Followers

Thursday, August 14, 2014

Umpama Menggenggam Bara Api





Oleh

Dr. Mohd Sukki Othman


 Rasulullah SAW bersabda, maksudnya: 

" Akan tiba suatu masa pada manusia, dimana orang yang bersabar di antara mereka dalam memegang agamanya, ibarat orang yang menggenggam bara api (Hadis riwayat Imam al-Tirmidhi)


Dalam hadis ini, Rasulullah SAW mendatangkan kiasan terhadap suatu zaman yang sangat mencabar sehinggakan orang yang komited dalam melaksanakan ajaran agama terpaksa menghadapi kesusahan dan cabaran yang sangat hebat. Mereka diumpamakan sebagai orang yang terpaksa menggenggam bara api. Sekiranya seseorang itu tidak bersungguh-sungguh dalam memelihara agamanya, sudah tentu ia mudah terlucut dan terlepas dari genggamannya.

Hal ini adalah disebabkan suasana persekitaran tidak membantu ke arah menunaikan kewajipan agama, sebaliknya keadaan persekitaran lebih mendorong untuk melakukan kemaksiatan dan perkara-perkara yang boleh meruntuhkan aqidah dan keimanan kepada Allah. Selain itu, ia juga bermaksud bahawa orang Islam berasa tersepit dalam melakukan tuntutan agamanya di samping tidak mendapat sokongan dan dorongan.

Kitab Tafsir Dalam Bahasa Melayu

Kitab Tafsir Nur al-Ihsan
Karya Tuan Haji Muhamad Sa’id Omar (Malaysia-Kedah)

Di Kedah , seorang tokoh tafsir yang dapat dikesan pada peringkat awal ialah Tuan Haji Muhamad Sa’id bin Omar yang lahir pada tahun 1854 di Jerlun, Kedah. Beliau pernah belajar di pondok Patani dan Makkah serta lebih dikenali dengan panggilan Tok Lebai. Beliau pernah dilantik menjadi kadi di Jitra dan turut terkenal dengan gelaran Haji Sa’id Mufti. Beliau yang terkenal dengan panggilan ulama, penulis dan guru tafsir al-Qur’an mempunyai sebuah kitab tafsir lengkap dengan keseluruhan 30 juzuk yang diberi judul Tafsir Nur al-Ihsan
Kitab ini dicetak buat pertama kalinya di Makkah dan kemudian dengan keizinan kerajaan Negeri Kedah, kitab ini dicetak semula di Pulau Pinang. Tuan Haji Muhamad Sa’id meninggal dunia ketika berusia 75 tahun pada tanggal 9 Mac 1932. Gaya penulisan beliau dalam kitab ini mirip kepada penulisan kitab Tafsir al-Jalalayn, iaitu menulis ayat al-Qur’an dalam kurungan dan kemudiannya makna ayat itu diterjemahkan ke bahasa Melayu. Setelah itu, ayat berkenaan diberi penghuraian secara ringkas. Antara sumber rujukan kitab tafsir ini ialah Tafsir al-Jalalayn, Tafsir al-Baydawi dan Tafsir Jamal.
Kitab ini juga telah ditulis dalam bahasa Melayu jawi bahkan sebelum itu dimukadimmahnya ditulis terlebih dahulu oleh pengarangnya dalam bahasa Arab yang bermaksud:
“Sesetengah saudara (sahabat) telah meminta saya menulis untuk mereka tafsir al-Quran dengan bahsaa Kedah (Bahasa Melayu dailek Kedah) supaya mereka dapat memahami perintah dan larangannya dengan mudah dan tidak teragak-agak untuk taat dan beriman, lantas aku menyahutnya, walaupun aku bukan ahlinya, semata-mata untuk mencari (menuntut) keredaan al-Rahman, dan untuk melapangkan hati sahabat handai” ( Haji Muhammad Said, 1:2)

Kitab Tafsir al-Qur’an ‘Abr Athir
Karya Ustaz Ahmad Sonhadji Mohamad (Singapura)
Di Singapura pula telah muncul seorang ulama yang cuba melahirkan satu tafsir Melayu yang mampu memberi saham kepada masyarakat minoriti Islam Singapura ke arah memahami al-Qur’an dan tafsirannya, iaitu Ahmad Sonhadji Mohamad. Pada peringkat awal, kitab tafsirnya itu ialah siri kuliah tafsir yang disampaikan di Radio Singapura pada setiap minggu malam Jumaat bermula dari tahun 1959. Akan tetapi disebabkan beberapa masalah yang tidak dapat dielakkan, siaran kuliah tafsir di radio itu tidak dapat dilanjutkan dan surah terakhir yang disampaikan di radio ialah tafsir surah al-Hujurat. Kemudian, pada tahun 1983, beliau menyambung semula penulisan tafsir tersebut dan selesai penulisannya itu pada bulan April 1984. Setiap kuliah tersebut telah berjaya dikumpulkan dan seterusnya dicetak menjadi satu kitab tafsir yang lengkap sebanyak 30 jilid dengan setiap juzuk dimuatkan dalam satu jilid. Kitab tafsir ini telah dinamakan dengan judul Tafsir al-Qur’an ‘Abr Athir (Tafsir al-Qur’an di Radio).