Followers

Monday, March 24, 2008

Temubual Dengan Mufti al-Quds dan Palestin


Semalam saya bersama En Zulkafly editor Majalah Milenia Muslim berkesempatan menemubual Mufti Besar al-Quds dan Palestin yang juga merangkap khatib Masjid Aqsa dan Pengerusi Majlis Fatwa Palestin iaitu Sheikh Muhammad Ahmad Husain. Beliau ditemani oleh seorang pegawai dari Kedutaan Palestin di Kuala Lumpur. Temubual tersebut telah diadakan di Hotel Prince, Kuala Lumpur pada pukul 9.30 pagi. Beliau yang baharu dua tahun menjawat jawatan tersebut melahirkan kesedihan dan kekecewaan terhadap kekejaman rejim zionis Israel yang saban hari bertindak membunuh umat Islam di Palestin yang tidak berdosa. Malahan rejim zionis itu juga meneruskan kezaliman mereka dengan merampas tanah-tanah orang Palestin. Tambahan daripada itu, rejim zionis itu juga masih meneruskan usaha mengorek di bawah tanah Masjid al-Aqsa sehingga menyebabkan struktur masjid dan bangunan-bangunan berhampiran semakin goyah. Beliau amat mengharapkan perpaduan di antara umat Islam di Palestin akan bertambah kukuh dalam menghadapi kekejaman dan kezaliman tentera Israel, justeru beliau juga mengharapkan agar 'Hamas dan Fatah' dapat duduk semeja berbincang bagi mengukuhkan perpaduan di antara umat Islam di Palestin. Tidak lupa beliau turut menyeru dan menasihati umat Islam untuk belajar dan memahami Islam dengan baik serta berpegang dengan ajaran Islam yang mulia ini agar memperoleh keredhaan dan pertolongan Allah swt.

No comments:

Post a Comment