Followers
Thursday, August 15, 2013
Sukar Untuk Istiqamah?.
Friday, February 3, 2012
Iktibar daripada Maulidur Rasul
Monday, September 5, 2011
Mengapa Sukar Untuk Beristiqamah?
Sunday, August 28, 2011
Perayaan Aidilfitri Menurut Perspektif Islam
Sunday, July 3, 2011
Kelebihan Bulan Syaaban


Oleh: Mohd Sukki Bin Othman (Ust Shauqi)
Bulan Syaaban menyusul selepas daripada bulan Rejab. Manakala selepas itu, akan datang pula bulan yang mengandungi penuh rahmat iaitu bulan Ramadhan al-Mubarak. Namun, Apabila tibanya bulan Rejab dan Syaaban, kita seringkali mendengar hadis-hadis mengenai mengenai bulan-bulan ini akan dibaca dan diajar secara meluas. Antaranya ialah hadis:“Rejab bulan Allah, Sya`aban bulanku dan Ramadhan bulan umatku”. Hadis ini adalah hadis munkar dan kebanyakan ulama' menyatakan bahawa ia adalah hadis palsu. Apabila membicarakan tentang bulan Syaaban, maka sewajarnya kita merujuk kepada riwayat-riwayat yang sahih dan yang diterima oleh para ulamak agar kita tidak termasuk dalam golongan 'pak turut' yang hanya melakukan sesuatu tanpa ilmu pengetahuan. Sedangkan Islam itu sendiri adalah agama ilmu, maka sewajarnyalah apa yang hendak dilakukan mestilah berteraskan kepada ilmu.
Menurut Prof Dr Yusuf al-Qaradhawi, tidak ada suatu pun keistimewaan pada pertengahan bulan Syaaban (nisfu Syaaban) sebagaimana yang digembar-gemburkan oleh masyarakat pada hari ini. Sebaliknya peristiwa besar yang berlaku pada pertengan bulan Syaaban ialah peristiwa yang berlaku pada tahun kedua hijrah iaitu peralihan kiblat daripada Baitul Maqdis ke Kaabah iaitu daripada Masjid al-Aqsa ke Masjid al-Haram. Perkara itu telah dirakamkan oleh Allah s.w.t. di dalam Surah al-Baqarah ayat 144 yang bermaksud:"Kerapkali kami melihat engkau (wahai Muhammad) berulang-ulang menadah ke langit, maka kami benarkan engkau berpaling mengadap kiblat yang engkau sukai, oleh itu palingkanlah muka kearah al-Masjidil Haram (tempat letaknya kaabah) dan di mana sahaja kamu berada maka hadapkanlah mukamu ke arahnya…"
Selain daripada peristiwa tersebut, sesuatu yang sahih daripada nabi pada bulan Syaaban ini ialah nabi saw memperbanyakkan berpuasa sunat sebagai suatu persediaan menyambut ketibaan Ramadhan al-Mubarak. Dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim Aisyah r.a menyatakan bahawa:
"Adalah Rasulullah saw sering berpuasa hingga kami menyangka bahawa baginda akan berpuasa berterusan. Dan baginda sering berbuka (tidak berpuasa) sehingga kami menyangka baginda akan berbuka (tidak berpuasa) seterusnya. Aku tidak pernah melihat baginda berpuasa sebulan penuh kecuali pada bulan Ramadan, dan aku tidak pernah melihat baginda berpuasa sunat dalam sebulan yang lebih banyak daripada puasanya di bulan Syaaban."
Usamah bin Zaid pula menceritakan; "Saya telah bertanya kepada Rasulullah saw, wahai Rasulullah saya tidak pernah menyaksikan banyaknya puasa tuan pada lain-lain bulan seperti di bulan Syaaban", lalu Baginda menjawab, "Itulah bulan (Syaaban) di mana ramai manusia lalai mengenainya iaitu di antara bulan Rejab dan Ramadan, ini adalah bulan di mana segala amalan diangkat kepada Tuhan Pemilik Sekalian Alam. Oleh itu saya (Baginda) amat suka kiranya amalan saya diangkat ketika saya sedang berpuasa.'' (Hadis riwayat Imam Ahmad dan Nas'aei).
Justeru, daripada hadis-hadis di atas, kita mendapati bahawa nabi saw amat mengambil berat untuk memperbanyakkan puasa pada bulan Syaaban. Di samping itu, sesiapa yang masih berhutang puasa pada Ramadhan yang sebelumnya seperti wanita yang meninggalkan puasa kerana 'datang bulan', maka inilah waktu yang sesuai untuk mempastikan agar segala 'hutang' dilunaskan sebelum tibanya bulan Ramadhan. Sebagai mencontohi sunnah nabi, kita juga sewajarnya memperbanyakkan berpuasa sunat pada bulan Syaaban yang mulia ini.
Di samping berpuasa, kita juga boleh memperbanyakkan amalan-amalan sunat yang lain untuk memepertingkatkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah dan sebagai suatu persediaan untuk memperbanyakkan lagi amalan pada bulan Ramadhan. Antara amalan yang boleh dilakukan selain daripada berpuasa ialah membaca al-Quran, bertaubat, beristighfar, berzikir, memperbanyakkan solat sunat, bersedekah bagi menolong meringankan penderitaan fakir miskin atau anak-anak yatim, melakukan amalan kebajikan, memohon keampunan untuk ibu-bapa, memohon restu kehadrat Allah s.w.t. bagi keselamatan dan kebahagiaan di dunia dan di akhirat dan sebagainya.
Persoalan seterusnya yang selalu timbul dalam masyarakat kita ialah amalan pada malam nisfu syaaban. Biasanya pada malam nisfu syaaban, masjid-masjid dan surau-surau akan merayakan malam tersebut dengan amalan-amalan tertentu. Di beberapa tempat di negara kita, pada malam nisfu syaaban, orang ramai biasanya berkumpul di masjid-masjid dan mereka membaca surah yasin bersama, kemudian melakukan solat sunat dua rakaat dengan niat panjang umur, solat sunat dua rakaat lagi dengan niat agar menjadi kaya dan tidak tergantung pada orang lain, dan sebagainya. Setelah itu, mereka membaca doa yang panjang, iaitu doa yang dikhususkan bacaannya pada malam tersebut.
Menurut al-Qadhi Abu Bakar Ibnul Arabi , tidak ada satu hadis sahih mengenai keutamaan malam nisfu syaaban, dan semua hadis mengenainya bertaraf dhaif yang tidak boleh diamalkan. Walau bagaimanapun terdapat hadis mengenai fadilat malam nisfu syaaban yang dianggap Hasan oleh sebahagian ulamak, walau ia telah didhaifkan oleh sebahagian ulamak lain. Hadis tersebut ialah: “Allah melihat kepada hamba-hambaNya pada malam nisfu Syaaban, maka Dia ampuni semua hamba-hambaNya kecuali musyrik (orang yang syirik) dan yang bermusuh (orang benci membenci) (Riwayat Ibn Hibban, al-Bazzar dan lain-lain). Al-Albani mensahihkan hadis ini dalam Silsilah al-Ahadis al-Sahihah.
Hadis ini tidak mengajar kita apakah bentuk amalan pada malam berkenaan. Oleh itu, amalan-amalan tertentu pada malam tersebut (sekiranya dianggap sebagai satu kemestian dan wajib seperti ‘mesti’ membaca Yasin sebanyak tiga kali, dan menunaikan solat-solat tertentu sempena nisfu syaaban) adalah bukan ajaran Nabi s.a.w. Menurut Prof. Dr. Yusuf al-Qaradawi dalam kitabnya 'Fatawa Mu'asirah', “Tidak pernah diriwayatkan daripada Nabi s.a.w. dan para sahabat bahawa mereka berhimpun di masjid pada untuk menghidupkan malam nisfu Syaaban, membaca do`a tertentu dan solat tertentu seperti yang kita lihat pada sebahagian negeri orang Islam. Bahkan di sebahagian negeri, orang ramai berhimpun pada malam tersebut selepas maghrib di masjid. Mereka membaca surah Yasin dan solat dua raka`at dengan niat panjang umur, dua rakaat yang lain pula dengan niat tidak bergantung kepada manusia, kemudian mereka membaca do`a yang tidak pernah dipetik dari golongan salaf (para sahabah, tabi`in dan tabi’ tabi`in). Ianya satu do`a yang panjang, yang menyanggahi nusus (al-Quran dan Sunnah) juga bercanggahan dan bertentang maknanya".
Inilah juga pendapat majoriti ulamak seperti Sayyid Sabiq, Prof Mutawalli Sya'rawi, Dr Abdul Karim Zaidan dan sebagainya. Begitu juga dengan doa khusus yang dibaca pada malam nisfu Syaaban, ianya bercanggah dengan nas al-Quran dan Hadis. Inilah pendapat yang dikemukakan oleh Prof. Dr. Yusof al-Qaradhawi.
Justeru, daripada pandangan-pandangan ulamak yang dikemukakan di atas, adalah menjadi suatu kewajipan kepada kita untuk memahami dengan sejelas-jelasnya agar kita tidak termasuk dalam golongan yang membuat sesuatu amalan itu secara membuta-tuli. Ini bukanlah bermakna bahawa kita tidak boleh melakukan amalan pada malam nisfu syaaban, akan tetapi kita tidak boleh melakukan amalan-amalan yang tidak diasaskan oleh nabi dan yang bercanggah dengan hukum syarak seperti menunaikan solat sunat khusus untuk panjang umur pada malam nisfu syaaban.
Namun, untuk membaca ayat-ayat al-Quran tertentu seperti Yasin dan seumpamanya, maka ia boleh dilakukan tetapi dengan syarat kita tidak ‘mewajibkan’ bacaan Yasin sebanyak 3 kali dan seumpamanya. Alangkah baiknya juga kalau pada malam itu juga diisi dengan program pengajian ilmu agar pemahaman terhadap ajaran Islam semakin meningkat dari semasa ke semasa.
Justeru, amalan-amalan sunat seperti membaca al-Quran, berzikir, solat sunat, berpuasa dan yang seumpamanya hendaklah dilaksanakan bukan sahaja pada malam nisfu syaaban, akan tetapi kita hendaklah beristiqamah melaksanakan amalan-amalan kebajikan tersebut pada bila-bila masa sahaja siang ataupun malam. Sesungguhnya apabila kita dapat melaksanakan sesuatu amalan dengan penuh keikhlasan dan amalan tersebut bertepatan dengan hukum syara', maka kita akan tergolong daripada umat Islam yang menuju ke arah kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Perbanyakkanlah amalan sunat di bulan Syaaban sebagai suatu persediaan menyambut kedatangan bulan Ramadhan al-Mubarak!
Friday, June 24, 2011
Hikmah & Pengajaran Israk Mikraj

Bulan Rejab kian hampir melabuhkan tirainya. Maka semakin terasa dekatnya pertemuan dengan bulan mulia lagi penuh rahmat, iaitu Ramadan al-mubarak. Namun, di penghujung Rejab yang mulia ini, kita terpanggil untuk merenung sejenak peristiwa yang besar dan bermakna bagi seluruh umat. Peristiwa yang dimaksudkan itu ialah peristiwa Israk Mikraj yang menakjubkan.
Israk dan Mikraj adalah dua peristiwa yang amat besar dan luar biasa yang dialami oleh Nabi Muhammad SAW dan dianggap sebagai satu penganugerahan yang tinggi nilainya dari segi kerohanian. Kedua-dua peristiwa itu adalah kurnia Allah SWT kepada baginda untuk memperlihatkan tanda keagungan dan kekuasaan-Nya.
Sungguhpun peristiwa luar biasa yang terjadi setahun sebelum Nabi Muhammad SAW berhijrah ke Madinah itu mustahil dapat dijangkau oleh alam pemikiran manusia, namun kita selaku umat Islam wajib percaya dan meyakini bahawa Israk Mikraj yang ditempuhi serta dialami oleh Nabi Muhammad SAW adalah benar dan berlaku dengan roh dan jasadnya sekali. Segala-galanya boleh berlaku dengan kehendak dan kekuasaan Allah selaku Pencipta dan Pentadbir alam semesta.
Israk bererti perjalanan Nabi SAW dari Masjidilharam di Mekah ke Masjidil Aqsa di Baitul Maqdis di Palestin. Peristiwa ini terakam di dalam Al-Quran, sepertimana firman Allah yang bermaksud :
“Maha Suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjidil-Haraam (di Mekah) ke Masjidil-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” (Q.S. Al-Israa’: 1).
Sementara itu, Mikraj pula merujuk kepada perjalanan baginda SAW dari Masjidil Aqsa ke Sidratulmuntaha di langit ketujuh, dekat singgahsana Allah SWT sepertimana yang digambarkan oleh Al-Quran yang bermaksud:
“Dan demi sesungguhnya! (Nabi Muhammad) telah melihat (malaikat Jibril dalam bentuk rupanya yang asal) sekali lagi di sisi “Sidratul-Muntaha”; yang di sisinya terletak syurga “Jannatul-Makwa”. (Nabi Muhammad melihat Jibril dalam bentuk rupanya yang asal pada kali ini ialah) semasa “Sidratul-Muntaha” itu diliputi oleh makhluk-makhluk dari alam-alam ghaib, yang tidak terhingga. Penglihatan (Nabi Muhammad) tidak berkisar daripada menyaksikan dengan tepat (akan pemandangan yang indah di situ yang diizinkan melihatnya), dan tidak pula melampaui batas. Demi sesungguhnya ia telah melihat sebahagian dari sebesar-besar tanda-tanda (yang membuktikan luasnya pemerintahan dan kekuasaan) Tuhan-Nya.” (Q.S. An-Najm: 13-18).
Oleh itu, Israk Mikraj dapat disimpulkan sebagai satu perjalanan kilat Nabi Muhammad pada malam hari atas kudrat dan iradat Allah dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa, kemudian naik ke langit sampai ke Sidratul Muntaha, bahkan ke Mustawa dan sampai di bawah Arasy Allah (suatu tempat di mana alam ini diatur) dengan menembusi tujuh lapis langit, lalu kembali semula ke Makkah pada malam yang sama.
Salah satu inti penting daripada peristiwa Israk dan Mikraj ialah perintah solat yang diterima Nabi SAW di Sidratulmuntaha. Pada mulanya Allah SWT memberi perintah supaya mengerjakan solat 50 waktu sehari semalam. Tatkala bertemu dengan Nabi Musa Alaihi Salam di langit keenam, Muhammad SAW menceritakan perintah yang diterimanya daripada Allah. Lalu Nabi Musa menyarankan agar baginda kembali menghadap Allah SWT untuk memohon keringanan, dengan alasan bahawa umatnya tidak akan sanggup melaksanakan solat 50 waktu itu. Disebabkan terlalu sayangkan umatnya, Nabi SAW menerima saranan itu. Ia pun kembali menghadap untuk memohon keringanan. Permohonan itu berulang sampai 9 kali hinggalah Allah SWT mengabulkannya dengan mengurangi waktu solat menjadi hanya 5 kali sehari semalam.
Adapun waktu-waktu solat yang telah ditentukan itu ialah Subuh, Zohor, Asar, Maghrib dan Isya. Waktu mengerjakan solat berkenaan diterangkan dengan jelas di dalam Al-Quran, sepertimana firman Allah yang bermaksud :
“Dan dirikanlah sembahyang itu pada kedua tepi siang (pagi dan petang) dan pada bahagian permulaan daripada malam. Sesungguhnya perbuatan yang baik itu menghapuskan (dosa) perbuatan-perbuatan yang buruk. Itulah peringatan-peringatan bagi orang-orang yang ingat.” (Q.S. Hud: 114).
Bulan Rejab tahun ke-11 dari kerasulan baginda SAW, disifatkan oleh ahli sejarah sebagai ‘Amulhuzn’ (tahun dukacita) bagi Rasulullah. Ini berikutan dengan dua musibah berturut-turut yang menimpa baginda, iaitu kehilangan dua insan tersayang berikutan kewafatan Khadijah, isteri baginda yang tercinta, yang kemudian disusuli pula dengan pemergian bapa saudara baginda, Abu Thalib, yang banyak melindunginya daripada ancaman kaum kuffar Quraisy.
Musibah yang menimpa itu berpengaruh besar terhadap diri Rasulullah. Lantas Nabi merasakan ruang untuk pergerakan dakwah di kota Makkah semakin sempit dan keselamatan diri turut terancam. Keadaan yang sedemikian mendorong Rasulullah untuk berpindah ke Thaif dengan harapan agar penduduknya menerima seruan dan bersedia membantu perjuangannya. Malangnya, segala harapan baginda hancur berkecai kerana penduduk Thaif bukan saja tidak mahu memberi perlindungan kepada Nabi, malah Nabi dicaci, dihina hatta dianiaya.
Lalu, Rasulullah kembali semula ke Makkah dengan perasaan hampa tanpa hasil. Dan dalam hal keadaan menanggung kesedihan dan kehampaan, Allah menganugerahkan Israk Mikraj, yang antara lain bertujuan menghibur dan mempertebal iman Nabi SAW.
Berdasarkan kepada peristiwa Israk Mikraj, kita memperolehi pelbagai pengajaran berharga yang terkandung di dalamnya untuk direnungi serta dihayati. Antara pengajaran berguna tersebut ialah:
1. Manusia harus sentiasa mengadakan hubungan dengan Allah, baik di kala ditimpa kesusahan mahupun di kala mendapat kesenangan. Ini kerana hanya Allah yang berkuasa memberikan pertolongan, menghilangkan segala kesedihan, dukacita dan kesusahan pada diri manusia. Sebagaimana yang diceritakan, Nabi telah ditimpa beberapa musibah sebelum terjadi Israk Mikraj. Dalam keadaan demikian, datang perintah untuk Israk Mikraj, iaitu untuk berhadapan dengan Allah swt. Ini memberi pengajaran kepada kita agar mendekatkan diri kepada Allah sewaktu didatangi musibah dan pelbagai permasalahan dalam kehidupan. Caranya ialah dengan melaksanakan semua perintah-Nya dan menjauhi semua larangan-Nya di samping terus meningkatkan ketakwaan dan amal ibadat.
2. Menjauhi perkara mungkar dan maksiat. Semasa Israk Mikraj, tepatnya sewaktu Nabi diajak meninjau keadaan neraka, baginda ditunjukkan berbagai bentuk penyeksaan dahsyat yang sedang dialami oleh berbagai kaum sebagai akibat daripada segala macam bentuk kejahatan yang pernah mereka lakukan. Misalnya Nabi diperlihatkan kepada satu kaum yang memecahkan sendiri kepala mereka dengan batu besar, setelah pecah ia kembali bertaut seperti sediakala. Nabi juga melihat bentuk penyeksaan yang lain seperti seksaan bagi pemakan riba, penzina, pengumpat, yang suka memfitnah dan lain-lain lagi. Ini semua memberi iktibar supaya kita yang hidup di dunia ini tidak melakukan segala perbuatan tercela itu dan juga pekerjaan lain yang jelas dilarang Allah kerana begitulah seksaan yang bakal diterima oleh seseorang di akhirat nanti sekiranya perbuatan yang dilarang Allah itu dilakukan.
3. Perintah solat sebagai suatu bentuk ibadah yang Allah sendiri menggariskan ketentuan mengenainya. Kewajipan solat berbeza dengan kewajipan yang lain seperti puasa, zakat dan haji. Ini adalah kerana kewajipan solat diterima langsung oleh Nabi daripada Allah sewaktu bertemu Allah pada malam Mikraj tanpa perantaraan malaikat Jibrail. Ini menunjukkan keistimewaan dan kelebihan solat berbanding ibadah-ibadah lain, dan solat juga amalan yang paling awal dihisab di akhirat kelak. Dengan solat, kita berpeluang untuk berdialog langsung dengan Allah, iaitu ketika bersolat.
4. Mengakui dan tunduk kepada kebesaran Allah sebagai pencipta agar keyakinan terhadap kekuasaan-Nya benar-benar bersemi di jiwa manusia. Ini kerana sewaktu Israk Mikraj, Allah memperlihatkan kepada Nabi akan keagungan dan berbagai keajaiban ciptaan-Nya yang terdapat di alam tinggi bernama langit itu seperti Sidratul Muntaha, syurga dan lain-lain lagi.
5. Anjuran memberi salam. Di sepanjang perjalanan Mikraj, Nabi tidak pernah lupa mengucapkan salam kepada rasul yang baginda temui. Ini mengingatkan kita kepada keutamaan memberi salam dan galakan supaya selalu memberi salam kepada saudara sesama Islam sebagai tanda penghormatan dan untuk mengeratkan hubungan.
Israk Mikraj merupakan mukjizat yang tidak diberikan kepada nabi-nabi yang lain. Justeru itu, Pelbagai pengajaran berharga yang terkandung di dalamnya hendaklah direnung dan dihayati supaya ianya dapat membantu memberikan nilai tambah dalam kehidupan, baik dalam usaha meningkatkan ketakwaan dan prestasi ibadah kepada Allah mahupun untuk peningkatan ilmu pengetahuan, terutama dalam menghadapi cabaran globalisasi masa kini. Firman Allah yang bermaksud :
“Dan tidaklah Kami mengutus rasul-rasul sebelummu (wahai Muhammad), selain dari kalangan orang lelaki yang Kami wahyukan kepada mereka. Oleh itu bertanyalah kamu kepada orang yang berpengatahuan agama jika kamu tidak mengetahui.”
Sunday, January 30, 2011
Mengelak Kemarahan

Kemarahan adalah satu perkara tabie bagi manusia. Apabila timbul faktor yang menyebabkan kemarahan, secara semulajadi akan timbul perasaan marah dalam diri kita. Ini bukanlah satu kesalahan kerana ia adalah perkara tabie. Islam tidak menghalang perasaan tersebut jika ia kena pada tempatnya. Apa yang dilarang di dalam Islam ialah membiarkan kemarahan tersebuit menguasai diri sehingga lahir dalam bentuk kata-kata atau tindakan liar.
Islam tidak hanya memerintahkan umatnya supaya bersabar. Malah kesabaran yang diperintahkan pada tahap yang paling tinggi iaitu tahap ‘al-musabarah’: Firman Allah dalam surah Ali 'Imran ayat 200 bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi Segala kesukaran Dalam mengerjakan perkara-perkara Yang berkebajikan), dan kuatkanlah kesabaran kamu (lebih daripada kesabaran musuh, di medan perjuangan – al-musabarah), dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan) serta bertaqwalah kamu kepada Allah supaya, kamu berjaya (mencapai kemenangan).
Perkataan ‘wa sabiru’ dalam ayat di atas bermaksud mengatasi musuh dengan bersabar melebihi kesabaran mereka. Orang-orang musyrikin pun memiliki kesabaran dalam mempertahankan kepercayaan salah mereka. Justeru, Allah memerintahkan umat Islam supaya berusaha untuk mencapai tahap kesabaran yang lebih tinggi sehingga dapat mengalahkan musuh.
Kaedah Mengelakkan Kemarahan
1. Menghiasi diri dengan sifat pemaaf
2. Mengelakkan Diri Dari Faktor-faktor Yang Menimbulkan Kemarahan
3. Berdoa
Berdoa merupakan langkah yang amat berkesan untuk mengelakkan diri kita mudah rasa marah. Antara doa yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW ialah:
Doa pertama:
اللَّهُمَّ آتِ نَفْسِي تَقْوَاهَا، وَزَكِّهَا أَنْتَ خَيْرُ مَنْ زَكَّاهَا، أَنْتَ وَلِيّهَا وَمَوْلاَهَا
Maksudnya: Ya Allah berikanlah kekuatan jiwa padaku, sucikanlah jiwaku, Engkaulah yang paling elok yang menyucikannya, Engkaulah walinya dan Engkaulah tuannya.
Doa kedua (sebelum dan selepas tidur):
اللَّهُمَّ عَالِمَ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ فَاطِرَ السَّمَوَاتِ وَالأَرْضِ رَبَّ كُلِّ شَىْءٍ وَمَلِيكَهُ أَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ أَنْتَ أَعُوذُ بِكَ مِنْ شَرِّ نَفْسِى وَمِنْ شَرِّ الشَّيْطَانِ وَشِرْكِهِ
Maksudnya: Ya Allah Ya Tuhanku, Yanga Maha Mengetahui Perkara Yang Gahib dan Nyata, Pencipta langit dan bumi, Tuhan segala sesuatu dan Pemiliknya. Aku bersaksi tida Tuhan melainkan Engkau. Aku Memohon dengan Engkau daripada keburukan diriku dan daripada keburukan Syaitan serta sekutunya.
Doa yang kedua ini diajarkan oleh Rasulullah SAW kepada Abu Bakr al-Siddiq r.a.



