Followers

Showing posts with label Tokoh. Show all posts
Showing posts with label Tokoh. Show all posts

Monday, June 4, 2012

Terkenang al-Marhum Hj Abu Bakar Ismail



Saya agak lama menulis dalam majalah Milenia Muslim.... sejak tahun 2003... boleh dikategorikan sebagai ’orang lama’ dalam majalah tersebut. Kiranya... cukuplah kot, apatah lagi  sekarang ni ... dah ramai penulis baru dalam majalah tersebut... kira oklah... pihak editorial pun kerap-kali bertukar.... setiap editor mempunyai misi dan visinya tersendiri..... Milenia Muslim mengingatkan saya kepada al-Marhum Hj Abu Bakar Ismail.

Masih terbayang di ruang mata keramahan al-marhum Hj Abu Bakar Ismail ketika menceritakan tentang visi dan misinya ketika menghasilkan artikel dan penulisan ilmiah bercorak agama di Majalah Milenia Muslim keluaran MMP Communications. Beliau menegaskan dengan begitu bersemangat bahawa inilah medium yang akan digunakan oleh beliau dengan sebaik-baiknya untuk mengetengahkan isu-isu semasa yang berkaitan dengan pemahaman agama dalam masyarakat. Beliau juga begitu kritis dalam membincangkan sikap ’taqlid buta’ dan amalan agama yang dibuat secara ’pak turut’ dan membuta-tuli tanpa berasaskan pemahaman dan ilmu.

Thursday, March 29, 2012

Ibn al-Jawzi: Pemidato Hebat




Oleh: Ustaz Shauqi

Beliau ialah 'Abdul Rahman Bin 'Ali Ibn Muhammad Abu al-Faraj Ibnu al-Jawzi. Dilahirkan pada tahun 509 Hijrah bersamaan tahun 1126 Masihi di Baghdad.  Beliau telah menjadi yatim ketika berumur 3 tahun lagi apabila bapanya meninggal dunia. Ibunya menghantar beliau belajar dengan seorang ahli hadith terkenal pada zaman itu iaitu yang bernama Ibn Nasir. Dia juga menghafaz al-Quran sejak kecil.  Ibnu Jawzi telah menceritakan kisah persekolahannya:

"Saya dimasukkan ke sekolah rendah ketika berumur 6 tahun. Saya tidak menghabiskan masa dengan bermain, sebaliknya menghadiri majlis syarahan ilmu hadith di masjid. Saya menghafaz serta mencatatkan Hadith dan maklumat mengenai sirah nabi apabila pulang ke rumah. Saya sentiasa membawa buku walau ke mana sahaja saya pergi".

Ibnu Jawzi merupakan seorang yang banyak membaca sejak kecil. Pada zamannya, kota Baghdad mempunyai banyak perpustakaan, lalu beliau banyak menghabiskan masanya di perpustakaan untuk membaca buku. Beliau amat seronok bila berjumpa buku baru. Beliau telah membaca lebih daripada 20,000 buah buku. 

Wednesday, November 9, 2011

Imam Syafie dan Karya Sastera


Oleh: Ustaz Shauqi

Tidak diragui lagi bahawa Imam al-Shafie memiliki bakat puisi yang tinggi. Sekiranya beliau mahu, beliau boleh menjadi salah seorang pemuisi yang unggul pada zamannya. Walaupun tidak memberikan tumpuan kepada bidang ini, namun beliau telah menghasilkan puisi-puisi yang baik. al-Mubarrid berkata: “Semoga Allah merahmati Imam al-Shafie. Beliau ialah seorang pemuisi terbaik, paling mahir tentang kesusasteraan dan paling arif tentang al-Quran.” Kebanyakan tema puisi beliau menyentuh sama ada mengenai sesuatu peristiwa yang berlaku, pengajaran kemasyarakatan, hikmat keagamaan atau pengalaman hidup beliau sendiri. Kebanyakannya sesuai untuk dijadikan panduan dan contoh bagi mewakili tema masing-masing. Antara terjemahan puisi yang telah diungkapkan oleh Imam Shafei adalah seperti berikut :-

Sunday, October 23, 2011

Di Ambang Kewafatan Imam Syafie


al-Muzani masuk berjumpa al-Imam al-Syafie ketika beliau terlantar sakit yang membawa kepada kematiannya, lalu dia pun berkata : Bagaimana awak rasa wahai Abu Abdullah ?. Imam Syafie pun berkata :

Dunia akan ku tinggalkan, dengan rakan akan berpisahan, dengan buruknya amalan suatu pertemuan, gelas harapan menjadi minuman, dan kepada Allah Taala aku mendatang, Tidak ku ketahui sama ada rohku akan ke syurga maka ku gembira, atau ke neraka, maka ku kan berduka

Kemudian beliau menangis dan berkata:

Apabila kerasnya hatiku dan sempitnya perjalananku
pengharapan kemaafanMu kupinta

Betapa besarnya dosaku dan belum lagi aku menghubungkannya

dengan kemaafanMu –ya tuhanku- kemaafan paling berharga

Engkaulah yang sentiasa memaafkan daripada segala dosa

Engkau juga kan melimpahkan kemurahan dan kemaafan yang maha mulia

Monday, September 5, 2011

Siapakah Mat Indera?


Buku biografi Pengukir Nama Johor yang diterbitkan oleh Yayasan Warisan Johor pada tahun 2004 telah memuatkan 22 biografi ringkas tokoh-tokoh ternama Johor dan salah seorang daripadanya ialah Mat Indera . Mat Indera, atau Ahmad bin Indera lahir di Kampung Gombak, Peserai, Batu Pahat, Johor pada tahun 1920. Beliau pernah bertugas sebagai guru agama di Parit Setongkat, Muar pada tahun 1937. Diceritakan juga Mat Indera pernah berguru dengan Haji Yassin, ayah kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin. Di dalam peperiksaan Darjah Khas untuk guru-guru agama, Mat Indera pernah menerima anugerah butang perak daripada kerajaan Johor di atas kecemerlangannya di dalam peperiksaan tersebut. Selepas lulus peperiksaan Darjah Khas, beliau bertugas di Sekolah Agama Bandar Pontian sebagai guru agama.

Sewaktu pendudukan Jepun, Mat Indera bekerja sebagai peniaga beras. Setelah British kembali, Mat Indera bertugas pula sebagai ketua pengangkut beras di Pelabuhan Muar. Di waktu inilah Mat Indera membabitkan diri di dalam perjuangan menuntut kemerdekaan. Pada awalnya, Mat Indera dilantik menjadi Setiausaha Angkatan Pemuda Insaf (API) daerah Muar sewaktu API dipimpin oleh Ahmad Boestamam.

Friday, July 1, 2011

Kisah Bilal


BILAL bin Rabah atau nama lengkapnya Bilal bin Rabah Al-Habasyi dan beliau biasa dipanggil dengan gelaran Muadzzin Ar-Rasul. Beliau memiliki tubuh yang tinggi, kurus, kulitnya berwarna coklat, pelipisnya tipis, dan rambutnya lebat. Ibunya pula adalah hamba kepada Umaiyah bin Khalaf .

Saidina Bilal telah dilahirkan di Al-Sarah sekitar 43 tahun sebelum peristiwa hijrah. Bapanya bernama Rabah dan ibunya pula bernama Hamamah. Ibunya adalah seorang amah iaitu hamba perempuan yang berkulit hitam. Oleh yang demikian Bilal juga dipanggil oleh sebahagian masyarakatnya dengan panggilan Ibnu Al-Sauda’ yang bererti Anak Si Hitam.


Beliau membesar di Ummul Qura (Makkah) dan menjadi hamba kepada salah seorang pembesar yang kafir. Sebaik sahaja terpancarnya sinar Islam di Makkah yang dibawa oleh Rasul yang agung dengan kalimah tauhid, Saidina Bilal adalah diantara orang yang terawal mengucap dua kalimah syahadah. Pada masa itu, yang terawal menerima Islam hanyalah Ummul Mukminin Khadijah Binti Khuwailid, Abu Bakar Al-Siddiq, Ali Bin Abi Talib, Ammar Bin Yasir beserta ibunya iaitu Sumaiyah, Sohaib Al-Rumi, dan Al-Miqdad Bin Al-Aswad.


Apabila beliau mendengar Islam daripada risalah yang dibawa Rasulullah s.a.w, lalu beliau menemui Rasulullah s.a.w dan mengikrarkan dirinya memeluk agama Islam.Bukan sedikit kesakitan yang telah beliau alami, dan lebih ‘istimewa’ lagi ialah cubaan yang beliau terima tidak pernah dilalui oleh orang lain. Ketabahan beliau dan beberapa orang lagi dari golongan
mustadh’afin (golongan lemah) tidak dapat ditandingi. Para pembesar Quraisy yang menyeksa mereka sebenarnya ingin memberikan ‘pengajaran’ kepada orang lain agar jangan sekali-kali mengambil risiko untuk mendekati Rasulullah SAW.


Apabila matahari mencacak di langit, batu-batu di padang pasir juga telah membahang, dilucutkan pakaian yang menutupi tubuh mereka, kemudian dipakaikan pula dengan baju yang diperbuat daripada besi, lalu mereka dijemur di tengah-tengah terik mentari. Belakang tubuh mereka disebat dengan cemeti, dan disuruh pula agar mencemuh dan mengutuk Muhammad.


Sebahagian daripada golongan yang lemah dan tidak berdaya ini tidak mampu menanggung azab yang semakin berganda, menyebabkan mereka terpaksa juga mengutuk Nabi dalam keadaan kesal dan hati mereka masih lagi bergantung harap kepada Allah dan RasulNya. Akan tetapi Saidina Bilal tetap tidak berganjak. Jiwanya sudah diserahkan bulat-bulat kepada Allah azza wajalla.

Orang yang bertanggungjawab menyeksa Bilal ini ialah Umaiyah Bin Khalaf bersama konco-konconya. Setiap sebatan mereka disambut oleh Bilal dengan kalimah
“Ahad, Ahad” yang bermaksud “Esa, Esa”. Batu besar yang diletakkan di atas dada beliau juga diterima dengan kalimah “Ahad, Ahad”. Semakin dahsyat seksaan yang ‘dihadiahkan’, kalimah yang sama akan terpacul dari mulut beliau, “Ahad, Ahad”. Mereka memaksanya agar menyebut perkataan “Al-Laata dan Al-‘Uzza”, namun “Allah dan RasulNya” pula yang terbit dari bibirnya.

Sekiranya Umaiyah Bin Khalaf berasa jemu dan letih mengazab Bilal, maka leher Bilal akan dijerut dengan tali yang besar lalu diserahkan kepada golongan yang terencat akal dan kanak-kanak kemudian disuruh agar menarik beliau berarak keliling Makkah.


Tidak sanggup melihat penderitaan ini, Saidina Abu Bakar telah membuat penawaran untuk membeli Bilal. Umaiyah Bin Khalaf pula telah mengambil kesempatan dengan meletakkan harga yang tinggi, harapannya agar Abu Bakar tidak jadi membelinya, namun sangkaan Umaiyah ternyata meleset.


Sebaik sahaja Allah SWT mengizinkan NabiNya untuk pergi berhijrah ke Madinah, Saidina Bilal turut menyertai hijrah ini walaupun hatinya sangat cinta dan sayangkan bumi Makkah yang mempunyai jutaan memori yang sukar dilupakan. Di Yathrib, beliau selamat daripada sebarang kejahatan Quraisy dan dapat meluangkan sepenuh masa untuk bersama-sama dengan kekasihnya Muhammad SAW. Ke mana jua Nabi bergerak, akan kelihatanlah susuk tubuh Bilal di samping baginda. Tatkala Nabi SAW mendirikan masjidnya di Madinah dan disyariatkan azan, Bilal adalah orang yang pertama melaungkan azan dalam sejarah Islam.

Al-Najashi iaitu Raja Habsyah telah menghadiahkan kepada Rasulullah SAW tiga batang anak panah. Sebatang daripadanya disimpan oleh Rasulullah SAW sendiri, dan bakinya diberikan kepada Saidina Ali Bin Abi Talib dan Umar Al-Khattab. Tidak lama kemudian Rasulullah SAW telah memberikan anak panah itu kepada Saidina Bilal. Semenjak pemberian tersebut, Bilal terus menyimpan anak panah itu sepanjang hayatnya. Beliau akan membawanya ketika solat dua hari raya, solat isitisqa’ dan memacakkannya di hadapan beliau sekiranya mendirikan solat di luar masjid untuk dijadikan sebagai sutrah iaitu penghadang

Saidina Bilal turut terlibat dalam peperangan Badar dan telah melihat dengan mata kepalanya sendiri bagaimana Allah SWT mengotakan janjiNya dan menolong para tenteraNya. Beliau telah menyaksikan sendiri individu-individu yang terlibat dalam penyeksaan ke atas dirinya seperti Abu Jahal, Umaiyah Bin Khalaf dan lain-lain lagi putus nyawa mereka dengan pedang tentera muslimin.

Ketika peristiwa pembukaan Kota Makkah, Rasulullah SAW telah mengajak tiga orang sahabat baginda untuk memasuki Ka’bah yang terdiri daripada Uthman Bin Tolhah selaku pemegang kunci-kunci Ka’bah yang mulia, Usamah Bin Zaid iaitu orang yang sangat dicintai oleh Rasulullah SAW, dan Bilal Bin Rabah selaku tukang azan baginda SAW. Rasulullah SAW telah memerintahkan Bilal agar menaiki Ka’bah dan melaungkan azan sebagai simbol kemenangan.

Bilal terus konsisten menjadi tukang azan sepanjang hayat Rasulullah SAW. Bahkan baginda sendiri sering merindui suaranya yang pernah merasai penderitaan yang dahsyat sambil melaungkan kalimah “Ahad, Ahad”. Setelah Rasulullah SAW ‘berpindah’ kepada Temannya Yang Maha Tinggi, dan tibanya waktu solat, Bilal pun berdiri untuk melaungkan azan sedangkan ketika itu jasad Nabi SAW masih lagi berbalut dan belum dikebumikan. Apabila sampai pada ungkapan
أشهد أن محمدا رسول الله , suaranya tersekat-sekat, sebak di dadanya berombak-ombak menyebabkan semua umat Islam yang ada ketika itu turut menitiskan air mata dan mereka tenggelam dalam kesedihan yang amat sangat.

Beliau hanya melaungkan azan selama tiga hari sahaja selepas itu kerana setiap kali tiba pada kalimah أشهد أن محمدا رسول الله beliau akan menangis dan terus menangis. Oleh sebab itu, beliau telah meminta kebenaran daripada Khalifah Abu Bakar Al-Siddiq agar tidak lagi melaungkan azan kerana tidak sanggup lagi menahan kesedihan. Sekaligus memohon keizinan untuk menyertai jihad di jalan Allah dan melazimi perjuangan menentang musuh-musuh Allah di bumi Syam. Pada mulanya, Abu Bakar keberatan untuk memberikan keizinan tersebut kerana Bilal akan meninggalkan bumi Madinah, akan tetapi selepas mendengar kata-kata Bilal yang berbunyi, “Sekiranya dahulu tuan membeli saya untuk kepentingan diri tuan, maka tahanlah saya. Tetapi jika tuan telah membebaskan saya dahulu kerana Allah, maka biarkanlah saya menuju kepadaNya”, barulah diizinkannya.


Setelah Bilal meninggalkan Madinah, beliau telah menetap di Daraiya berhampiran dengan Damsyiq. Semenjak itu, beliau tidak lagi melaungkan azan sehinggalah kedatangan Saidina Umar Al-Khattab ke bumi Syam dan bertemu dengan beliau sejak sekian lama tidak bersua. Umar sangat merindui sahabat nabi ini, sehinggakan apabila disebut nama Abu Bakar di hadapannya, maka beliau akan berkata,
“Abu Bakar adalah tuan kita, dan dia juga telah memerdekakan tuan kita” yang dimaksudkan dengan ‘tuan kita’ yang kedua ialah Bilal Bin Rabah.

Di Syam, para sahabat telah memujuk agar Bilal mengumandangkan azan di hadapan Umar. Maka apabila Bilal mula melaungkan azan, bercucuranlah air mata Umar dan hal yang sama juga berlaku kepada para sahabat sehingga basah lencun janggut mereka dengan air mata. Sesungguhnya Saidina Bilal telah membangkitkan kembali kerinduan mereka terhadap kenangan-kenangan indah di Madinah Al-Munawwarah bersama dengan Rasulullah SAW.

Beliau meriwayatkan 44 hadis daripada Rasulullah s.a.w. Di antaranya, Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Hendaklah kalian menunaikan solat malam (tahajjud), kerana solat malam adalah tradisi (kebiasaan) orang-orang soleh sebelum kalian, dan sesungguhnya solat malam adalah amalan yang dapat mendekatkan diri kepada Allah s.w.t, dapat mencegah dari perbuatan dosa, mengampuni dosa-dosa kecil, dan menghilangkan penyakit badan.” (Hadis Riwayat At-Tirmizi).


Bilal bin Rabah menolak untuk menjadi muazzin bagi seseorang selepas wafatnya Rasulullah s.a.w.

‘Penyeru Langit’ ini terus bermukim di Damsyiq sehinggalah penghujung hayatnya. Pada saat-saat terakhir beliau, acapkali isteri yang berada di sampingnya berteriak,
“Aduhai, alangkah sedihnya!!”, beliau pun segera membuka matanya dan berkata, “Oh, alangkah gembiranya”. Kemudian perkataan-perkataan terakhir yang terpacul dari mulutnya dan diulang berkali-kali ialah, “Esok, aku akan bertemu dengan kekasih-kekasih... Muhammad dan para sahabatnya, esok aku akan bertemu dengan kekasih-kekasih... Muhammad dan para sahabatnya”


Bilal bin Rabah dilahirkan di Kota Mekah sekitar tahun 43 sebelum Hijrah dan meninggal dunia di Damsyik pada tahun 20 Hijrah, dan ada riwayat menyebut bahawa beliau dimakamkan di Halb.

Demikianlah kisah hidup seorang sahabat Nabi SAW yang hebat peribadinya. Kasih dan cintanya kepada Allah dan RasulNya melebihi segala-galanya. Sungguhpun di awal diari kehidupannya bersama Islam melalui pelbagai onak duri yang tidak terperi, namun di akhir hayatnya kegembiraan dan kebahagiaan pula yang dinikmati. Tidakkah kita cemburu dengan beliau?

Tuesday, June 21, 2011

Zinnirah al-Rumiyyah


Kesabaran seseorang muslim dalam mempertahankan akidah Islam ketika menghadapi suasana penindasan yang hebat merupakan contoh kesabaran yang agung. Pegangan akidah yang bertunjangkan tauhid kepada Allah adalah harta yang tiada ternilai bagi setiap individu muslim. Ia merupakan cahaya yang menyinari hidup insan dan menjadi penyelamat dalam mengharungi kesengsaraan kacau-bilau hari pembalasan kelak.

Perkembangan dakwah Rasulullah S.A.W pada peringkat awal banyak dibantu oleh kesabaran kaum muslimin dan muslimat dalam mempertahankan akidah mereka yang telah terpahat kukuh dalam hati sanubari mereka. Keimanan yang jitu dan kesanggupan mereka mengharungi keperitan hidup telah membuahkan hasil yang amat berharga dalam sejarah perkembangan Islam. Hingga ke hari ini Islam masih kekal dan terus mekar dalam jiwa umat Islam.

Kisah seorang muslimat sejati bernama Zinnirah adalah antara contoh terunggul pengorbanan seorang muslimah demi mempertahankan akidah yang telah meresap ke dalam lubuk hatinya. Dia dipilih oleh Allah untuk menerima ujian yang cukup getir. Dia menerima hidayah Allah pada peringkat awal dakwah Rasulullah S.A.W iaitu semasa baginda berdakwah secara sembunyi-sembunyi. Dalam lipatan sejarah Islam, golongan yang pertama inilah yang banyak menerima ujian dan dugaan.

Zinnirah adalah seorang wanita berketurunan bangsa Rom. Dia telah ditawan dan dijual di sebuah pasar di Mekah. Akhirnya, dia telah dibeli oleh Umar Al-Khattab untuk dijadikan sebagai hamba. Dari segi fizikalnya, Zinnirah kelihatan lemah tetapi dari segi spiritualnya dia mempunyai jiwa yang cukup kental dan tabah. Pada peringkat awal keislamannya, Zinnirah melakukan suruhan-suruhan Islam secara sembunyi-sembunyi kerana takut diketahui oleh tuannya, Umar Al-Khattab yang terkenal dengan sifatnya yang tegas dan berani. Umar sebelum memeluk Islam amat memusuhi Rasulullah dan kaum muslimin. Zinnirah bersolat, berzikir, membaca Al-Quran dan berdoa kepada Allah dengan penuh syahdu dan keinsafan. Semua ini dilakukan dengan penuh hati-hati.

Penderitaan ke atas Zinnirah bermula setelah Umar mengetahui keislamannya. Umar dapat menghidu perubahan yang telah berlaku ke atas hambanya itu. Setelah diselidiki, ternyatalah bahawa hambanya itu telah menerima ajaran tauhid yang dibawa oleh Muhammad S.A.W. Zinnirah menjadi mangsa awal kerana kebencian Umar terhadap Islam dan kaum muslimin. Umar menyeksa dan mendera Zinnirah dengan harapan Zinnirah akan kembali kepada agama asalnya dan meninggalkan Islam. Pelbagai seksaan dikenakan terhadapnya. Pukulan, hentakan, sepak terajang, dijemur di tengah-tengah panas terik menjadi rutin biasa dalam kehidupan Zinnirah. Semuanya dihadapi dengan penuh kesabaran disamping hati dan jiwanya bergantung penuh kepada pertolongan Allah. Pada peringkat awal, Zinnirah cuba menyembunyikan pengislamannya drpd diketahui oleh Umar. Dia melakukan ibadah ketika org lain tiada di rumah atau pada waktu tengah malam ketika org lain sedang nyenyak tidur. Namun, lama kelamaan amalan solehahnya dapat dicium oleh musuh.


Sudah tentu org yg paling marah ialah tuannya sendiri iaitu Umar. Siapakah yg tidak kenal dgn Umar al-Khattab yg terkenal dgn sikap kejam, bengis, ganas, garang, tidak berhati perut, tidak berperi kemanusiaan itu. Umar terus menampar Zinnirah, menendang, mengikat kedua belah kai tangan Zinnirah. Kemudian, dijemur di tgh panas mentari. Bayangkanlah antara seksaan yg dihadapinya. Sungguh panas padang pasir pada waktu siang dan terlalu sejuk pada waktu malam, badannya dihempap dgn batu besar dan 1001 macam penyeksaan yg diterimanya.

Kemuncak penderaan terhadap Zinnirah ialah apabila kedua matanya dicucuk dengan besi panas yang mengakibatkannya hilang penglihatannya dan terpaksa mengharungi kehidupan dalam kegelapan. Namun begitu, hatinya penuh dengan cahaya keimanan. Iman menjadi penyuluh hidupnya dalam menghadapi kesengsaraan azab dari tuannya.

“Ini untukmu Ya Allah. Aku mengharungi kesengsaraan ini untuk mendapat kesenangan di akhirat kelak. Perjuangan ini sememangnya berat, selalu menderita dan sengsara kerana aku sedar untuk mendapat syurgaMu, aku terpaksa menagih ujian berat, sedangkan neraka itu dipagari oleh pelbagai kesenangan.”

Inilah rintihan hati Zinnirah kepada Allah ketika bermunajat kepadaNya di setiap malam sebagai penawar jiwa diatas segala kesengsaraan yang dihadapi.

Zinnirah akhirnya dibeli oleh Abu Bakar As-Siddiq. Walaupun menerima pelbagai rupa seksaan daripada Umar, Zinnirah tidak mendendami tuannya itu. Malah dia berdoa kepada Allah memohon diberikan hidayah kepada Umar. Walaupun matanya buta utk melihat alam maya tapi hatinya tidak buta utk menerima cahaya kebenaran Islam. Pandangan hati boleh menembusi pandangan zahir. Apabila melihat keadaan Zinnirah, org-org Quraisy cuba mempermain-mainkannya. Mereka mengatakan Zinnirah buta kerana menerima laknat dari Tuhan mereka iaitu, latta dan Uzza.

Zinnirah menolak penghinaan itu. Baginya kedua berhala itu tiada sedikitpun kena mengena dgn matanya. Dia cuba meyakinkan mereka bahawa masalah buta itu adalah dtg drpa Allah swt. Maka Allahlah yg berkuasa mengembalikan pancainderanya seperti biasa.

فَقَالَ المشركون : أعمتها اللات والعزى لكفرها باللات والعزى

والله ما هو كذلك وما يدري اللات والعزى من يعبدهما !! وربي قادر على رد بصري "

فا ستجاب الله لدعوة زنيرة ورد لها بصُرها فقالت قريش : " هذا سحر محمد صلى الله عليه وسلم


Siapa yg boleh menolak ketentuan Tuhan. Apabila Allah swt mengambil sekejap nikmat mata, kemudian memulangkannya semula kpd Zinnirah. Allah swt menggantikannya dgn mata yg lebih baik. Zinnirah boleh melihat seperti biasa, lebih terang drpd matanya yg asal. Demikianlah pertolongan Allah swt kepadanya bagi menguatkan lagi keimanannya. Tidak lama kemudian, Saiyidina Abu Bakar dtg menyelamatkan Zinnirah dgn membelinya dgn harga tinggi. Terselamatlah dia drpd menjadi penindasan org-org kafir.

Walaupun diuji dengan pelbagai ujian, keyakinannya kepada Allah tidak berubah. Allah memberi karamah kepadanya. Matanya yang buta itu dapat melihat kembali. Malah sinaran matanya itu lebih bercahaya.

Zinnirah, seorang wanita biasa, yang mungkin tidak dikenali, yang tidak punya harta atau ijazah tetapi mendapat pujian daripada Allah. Para malaikat mendoakan kesejahteraannya. Mata kasarnya buta tapi mata hatinya celik, disinari dengan cahaya keimanan serta keyakinan kepada Allah