Followers

Thursday, May 17, 2012

Sunday, May 6, 2012

Persoalan Khatamun Nubuwwah

Gambar yang dikatakan bahawa inilah khatamun nubuwwah


Baru-baru ni ada jemaah masjid bertanya tentang 'khatamun nubuwwah' untuk digantung di rumah sebagai tawasul dengan Allah. Dia memberikan sehelai kertas yang tercatat sebuah hadis di samping gambar khatamun nubuwwah tersebut (lihat gambarnya di atas).  Persoalannya, betulkah hadis tersebut dan apakah benar bentuk khatamun nubuwwah yang ditunjukkan itu? Sebelum menjawab persoalan ini,   didatangkan terlebih dahulu  isi kandungan yang tercatat dalam kertas tersebut iaitu:

Menurut mafhum hadis yang dipindahkan daripada Imam At Turmuzi Radhiyallahu 'anhu katanya :

"Barangsiapa menilek atau memandang kepada "Khatamun Nubuwwah" sedang ia berwudhu' pada waktu subuh, nescaya memelihara Allah akan dia hingga membawa ke petang. Dan barang siapa menilek kepadanya pada waktu maghrib terpelihara pula hingga ke pagi. Demikian juga barang siapa menilek kepadanya pada awal bulan nescaya memelihara Allah akan dia dari segala bala dan kecelakaan hingga akhir bulan itu.Selanjutnya barang siapa yang menileknya kepadanya sewaktu hendak berjalan (musafir) nescaya jadilah sepanjang perjalanannya itu barakah dan selamat dan barang siapa mati dalam tahun itu nescaya dimatikan Alllah dalam iman...".

Perbincangan

Apabila diteliti terhadap 'hadis' yang dibawa dan dinisbahkan pula kepada Imam al-Tirmizi, maka sewajarnya dirujuk maklumat tersebut dalam Sunan al-Tirmizi. Setelah disemak, didapati bahawa maklumat tersebut tidak terdapat dalam Sunan al-Tirmizi. Ini bermakna ia adalah suatu tohmahan atau tersilap menisbahkan kepada Imam al-Tirmizi. 

Persoalan seterusnya ialah, dari manakah riwayat ini datang? 

Sebenarnya riwayat ini  disandarkan kepada Al-Hakim At-Tirmizi berdasarkan perkataan Ibn Kathir dalam Al-Bidayah wan Nihayah: (Telah menyebut Al-Hafiz Abul Khatib ibn Dihyat Al-Misri dalam kitabnya At-Tanwir fi Maulid Al-Basyir An-Nazir daripada Abi Abdullah Muhammad ibn Ali ibn Husain ibn Bisyr yang terkenal dengan gelaran Al-Hakim At-Tirmizi bahawa beliau berkata: Adalah tanda kenabian yang berada antara dua belikat baginda S.A.W umpama telur burung (saiznya) yang tertulis di dalamnya “Allah yang esa” di luarnya “berhadaplah kemana kamu ingin kerana kamu pasti dibantu”)

Perlu diingat bahawa Imam  al-Tirmizi  bukannya al-Hakim al-Tirmizi, kedua-duanya adalah orang yang berbeza. Imam al-Tirmizi ialah pengarang kitab hadis tersohor iaitu Sunan al-Tirmizi , sebaliknya Hakim al-Tirmizi ialah seorang ulamak sufi.

Berbalik kepada hadis yang dibawakan oleh al-Hakim al-Tirmizi di atas, para ulama hadis  menyatakan bahawa darjat hadis tersebut adalah Bathil, Gharib, Munkar, dan Ibn Hajar Al-Asqalani mengatakan ianya tidak sabit daripada Rasulullah S.A.W

Kesimpulannya, hadis tersebut tidak boleh dipakai dan tidak boleh  diterima kerana ianya tidak sabit daripada Rasulullah S.A.W. 

Manakala hadis sahih yang datang pada menyifatkan khatamun nubuwwah yang terdapat pada nabi hanya menyatakan bentuk dan rupa. Tidak ada hadis yang menceritakan tulisan yang tertulis padanya. Segala riwayat yang mencerikatan tulisan yang terdapat padanya adalah tidak sabit daripada Nabi S.A.W.  

Al-Hafiz Al-Haithami berkata: Sebahagian perawi telah  tersilap  antara tanda kerasulan (khatam nubuwwah) dengan cop yang digunakan Rasulullah untuk surat-menyurat yang digunakan oleh nabi. Hal ini kerana cop tersebut tertulis “Muhammad Rasulullah”.

Saturday, April 28, 2012

Monday, April 23, 2012

Thursday, April 19, 2012

Monday, April 9, 2012

Flight Penang-KL Ambil Masa 4 jam Setengah



Inilah perjalanan paling lama yang pernah dialami dengan menggunakan flight dari Penang ke KL. 4 jam setengah. Macam naik kereta. Kadang-kala, naik kereta pun boleh sampai sekitar 3 jam setengah atau 4 jam sahaja. Penerbangan dari Penang bertolak pada pukul 5.10 petang (8 April 2012) dengan menggunakan pesawat Air Asia . Penerbangan seperti biasa, akan tetapi sebaik sahaja pesawat memasuki ruang udara Kuala Lumpur, pilot mengumumkan bahawa keadaan cuaca buruk dengan hujan lebat ditambah dengan kesesakan pesawat udara di LCCT, oleh yang demikian pesawat akan mendarat di KLIA. Walaupun dalam suasana pesawat yang bergegar menembusi awan gelap, diharapkan semuanya akan berjalan lancar. 

Pesawat Air Asia sudah hampir mencecah ke landasan, tayar pesawat hanya beberapa saat akan mencecah landasan KLIA, tiba-tiba, pesawat dinaikkan semula. Penumpang masing-masing kehairanan... apakah yang berlaku? Suasana dalam pesawat sunyi-sepi, tidak bersuara... hanya menunggu pengumuman daripada juruterbang tentang kondisinya. Senyap dan sunyi agak lama.... kemudian barulah corong suara pesawat mengeluarkan suara pengumuman daripada pilot. "Angin kencang menyebabkan sukar untuk pesawat mnendarat, kita akan cuba sekali lagi, dan diharap semuanya bersabar". Itulah kata-kata dari juruterbang. Pesawat sekali lagi bergegar menembusi awan tebal yang gelap dipenuhi air hujan menyebabkan pesawat agak kuat bergoyang. Seketika pesawat kembali tenang dan berpatah balik ke KLIA untuk mendarat kali kedua. Pesawat diturunkan dengan cantik menghampiri landasan. 

Hampir saja ia mencecah bumi, tiba-tiba deruan enjin pesawat mengeluarkan bunyi yang begitu kuat dan pesawat diterbangkan sekali lagi naik ke atas. Cubaan mendarat kali kedua juga gagal. Para penumpang terpinga-pinga.... apa yang berlaku... nampak seolah panik. Pesawat gagal mendarat kerana keadaan cuaca yang tidak mengizinkan, lalu ia dilencongkan ke lapangan terbang Subang. Penumpang berasa sedikit lega, asalkan dapat mendarat dengan selamat dan balik ke rumah, cukuplah. Akan tetapi dimaklumkan kemudiannya bahawa pesawat hanya akan mendarat di Subang airport untuk mengisi minyak sahaja, selepas itu akan terbang sekali lagi ke KLIA. Penumpang dari UK di sebelah saya, mula bising... katanya akan minta keizinan untuk turun di Subang airport, kerana tempat penginapannya di Ampang lebih dekat dengan Subang airport. Rasanya itu hanyalah alasannya sahaja.... yang sebenarnya dia takut untuk kembali ke KLIA, bimbang pesawat tak dapat mendarat seperti sebelumnya. Setelah mendarat di Subang, pengumuman dibuat menyatakan bahawa atas arahan, tiada sesiapa dibenarkan keluar dari pesawat. 

Hampir 2 jam berehat di Subang, kemudian pesawat diterbangkan semula .... dan kali ini pesawat akan mendarat di LCCT kerana cuaca semakin baik. Kira-kira jam 9.40 malam, pesawat Air Asia yang bertolak dari Penang pukul 5.10 petang itu, selamat mendarat di LCCT dalam suasana hujan yang masih turun renyai-renyai. Alhamdulillah, semuanya selamat... perjalanan Penang-KL yang biasanya hanya mengambil masa 50 minit sahaja, selamat sampai dalam jangka masa 4 jam setengah.

Tuesday, April 3, 2012

Antara Kesilapan Dalam Solat

Melafazkan 'usalli' terlalu kuat sehingga mengganggu jemaah yang lain

Bercakap-cakap ketika khatib sedang berkhutbah

cara rukuk

cara mengangkat tangan ketika bertakbir

kedudukan kaki ketika sujud

kedudukan rukuk

tidak merapatkan saf solat

kaki terangkat ketika sujud menyebabkan solat tidak sah

kedudukan tangan ketika sujud

tidak khusyuk ketika solat

Thursday, March 29, 2012

Ibn al-Jawzi: Pemidato Hebat




Oleh: Ustaz Shauqi

Beliau ialah 'Abdul Rahman Bin 'Ali Ibn Muhammad Abu al-Faraj Ibnu al-Jawzi. Dilahirkan pada tahun 509 Hijrah bersamaan tahun 1126 Masihi di Baghdad.  Beliau telah menjadi yatim ketika berumur 3 tahun lagi apabila bapanya meninggal dunia. Ibunya menghantar beliau belajar dengan seorang ahli hadith terkenal pada zaman itu iaitu yang bernama Ibn Nasir. Dia juga menghafaz al-Quran sejak kecil.  Ibnu Jawzi telah menceritakan kisah persekolahannya:

"Saya dimasukkan ke sekolah rendah ketika berumur 6 tahun. Saya tidak menghabiskan masa dengan bermain, sebaliknya menghadiri majlis syarahan ilmu hadith di masjid. Saya menghafaz serta mencatatkan Hadith dan maklumat mengenai sirah nabi apabila pulang ke rumah. Saya sentiasa membawa buku walau ke mana sahaja saya pergi".

Ibnu Jawzi merupakan seorang yang banyak membaca sejak kecil. Pada zamannya, kota Baghdad mempunyai banyak perpustakaan, lalu beliau banyak menghabiskan masanya di perpustakaan untuk membaca buku. Beliau amat seronok bila berjumpa buku baru. Beliau telah membaca lebih daripada 20,000 buah buku. 

Sunday, March 25, 2012

Sekitar Beirut, Lubnan

Tempat pembunuhan bekas Perdana Menteri Lubnan, Rafiq Hariri. Rafik Hariri ditembak mati pada 14 Februari 2005 apabila bom TNT seberat 1000 kg meletupkan kenderaannya di Hotel St George , Beirut ,tengah Lubnan  

air laut yang jernih di persisiran bandar Beirut

Ramai yang berjoging di persisiran laut ini

bersih dan terpelihara

pemandangan dari tingkat 8 hotel Monroe, Beirut

pemandangan dari tingkat 8 hotel Monroe, Beirut

pemandangan dari tingkat 8 hotel Monroe, Beirut

Masjid Muhammad Amin, Beirut

Masjid Muhammad Amin, Beirut

Friday, March 23, 2012

Persidangan Antarabangsa Bahasa Arab, Beirut Lubnan

  pentas perasmian seminar

Ketika majlis perasmian

Penganjur bersama persidangan

penganjur bersama persidangan

Membentangkan kertas kerja

Persidangan Antarabangsa Bahasa Arab telah berlangsung di Beirut, Lubnan dari 19-23 Mac 2012. Ia telah dihadiri oleh ramai  tokoh bahasa Arab terutamanya dari negara Timur Tengah. Kertas kerja yang dibentangkan telah dibukukan dalam bentuk prosiding sebanyak 4 jilid. Tema persidangan ialah 'Tanggungjawab Individu, Masyarakat dan Negara' dalam memartabatkan bahasa Arab, bukan sekadar ia sebagai bahasa bagi orang Arab dan bahasa antarabangsa , tetapi ia adalah bahasa bagi orang Islam secara khususnya yang perlu memahami bahasa Arab untuk memperkukuhkan kefahaman kepada al-Quran, hadis dan dalam melakukan ibadat.

Friday, March 2, 2012

Berlumba Ke Belakang?



Oleh: Ustaz Shauqi

Seringkali didapati orang Melayu Islam apabila berkunjung ke masjid atau ke surau akan mengambil tempat di saf belakang. Apabila terdapat ruang kosong di saf hadapan umpamanya, masing-masing bertolak-tolak untuk memberikan ruang kepada rakan yang lain untuk ke hadapan. Sekali imbas, seolahnya ini merupakan suatu perbuatan yang baik kerana mengutamakan orang lain tanpa mementingkan diri sendiri. Namun apabila difikirkan dengan teliti, ia menggambarkan mentaliti kita yang tidak berwawasan tinggi ke hadapan. Apatah lagi merebut saf hadapan merupakan satu keutamaan bagi setiap individu muslim.

Dalam sebuah hadis, daripada Abu Hurairah r.a, bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Seandainya orang tahu (pahala) yang terdapat di dalam seruan (azan) dan barisan (saf) pertama kemudian mereka tidak mendapatkan cara untuk mencapainya kecuali dengan cara melakukan undian, pasti mereka akan mengadakannya.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim). Dalam hadis yang lain, diriwayatkan daripada Jabir bin Samirah ia berkata, “Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Tidakkah kalian ingin berbaris, sebagaimana para malaikat berbaris di hadapan Rabb mereka.” Maka kami bertanya, “Bagaimanakah para malaikat berbaris di hadapan Rabb?’ Baginda menjawab, “Mereka menyempurnakan barisan yang depan dan saling merapat di dalam saf.” (Hadis Riwayat Muslim)

            Bukan sekadar dalam saf solat sahaja didapati ’orang kita’ tidak mahu ke hadapan, bahkan kalau dilihat dalam apa-apa majlis atau program yang diadakan sekalipun iaitu sama ada majlis ilmu, seminar, forum dan sebagainya, pasti kedapatan mereka yang akan memilih tempat di belakang terlebih dahulu walaupun tempat di hadapan masih kosong. Mengapakah situasi ini berlaku? Apakah budaya dalam masyarakat kita mengajar atau mendidik kita untuk menjadi sebegitu?

Sistem Pajak Gadai Islam


Sistem pajak gadai konvensional telah mendominasi masyarakat Melayu Islam di negara kita sejak sekian lama terutama sejak pemerintahan British di Tanah Melayu. Tambahan pula, perniagaan pajak gadai juga banyak diusahakan oleh masyarakat Cina yang bukan Islam. Sehubungan dengan itu, orang Melayu Islam di negara ini yang memerlukan perkhidmatan mudah tunai telah berurusan dengan kedai-kedai pajak gadai konvensional yang kebanyakannya diusahakan oleh pengusaha-pengusaha Cina itu. Hal ini telah menyebabkan berlakunya transaksi perniagaan yang bertentangan dengan hukum syarak.

            Sistem pajak gadai konvensional adalah haram menurut ajaran Islam kerana ia mengandungi elemen-elemen yang diharamkan seperti riba, penindasan dan sebagainya. Dalam sistem pajak gadai konvensional, unsur riba amat jelas berlaku apabila ia diasaskan kepada perjanjian pinjaman yang dikaitkan dengan sesuatu ganjaran dan bukan pada gadaian itu sendiri. Oleh itu, pinjaman kewangan tersebut akan dikenakan ‘bunga’ atau faedah. Jelasnya, pajak gadai konvensional menjadikan ‘faedah’ sebagai sumber hasil kepada pemberi pinjaman dan ianya adalah riba yang diharamkan oleh Islam. Firman Allah swt dalam surah al-Baqarah ayat 275 bermaksud: “Orang yang makan (mengambil) riba  tidak dapat berdiri (di akhirat) melainkan seperti berdirinya orang yang kemasukan syaitan lantaran (tekanan) penyakit gila, keadaan mereka yang demikian itu, adalah disebabkan mereka berkata (berpendapat), sesungguhnya jual beli itu sama dengan riba, padahal Allah telah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba…”.    

Thursday, March 1, 2012

Fenomena Ajaran Sesat



Oleh: Ustaz Shauqi

Realiti  yang berlaku dalam masyarakat kita, ialah pencemaran akidah dan ajaran sesat yang semakin menjadi-jadi. Namun yang amat menghairankan ialah bagaimana terdapat umat Islam yang begitu mudah terpengaruh dengan ajaran sesat? Pencemaran akidah suci umat Islam bukanlah sesuatu yang baru di Malaysia. Malah, pencemaran dan resapan ajaran sesat ke dalam sistem kepercayaan umat Islam di nusantara ini, semakin menjadi-jadi dari semasa ke semasa.  

Ajaran sesat ialah sebarang ajaran atau amalan yang dibawa oleh orang Islam atau orang bukan Islam yang mendakwa bahawa ajaran dan amalan tersebut adalah ajaran Islam atau berdasarkan ajaran Islam; sedangkan pada hakikatnya ajaran dan amalan yang dibawa itu bertentangan dengan ajaran Islam yang berdasarkan al-Quran dan Sunnah serta juga bertentangan dengan ajaran Ahli Sunnah.  

             Kemunculan kebanyakan ajaran sesat ini dipercayai berpunca daripada pengaruh, kebudayaan, adat dan kepercayaan lama yang mengandungi unsure-unsur animisme dan dinamisme serta dicampur aduk dengan doktrin-doktrin lain seperti Kristianiti, Hinduisme, Budhisme, Neo Platonisme dan lain-lain lagi yang meresap dalam ajaran Islam.  Adalah dipercayai ajaran sesat yang paling lama usianya di Malaysia ialah ajaran Taslim yang dibawa oleh Mohammad Bin Shafie atau dikenali sebagai Mohamad Matahari pada awal abad ke-19, di Kampung Seronok, Bayan Lepas, Pulau Pinang.

Tuesday, February 21, 2012

Tuesday, February 14, 2012

Jangan Jadi Abu Lahab 'Sambut' Maulid



KEPUTERAAN bayi yang diberi nama, Muhammad bukan sahaja disambut dengan penuh kegembiraan oleh ibu bapanya, Abdullah bin Abdul Mutalib dan Aminah binti Wahb tetapi juga sanak saudara termasuk Abu Lahab. Kegembiraan Abu Lahab iaitu bapa saudara Nabi Muhammad itu terbukti apabila dia memerdekakan hambanya, Suaibah. Namun, semua itu tidak bermakna kerana Abu Lahab enggan menerima dan menyahut seruan Rasulullah SAW supaya memeluk Islam sehinggalah dia mati dalam kufur.

"Sebab itu, kita jangan jadi seperti Abu Lahab. Dia antara orang yang merai dan paling gembira dengan kelahiran nabi SAW tetapi dia mengingkari seruan baginda. "Apabila nabi SAW menyeru penduduk Mekah memeluk Islam di atas Bukit Safa, maka Abu Lahablah yang mencela baginda sehingga Allah menurunkan surah al-Masad," kata Dr. Mohd. Sukki Othman.  Pensyarah Kanan Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia itu berkata demikian dalam ceramah Maulidur Rasul di Masjid An-Nur di Saujana Utama, Sungai Buloh, Selangor, Ahad lalu.

Mohd. Sukki berkata, menyambut maulid tidak cukup hanya dengan mengadakan perarakan atau berselawat ke atas junjungan nabi SAW. "Tidak ada gunanya seseorang itu paling kuat suaranya semasa berselawat atau paling banyak keluar peluh semasa berarak tetapi tidak menunaikan solat zuhur. "Sebaliknya, asas dalam memahami sunnah Rasulullah SAW adalah melalui ilmu. Malam ini kita menghidupkan sunnah baginda yang wajib iaitu menuntut ilmu," jelas beliau.