Followers

Monday, September 28, 2009

Rasuah: Malaysia Makin Merudum




Malaysia terus merudum dalam Indeks Persepsi Rasuah apabila berada pada kedudukan ke 47 pada tahun 2008 berbanding tangga ke 43 pada tahun 2007.

Malah, kedudukan Malaysia lebih buruk dari Israel yang dilabel sebagai entiti haram pengganas dan negara yang dianggap kurang membangun seperti Botswana dan Bhutan. Israel berada pada kedudukan ke-33, Botswana ke-36 manakala Bhutan berada pada kedudukan ke-45.

Paling mendukacitakan ialah apabila indeks yang dikeluarkan oleh TI itu menunjukkan negara-negara umat Islam tidak mengamalkan ajaran Islam yang memerangi rasuah.

Negara-negara seperti Somalia, Iraq, Afghanistan dan Sudan berada di tangga paling bawah. Somalia berada di kedudukan tercorot iaitu ke-180, Iraq ke-178, Afghanistan ke-176 dan Sudan ke-173.

Negara yang berada di tempat teratas ialah Denmark diikuti oleh New Zealand, Sweden dan Singapura.

Di Malaysia, negara menanggung kerugian sebesar RM10 billion setahun akibat rasuah - iaitu jumlah yang mencukupi untuk membina lebih dari 15000 kos rendah jika diambilkira permohonan Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) kepada kerajaan untuk menaikkan harga rumah kos rendah kepada RM60,000.

Dalam laporannya, TI membangkitkan amalan keluar masuk yang berterusan di antara bidang politik dan perniagaan di mana pihak tertentu bertukar-tukar tempat dari kedudukan sebagai ahli politik kepada ahli perniagaan atau dari ahli perniagaan kepada ahli politik dan terus keluar masuk di antara kedua-dua bidang itu.

Keadaan itu, menurut TI, mengakibatkan pengaruh yang negatif kepada konsep "check and balance" (semak dan imbang)

Laporan tersebut juga menyatakan bahawa hubungan serba kompleks antara politik, sektor awam dan sektor swasta itu mungkin mengakibatkan rasuah berlaku dengan bebas tanpa sebarang hukuman.

Presiden Transparency International Malaysia (TI-M), Datuk Paul Low berkata, usaha mencegah rasuah di negara ini tidak ubah seperti melepas batuk di tangga sahaja jika tidak dilaksanakan tindakan drastik untuk memisahkan hubungan selesa antara kerajaan, perniagaan dan politik.

Low berkata, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pula tidak memperlihatkan hasil yang diinginkan dan orang ramai menganggap suruhanjaya itu mengamalkan penyiasatan dan pendakwaan secara berpilih-pilih.

Ziarah Bekas Guru Sempena Idulfitri 1430

Ustaz Abdul Halim kini merupakan Penolong Kanan di SMKA al-Irshad, Pokok Sena, Kepala Batas, Seberang Perai, Pulau Pinang.

Ustaz Harun kini bertugas di Sek Men Telok Ayer Tawar, Butterworth.


Cikgu Roshidah Abu masih bertugas di SMKA al-Irshad, Pokok Sena, Kepala Batas, SPU.

Friday, September 18, 2009

Ziarah Kubur Pada Hari Raya


Oleh: Mohd Sukki Bin Othman (Ustaz Shauqi)

Hari raya Aidilfitri ialah hari kemenangan bagi umat Islam yang telah berjaya menundukkan nafsu ammarah di sepanjang bulan Ramadhan. Apabila muncul anak bulan Syawal, diri mereka telah bersih daripada dosa dan mereka sepatutnya benar-benar menjadi orang yang bertakwa. Inilah matlamat ibadah puasa sebagaimana firman Allah S.W.T. menerusi ayat 183 yang bermaksud: "Wahai orang yang beriman, diwajibkan puasa atas kamu sebagaimana diwajibkan atas umat-umat terdahulu sebelum kamu agar kamu bertakwa."

Hari raya Aidilfitri sekiranya disambut dengan adab-adab yang telah digariskan oleh syara’, sudah tentu ia bukan sahaja mendatangkan kegembiraan dan keseronokan, malahan perayaan tersebut akan diberkati dan diredhai oleh Allah s.w.t. Justeru, kita hendaklah menjadikan hari raya sebagai suatu perayaan ibadat yang penuh dengan ketaatan dan ketakwaan kepada Allah s.w.t.

Dewasa ini, masyarakat Malaysia menyambut hari raya dengan penuh meriah dan menyeronokkan. Pada pagi raya, masyarakat Islam di negara kita berbondong-bondong pergi menziarahi kubur sanak saudara setelah selesai menunaikan solat sunat hari raya. Sesuatu yang perlu dibincangkan ialah apakah ziarah kubur pada hari raya merupakan amalan yang baik di dalam Islam atau sebaliknya? Dan apakah amalan-amalan tersebut dapat meningkatkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah?

Ziarah Kubur

Pada asasnya, menziarahi kubur itu merupakan sesuatu yang baik dan digalakkan di dalam Islam. Pada zaman permulaan Islam, Nabi Muhammad s.a.w melarang orang Islam menziarahi perkuburan. Larangan ini disebabkan kebimbangan timbulnya kepercayaan lama mereka kepada berhala atau sebarang lambang keberhalaan. Akan tetapi kemudiannya, Nabi s.a.w membenarkan umat Islam menziarahinya.

Justeru, tidak menjadi khilaf dalam kalangan ahli ilmu tentang keharusan bagi lelaki untuk menziarahi kubur, manakala bagi wanita pula, terdapat perselisihan pendapat tentang keharusan dan kewajaran mereka menziarahi kubur.

Menurut ulama’ aliran mazhab Hanafi, ziarah kubur adalah disunatkan kepada lelaki dan wanita. Rasulullah s.a.w. sendiri telah pergi menziarahi perkuburan Baqi’ dan mengucapkan salam kepada orang yang telah mati dengan doa baginda yang bermaksud: ‘Selamat sejahtera wahai penghuni rumah orang yang beriman, dan kami kelak Insya Allah akan menyusuli kamu’. Nabi s.a.w juga bersabda: "Dahulu saya pernah melarang kamu menziarahi kubur tetapi sekarang boleh kamu menziarahinya, kerana menziarahi kubur itu boleh mengingatkan kamu kepada kematian” (Hadis riwayat Imam Muslim), dan pada lafaz yang lain “(menziarahi kubur) mengingatkan kamu kepada akhirat."

Ziarah kubur afdhal dilakukan pada hari Jumaat, Sabtu, Isnin dan Khamis. Sunat menziarahinya serta berdoa dalam keadaan berdiri sebagaimana yang telah dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. ketika menziarahi Perkuburan Baqi’. Disunatkan juga ketika menziarahi kubur membaca surah Yasin. Sunat juga dibaca ayat-ayat al-Quran yang lain seperti al-Fatihah, ayat Kursi, surah al-Takathur, surah al-Ikhlas dan sebagainya. (Sila rujuk al-Fiqh al-Islamiy wa Adillatuh oleh Dr. Wahbah Zuhailiy, jilid 2, halaman 540).

Manakala Jumhur fuqaha’ pula, mereka menyatakan bahawa ziarah kubur adalah sunat bagi lelaki dan makruh bagi wanita. Ziarah kubur bagi wanita dianggap makruh kerana jiwa wanita yang lembut akan menyebabkan emosi mereka mudah tersentuh dan seterusnya akan membawa kepada ratapan dan tangisan. Menurut ulama’ aliran mazhab Maliki, larangan (makruh) ini hanyalah kepada wanita muda, tetapi bagi wanita tua yang sudah tiada ada ‘keinginan ‘, maka hukumnya sama seperti lelaki. Ulama’ aliran mazhab Syafie menyatakan bahawa sunat memperbanyakkan ziarah kubur terutamanya menziarahi kubur orang soleh dan baik, dan hendaklah berdiri di hadapan kubur seumpama berdiri di hadapan orang yang hidup. (Sila rujuk al-Fiqh al-Islamiy wa Adillatuh, jilid 2, halaman 541-542).

Jelasnya, ziarah kubur adalah sesuatu perkara yang baik apatah lagi ia dapat mengingatkan kita tentang kematian dan hari akhirat yang merupakan pemangkin ke arah melaksanakan ketaatan kepada Allah dan menjauhi laranganNya. Namun, persoalannya ialah bagaimana pula dengan menziarahi kubur pada hari raya?. Sekiranya dilihat secara umumnya, ziarah kubur boleh dilakukan pada bila-bila masa sahaja kerana tidak ada nas yang melarang menziarahi kubur pada hari-hari tertentu. Begitu juga, masyarakat Islam tidak wajar mengkhususkan pada hari-hari tertentu sahaja seumpama hari raya untuk menziarahi kubur. Sebaliknya menziarahi kubur secara berterusan akan membawa kepada kebaikan pada umat Islam itu sendiri. Apa yang penting daripada ziarah kubur ialah dapat mengingati kematian dan hari akhirat.

Sehubungan dengan itu, apakah menziarahi kubur pada hari raya dapat mendatangkan kesan yang positif kepada umat Islam iaitu dapat mengingati kematian dan hari akhirat? Sekiranya jawapannya adalah ‘Ya’, maka amalan yang seumpama ini bolehlah diteruskan. Akan tetapi, sekiranya jawapan bagi persoalan ini adalah ‘Tidak’, maka ia perlu diselidiki dan diteliti. Apatah lagi, pada kebiasaannya, selepas menunaikan solat hari raya, masyarakat Islam secara beramai-ramai pergi ke kubur dan telah berlaku seolah-olah satu temasya perayaan di tanah perkuburan dengan pakaian yang berwarna-warni, hiruk-pikuk gelak ketawa setelah berjumpa sahabat handai dan sebagainya yang menafikan ingatan kepada kematian dan hari akhirat. Tambah menyedihkan lagi ialah apabila berlakunya percampuran dan pergaulan bebas di antara lelaki dan wanita di tanah perkuburan!. Amat malang apabila sesuatu yang diharapkan menjadi ibadat bertukar menjadi maksiat.

Oleh yang demikian, amalan menziarahi kubur pada hari raya boleh diteruskan sekiranya matlamat keimanan dan ketakwaan dapat dicapai. Masyarakat Islam juga harus sedar bahawa tidak ada suruhan khusus dalam Islam untuk menziarahi kubur pada pagi hari raya. Justeru, mereka hendaklah mencari waktu yang sesuai untuk menziarahinya agar sesuatu yang diharapkan menjadi ibadat tidak bertukar menjadi maksiat. Sekiranya pada pagi hari raya, terdapat ‘pesta’ di tanah perkuburan, maka sewajarnya kita mencari waktu-waktu lain untuk menziarahinya. Tidak semestinya menziarahi tanah perkuburan boleh dilakukan hanya pada pagi hari raya yang pertama sahaja, sebaliknya menziarahi kubur boleh dilakukan pada petang hari raya pertama, atau pada hari raya yang kedua, ketiga, keempat atau pada hari-hari lain yang difikirkan sesuai yang dapat mendatangkan keinsafan dalam diri.

Thursday, September 17, 2009

Perayaan 'Idulfitri Menurut Islam


Oleh : Ustaz Shauqi


Semasa menjalani ibadah puasa di bulan Ramadhan, terdapat umat Islam yang tidak sabar-sabar menunggu kedatangan 1 Syawal. Golongan tua dengan persepsinya yang tersendiri terhadap hari raya, dan begitu juga dengan golongan muda dan kanak-kanak. Biasanya golongan tua dan yang sudah berumahtangga akan menjadikan hari raya ini sebagai hari yang penuh kegembiraan dengan segala peralatan rumah yang baru dan serba lengkap.

Ada yang sanggup berhutang demi memuaskan nafsu pada hari raya. Justeru, tidak hairanlah apabila berada di penghujung Ramadhan iaitu pada sepuluh hari yang terakhir, warga Islam di Malaysia biasanya akan sibuk dengan persiapan raya. Gedung-gedung pakaian, kedai perabot, dan supermarket akan dipenuhi dengan ribuan manusia yang membeli belah dan membuat persiapan untuknya.

Golongan muda pula biasanya akan menjadikan hari raya sebagai hari yang penuh sukaria dengan berkumpul bersama rakan taulan dan menonton wayang bersama. Ada pula yang mengambil kesempatan pada hari raya untuk pergi berkelah bersama teman-teman. Manakala kanak-kanak pula mempunyai agenda yang tersendiri pada hari raya iaitu dengan memikirkan cara yang terbaik untuk memperoleh ‘duit raya’ sebanyak mungkin.

Daripada senario yang berlaku pada hari raya Aidilfitri di Malaysia, jelas menunjukkan bahawa masyarakat Islam di Malaysia menjadikan hari raya sebagai hari yang penuh kegembiraan!. Namun, apa yang menjadi persoalannya ialah adakah kegembiraan pada hari raya disambut sebagai suatu kesyukuran di atas kemenangan dapat menjalani ibadah puasa atau semata-mata adat yang dirayakan pada setiap tahun? Apa yang lebih menyedihkan ialah terdapat golongan yang bukan sekadar menganggap hari raya sebagai suatu adat tahunan, tetapi melakukan perkara-perkara yang menyalahi syariat Allah. Dengan menggunakan alasan berada dalam masyarakat majmuk, maka terdapat umat Islam yang menyediakan minuman keras kepada para pengunjung rumah mereka di sepanjang musim raya!

Dalam keghairahan menyambut Hari Raya yang mulia adalah wajar ianya disambut mengikut lunas-lunas yang digariskan oleh syara‘ dan tidak dicampur- adukkan dengan perkara-perkara yang dilarang atau yang diharamkan oleh Islam. Perayaan dalam Islam tidak boleh disamakan dengan sambutan perayaan- perayaan yang lain. Hari raya Aidilfitri merupakan kurniaan Allah S.W.T. khusus kepada hamba- hambaNya yang beribadah dan berjuang melawan hawa nafsu di sepanjang bulan Ramadhan.

Dalam bahasa Arab, hari raya Aidilfitri disebut sebagai ‘Id al-Fitr. Perkataan 'Id bermaksud kembali, perayaan atau hari ulang tahun. Fitr pula bermakna berbuka atau makan minum, iaitu pada hari raya (tanggal 1 Syawal), umat Islam dikehendaki untuk berbuka dan haram berpuasa. Fitr juga bermaksud fitrah atau tabiat semulajadi. Maksudnya ialah ibadah puasa yang dilakukan oleh seseorang itu dalam bulan Ramadhan, disertai dengan ibadah-ibadah lainnya seperti solat tarawih pada malam-malam Ramadhan, bertadarus al-Quran, qiyamullai, zikrullah, berdoa, bersedekah dan sebagainya, akan melebur dan membersihkan segala dosa. Sehubungan dengan itu, pada hari tanggal 1 Syawal umat Islam akan kembali kepada fitrah sehingga keadaan diri mereka seolah-olah kembali bersih seperti bayi yang baru dilahirkan.

Oleh yang demikian, hari raya Aidilfitri ialah hari kemenangan bagi umat Islam yang telah berjaya menundukkan nafsu ammarah di sepanjang bulan Ramadhan. Apabila muncul anak bulan Syawal, diri mereka telah bersih daripada dosa dan mereka sepatutnya benar-benar menjadi orang yang bertakwa. Inilah matlamat ibadah puasa sebagaimana firman Allah S.W.T. menerusi ayat 183 yang bermaksud: "Wahai orang yang beriman, diwajibkan puasa atas kamu sebagaimana diwajibkan atas umat-umat terdahulu sebelum kamu agar kamu bertakwa."

Akan tetapi, sesuatu yang menyedihkan yang berlaku dalam masyarakat kita ialah sambutan hari raya Aidilfitri lebih tertumpu dalam bentuk fizikal atau lahiriah sahaja, dan sesetengahnya tidak sesuai dengan roh pengajaran Islam. Setiap individu muslim wajib menilai kembali segala aktiviti yang telah berjalan pada hari raya selama ini. Ciri-ciri yang diambil daripada budaya luar Islam atau warisan budaya asing, yang tidak sesuai dengan aqidah dan syari'ah Islam hendaklah ditinggalkan. Makanan, juadah dan kuih-muih boleh disediakan pada hari raya, tetapi hendaklah dalam bentuk yang sederhana. Demikian juga dengan perhiasan rumah, pakaian untuk diri dan anak-anak mestilah sesuai dengan kemampuan ekonomi keluarga.

Hari raya Aidilfitri sekiranya disambut dengan adab-adab yang telah digariskan oleh syara’, sudah tentu ia bukan sahaja mendatangkan kegembiraan dan keseronokan, malahan perayaan tersebut akan diberkati dan diredhai oleh Allah S.W.T.

Antara adab menyambut hari raya Aidilfitri sebagaimana yang digariskan oleh syara’ ialah menghidupkan malam hari raya dengan melakukan amal-amal ibadah seperti mendirikan solat fardhu secara berjemaah, melakukan solat sunat, bertakbir, serta melakukan apa jua kebaikan dan kebajikan. Pada malam tersebut juga, hendaklah memperbanyakkan doa ke hadrat Ilahi. al-Imam al-Syafie telah menegaskan dalam kitabnya ‘al-Umm’ bahawa malam hari raya adalah di antara malam yang mudah diperkenankan doa oleh Allah.

Kemeriahan hari raya lebih dirasai apabila laungan takbir bergema. Firman Allah S.W.T. bermaksud : "Dan sempurnakanlah puasa kamu mengikut bilangan dalam bulan Ramadhan (29 hari atau30 hari) dan bertakbirlah (membesarkan Allah s.w.t.) atas petunjuk-Nya yang diberikan kepada kamu, semoga kamu bersyukur." (Surah al-Baqarah:185).
Namun, apa yang terjadi dalam masyarakat kita ialah takbir itu dilaungkan dalam keadaan sedih dan mendayu-dayu, sehinggakan ada yang menitiskan air mata kesedihan ketika takbir dilaungkan. Sepatutnya, takbir hendaklah dilaungkan dengan lebih bersemangat demi melahirkan kesyukuran dan mengagungkan Allah S.W.T. Allah memerintahkan agar diakui kebesaran dan keagunganNya melalui laungan takbir.

Pada pagi hari raya pula disunatkan mandi sebagaimana hadis yang dikeluarkan oleh Ibnu Majah dan diriwayatkan oleh Ibnu ‘Abbas bahawa Rasulullah S.A.W mandi pada hari raya Fitrah dan hari raya Adha. Di samping itu, disunatkan juga memakai pakaian yang terbaik yang dimiliki, berwangian dan menghilangkan segala bauan yang tidak menyenangkan.

Sebelum keluar pergi ke masjid untuk menunaikan solat sunat hari raya Fitrah disunatkan makan dan minum terlebih dahulu kerana mengikut apa yang dilakukan Anas Radhiallahu ‘anhu, beliau berkata bahawa "Nabi S.A.W tidak keluar pada waktu pagi hari raya Fitrah sehingga Baginda makan (terlebih dahulu) beberapa biji tamar dan Baginda memakannya dalam bilangan yang ganjil.". (Hadis riwayat al-Bukhari dan Ahmad). Alangkah menyedihkan fenomena pada hari ini apabila umat Islam berduyun-duyun pergi menunaikan solat sunat hari raya, tetapi dalam masa yang sama mereka meninggalkan solat fardhu lima waktu!.

Amalan saling ziarah menziarahi pada hari raya merupakan tradisi yang disyariatkan di dalam Islam. Dalil yang menunjukkan pensyariatannya ialah sebagaimana yang telah diriwayatkan daripada Saidatina Aisyah bahawa beliau telah berkata yang bermaksud: "Rasulullah S.A.W masuk kepadaku, dan di sisiku ada dua orang anak perempuan yang menyanyi dengan nyanyian Bu‘ats. Lalu Baginda baring di atas hamparan dan memalingkan mukanya, dan kemudian Abu Bakar masuk, lalu mengherdikku dengan berkata: "Seruling syaitan di sisi (di tempat) Nabi S.A.W!" Rasulullah S.A.W. menghadap kepada Abu Bakar lalu berkata: "Biarkan mereka berdua itu." Melalui riwayat yang lain, Baginda menambah: "Wahai Abu Bakar, masing-masing kaum ada hari rayanya, dan hari ini adalah hari raya kita". (Hadis riwayat al-Bukhari)

Ibnu Hajar al-‘Asqalani menerangkan di dalam kitabnya Fath Al-Baari bahawa kedatangan atau masuknya Saidina Abu Bakar ke dalam rumah Rasulullah menunjukkan seolah-olah Saidina Abu Bakar datang sebagai pengunjung atau menziarahi Baginda.

Namun, amalan saling ziarah- menziarahi di antara satu sama lain seperti menziarahi orang tua, saudara-mara, kaum kerabat, jiran, para guru dan sahabat-handai sebenarnya tidak terbatas pada hari raya sahaja, tetapi ia perlulah dilakukan pada hari dan bulan lain yang sesuai dari semasa ke semasa, apatah lagi menziarahi ibu bapa, hendaklah dilakukan dengan lebih kerap dan janganlah menunggu untuk menziarahi mereka hanya pada hari raya sahaja.

Kanak-kanak pula perlu dididik agar mereka tidak mengunjungi rumah seseorang semata-mata untuk mendapatkan duit raya. Walaupun memberi sedekah amat digalakkan pada hari raya terutama pada kanak-kanak yang miskin, akan tetapi mereka sewajarnya dididik agar pergi beraya adalah untuk berziarah, bukannya untuk mendapatkan duit raya agar tidak timbul sikap membeza-bezakan rumah dalam melakukan kunjungan.

Dalam keghairahan menyambut hari raya Aidilfitri, perlu diingat supaya jangan sesekali lupa kepada kewajipan terhadap Allah S.W.T seperti mendirikan solat fardhu lima waktu. Sambutan hari raya sebenarnya bukanlah semata-mata kegembiraan atau keseronokan sahaja, tetapi yang lebih penting dan lebih utama ialah untuk mendapatkan keberkatan dan keredhaan Allah S.W.T. Oleh itu, hiasilah hari raya Aidilfitri pada tahun ini dengan sesuatu yang bertepatan dengan hukum syara’. Moga kegembiraan dan keseronokan yang dikecapi pada hari raya, akan juga dapat dikecapi pada hari Akhirat kelak!



Thursday, September 10, 2009

Mengapa Pandang Sepi Pada Lailatul Qadr?


Oleh: Ustaz Shauqi

Firman Allah dalam Surah al-Qadr maksudnya: Sesungguhnya Kami (Allah) telah menurunkan al-Quran pada malam al-qadr (lailatul qadar), dan tahukah kamu apakah lailatul qadar itu?. Lailatul qadar lebih baik dari seribu bulan.

Lailatul qadar merupakan peluang terbaik kita, oleh itu jangan sia-siakan peluang keemasan ini. Akan tetapi, suatu persoalan yang amat penting, iaitu mengapakah masih ramai di antara hamba-hamba Allah yang masih memandang ringan kepada lailatul qadar?

Mungkin antara sebabnya ialah:

1. Mereka mengidap penyakit lemah iman, mereka kurang jelas tentang kebesaran dan kemuliaan serta ganjaran pahala pada malam al-qadar, sebaliknya mereka lebih nampak besar perkara-perkara materialistik yang boleh didapati dengan segera di dunia ini.

2. Selalu mengikut hawa nafsu sampai mereka tidak berhajat melakukan ibadat pada malam-malam sepuluh akhir Ramadan, kerana nafsu ingin berehat, mahu menonton TV, mahu berbual-bual kosong, mahu bersama-sama bantal, tilam dan kain selimut. Ada pula yang sibuk membeli-belah untuk persiapan raya sampai terlupa ganjaran yang disediakan oleh Allah pada malam al-qadar.

3. Penyakit panjang angan-angan. Mereka berangan-angan akan hidup seratus tahun lagi yang menyebabkan mereka membiarkan malam-malam sepuluh terakhir Ramadan berlalu begitu sahaja tanpa diisi dengan amal ibadat kepada Allah.

Kita mesti mengubati penyakit ini agar ia tidak menjadi semakin parah. Antara yang boleh dilakukan ialah:

1. Wajib kita menanam penuh keyakinan bahawa ganjaran pahala amal ibadat pada malam al-qadar memang amat besar yang mesti kita berlumba-lumba mendapatkannya.

2.Hendaklah kita menanam keazaman untuk jihad melawan kehendak nafsu agar kita dapat patuh kepada seruan al-Quran, panggilan surah al-Qadr, serta kita dapat meneladani ibadat yang pernah dikerjakan oleh junjungan besar Nabi kita Muhammad s.a.w. pada malam-malam sepuluh terakhir Ramadan.

3. Kita mesti membuang penyakit panjang angan-angan, dengan kita sentiasa ingat bahawa kita mungkin akan berjumpa dengan Malaikat Maut pada bila-bila masa sahaja. Oleh itu, kita amat perlu kepada persediaan amal ibadat sebanyak yang mungkin, lebih-lebih lagi amal ibadat pada malam al-qadar untuk bekalan kita selepas mati.

Marilah kita sama-sama menerima bonus Allah s.w.t. yang berupa nikmat Lailatul qadar dengan penuh kesyukuran dan ikhlas hati. Kita menyahut panggilan surah al-Qadr ini dengan azam untuk kita melaksanakan sebanyak-banyak ibadat pada sepuluh malam akhir Ramadhan ini dengan melakukan solat fardu berjemaah, solat sunat terawih dan witir, membanyakkan bacaan al-Quran, mengulangi membaca surah al-Ikhlas, berdoa, bersedekah, berzikir dan berselawat kepada junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. dengan penuh harapan semoga kita termasuk di dalam golongan hamba-hamba Allah yang soleh.

Tuesday, September 8, 2009

Perbahasan Tentang Arak


Oleh: Ustaz Shauqi

Pengertian Arak

Para fuqaha’ berselisih pendapat dalam menentukan takrif arak. Apakah ia memberi erti apa sahaja yang memabukkan, atau nama khas bagi minuman tertentu sahaja.

Menurut pendapat jumhur[1], arak bererti segala bahan yang memabukkan, sama ada diberi nama خمر” atau memakai nama apa pun juga, dan samada ia diproses daripada bahan-bahan tertentu seperti buah anggur atau lain-lainnya, seperti tamar, gandum, sya‘ir, beras dan lain-lainnya, dan samada ia dapat memabukkan walaupun sedikit atau dapat memabukkan apabila diambil dengan banyak.

Unsur-unsur penting dalam kesalahan minum arak

Ada dua unsur penting dalam kesalahan meminum arak iaitu perbuatan meminum minuman berkenaan dan niat jahat.

1. Perbuatan meminum minuman berkenaan

Menurut jumhur fuqaha’[2], unsur ini akan wujud apabila seseorang itu meminum apa-apa bahan yang memabukkan tidak kira apa jenis sekalipun bahan tersebut, dan samada banyak atau sedikit kandungan alkohol yang terkandung di dalamnya. Apa yang penting bagi mereka ialah sifat minuman itu sebagai minuman yang memabukkan.

Sedangkan Abu Hanifah[3] pula berpendapat, bahawa unsur perbuatan ini akan wujud hanya apabila yang diminum itu ialah arak. Sedangkan minuman yang selain daripada itu tidak melahirkan unsur ini walaupun ia memabukkan.

Beberapa syarat penting dalam kesalahan meminum arak

Ada beberapa syarat penting bagi menentukan bahawa meminum bahan-bahan yang memabukkan itu boleh didakwa di bawah kesalahan ini iaitu:

a) Bahan yang memabukkan itu hendaklah dalam bentuk minuman. Mengambil bahan-bahan lain yang memabukkan tidak boleh dianggap sebagai kesalahan meminum arak seperti mengambil dadah dan sebagainya. Ia termasuk di bawah kesalahan takzir[4].

b) Seseorang itu akan dianggap telah melakukan kesalahan meminum minuman keras yang boleh dikenakan had apabila ia mengambil minuman tersebut walaupun secara mencampurkannya dengan bahan-bahan lain seperti makanan[5].

c) Hendaklah mengambil minuman keras tersebut melalui mulut dan sekurang-kurangnya telah sampai kepada halkumnya[6].

d) Ia hendaklah dilakukan dengan secara sukarela, tidak dipaksa atau terpaksa. Sabda Nabi s.a.w:

رفع عن أمتي الخطأ والنسيان وما استكرهوا عليه
Maksudnya: “Umatku tidak akan dipersalahkan sekiranya dia melakukan sesuatu kerana tersalah atau terlupa atau dipaksa.”

e) Menurut pendapat Imam Abu Hanifah[7], mengambil minuman keras dengan tujuan untuk berubat tidak akan dikenakan hukuman had, disebabkan keperluan yang wujud, walaupun sebaik-baiknya minuman itu tidak diambil dan diminum. Berbeza sekali daripada pendapat yang rajih dalam mazhab Maliki[8] dan Syafi‘iy[9]. Bagi mazhab-mazhab ini, mengambil minuman keras walaupun dengan tujuan untuk berubat boleh dikenakan hukuman had.

2. Niat jahat

Unsur niat jahat dalam kesalahan meminum minuman keras dapat terbentuk jika peminum tersebut mengetahui bahawa yang diminum itu ialah arak atau yang memabukkan[10].

Hukuman atas kesalahan meminum arak

Hukuman atas kesalahan ini berrdasarkan kepada dalil-dalil berikut:

a) Sabda Nabi s.a.w.:
من شرب الخمر فاجلدوه
Maksudnya: Barang siapa minum arak maka sebatlah dia. (Riwayat Ahmad)

b) Rasulullah s.a.w. pernah melaknat peminum arak dan orang-orang yang terlibat dengan arak. Sabda Nabi s.a.w.:

لعن الله الخمر وشاربها وساقيها وبائعها ومبتاعها وعاصرها ومعصرها وحاملها ومحمولة إليها
Maksudnya: Allah s.w.t telah melaknati arak, peminum, pemberi minum, penjual, pembeli, pemerah, orang yang diperah untuknya, pembawa dan orang yang dibawa kepadanya arak[11]. (Riwayat Abu Dawud)

c) Telah sabit daripada Nabi s.a.w. bahawa baginda pernah memukul peminum arak. Diriwayatkan daripada Anas bin Malik r.a. yang bermaksud: “Telah dibawa kepada Rasulullah s.a.w. seorang yang telah meminum arak. Baginda lalu memukulnya dengan kasut sebanyak empat puluh kali. Begitu juga Abu Bakar, pernah memukul peminum arak sebanyak itu. Apabila sampai pada zaman Umar, beliau bertanya sahabat-sahabat tentang hudud. Jawab Ibn ‘Auf: “Sekurang-kurang hudud ialah sebanyak lapan puluh kali pukul.[12]

ACARA DAN KETERANGAN DALAM KES MEMINUM ARAK

Kesalahan meminum minuman keras boleh disabitkan dengan beberapa cara berikut:

1. Keterangan Saksi

Bilangan saksi yang diperlukan dalam kes seperti ini ialah seramai dua orang lelaki. Mengenai syarat-syarat yang diperlukan pada saksi-saksi pula samalah juga dengan syarat-syarat saksi pada kesalahan-kesalahan yang telah lepas seperti zina, qazaf dan lain-lain.

2. Pengakuan

Kesalahan meminum minuman keras juga boleh disabitkan dengan pengakuan daripada peminum sendiri. Tidak seperti dalam kes zina, pengakuan ini cukup walau hanya sekali sahaja[13]. Pada pandangan Abu Hanifah[14], seperti keterangan saksi juga, pengakuan daripada peminum ini perlu dibuat dalam tempoh tertentu, iaitu dalam masa kesan bau minuman itu masih ada pada mulut peminum berkenaan. Akan tetapi Muhammad tidak mensyaratkan apa-apa tempoh seperti itu, kerana bagi beliau tidak akan ada keraguan pada kesahihan pengakuan oleh sebab atau faktor masa.

3. Bukti

Menurut pendapat Imam Malik[15] bauan minuman keras pada mulut pihak yang didakwa boleh dijadikan bukti kesalahan minuman keras, walaupun tidak ada saksi yang melihat pihak yang didakwa telah melakukan kesalahan tersebut. Dalam hal ini, apabila dua orang memberi keterangan, bahawa terdapat bauan arak pada mulut pihak yang didakwa, atau salah seorang melihat pihak yang didakwa melakukan kesalahan tersebut dan seorang lagi memberi keterangan bahawa terdapat bau arak pada mulutnya, maka kesalahan tersebut boleh disabitkan ke atas pihak yang didakwa berkenaaan. Ini adalah juga pandangan Ahmad ibn Hanbal[16] dalam satu riwayat daripadanya.

Manakala fuqaha’ lain seperti Imam Abu Hanifah[17] dan Syafi‘iy[18] pula berpendapat sebaliknya, iaitu bauan arak tidak bolah dijadikan bukti kepada adanya kesalahan meminum arak. Pendapat ini juga merupakan pendapat yang kuat dalam mazhab Ahmad bin Hanbal[19].



Senarai Rujukan:
[1] Al-Zarqani, h. 112.
[2] Ibid.
[3] Al-Kasani, j. 5, h. 112.
[4] Al- Ansari, h. 159.
[5] Ibid.
[6] Al-Hajjawi, h. 267.
[7] Ibn al-Humam, h. 301.
[8]Al-Zarqani, h. 114.
[9] Syah. al-Din al-Ramli, Nihayah al-Muhtaj ‘Ala Syarh al-Minhaj, j. 8, Kahirah, Bulaq, h. 12.
[10] Al-Kasani, j. 7, h. 40.
[11] Al-Haithami, Majma’ al-Zawaid, j. 5, h. 73.
[12] Lihat al-Syawkani, h. 314.
[13] Ibn Qudamah, h. 162.
[14] Ibn al-Humam, j. 5, h. 302.
[15] Al-Zarqani, j. 8, h. 113.
[16] Ibn Qudamah, op.cit.
[17] Ibn al-Humam, h. 308.
[18] Al-Ramli, h. 14.
[19] Ibn Qudamah, op.cit.

Saturday, September 5, 2009

Nuzul al-Quran


al-Quran merupakan mukjizat teragung yang diturunkan oleh Allah kepada nabi Muhammad saw sebagai hidayah, panduan dan pedoman dalam kehidupan manusia. Firman Allah dalam Surah al-Baqarah ayat 185 maksudnya : « Bulan Ramadhan, yang bulan diturunkan padanya al-Quran memberi hidayah (petunjuk) bagi manusia dan penjelasan-penjelasan bagi petunjuk itu….. ». Firman Allah dalam Surah al-Isra’ ayat 9, maksudnya : « Sesungguhnya al-Quran ini memberi petunjuk ke jalan yang benar (Islam), dan memberikan berita yang menggembirakan kepada orang yang beriman yang mengerjakan amalan soleh, dean mereka akan memperoleh pahala yang banyak ».

Menurut Sheikh Manna’ Qattan dalam bukunya ‘Mabahith fi ‘Ulum al-Quran’, proses penurunan al-Quran berlaku dalam dua peringkat. Peringkat pertama ia diturunkan daripada luh mahfuz ke langit dunia secara sekaligus. Peringkat kedua pula diturunkan daripada langit dunia kepada nabi saw secara beransur-ansur melalui perantaraan malaikat Jibril as. al-Quran yang diturunkan secara beransur-ansur ini mengambil masa selama hampir 23 tahun. Ayat pertama diturunkan ialah ayat 1-5 daripada Surah al-‘Alaq yang diturunkan pada 17 Ramadhan tahun 610 Masihi di Gua Hira’. Manakala ayat terakhir diturunkan ialah ayat 281 Surah al-Baqarah yang diturunkan sembilan malam sebelum kewafatan nabi saw.

Penurunan al-Quran sebenarnya telah memberikan sejuta rahmat kepada manusia. Imam al-Razi dalam kitab tafsirnya telah menjelaskan bahawa al-Quran itu adalah penawar kepada penyakit rohani dan jasmani. Namun apa yang menyedihkan terdapat ramai yang masih tidak menghargai al-Quran dan masih terdapat mereka yang memandangnya sebagai sesuatu yang tidak bernilai. Kalaulah diberi pilihan antara wang ringgit dengan al-Quran, rasanya ramai yang memilih wang daripada al-Quran. Kalau pun ada yang mengatakan bahawa ia memilih al-Quran, mungkin ianya ibarat menanam tebu di bibir mulut tetapi hakikatnya adalah yang sebaliknya. Sehubungan dengan itu, kita wajar bermuhasabah adakah kita benar-benar menghayati kepentingan al-Quran dalam kehidupan kita atau sebaliknya?.

Masyarakat Islam hari ini masih ketinggalan jauh daripada menghayati isi kandungan al-Quran dengan sebenar-benarnya. Justeru, kita dapati al-Quran hanya akan berkumandang bila berlakunya kematian, atau ianya hanya akan dialunkan pada pembukaan majlis-majlis tertentu sahaja. Selepas daripada itu, al-Quran kembali ditinggalkan. Inilah fenomena yang sepatutnya diubati agar ia tidak berterusan. Setiap orang Islam mesti berusaha sedaya upaya untuk membaca, memahami, menghayati dan mempraktikkan keseluruhan isi kandungan al-Quran dalam kehidupan.

Dr. Solah Abdul Fattah al-Khalidi dalam bukunya ‘Mafatih li al-Ta’amul ma’a al-Quran’ telah menyenaraikan beberapa tujuan utama al-Quran itu diturunkan. Antaranya ialah:
1. Untuk mendapat hidayah daripada Allah,
2. Untuk mewujudkan peribadi muslim yang unggul dan seimbang,
3. Mewujudkan masyarakat Islam tulen,
4. Sebagai senjata dalam menghadapi musuh-musuh Islam yang berusaha untuk menghancurkan Islam.

Oleh itu, marilah kita bertanya kepada diri kita, sejauh manakah usaha kita untuk menambah keimanan dan keyakinan kita terhadap al-Quran dan sejauh manakah kita telah menjadikan al-Quran sebagai pedoman dan petunjuk dalam kehidupan kita sehari-hari dan sejauh manakah usaha kita untuk menghayati isi kandungan al-Quran. Untuk melihat bahawa kita benar-benar beriman dan yakin terhadap isi dan kandungan al-Quran tersebut perlulah, ada pada diri kita beberapa ciri sebagai tanda dan ukuran. Ciri-ciri yang dimaksudkan itu ialah:

1. Hendaklah kita sentiasa membaca dan berusaha menghafaznya. Dengan membaca al-Quran ia dapat menambah kebersihan jiwa, ketenangan, keimanan dan ketaqwaan kepada Allah. Dengan membaca al-Quran itu juga, kita akan mendapat ganjaran pahala dan syafaat dari Allah, sebagaimana maksud sabda junjungan kita Nabi Muhammad s.a.w: "Bacalah al-Quran, sesungguhnya ia akan datang pada hari kiamat sebagai syafaat kepada pembacanya. "

2. al-Quran itu hendaklah dibaca dengan tartil iaitu dengan bacaan yang terang, jelas dan betul mengikut ilmu tajwid.

3. Hendaklah kita sentiasa meneliti, memahami kandungan dan pengertian yang disampaikan dalam al-Quran. Allah berfirman dalam surah Muhammad ayat 24 yang bermaksud:" Maka adakah mereka sengaja tidak berusaha memahami serta memikirkan isi al-Quran? atau telah ada di atas hati mereka kunci penutup yang menghalangnya daripada menerima ajaran al-Quran"

al-Quran adalah gedung ilmu dan petunjuk yang benar. Ia merupakan khazanah ilmu yang mampu membentuk pemikiran serta akal manusia. Sebab itu apabila seseorang berfikir dengan berlandaskan al-Quran, maka ia menjadi satu pemikiran yang kukuh dan sepadu serta berjaya memimpin diri, keluarga, masyarakat dan negara ke arah yang diredhai oleh Allah S.W.T. Apabila pemikiran berpaksi dengan al-Quran, dengan sendiri kita akan menjadi orang yang berprinsip dan berpendirian. Jika sebaliknya kita akan menjadi manusia yang tidak mempunyai prinsip dan sentiasa berubah-ubah mengikut arus. Orang yang tidak berprinsip hanya menjadi pengikut, penterjemah dan pentafsiran pemikiran orang lain tanpa melihat sama ada pemikiran yang dikemukakan itu benar atau tidak disisi Allah S.W.T.