani rasuah akan mengagalkan usaha kerajaan untuk menjadikan negara ini sebagai negara berpendapatan tinggi memandangkan pertalian terus antara rasuah dan pendapatan per kapita.Di samping itu, katanya lagi, usaha yang dibuat oleh kerajaan melalui GTP belum lagi menghasilkan sebbarang kejayaan kerana faedah daripada usaha yang dilakkukan akan mengambil masa sebelum kesannya dapat dirasai oleh rakyat di negara ini.

Menurut setiausaha agung TI Malaysia, Ngooi Chu-Ing, antara yang paling ketara adalah persepsi umum bahawa kerajaan kurang azam politik untuk menangani rasuah.

"Kita boleh lihat sebagai contoh, terdapat kebimbangan di kalangan umu bahawa tiada "ikan besar" yang didakwa dan juga kemajuan yang lembab dalam mengenalpasti serta mendakwa individu yang terbabit dalam skandal PKFZ (Port Klang Free Trade Zone).
"Begitu juga dengan keputusan "tiada sebarang tindakan"" (NFA) oleh peguam negara terhadap individu-individu yang didakwa mempengaruhi pelantikan hakim dalam badan kehakiman dan amalan berterusan memberikan kontrak projek-projek Mega secara tidak telus," katanya.
TI-Malaysia, katanya mengesyorkan supaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diberi kuasa mendakwa disamping membolehkan badan itu melaporkan secara terus kepada ahli jawatankuasa parlimen.
"Pada masa kini, menteri kabinet mengistiharkan harta mereka kepada Perdana Menteri namun butir-butir pengisytiharan harta mereka tidak pernah diumumkan kepada awam...kami juga menggesa ditegakkan kebebasan maklumat melalui pemansuhan Akta Rahsia Rasmi (OSA) dan Akta Penerbitan dan Percetakan," katanya.

Monday, October 18, 2010

Kaedah Qiyam Tangan Ketika Solat


Oleh: Mohd Sukki Othman (Ustaz Shauqi)


Sunat Meletakkan Tangan Kanan Di Atas Tangan Kiri

Jumhur atau majoriti ulama’ (kecuali ulama’ aliran mazhab Maliki) menyatakan bahawa sunat selepas daripada takbiratul ihram untuk meletakkan tangan kanan di atas belakang pergelangan tangan kiri. (Sila rujuk al-Fiqh al-Islamiy wa Adillatuh oleh Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhayli 1/687). Hal ini adalah berdasarkan kepada hadis yang telah menyatakan bahawa Wa’il Bin Hujr telah melihat nabi saw ketika memulakan solat: “...kemudian nabi saw meletakkan tangannya yang kanan di atas belakang tangannya yang kiri di pergelangan tangan dan di hasta (dari siku ke bawah)”. (Hadis ini telah diriwayatkan oleh Muslim, Ahmad, Abu Daud dan al-Nasa’ei ). Dalam hadis Wa’il Bin Hujr yang lain, dia telah berkata: “Aku pernah menunaikan solat bersama nabi saw dan baginda meletakkan tangan kanannya di atas tangan kirinya di dada”. (Hadis riwayat Ibnu Khuzaimah).

Dalam hadis yang lain, daripada ‘Abdullah bin Mas’ud r.a dia berkata bahawa Rasulullah saw melihatnya meletakkan tangan kiri di atas tangan kanan, lalu baginda saw menukarkannya dengan meletakkan tangan kanan di atas tangan kiri. (hadis riwayat Abu Daud). Dalam sebuah hadis daripada Sahal bin Sa’ad pula, dia telah berkata bahawa adalah mereka diarahkan atau diperintahkan (oleh Rasulullah saw) untuk meletakkan tangan kanan di atas hasta tangan kiri ketika menunaikan solat. (hadis riwayat Imam Bukhari).

Imam al-Bukhari dalam sahihnya juga telah mengatakan bahawa, “... Saidina ‘Ali r.a meletakkan telapak tangannya di atas pergelangan kiri.” Hadis dalam Sunan al-Baihaqi juga menyebutkan hal yang demikian itu. ‘Uqbah berkata, “Sanad hadis tersebut adalah hasan”. Oleh yang demikian, orang yang menunaikan solat disunatkan untuk meletakkan telapak tangan kanannya di atas pergelangan tangan kirinya iaitu diletakkan tangan kanan di belakang tangan kiri di tempat meletakkan jam tangan atau gelang pada tangan.

Menurut ulama aliran mazhab Syafei, disunatkan untuk meletakkan tangan kanan di atas belakang tangan kiri dengan berkedudukan di bawah dada dan di atas pusat dan hendaklah dibawa ke sebelah kiri sedikit kerana di situ terdapatnya hati (jantung). Maksud dada di sisi ulama Syafei ialah tulang-tulang yang nampak di bahagian hadapan tubuh manusia jika manusia itu membengkokkan dirinya ke belakang. Justeru, meletakkan tangan itu bukan di atas dada, tetapi di bahagian antara pusat dan dada. Itulah as-sadr (dada) yang telah diisyaratkan oleh firman Allah SWT yang bermaksud: Sesungguhnya bukan mata yang buta, tetapi yang buta itu adalah hati yang terdapat di dalam dada (QS 22:46). Manakala ulama’ mazhab Hanbali dan Hanafi pula berpendapat bahawa hendaklah kedudukan tangan itu diletakkan di bawah pusat berdasarkan apa yang telah datang daripada Saidina ‘Ali bahawa beliau telah berkata: “Menjadi sunnah meletakkan tangan kanan di atas tangan kiri di bawah pusat”. (Hadis riwayat Ahmad dan Abu Daud).

Kesimpulannya ialah disunatkan untuk meletakkan tangan kanan di atas belakang pergelangan tangan kiri setelah selesainya bertakbiratul ihram. Apatah lagi, menurut para ulama, meletakkan tangan kanan di atas tangan kiri merupakan salah satu sifat orang yang merendah diri dan boleh membawa kepada khusyuk. Manakala tempat ia diletakkan, sama ada di atas dada, atau diantara dada dan pusat (iaitu di atas pusat sedikit), atau di bawah pusat, maka para ulama’ telah berselisih pendapat mengenainya berdasarkan kepada ijtihad masing-masing terhadap hadis-hadis Rasulullah saw dan kata-kata para sahabat nabi.

Sehubungan dengan itu, ia memberikan kemudahan kepada kita untuk melakukannya berdasarkan apa yang dipelajari. Dalam mazhab Syafei yang menjadi pegangan masyarakat Nusantara, kedudukan tangan tersebut hendaklah berada di atas pusat sedikit dan di bawah dada serta kedudukannya dibawa ke arah kiri sedikit. Namun, sesuatu perkara ‘khilafiyyah’ seumpama ini janganlah diperdebatkan untuk menegakkan hujah ‘siapa yang betul’ sehingga mengeruhkan hubungan sesama umat Islam. Ini kerana terdapat golongan yang ‘ekstrem’ dalam masyarakat kita dewsa ini yang sentiasa menyalahkan orang lain dalam sesuatu perkara ibadah sunat yang ianya merupakan perkara ‘khilaf’ dalam kalangan ulama’. Perkara seumpama ini tidak sewajarnya berlaku kerana janganlah semata-mata hendak menegakkan hujah terhadap sesuatu perkara ‘khilaf’ sehingga terpaksa bermasam muka sesama muslim. Sedangkan bermasam muka dan bertelingkah sesama muslim dengan cara yang salah itu adalah merupakan sesuatu yang dikeji oleh syara’ dan ia adalah perbuatan yang haram!.

Saturday, October 16, 2010

Membentangkan Kertas Kerja di UM




Pada 5 Okt yang lalu, saya telah membentangkan kertas kerja di Persidangan Antarabangsa Islam dalam Masyarakat Malaysia (PAIMM) bertempat di Jabatan Sejarah, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya. Kertas kerja bertajuk: "Peranan dan Sumbangan Ulama' Tiga Serangkai Dalam Perkembangan Islam dan Perubahan Sosial di Malaysia. Tokoh ulama' tiga serangkai yang dimaksudkan ialah Syeikh Abdul Samad al-Falimbani (1704-1828), Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari (1710-1812) dan Syeikh Daud al-Fatani (1769-1847). Selain itu, tiga kitab karangan mereka juga dibincangkan iaitu Sayr al-Salikin (Tasawuf), Sabil al-Muhtadin (fiqh) dan al-Durr al-Thamin fi Aqa'id al-Mukminin (Aqidah).Justify Full

Monday, October 4, 2010

Mengapa Bertindak Mengikut Kejahilan?


Warga emas yang memulangkan wang yang diberikan kepada mereka oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang bertindak mengikut kejahilan yang didokong pula oleh mereka yang jahil. Sebelum buat sesuatu, sepatutnya merujuk terlebih dahulu kepada orang yang berilmu. Sila lihat keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan mengenai hal ini :-

Penyaluran Harta Tidak Patuh Syariah Ke Baitulmal Dan Institusi Islam Lain

Keputusan:

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-87 yang bersidang pada 23 – 25 Jun 2009 telah membincangkan Hukum Penyaluran Harta Tidak Patuh Syariah Ke Baitulmal Dan Institusi Islam Lain. Muzakarah telah memutuskan bahawa:

Di dalam Islam harta-harta yang diperolehi dengan cara yang tidak mematuhi syariah seperti riba, gharar, perjudian, penipuan, rompakan, rampasan, rasuah dan seumpamanya adalah haram dan tidak boleh digunakan untuk manafaat dan kepentingan diri sendiri serta perlu dibersihkan melalui kaedah-kaedah berikut:

  1. Diserah kepada Baitulmal untuk maslahah-maslahah umum umat Islam seperti membiayai pembinaan atau penyelenggaraan jambatan, jalan, tandas dan seumpamanya;
  2. Diserah kepada golongan fakir miskin; atau
  3. Jika harta tersebut merupakan harta rompak, curi dan seumpamanya, maka harta tersebut perlu diserahkan semula kepada pemiliknya. Jika pemiliknya telah meninggal dunia atau tidak dapat dijumpai, maka harta tersebut mestilah dikembalikan kepada ahli warisnya. Sekiranya tidak dapat diketahui pemilik atau ahli waris pemilik, maka harta tersebut hendaklah diserahkan kepada Baitulmal.

Keterangan/Hujah:
  1. Imam al-Nawawi di dalam kaedah penyelesaian harta haram telah menukilkan pandangan al-Ghazali yang menyatakan jika seseorang lelaki itu memiliki harta haram dan hendak bertaubat serta melepaskan tanggungan daripada harta haram tersebut, maka harta tersebut mestilah diserahkan kepada pemiliknya atau wakil pemilik tersebut. Sekiranya pemilik tersebut telah meninggal dunia, berkewajipan untuk menyerahkan kepada ahli warisnya. Sekiranya pemilik harta tersebut tidak dapat dikenal pasti, maka harta tersebut mestilah diserah (dibelanjakan) kepada maslahah-maslahah umum umat Islam seperti (membiayai pembinaan atau menyelenggara) jambatan, masjid-masjid, dan seumpamanya yang bersangkut-paut dengan urusan orang Islam. Sekiranya tidak digunakan untuk tujuan kemaslahatan umat Islam, harta haram tersebut diserahkan kepada golongan fakir.
  2. Sheikh Prof. Dr. Yusuf al-Qaradhawi ketika ditanya bagaimana mengurus faedah yang terkumpul di dalam bank konvensional, sama ada hanya perlu dibiarkan sahaja berada di dalam bank konvensional tersebut atau sebaliknya, telah menyatakan bahawa:
a. Faedah-faedah bank yang terkumpul hukumnya adalah sama seperti harta- harta lain yang diperolehi melalui jalan yang haram.

b. Tidak harus seseorang menggunakannya (wang faedah) tersebut kerana tindakan menggunakan wang tersebut adalah termasuk di dalam kategori memakan harta yang diperolehi melalui jalan kezaliman. Tidak boleh dimanfaatkan melalui jalan makanan, minuman, tempat tinggal, membayar cukai dan seumpamanya.

c. Meninggalkan wang faedah itu di dalam bank konvensional adalah haram secara muktamad. Dasar ini telah dipersetujui di dalam Muktamar Bank Islam Kedua di Kuwait oleh ulama’ secara ijma’. Tindakan tersebut hanya akan mengukuhkan lagi ekonomi bank riba dan dikira sebagai menolong dalam urusan maksiat. Menolong perkara yang haram adalah haram.

Sumber: (http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-kebangsaan/penyaluran-harta-tidak-patuh-syariah-ke-baitulmal-dan-institusi-islam-lain)