Followers

Tuesday, December 30, 2008

Sambutan Awal Muharam


Bulan Muharram merupakan salah satu bulan yang dimuliakan di dalam Islam. Antara kemulian bulan haram ini ialah disunatkan berpuasa. disunatkan juga kepada umat Islam untuk berpuasa pada 9 dan 10 Muharram. Ini kerana tarikh 10 Muharram (atau dinamakan hari ‘asyura yang bermaksud sepuluh) mempunyai nilai sejarahnya yang tersendiri. Manakala disunatkan juga berpuasa pada 9 Muharram sebagai mukhalafah (membezakan) di antara kaum Yahudi yang turut berpuasa pada 10 Muharram.

Diriwayatkan daripada Ibnu Abbas r.a katanya: Sewaktu Rasulullah s.a.w tiba di Madinah, baginda mendapati orang Yahudi berpuasa pada hari Asyura. Ketika ditanya tentang puasa itu, mereka menjawab: Hari ini adalah hari kemenangan yang telah diberikan oleh Allah kepada Nabi Musa a.s dan kaum Bani Israel dari Firaun. Kami merasa perlu untuk berpuasa pada hari ini sebagai suatu pengagungan kami padaNya. Lalu Rasulullah s.a.w bersabda: Kami lebih berhak daripada kamu terhadap Nabi Musa dalam hal ini. Kemudian baginda memerintahkan para Sahabat supaya berpuasa pada hari tersebut. – Hadis diriwayatkan oleh Imam Bukhari, Muslim, Abu Daud, Ibnu Majah dan al-Tirmidhi.

Di samping melaksanakan ibadah puasa sunat pada bulan Muharram, sesuatu yang amat penting untuk diingati dan dihayati ialah peristiwa hijrah nabi s.a.w. Justeru, tidak hairanlah apabila Khalifah Umar al-Khattab menetapkan peristiwa hijrahnya Nabi Muhammad s.a.w. dengan sahabat-sahabatnya dari kota Mekah ke Madinah sejauh kira-kira 450 km itu sebagai tahun pertama dalam Islam yang dinamakan dengan tahun Hijrah.

Penggunaan Takwim Hijrah yang digunakan pada masa sekarang telah bermula pada tahun ke 17 Hijrah, iaitu pada zaman pemerintahan Khalifah Umar al-Khattab. Penetapan permulaan tarikh bagi Takwim Hijriyah ini, diambil sempena peristiwa penghijrahan Rasulullah s.a.w. yang bermula pada tanggal 2 Rabiulawal bersamaan 14 September 622 Masihi. Baginda sampai di Quba' pada tanggal 8 Rabiulawal bersamaan 20 September 622 Masihi pada hari Isnin. Jika dihitungkan kembali, maka 1 Muharram bagi tahun pertama Hijrah jatuh pada 16 Julai 622 Masihi iaitu pada hari Jumaat berdasarkan kiraan rukyah.

Permulaan penggunaan Kalendar Tahun Hijrah sebagaimana yang disebutkan sebelum ini adalah hasil dari ilham Khalifah Ar-Rasyidin yang kedua iaitu Saidina Umar Al-Khatab r.a. Ini adalah rentetan dari Kesatuan Arab yang ditubuhkan di bawah naungan Islam pada zamannya.Riwayat juga mengatakan bahawa Gabenor Abu Musa Al-As'ari telah mengirimkan surat kepada Saidina Umar r.a meminta beliau menjelaskan tentang tahun bagi tarikh surat/arahan Umar yang telah dihantar kepadanya. Bermula daripada peristiwa itulah Saidina Umar memerintahkan satu kalendar / taqwim Islam yang khas diwujudkan untuk menggantikan tahun rujukan kalendar yang berbagai-bagai yang digunakan oleh bangsa-bangsa Arab dan bangsa-bangsa lain pada zaman itu.

Peristiwa ini juga pencetus kepada penyusunan takwim berdasarkan falak syar'ie. Sebelum kemunculan kalendar Islam ini di kalangan bangsa Arab sendiripun ada berbagai-bagai kalendar yang digunakan seperti Kalendar Tahun Gajah, Kalendar Persia, Kalendar Romawi dan kalendar-kalendar lain yang berasal dari tahun peristiwa-peristiwa besar Jahiliah. Maka Umar telah memilih tahun yang terdapat di dalamnya peristiwa paling agung dalam sejarah Rasullullah s.a.w untuk dijadikan asas permulaan tahun pertama bagi kiraan kalendar taqwim Islam.

Peristiwa hijrah perlu dikenang oleh umat Islam setiap tahun apatah lagi ketika menyambut sambutan awal Muharram, untuk menjadi pengajaran dan peringatan tentang pengorbanan Rasulullah s.a.w. dan sahabat-sahabatnya menegakkan Islam. Mudah-mudahan dengan kenangan itu dapat menimbulkan kesedaran di kalangan umat Islam bahawa kemuliaan Islam dan kewujudan negara Islam bukanlah diperoleh dengan mudah. Sebaliknya ia perlu melalui perjuangan yang gigih dan pengorbanan yang tinggi.

Sesungguhnya sifat pengorbanan yang dimiliki dan diperlihatkan oleh Rasulullah s.a.w. dan umat Islam pada zaman baginda merupakan bukti kesungguhan dan kecintaan mereka yang mendalam terhadap akidah Islam dan ketaatan yang tidak berbelah bahagi terhadap perintah Allah s.w.t. Sifat seperti inilah yang sepatutnya ada dan diikuti oleh generasi umat Islam hari ini.
Oleh yang demikian, apakah yang harus dilakukan oleh umat Islam ketika menyambut tahun baru hijrah ini?

Sambutan awal Muharram dan tahun baru hijrah ini hendaklah diikuti dengan usaha melakukan perubahan pada diri dan masyarakat agar penyelewengan akidah dan keruntuhan akhlak dapat diperbetulkan dan Islam sebagai agama yang mulia dan tinggi dapat didaulatkan dan diletakkan di tempat yang sewajarnya.

Selamat Menyambut Tahun Baharu Hijrah 1430


Thursday, December 25, 2008

Maklumat Baru Diterima


Forum Perdana Ma'al Hijrah

Forum Perdana Ma'al Hijrah akan diadakan pada:

Tarikh: 27 Disember 2008
Hari : Sabtu
Masa : 9 Malam
Tempat: Padang RT Taman Sri Tanjung, Semenyih

Barisan Ahli Panel:
Moderator: Prof Madya Dr Ghafar
Panelis 1 : Ustaz Haji Fitri (PERKIM)
Panelis 2 : Ustaz Shauqi Othman (UPM)

Semua dijemput hadir.

Monday, December 22, 2008

Makluman Forum

Forum Ehwal Islam : Hijrah & Pengorbanan
Hari : Khamis malam Jumaat
Tarikh : 25hb December 2008
Masa : Jam 8.45 malam
Lokasi : Taman Desa Mekar, Sg Merab Dalam, B.B.Bangi.

Ahli Panel Forum:
Prof Madya Dr. Sharifah Hayatie Bt Syed Ismail, UM.
Ustaz Mohd Shauqi B. Othman, UPM.
Ustaz Al-Kautsar B. Khaidir, Moderator.

Makanan Pelik di Kemboja

Ini adalah buah Teratai... Rasanya jarang ada buah ni kat Malaysia. Buahnya macam kacang. Mengikut maklumat yg diterima buah teratai bermusim ini ada dijual di sepanjang jalan lama Bidor ke Gopeng

Ini adalah pokok buah susu. Buah susu agak sedap tapi ia takde kat Malaysia. Rasanya buah susu ni kalau buat jus tentu sedap.


Ini makanan pelik orang bukan Islam di Kemboja. Gambar ini diambil di Pasar. Binatang seperti ular kecil dan serangga dibuat macam 'sate' untuk dimakan.

Paparan Sambutan Penduduk Kampung Kemboja





Antara Rumah di Kemboja





Antara Program Dengan Guru Quran Kemboja




Antara Paparan Penyembelihan Lembu di Kemboja










Tuesday, December 16, 2008

Coretan Ringkas Kemboja 2008

Alhamdulillah, perjalanan Kebajikan ke Kemboja untuk melaksanakan ibadah korban pada tahun ini telah berjalan dengan lancar dan dapat disempurnakan amanah tersebut dengan baik. Moga Allah memberikan rahmat dan keberkatan kepada semua yang telah menyumbangkan pelbagai bentuk sumbangan dalam program korban Kemboja ini sama ada melalui ibadah penyembelihan korban, aqiqah, sumbangan waqaf telaga, sumbangan kepada guru qur'an, sumbangan kepada fakir miskin dan sebagainya.

Saya bersama dua orang sahabat iaitu Ustaz Rijaluddin Yahya (Pengerusi PAKSI cawangan Parit Buntar) dan ustaz Nazmi Desa dari Lunas, Kedah telah memulakan perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kemboja pada 9 Disember 2008 . Kami sampai di LCCT pada pukul 2 petang. Penerbangan menggunakan pesawat AirAsia yang mengambil masa lebih kurang 1 jam 45 minit untuk sampai ke Phnom Penh itu sepatutnya bertolak pada pukul 3.15 petang, namun ia 'delay' lebih kurang satu jam. Penumpang ke Phnom Penh pada petang itu agak ramai dan LCCT juga agak sesak dengan kebanjiran penumpang yang tidak sabar-sabar untuk 'terbang' ke destinasi yang pelbagai. Sementara menunggu ketibaan kapal terbang, saya sempat 'bersembang' dengan beberapa delegasi lain pada petang itu yang turut sama ke Kemboja untuk melaksanakan ibadah korban. Antaranya ialah Pengerusi Darul Fuqaha' iaitu Ustaz Khairuddin Aman Razali bersama adiknya Ustaz Harmi.

Oleh kerana jadual penerbangan tertangguh, maka kami sampai ke Phnom Penh agak lewat iaitu sekitar pukul 5.15 petang waktu Kemboja (bersamaan pukul 6.15 petang waktu Malaysia). Setelah urusan mengambil bagasi selesai, kami pun keluar menuju terminal. Di luar terminal, sudah ada orang yang menunggu untuk menjemput kami iaitu Ramli dan Pau; seorang boleh berbahasa Arab dan seorang lagi boleh berbahasa Melayu. Mereka berdua telah diminta oleh Ustaz Sulaiman Cambodia untuk menjemput kami, lalu kesempatan itu digunakan untuk berta'aruf dengan mereka. Pada malam itu kami menginap di Hotel Asia, Phnom Penh. Harga bilik dengan 2 katil 'queen' ialah 30 USD satu malam.

Pada keesokan hari iaitu selepas solat Subuh dan sekitar jam 6 pagi, Ustaz Sulaiman datang menjemput kami untuk ke lokasi korban. Lokasi pertama ialah ke Kampung Soum iaitu di sekitar tempat yang bernama Chong Sayt (tak pasti ejaan sebenar). Perjalanan ke sana dari Phnom Penh mengambil masa lebih kurang 3 jam. Sampai di sana, orang kampung dan wakil-wakil kampung lain (lebih kurang 10 kampung) sudah sedia menanti. Program dimulakan dengan tazkirah yang disampaikan oleh Ustaz Sulaiman Cambodia dan saya sendiri, kemudian penyembelihan korban pun dilakukan. Sebanyak 15 ekor lembu korban selamat disembelih di situ dan diagih-agihkan kepada wakil 10 kampung. Sumbangan kepada fakir miskin dan guru-guru Quran turut diberikan selepas selesai penyembelihan korban.

Seterusnya kami ke kampung Ma Prang. Di situ 10 ekor lembu disembelih untuk diagihkan kepada beberapa kampung di sekitar itu. Penyembelihan dilakukan secara 'berpusat' iaitu disembelih lembu korban di satu kampung , lalu dari situ wakil-wakil dari kampung lain datang untuk mengambil lembu korban untuk kampung mereka. Cara sebegini dilakukan supaya dapat menjimatkan masa, apatah lagi terdapat kampung yang terlalu 'ulu' dan jauh ke dalam yang mengambil masa agak lama dan menyukarkan untuk sampai ke sana. Justeru, dijemput wakil dari kampung tersebut untuk datang mengambil lembu korban.

Seterusnya perjalanan 'korban' diteruskan ke kampung Pray Cekay. Setelah menunaikan solat jamak Zohor dan Asar di Masjid kampung tersebut, sembelihan korban pun dijalankan. Setelah itu, perjalanan diteruskan pula ke Kg Keh untuk penyembelihan korban di situ pula. Selepas itu, kami pun ke Kampot (tak ingat kampung apa). Pada malam itu, kami balik ke tempat penginapan dan sampai pada pukul 10.15 malam. Keletihan amat terasa kerana sehari suntuk terlibat dengan program sembelihan korban, di samping program tazkirah dan penyerahan sumbangan

Pada hari seterusnya, perjalanan 'korban' dimulakan sejak pagi dan beberapa kampung juga sempat dikunjungi untuk pelaksanaan sembelihan korban ini. Alhamdulillah, secara keseluruhannya 83 ekor lembu dapat disumbangkan ke beberapa tempat di Kemboja ini iaitu 77 ekor untuk ibadah korban dan 6 ekor untuk aqiqah. Sumbangan lembu tersebut telah diagihkan ke beberapa wilayah atau kampung seperti Kampung Jual Takeo, Kampung Cham, Kampot, Kandal, Kampung Soum dan kampung Chenang. Terima kasih diucapkan kepada semua yang terlibat dalam memberikan sumbangan dalam pelbagai bentuk seperti ibadah korban, aqiqah, wakaf telaga, sumbangan kepada quru qur'an dan fakir miskin. Moga ibadah yang dilakukan dengan penuh keikhlasan diterima oleh Allah SWT dan menjadi 'bekalan' kita di akhirat kelak.

Friday, December 5, 2008

Thursday, December 4, 2008

Sikap Bersangka-sangka


Manusia hari ini suka bersangka-sangka
Ada sangkaan baik..Ada sangkaan buruk
Orang beribadah disangka riak
Orang yang relax disangka malas
Orang yang pakai baju baru disangka menunjuk
Orang yang pakai baju buruk disangka zuhud
Orang makan banyak disangka pelahap
Orang makan sikit disangka diet
Orang baik disangka buruk
Orang buruk disangka baik
Orang senyum disangka mengejek
Orang masam disangka merajuk
Orang bermuzakarah disangka mengumpat
Orang diam disangka menyendiri
Orang menawan disangka pakai susuk
Orang nampak ceria disangka membela
........
mana tahu yang diam itu kerana
berzikir kepada Allah
mana tahu yang senyum itu kerana
bersedekah
mana tahu yang masam itu kerana
mengenangkan dosa
mana tahu yang menawan itu kerana
bersih hati dan mindanya
mana tahu yang ceria itu kerana
cergas cerdasnya

Jauhi sikap suka bersangka-sangka kerana ia bakal memusnahkan ukhwah
seperti musnah nya kayu dimakan api..
Satu benda yang kita lihat, macam-macam kesimpulan yang boleh kita buat.
semuanya bergantung bagaimana kita melihatnya.

Tuesday, December 2, 2008

Ahli Fikir Hindu Seru Pemeluknya Menganut Islam


Seorang pakar bahasa India dari Universiti Alahabad menulis dan menerbitkan buku berjudul Kalki Utar yang bererti Pembimbing Agung. Tulisan beliau dalam buku berkenaan jelas menyeru penganut-penganut agama Hindu memeluk Islam dan beriman dengan ajaran Nabi Muhammad utusan Allah, yang merupakan pengislah (reformis) kerohanian Hindu yang ditunggu-tunggu kerana Nabi Muhammad itulah yang dikatakan Kalki Utar.

Pengarang yang dikenali sebagai Ved Prakash buat masa ini menyandang jawatan paderi Hindu dari golongan Brahmin dan buku karangannnya telah dikemukakan kepada lapan orang tokoh paderi agama Hindu. Semuanya menyokong pendapat Ved Prakash. Penyelidikan beliau membuktikan ciri-ciri Kalki Utar yang terdapat dalam kitab suci Hindu Vidas menepati dengan sifat-sifat yang ada pada Rasulullah s.a.w.

Ved Prakash menegaskan di dalam ramalan Prophecy Hindus bahawa Kalki Utar akan muncul di sebuah pulau ( di dalam mana-mana kitab sejarah Arab/Islam dikenali sebagai Al-Jazirah Al Arabia, bermaksud Pulau Arab), bapanya bernama Vishnu Yehkat ibunya bernama Surmanab.
Perkataan Vishnu dalam bahasa Sanskrit membawa erti Tuhan dan Yehkat bermaksud hamba jadi Vishnu Yehkat bererti Hamba Tuhan dalam bahasa Arab Abdullah.

Adapun Sumanab dalam bahasa Sanskrit membawa erti aman dan terjemahannya dalam bahasa Arab Aminah. Semua dunia tahu bapa Nabi Muhammad Abdullah dan ibunya Aminah.

Tambah beliau lagi di dalam kitab suci Vidas juga menyebut bahawa Tuhan telah mengutus UtusanNya ke dalam gua untuk mengajar Kalki Utar. Peristiwa ini memang berlaku kepada Rasulullah s.a.w., Nabi Muhammad s.a.w. telah didatangi Jibril a.s. di Gua Hirak yang bertugas mengajar agama Islam kepadanya.

Bukti terakhir yang diperkatakan oleh pengarang berkenaan bahawa Tuhan telah menganugerahkan kepada Kalki Utar kuda terpantas mengelilingi bumi dan menjelajah tujuh petala langit, ini sebenar merujuk kembali kepada peristiwa Isra' Mikraj di mana Rasulullah s.a.w., menunggangi Buraq sejenis haiwan dari syurga.
(Artikel ini dipetik dari majalah Haluan yang memetik dari RISALAH-IKHWAN bil 79 Jumaat 9 Syawal 1418 bersamaan 6 Feb 1998)

Monday, December 1, 2008

Persoalan Berkaitan Kulit, Bulu dan Anggota Bangkai Binatang


Oleh : Ustaz Shauqi

Kulit bangkai tidak suci walaupun disamak mengikut pandangan yang zahir disisi ulama’ aliran mazhab Maliki, dan pandangan yang masyhur disisi ulama’ aliran mazhab Hanbali. Ini berdasarkan hadis Abdullah Bin ‘Ukaim yang telah diriwayatkan oleh Ahmad, al-Tirmidhi, al-Nasa’ei, Abu Daud dan Ibnu Majah, dia berkata: “Rasulullah telah menulis kepada kami kira-kira sebulan sebelum kewafatan Baginda supaya tidak mengambil manfaat daripada bangkai sama ada kulitnya atau urat sarafnya” . Hadis ini memansukhkan (membatalkan) hadis-hadis yang sebelumnya; kerana hadis ini telah diucapkan pada saat-saat akhir hidup nabi saw.

Ulama’ aliran mazhab Hanafi dan ulama’ aliran mazhab Syafie berpendapat bahawa kulit binatang yang najis atau kulit bangkai akan menjadi suci apabila ia disamak. Ini berdasarkan hadis nabi saw yang diriwayatkan oleh Muslim yang bermaksud: “Sekiranya kulit disamak, ia menjadi bersih”. Manakala hadis yang diriwayatkan oleh al-Nasaei, al-Tirmidhi dan Ibnu Majah daripada Ibnu Abbas pula bermaksud: “Setiap kulit yang disamak akan menjadi bersih”.

Menurut jumhur ulama’, anggota-anggota bangkai yang keras yang tidak mengandungi darah adalah suci dan tidak najis seperti tanduk, tulang, gigi, gading, tapak kaki unta, tapak kaki kuda, kuku, dan bulu. Ulama’ aliran mazhab Syafei pula menyatakan bahawa anggota-anggota daripada bangkai adalah najis seperti susu dan telur yang bersambung dengannya. Dalil dan hujah jumhur dalam persoalan ini ialah hadis Salman ra yang telah diriwayatkan oleh Ibnu Majah: Rasulullah saw telah ditanya mengenai lemak, minyak dan himar, lalu nabi bersabda: “sesuatu yang halal ialah apa-apa yang dihalalkan oleh Allah di dalam kitab-Nya, dan yang haram itu ialah apa-apa yang diharamkan oleh Allah di dalam kitab-Nya, dan sesuatu yang tidak disebut hukumnya merupakan sesuatu yang dimaafkan oleh Allah dengannya”.

Hukum sesuatu atau bekas yang dimasuki tikus: Sekiranya tikus itu dapat dikeluarkan dalam keadaan masih hidup, ia dikira bersih. Akan tetapi, sekiranya tikus itu mati di dalam bekas tersebut, maka ia dilihat dalam beberapa keadaan; sekiranya cecair, maka semuanya dianggap najis manakala sekiranya ia bukan cecair, ia dianggap najis pada tempat jatuh tikus itu dan di sekelilingnya sahaja, dan yang baki boleh diambil manfaat daripadanya kerana ia dikira suci. Ini berdasarkan hadis yang telah diriwayatkan bahawa nabi saw pernah ditanya mengenai tikus yang terjatuh ke dalam minyak sapi dan mati di dalamnya, maka bagi menjawab persoalan ini, nabi saw bersabda yang bermaksud: “Sekiranya objek beku (bukan cecair), buangkan tempat tersebut dan di sekitarnya, tetapi sekiranya cecair tuanglah ia”.

Sekiranya burung atau mana-mana haiwan jatuh dalam periuk, Ibnu Wahab telah meriwayatkan daripada Imam Malik bahawa dia berkata: Tidak boleh dimakan apa sahaja yang terdapat dalam periuk tersebut, kerana ia adalah najis disebabkan telah bercampur dengan bangkai. Ibnu Qasim juga meriwayatkan daripada Imam Malik bahawa dia telah menyatakan bahawa hendaklah dibasuh daging, manakala kuahnya hendaklah dibuang. Ibnu ‘Abbas pula berkata: Daging itu hendaklah dibasuh dan boleh dimakan.

Ulama’ telah bersepakat mengatakan bahawa darah itu adalah najis dan haram dimakan serta tidak boleh diambil sebarang manfaat daripadanya sekiranya darah itu terdiri daripada darah yang mengalir. Inilah gambaran yang disebut dalam surah al-An’aam. Saidatina Aisyah telah berkata, sekiranya Allah tidak menyebut: “atau darah yang mengalir” (al-An’aam 6/145), nescaya orang akan menganggap kesemuanya najis termasuk apa yang ada dalam pembuluh darah sekalipun. Di atas dasar inilah, sesuatu yang bercampur dengan daging dalam pembuluh darah tidak haram secara ijma’, begitu juga hati dan limpa tidak diharamkan secara ijma’. Ini berdasarkan takhsis (mengkhususkan) darah yang haram – mengikut pandangan ulama’ aliran mazhab Hanafi dan Syafei, ia berdasarkan hadis nabi saw yang bermaksud : “Telah dihalalkan kepada kita dua jenis bangkai dan dua jenis darah”. Dua jenis darah itu ialah hati dan limpa.