Followers

Tuesday, April 30, 2013

Fatwa Ulama Saudi Mengenai Hukum Mengundi





 
Soalan:
Kami tinggal di sebuah Negara yang tidak berhukum dengan hukum Allah. Adakah harus bagi seseorang mengundi dan mencalonkan diri dalam pilihanraya Negara ini? 

Jawapan:
Tidak harus bagi seorang Islam untuk mencalonkan dirinya untuk menyertai kerajaan yang berhukum dengan selain apa yang diturunkan Allah (Al-Qur'an dan Sunnah) dan tidak beramal dengan shariat Islam. Maka tidak harus bagi seorang Muslim untuk mengundinya atau mengundi selain daripadanya yang bekerja dalam kerajaan tersebut. Melainkan jika orang yang mencalonkan dirinya dari kalangan orang Islam dan mereka yang mengundi berhasrat untuk menukar hukum kepada beramal dengan shariat Islam melalui cara memasuki pilihanraya, dan mengambil cara itu sebagai satu jalan untuk menguasai sistem pemerintahan. Orang yang telah berjaya memasuki pemerintahan itu pula tidak bekerja di jawatan-jawatan yang bercanggah dengan shariat Islam.

Fatwa Lajnah Daa'imah yang diketuai oleh Shaikh Ibn Baaz 23/406-407.

Soalan:
Sebagaimana yang pihak tuan sedia maklum, kami di Algeria ini mempunyai pilihanraya tashri'iyyah. Sebahagian parti-parti di sini menyeru ke arah berhukum dengan shariat Islam dan sebahagian lain pula tidak mahu kepada hukum Islam. Maka apa hukumnya mengundi golongan yang tidak mahu menegakkan hukum Islam walaupun dia solat ?

Jawapan:
Wajib bagi orang Islam yang berada di Negara yang tidak berhukum dengan hukum Islam untuk mengerah tenaga dan usaha mereka semampu mungkin untuk berhukum dengan Shariat Islam. Mereka hendaklah berganding bahu dalam membantu parti yang diketahui akan menghukum dengan Shariat Islam. Adapun membantu orang yang menyeru ke arah tidak melaksanakan shariat Islam adalah tidak boleh malah boleh membawa kepada kekufuran berdasarkan kepada firman Allah yang bermaksud:”Dan hendaklah engkau menjalankan hukum di antara mereka dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah dan janganlah engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka, dan berjaga-jagalah supaya mereka tidak memesongkanmu dari sesuatu hukum yang telah diturunkan oleh Allah kepadamu. Kemudian jika mereka berpaling (enggan menerima hukum Allah itu), maka ketahuilah, hanyasanya Allah mahu menyeksa mereka dengan sebab setengah dari dosa-dosa mereka dan sesungguhnya kebanyakan dari umat manusia itu adalah orang-orang yang fasik. Sesudah itu, patutkah mereka berkehendak lagi kepada hukum-hukum jahiliah? Padahal kepada orang-orang yang penuh keyakinan tidak ada sesiapa yang boleh membuat hukum yang lebih baik dari Allah”. (Al Maa'idah 49-50)

Oleh kerana itu setelah Allah menerangkan kekufuran orang yang tidak berhukum dengan shariat Islam maka Allah memberi amaran agar tidak membantu mereka dan tidak mengambil mereka sebagai penolong/kawan/pemimpin. Lalu Allah memerintahkan orang-orang beriman agar bertaqwa jika mereka benar-benar beriman. Maka Allah berfirman yang bermaksud: ”Wahai orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil orang yang menjadikan agama kamu sebagai ejek-ejekan dan permainan daripada orang yang telah diberikan Kitab sebelum kamu dan orang-orang kafir musyrik itu: Menjadi penolong-penolong dan bertakwalah kepada Allah, jika kamu benar-benar orang yang beriman”. (Al Maa'idah 57) 

Fatwa Lajnah Daa'imah yang diketuai oleh Shaikh Ibn Baaz 1/373-374

Soalan:
Apakah hukum pilihanraya yang wujud di Kuwait memandangkan bahawa kebanyakan golongan Islam dan Da'wah yang menyertainya telah terfitnah agama mereka ? Apa pula hukum pilihanraya kecil kabilah yang wujud di dalamnya wahai sheikh ?

Jawapan:
Saya menganggap bahawa pilihanraya ini wajib. Kita wajib untuk melantik orang yang kita nampak sebagai memiliki kebaikan kerana apabila orang-orang baik lengah dalam perkara ini maka siapakah yang akan mengambil tempat mereka ? Orang-orang jahat atau manusia lalang yang tidak memiliki kebaikan mahupun keburukan, yang mengikuti setiap yang bersuara lantang. Kita wajib untuk memilih orang yang kita lihat sebagai Soleh. Apabila seseorang berkata bahawa kami telah memilih seorang tetapi majoriti ahli majlis (parlimen/dewan rakyat/dewan negara) adalah daripada aliran lain maka kita menjawab: Tidak mengapa. Seorang ini jika Allah menjadikan dalam dirinya keberkatan dan dia melontarkan kalimah-kalimah yang benar dalam majlis ini nescaya ia akan memberi kesan yang pasti.

Kalimah haqq daripada seorang individu telah memberi kesan kepada begitu ramai orang yang dipimpin seorang pemerintah yang sangat kejam. Oleh itu saya berkata: Walaupun ditentukan bahawa tidak ada di dalam Parlimen melainkan bilangan kecil di kalangan ahli kebenaran nescaya mereka akan memberi manfaat. Tetapi mereka hendaklah ikhlas kepada Allah `Azza wa Jalla. Adapun kata-kata bahawa Parlimen itu tidak harus (dimasuki) dan tidak boleh menyertai serta duduk dengan orang-orang Fasiq, maka adakah kita ada mengatakan bahawa kita menyertai Parlimen untuk menyetujui mereka? Kita duduk bersama mereka untuk menerangkan kebenaran buat mereka. Sebahagian rakan di kalangan `Ulama' menganggap bahawa haram menyertai pilihanraya kerana ia menjadikan seorang yang beristiqamah duduk

dengan seorang yang terpesong. (Jadi kita ingin bertanya) Adakah lelaki istiqamah ini memasuki pilihanraya untuk memesongkan dirinya atau untuk meluruskan apa yang bengkok ?
Jawab ! Adakah seorang lelaki yang istiqamah yang duduk di sebelah seorang yang terpesong dalam pilihanraya untuk memesongkan orang ? Ya, dia menyertai pilihanraya untuk membetulkan dan meluruskan yang bengkok lagi tersasar.Jika dia tidak berjaya kali ini dia akan berjaya lain kali.

Yang bertanya : Pilihanraya kecil kabilah wahai sheikh ?

Jawapan:

Semuanya sama. Lantiklah orang yang kamu anggap sebagai baik dan bertawakkallah kepada Allah.

Sunday, April 21, 2013

Umpama Melupakan Sebahagian Kewajipan







Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 44 bermaksud:

Patutkah kamu menyuruh manusia supaya berbuat kebaikan sedang kamu lupa akan diri kamu sendiri; padahal kamu semua membaca Kitab Allah, tidakkah kamu berakal?


Allah SWT amat membenci orang yang hanya menyuruh orang lain melakukan kebaikan, tetapi dirinya sendiri tidak melakukannya. Sifat seperti ini adalah sifat golongan ahli kitab. Mereka mengetahui kebaikan dan kebenaran Islam, tetapi mereka tidak mahu menerima Islam. Mereka hanya menyuruh orang lain beriman.

Justeru, mana-mana pemimpin yang memegang kepimpinan mestilah terlebih dahulu melakukan kebaikan dan kebajikan kerana mereka juga bertanggung jawab untuk memastikan orang lain atau mereka yang berada di bawah pimpinannya melakukan sesuatu kebaikan.

Orang yang bergelar ‘ketua’ adalah orang yang paling berpengaruh dalam masyarakat. Semakin tinggi jawatan atau kedudukan di dalam masyarakat semakin besarlah pengaruhnya. Di tangannya acuan yang membentuk dan membina keperibadian sesuatu kelompok masyarakat. Sekiranya dia seorang pengerusi persatuan, atau Yang Dipertua pertubuhan, masa depan persatuan atau pertubuhan tersebut banyak bergantung kepada corak kepimpinannya. Aspek yang paling penting disamping ilmu dan pengalaman ialah akhlak. Al-Quran meletakkan garis panduan yang amat unik perihal akhlak  kepimpinan ini.  


Kepimpinan Melaui Tauladan

Teladan yang baik menjadi sifat utama seorang pemimpin di semua peringkat kepimpinannya dari peringkat yang paling rendah hingga peringkat tertinggi. Dalam hal ini Allah SWT berfirman dalam surah al-Furqan ayat 74 bermaksud: “Dan jadikanlah kami imam bagi  orang yang bertakwa.”

Ayat ini adalah di antara ayat yang menjadi asas perbahasan akhlak kepimpinan Islam. Pemimpin atau imam yang bertaqwa sahaja yang layak memimpin orang bertaqwa. Ketika mentafsirkan ayat ini Mujahid  menjelaskan bahawa maksud kepimpinan bertaqwa ialah    pemimpin yang membimbing kepada ketaqwaan, yang dapat mencontohi kepimpinan sebelumnya dan umat selepasnya pula dapat mencontohi kepimpinannya”. Berdasarkan pandangan Mujahid ini kita dapat melihat kepentingan  seorang pemimpin mengikut jejak langkah pemimpin-pemimpin sebelumnya dengan memimpin umat ember kebaikan dan ketaatan kepada Allah SWT. Dalam ayat lain iaitu surah al-An’am ayat 60 Allah berfirman yang bermaksud:   “ Mereka Itulah orang-orang yang telah diberi petunjuk oleh Allah, Maka ikutilah petunjuk mereka.”
                                                                                                                  
Ciri kepimpinan seperti inilah yang perlu ditonjolkan sepanjang zaman untuk memimpin sesebuah organisasi kecil atau besar lebih-lebih lagi sebuah kerajaan.  Ketika Nabi Ibrahim a.s. dilantik menjadi rasul dan baginda diisytiharkan sebagai pemimpin besar umat manusia oleh Allah S.W.T, baginda   berdoa memohon kepada Allah SWT agar memberikan juga kepimpinan tersebut kepada zuriat baginda a.s seperti yang dirakamkan di dalam firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 124 yang bermaksud: “Ibrahim berkata: “(Dan saya mohon juga) dari keturunanku.

Allah menjawab permohonan Nabi Ibrahim a.s. dengan menyatakan bahawa urusan kepimpinan tidak akan diserahkan kepada orang-orang yang zalim sekalipun mereka dari zuriat Nabi Ibrahim a.s. dengan firmanNya: “Allah berfirman: “Janji-Ku (ini) tidak mengenai orang yang zalim”.

Perkara yang paling penting dalam kepimpinan ialah mengajak orang lain melalui tindakan sebelum mengajak orang lain melalui arahan. Seorang ketua yang beramal dengan berjimat cermat menggunakan harta majikan, lebih senang diterima arahannya untuk berjimat cermat dari seorang yang boros dan menggunakan harta majikan sewenang-wenang. Begitu juga seorang pemimpin yang bersih dari rasuah akan dapat membanteras rasuah sekiranya dia sendiri bersih dari  rasuah. Sebaliknya rasuah akan terus menjadi budaya dan tabiat umat sekiranya ia menjadi tabiat dan budaya pemimpin.
           
Seorang ulama yang bernama Abdul Wahid Bin Ziyad memuji Hasan al-Basri dengan berkata:

“ Hasan al-Basri tidak mencapai darjat ketinggian sepertimana yang dicapainya melainkan melalui amalan mendahului orang lain melakukan sesuatu kebaikan apabila menyuruh mereka beramal dengannya, dan mendahului orang lain menjauhi kejahatan apabila melarang mereka melakukannya”

Imam Nawawi  pernah ember teguran kepada pemerintah pada zamannya supaya meninggalkan kemewahan dan menggunakan harta istana terlebih dahulu bagi menyelesaikan kemelesetan ekonomi ember serta bagi menghadapi serangan daripada tentera musuh sebelum meminta rakyat menyerahkan harta benda mereka kepada Negara. Akhirnya beliau dihalau dari Damsyik dan beliau pulang ke Nawa tempat tumpah darahnya sendiri hanya kerana teguran tersebut. Ketegasan Imam Nawawi dalam perkara ini menunjukkan bahawa uswah yang baik  bagi pemimpin Negara amat penting supaya tidak menimbulkan masalah di kalangan rakyat.
           

Uswah Hasanah
           
Pemimpin yang bersifat uswah hasanah berusaha meninggalkan banyak perkara yang ‘harus’, kerana menjaga diri dari terjebak kepada perkara shubhah dan menjauhi punca-punca prasangka  buruk orang ramai. Sekiranya sifat zuhud seperti ini menjadi amalan pemimpin sesuatu umat, berbahagialah umat tersebut. Mereka tidak menaruh prasangka buruk, malah ember kepercayaan sepenuhnya kepada pemimpin seperti ini. Dia makan apa yang orang lain makan. Dia pakai apa yang orang lain pakai. Dia berkenderaan apa yang orang lain berkenderaan. Sebaliknya sekiranya pemimpin mengamalkan gaya hidup ranggi, orang ramai tidak akan percaya kepada mereka, dan tidak lagi menghiraukan cakap mereka.

Saidina Ali r.a amat prihatin dengan perkara ini, baginda memakai pakaian yang biasa dan sederhana,  tidak seperti pemimpin Rom dan Parsi yang memakai pakaian serba mewah dan ranggi. Ketika Saidina Ali r.a. dikritik kerana berpakaian demikian, baginda menjawab:

Kenapa tuan-tuan terlalu bimbang dengan pakaian ini. Ia adalah pakaian yang  jauh daripada kesombongan, dan lebih mudah dicontohi oleh seorang muslim”.

Banyak lagi sifat-sifat terpuji yang perlu diamalkan oleh seorang pemimpin umat Islam untuk melayakkan diri menjadi pemimpin yang dipatuhi dan disegani.

Umat Islam memerlukan kepada contoh atau model yang boleh dicontohi. Seorang pemimpin yang dapat menunjukkan contoh melalui amalannya lebih mempunyai aura yang dapat menarik perhatian dan mencetuskan rasa ember di hati orang bawahan. Keyakinan diri yang ditunjukkan melalui teori dan amali ini dapat menarik hati-hati orang ramai mencontohi dengan penuh kerelaan dan harmoni.

Ringkasnya, kesan dan faedah kepimpinan melalui tauladan akan dapat menghasilkan perkara-perkara berikut:

1.      Menjadi contoh yang boleh diteladani kepada orang lain.
2.      Mendapat kasih ember orang ramai dan rakyat atau orang bawahan.
3.      Memimpin umat dengan penuh keyakinan dan mempunyai wawasan yang jelas dan berkesan.
4.      Menjadi wasilah tarbiyah yang berkesan.
5.      Pengurusan dan pentadbiran menjadi lebih efisyen.
6.      Mendapat ganjaran pahala berterusan selagi amalannya dicontohi dan diikuti sepanjang zaman.


Memberi keadilan

Menjadi suatu kewajipan kepada setiap pemimpin untuk melakukan keadilan serta menjauhi sebarang bentuk kezaliman. Firman Allah dalam surah al-Ma’idah ayat 8, bermaksud:

Hai  orang yang beriman hendaklah kamu jadi  orang yang selalu menegakkan (kebenaran) kerana Allah, menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah, kerana adil itu lebih dekat kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, Sesungguhnya Allah Maha mengetahui apa yang kamu kerjakan.

Imam al-Baghawi ketika mentafsirkan ayat yang bermaksud : berlaku adillah, kerana adil itu lebih dekat kepada takwa, telah berkata: hendaklah kamu berlaku adil terhadap kawan dan lawan kamu, kerana yang demikian itu lebih dekat kepada ketaqwaan. Keadilan Islam tidak mengenal keturunan,warna kulit, dan agama. Di dalam ayat di atas diperintah supaya berlaku adil walaupun terhadap musuh yang dibenci. Sekiranya keadilan wajib diberikan walaupun terhadap musuh, maka apatah lagi terhadap orang yang beriman. Keadilan yang ditegakkan adalah suatu ketaatan kepada Allah SWT, bermakna pemimpin yang adil adalah pemimpin yang taat kepada Allah, dan itulah yang dimaksudkan dekat kepada ketaqwaan. Sebaliknya menurut al-Tabariy,  kezaliman yang dilakukan adalah suatu kederhakaan kepada Allah, bermakna pemimpin yang zalim adalah pemimpin yang jauh daripada ketaqwaan.

Apabila  meneliti ayat-ayat al-Quran yang menjelaskan tentang kezaliman dan penzalim kita akan dapati bahawa penghujungnya adalah kegagalan dan kerugian. Orang yang zalim akan jauh dari janji kebahagian dan kesejahteraan . Mereka tidak mendapat kasih ember Allah SWT. Antara ayat-ayat tersebut ialah firman Allah SWT dalam surah al-An’am ayat 21 bermaksud: “Sesungguhnya orang-orang yang zalim itu tidak mendapat keberuntungan.”. Dalam surah Ali ‘Imran ayat 57, Allah menyatakan, maksudnya: “Dan Allah tidak menyukai orang-orang yang zalim”.

Ringkasnya, kesan dan faedah melakukan keadilan akan dapat menghasilkan perkara-perkara berikut:

1.      Orang yang berlaku adil akan selamat di Dunia dan Akhirat.
2.      Kepimpinan akan berterusan.
3.      Mendapat keredhaan Allah sebelum mendapat keredhaan rakyat.
4.      Orang lain selamat dari kejahatan dan kezaliman.
5.      Pemimpin yang adil berkelayakan memimpin, ember hukuman, membawa kemajuan dan kecemerlangan.
6.      Menegakkan kebenaran dan tidak takut menghapuskan kebatilan.
7.      Membuka pintu kepada segala kebaikan dan ketaatan.
8.      Meratakan keadilan Islam kepada semua lapisan masyarakat sama ada Islam atau bukan Islam, kaum kerabat atau bukan kerabat, malah memelihara hak-hak kemanusiaan sejagat.
9.      Menjalani jalan ke syurga.


Memilih Pemimpin

Kepimpinan dan perlantikan pemimpin merupakan suatu amanah yang tidak boleh dipandang remeh dan tidak boleh dipandang sepi. Ini kerana kepimpinan merupakan suatu amanah dan tanggungjawab besar yang perlu dipikul oleh mereka yang diberikan amanah tersebut. Pemimpin merupakan orang yang akan melaksanakan tanggungjawab sebagai ’khalifah’ di kawasan yang ditadbirnya. Tanggungjawab khalifah sebagaimana yang disebut oleh al-Imam al-Mawardi dalam kitabnya yang tersohor iaitu ’al-Ahkam al-Sultaniyyah’ ialah kewajipan melaksanakan dan menegakkan agama serta mengurus, mentadbir dan memakmurkan dunia ini dengan cara yang tidak bercanggah dengan agama.

Amanah bukanlah sesuatu ’keseronokan’ yang hendak direbut dengan rakus dan tamak, tetapi ia merupakan tanggungjawab yang akan dipersoalkan di hadapan Allah di akhirat kelak. Justeru, setiap mereka yang berpotensi untuk dilantik menjadi pemimpin hendaklah sentiasa bermuhasabah diri agar tidak hanyut dibuai gelombang rakus dalam merebut jawatan tetapi menginsafi dengan amanah yang wajib dipikul apabila mendapat mandat daripada rakyat. Sehubungan dengan itu, Saidina Umar pernah berkata: ’Fahamlah terlebih dahulu (tanggungjawab dan amanah tersebut), sebelum kamu dilantik menjadi pemimpin’.

Nabi saw pernah bersabda dalm sebuah hadis sahih yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari yang bermaksud: ”Sekiranya amanah itu disia-siakan, maka tunggulah kehancuran”. Lalu para sahabat baginda bertanya tentang bagaimanakah yang dikatakan bahawa amanah itu disia-siakan? Lalu nabi saw menjawab: ”(Amanah itu disia-siakan) apabila kamu menyerahkan sesuatu urusan kepada mereka yang tidak layak memikulnya, maka tunggulah akan kehancuran!”. Dalam hadis nabi saw yang lain yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim, baginda bersabda yang bermaksud: ”Setiap kamu adalah pemimpin, dan kamu bertanggungjawab kepada setiap perkara yang berada di bawah kepimpinan kamu, seorang imam (pemerintah) merupakan pemimpin, maka dia bertanggungjawab kepada sesiapa pun yang berada di bawah kepimpinannya...”.

Sekiranya kepimpinan itu merupakan suatu amanah, maka begitu juga soal melantik pemimpin juga merupakan suatu tanggungjawab dan amanah yang wajib ditunaikan menurut landasan syarak. Ini kerana, sekiranya berlaku kesilapan dalam melantik pemimpin, maka bermakna kita telah menyerahkan sesuatu urusan kepada mereka yang tidak layak menerimanya dan perbuatan ini jelas bercanggah dengan ajaran Islam sebagaimana yang telah diterangkan dalam hadis nabi saw sebelum ini. Oleh yang demikian, kita tidak boleh melantik ’wakil’ di kawasan kita hanyalah berasaskan sentimen, hubungan kerabat, kepentingan diri dan sebagainya, akan tetapi perlantikan pemimpin hendaklah berdasarkan kelayakan seseorang itu untuk memikul amanah dan tanggungjawab sebagaimana yang digariskan di dalam ajaran Islam. Sekiranya kita memilih serta melantik seseorang yang sememangnya diketahui bahawa dia tidak layak untuk memegang amanah tersebut, maka kita turut sama terlibat dalam mensia-siakan amanah yang akan dipertanggungjawabkan kesalahan tersebut di akhirat kelak. 

Sehubungan dengan itu, bagaimanakah cara yang terbaik untuk kita menilai sama ada seseorang itu memang layak atau sebaliknya? Sesuatu yang lumrah, bahawa kita menilai seseorang dari sudut zahirnya sahaja bukan batinnya kerana kita tidak mempunyai kemampuan untuk menilai seseorang mengenai batinnya atau apa yang terbuku di hatinya. Akan tetapi apa yang kita mampu membuat penilaian hanyalah melihat kepada zahirnya sahaja, kerana kebiasaannya, hati yang baik akan melahirkan sifat dan kelakuan yang baik juga. Apatah lagi, kaedah dalam hukum syara’ menyatakan bahawa ’kita hanya berhukum secara zahir, tetapi Allah lah yang mengetahui apa yang ada pada batin seseorang’.

Antara ciri yang penting dalam pemilihan ialah berdasarkan keperibadian dan syakhsiah iaitu orang  yang benar-benar layak untuk memikul amanah dan tanggungjawab yang diberikan. Ini kerana sekiranya diberikan urusan kepimpinan kepada mereka yang rosak akhlaknya, maka amanah yang diberikan itu akan mudah dikhianati dengan amalan-amalan yang haram seperti rasuah, penipuan, penyelewengan harta awam dan sebagainya. Firman Allah dalam surah al-Hajj ayat 41 bermaksud: ”Mereka (umat Islam) yang jika Kami (Allah) berikan mereka kekuasaan memerintah dibumi, nescaya mereka mendirikan solat serta mengeluarkan zakat, dan menyuruh berbuat kebaikan serta melarang daripada melakukan kejahatan dan perbuatan yang munkar dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan".

Oleh yang demikian, menjadi suatu kewajipan kepada   pengundi untuk melantik mereka yang menepati kriteria sebagai pemimpin yang boleh memikul amanah kepimpinan dengan baik sebagaimana yang telah digariskan oleh Allah di dalam al-Quran. Janganlah memperjudikan masa depan umat Islam dengan memilih mereka yang mempunyai keperibadian yang songsang serta yang mempunyai akhlak yang buruk. Justeru, pemimpin yang wajar diberikan amanah dan tanggungjawab ialah mereka yang menitik beratkan aspek solat, zakat, amar makruf nahi munkar, pengurusan serta pentadbiran yang bersih dan mantap dan sebagainya yang boleh mendatangkan kebaikan dan kesejahteraan di dunia dan di akhirat. Justeru, kriteria penting dalam memilih pemimpin adalah melantik pemimpin yang bijak dalam melaksanakan amanah Allah SWT di atas muka bumi ini.

Syeikh Mustafa Muhammad at-Tohhan di dalam bukunya Syakhsiah al-Muslim al-Mu’asir telah menyenaraikan beberapa amanah yang perlu dipikul oleh para pemimpin. Antaranya ialah menegakkan syariat Allah berpandukan apa yang telah diturunkan oleh Allah. Seterusnya menegakkan keadilan dalam kalangan manusia tanpa mengira warna kulit dan bangsa serta mengambil tahu dan prihatin terhadap permasalahan rakyat. Selain itu, amanah yang perlu dilaksanakan ialah membangunkan negara dengan jaminan pendidikan dan kesihatan, membuka ruang perdagangan, perusahaan dan pertanian, menjamin hak asasi manusia dan hak persamaan mereka di sisi undang-undang dan seterusnya menjamin kebebasan mengeluarkan pendapat dalam kalangan rakyat jelata.

Kesimpulannya ialah kepimpinan bukanlah satu kebanggaan, bukan satu kehebatan dan bukan pula satu perkara yang menyeronokkan, tetapi kepimpinan adalah amanah Allah s.w.t yang perlu dipikul dengan penuh tanggungjawab. Kepimpinan bermakna seseorang itu menerima bebanan besar dan akan dibicarakan oleh Allah s.w.t di Padang Mahsyar kelak. Oleh yang demikian, pengundi yang bijak serta cerdik sudah tentu akan memilih pemimpin yang berkelayakan memikul amanah dan tanggungjawab demi mencapai keredhaan Allah. Janganlah membiarkan diri dibelenggu dengan dosa dan kemurkaan Allah dengan sengaja memilih pemimpin yang tidak layak untuk memikul amanah dan tanggungjawab yang besar ini.


Cerpen - Kota Sydney - bhg 4







Di hadapan Muhammad Ramadan berdiri cegat warga Australia tersebut. Bermata bulat, berambut perang, memakai seluar jeans dan t-shirt tertera perkataan ‘war’. Umur dalam lingkungan 30 an, Nampak sasa dan tegap. Matanya yang bulat dan kebiruan itu memandang tepat ke wajah Muhammad Ramadan, seolahnya tersirat sesuatu. Muhammad Ramadan menjadi sedikit kaget. “Apa tujuan lelaki ini…”, fikir Muhammad Ramadan sendirian. “Kalau niatnya baik, Alhamdulillah… tetapi kalau niatnya jahat, ku akan pertahankan kesucian masjid ini dengan segala kudrat yang ada”, bisikan hati kecil Muhammad Ramadan. 

Muhammad Ramadan bukan calang-calang orang. Walau agak sedikit risau dengan kehadiran lelaki Australia yang datang dengan tidak semena-mena itu, tetapi pengalamannya yang luas dalam dakwah terhadap remaja dan pemuda jalanan di Sydney membuatkan hatinya cekal dan tabah. Niatnya hanya untuk menyampaikan mesej Islam agar difahami oleh warga Sydney. Kalau pun mereka tidak menerima Islam sebagai anutan , sekurang-kurangnya mereka tidak bermusuh dengan orang Islam setelah mengetahui tentang ajaran Islam sebenar.

Muhammad Ramadan faham benar dengan sikap orang Australia. Muhammad Ramadan sudah tinggal di Australia lebih daripada 30 tahun. Beliau sendiri sudah mendapat kerakyatan Australia. Anak-anaknya lahir dan membesar di Kota Sydney. Namun begitu, Muhammad Ramadan tetap mengekalkan jati dirinya sebagai seorang Melayu.

Bersambung .... 

Cerpen - Kota Sydney - Bhg 3







Ketika golongan Thaqif di Ta’if menolak mentah-mentah dakwah dan seruan nabi kepada Islam, baginda tetap bersabar dan rahmat baginda kepada mereka tetap terserlah. Puak Thaqif di Ta’if bukan sahaja menolak dakwah nabi, bahkan mereka juga bertindak secara kekerasan pada baginda. Mereka mengarahkan hamba abdi, khadam dan budak-budak nakal Bani Thaqif melontar baginda dengan anak-anak batu sehingga luka kedua-dua belah kaki baginda. Zaid Bin al-Harithah yang mengiringi Rasulullah ke sana cuba melindungi baginda daripada serangan dan lontaran budak-budak nakal itu sehingga luka beberapa tempat di kepalanya.

Dalam suasana yang getir itu, Rasulullah terus bersabar dan menadah tangan berdoa pada Allah: ‘Ya Allah, kepada Engkau aku mengadu keda’ifan tenagaku dan kurang bicaraku, kehinaanku di mata ramai. Wahai Tuhan Yang Maha Pengasih, Dikaulah Tuhan bagi golongan yang lemah, Dikaulah Tuhanku, kepada siapakah Dikau akan serah daku ini? Kepada mereka yang jauh yang bencikan daku atau kepada seteru yang Kau berikan kuasa ke atasku? Andai kata tidak ada sebarang kemurkaan Mu ke atasku, maka tidak akan ku pedulikan, tetapi kemaafan dan kurniaan Mu lebih luas untukku. Aku berlindung dengan cahaya zat Mu yang menyinari segala kegelapan dan yang memberi manfaat dunia dan akhirat, aku berlindung daripada kemarahan dan kemurkaan Mu ke atasku. Dikau sahaja yang menegur sepuasnya. Dan tidak ada helah bicara dan daya upaya (kekuatan) kecuali dengan apa yang diberikan oleh Mu, Ya Allah’.

Setelah itu, malaikat Jibril datang kepada Rasulullah SAW dan menyatakan bahawa Allah SWT telah mendengar setiap perkataan puak yang menolak seruanmu serta tindakan mereka terhadapmu.  Allah mengutuskan malaikat penjaga gunung untuk kau, dan suruhlah dia buat apa sahaja yang engkau mahu. Lalu malaikat penjaga gunung itu pun datang dan memberi salam kepada Rasulullah dan berkata, ‘aku ini malaikat segala gunung diutus oleh Tuhanmu dan perintahkanlah apa sahaja terhadapku apa yang engkau kehendaki. Sekiranya engkau mahu, aku akan menghempap bukit al-Akhsyabin ke atas mereka!. Jawab Rasulullah SAW: ‘Bahkan apa yang aku mahu ialah moga Allah mengeluarkan daripada sulbi mereka (anak cucu mereka) golongan yang mengabdikan diri kepada Allah Yang Maha Esa, dan tidak mensyirikkanNya dengan sesuatu’. Begitulah hebatnya sifat rahmat yang ada dalam diri Rasulullah sehingga baginda tetap mengharapkan kebaikan akan wujud daripada golongan yang jelas menentang baginda.

Rasulullah SAW juga mempunyai sifat rahmat dan belas kasihan kepada kanak-kanak. Telah diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim, bahawa Rasulullah SAW mencium al-Hasan dan al-Husin dengan penuh kasih sayang. Ketika itu al-Aqra’ Bin Habis al-Tamimi memerhatikan perbuatan baginda, lalu beliau berkata: ‘aku mempunyai sepuluh orang anak, dan aku tidak pernah mencium walau seorang pun daripada mereka’. Lalu Rasulullah SAW berkata kepadanya: ‘Sesiapa yang tidak mempunyai sifat rahmat, dia tidak akan dirahmati’.

Rasulullah SAW juga mempunyai sifat rahmat dan belas kasihan kepada anak-anak yatim, ibu tunggal dan orang sakit. Rasulullah sentiasa memberikan makanan kepada golongan-golongan ini. Selain itu, Rasulullah juga tidak melepaskan peluang untuk menziarahi orang miskin, terutamanya orang sakit dan orang yang meninggal dunia dalam kalangan mereka. Begitu juga, Rasulullah amat prihatin terhadap kebajikan anak-anak yatim dan baginda memerintahkan umat Islam agar berbuat baik kepada anak-anak yatim.

Rasulullah SAW juga sangat mengambil berat terhadap para sahabat baginda. Baginda akan turut berasa sedih apabila seseorang sahabat mendapat kesusahan atau berada dalam kesedihan. Ketika nabi menziarahi jenazah Uthman Bin Maz’un, baginda mencium di antara dua mata jenazah sambil air mata baginda mengalir, sehingga Aisyah menyatakan bahawa aku nampak air mata nabi mengalir di atas pipi Uthman. Begitulah sifat rahmat dan belas kasihan yang ada pada diri Rasulullah SAW.

Sifat rahmat Rasulullah bukan sahaja pada manusia, bahkan pada haiwan dan binatang. Rasulullah berwasiat agar bersikap rahmat terhadap haiwan, dan melarang daripada menyakiti haiwan dengan apa cara sekali pun. Rasulullah juga melarang daripada sengaja duduk di atas tunggangan binatang dalam jangka waktu yang panjang sekiranya tanpa sebarang keperluan. Rasulullah bersabda yang bermaksud: ‘Tunggangilah ia (binatang) dengan baik, dan tinggalkannya dengan baik, dan janganlah kamu menjadikannya sebagai kerusi (tempat duduk) sedangkan kamu berbicara panjang di jalan dan di pasar, mungkin yang ditunggang itu lebih baik dan lebih banyak mengingati Allah daripada yang menunggang’. (Hadis riwayat Imam Ahmad, Abu Ya’la dan al-Tabrani).

Dalam sebuah hadis riwayat Imam Bukhari, nabi SAW bersabda yang maksudnya: ‘seorang wanita masuk neraka hanya kerana seekor kucing, beliau mengikat dan mengurungnya dan tidak melepaskannya untuk mencari makanan untuk dimakan’. Rasulullah juga melarang membunuh binatang dengan tidak ada tujuan seperti membunuh burung dengan suka-suka bukan bertujuan untuk makan. Sabda nabi bermaksud: ‘Sesiapa yang membunuh burung (dengan suka-suka), pada hari Kiamat kelak, burung tersebut akan mengadu pada Allah dengan katanya: Ya tuhan, sesungguhnya si fulan ini membunuhku dengan tanpa tujuan dan tanpa sebarang manfaat’ (Hadis riwayat Imam al-Nasa’ei).

Bersambung............