Followers

Tuesday, September 8, 2009

Perbahasan Tentang Arak


Oleh: Ustaz Shauqi

Pengertian Arak

Para fuqaha’ berselisih pendapat dalam menentukan takrif arak. Apakah ia memberi erti apa sahaja yang memabukkan, atau nama khas bagi minuman tertentu sahaja.

Menurut pendapat jumhur[1], arak bererti segala bahan yang memabukkan, sama ada diberi nama خمر” atau memakai nama apa pun juga, dan samada ia diproses daripada bahan-bahan tertentu seperti buah anggur atau lain-lainnya, seperti tamar, gandum, sya‘ir, beras dan lain-lainnya, dan samada ia dapat memabukkan walaupun sedikit atau dapat memabukkan apabila diambil dengan banyak.

Unsur-unsur penting dalam kesalahan minum arak

Ada dua unsur penting dalam kesalahan meminum arak iaitu perbuatan meminum minuman berkenaan dan niat jahat.

1. Perbuatan meminum minuman berkenaan

Menurut jumhur fuqaha’[2], unsur ini akan wujud apabila seseorang itu meminum apa-apa bahan yang memabukkan tidak kira apa jenis sekalipun bahan tersebut, dan samada banyak atau sedikit kandungan alkohol yang terkandung di dalamnya. Apa yang penting bagi mereka ialah sifat minuman itu sebagai minuman yang memabukkan.

Sedangkan Abu Hanifah[3] pula berpendapat, bahawa unsur perbuatan ini akan wujud hanya apabila yang diminum itu ialah arak. Sedangkan minuman yang selain daripada itu tidak melahirkan unsur ini walaupun ia memabukkan.

Beberapa syarat penting dalam kesalahan meminum arak

Ada beberapa syarat penting bagi menentukan bahawa meminum bahan-bahan yang memabukkan itu boleh didakwa di bawah kesalahan ini iaitu:

a) Bahan yang memabukkan itu hendaklah dalam bentuk minuman. Mengambil bahan-bahan lain yang memabukkan tidak boleh dianggap sebagai kesalahan meminum arak seperti mengambil dadah dan sebagainya. Ia termasuk di bawah kesalahan takzir[4].

b) Seseorang itu akan dianggap telah melakukan kesalahan meminum minuman keras yang boleh dikenakan had apabila ia mengambil minuman tersebut walaupun secara mencampurkannya dengan bahan-bahan lain seperti makanan[5].

c) Hendaklah mengambil minuman keras tersebut melalui mulut dan sekurang-kurangnya telah sampai kepada halkumnya[6].

d) Ia hendaklah dilakukan dengan secara sukarela, tidak dipaksa atau terpaksa. Sabda Nabi s.a.w:

رفع عن أمتي الخطأ والنسيان وما استكرهوا عليه
Maksudnya: “Umatku tidak akan dipersalahkan sekiranya dia melakukan sesuatu kerana tersalah atau terlupa atau dipaksa.”

e) Menurut pendapat Imam Abu Hanifah[7], mengambil minuman keras dengan tujuan untuk berubat tidak akan dikenakan hukuman had, disebabkan keperluan yang wujud, walaupun sebaik-baiknya minuman itu tidak diambil dan diminum. Berbeza sekali daripada pendapat yang rajih dalam mazhab Maliki[8] dan Syafi‘iy[9]. Bagi mazhab-mazhab ini, mengambil minuman keras walaupun dengan tujuan untuk berubat boleh dikenakan hukuman had.

2. Niat jahat

Unsur niat jahat dalam kesalahan meminum minuman keras dapat terbentuk jika peminum tersebut mengetahui bahawa yang diminum itu ialah arak atau yang memabukkan[10].

Hukuman atas kesalahan meminum arak

Hukuman atas kesalahan ini berrdasarkan kepada dalil-dalil berikut:

a) Sabda Nabi s.a.w.:
من شرب الخمر فاجلدوه
Maksudnya: Barang siapa minum arak maka sebatlah dia. (Riwayat Ahmad)

b) Rasulullah s.a.w. pernah melaknat peminum arak dan orang-orang yang terlibat dengan arak. Sabda Nabi s.a.w.:

لعن الله الخمر وشاربها وساقيها وبائعها ومبتاعها وعاصرها ومعصرها وحاملها ومحمولة إليها
Maksudnya: Allah s.w.t telah melaknati arak, peminum, pemberi minum, penjual, pembeli, pemerah, orang yang diperah untuknya, pembawa dan orang yang dibawa kepadanya arak[11]. (Riwayat Abu Dawud)

c) Telah sabit daripada Nabi s.a.w. bahawa baginda pernah memukul peminum arak. Diriwayatkan daripada Anas bin Malik r.a. yang bermaksud: “Telah dibawa kepada Rasulullah s.a.w. seorang yang telah meminum arak. Baginda lalu memukulnya dengan kasut sebanyak empat puluh kali. Begitu juga Abu Bakar, pernah memukul peminum arak sebanyak itu. Apabila sampai pada zaman Umar, beliau bertanya sahabat-sahabat tentang hudud. Jawab Ibn ‘Auf: “Sekurang-kurang hudud ialah sebanyak lapan puluh kali pukul.[12]

ACARA DAN KETERANGAN DALAM KES MEMINUM ARAK

Kesalahan meminum minuman keras boleh disabitkan dengan beberapa cara berikut:

1. Keterangan Saksi

Bilangan saksi yang diperlukan dalam kes seperti ini ialah seramai dua orang lelaki. Mengenai syarat-syarat yang diperlukan pada saksi-saksi pula samalah juga dengan syarat-syarat saksi pada kesalahan-kesalahan yang telah lepas seperti zina, qazaf dan lain-lain.

2. Pengakuan

Kesalahan meminum minuman keras juga boleh disabitkan dengan pengakuan daripada peminum sendiri. Tidak seperti dalam kes zina, pengakuan ini cukup walau hanya sekali sahaja[13]. Pada pandangan Abu Hanifah[14], seperti keterangan saksi juga, pengakuan daripada peminum ini perlu dibuat dalam tempoh tertentu, iaitu dalam masa kesan bau minuman itu masih ada pada mulut peminum berkenaan. Akan tetapi Muhammad tidak mensyaratkan apa-apa tempoh seperti itu, kerana bagi beliau tidak akan ada keraguan pada kesahihan pengakuan oleh sebab atau faktor masa.

3. Bukti

Menurut pendapat Imam Malik[15] bauan minuman keras pada mulut pihak yang didakwa boleh dijadikan bukti kesalahan minuman keras, walaupun tidak ada saksi yang melihat pihak yang didakwa telah melakukan kesalahan tersebut. Dalam hal ini, apabila dua orang memberi keterangan, bahawa terdapat bauan arak pada mulut pihak yang didakwa, atau salah seorang melihat pihak yang didakwa melakukan kesalahan tersebut dan seorang lagi memberi keterangan bahawa terdapat bau arak pada mulutnya, maka kesalahan tersebut boleh disabitkan ke atas pihak yang didakwa berkenaaan. Ini adalah juga pandangan Ahmad ibn Hanbal[16] dalam satu riwayat daripadanya.

Manakala fuqaha’ lain seperti Imam Abu Hanifah[17] dan Syafi‘iy[18] pula berpendapat sebaliknya, iaitu bauan arak tidak bolah dijadikan bukti kepada adanya kesalahan meminum arak. Pendapat ini juga merupakan pendapat yang kuat dalam mazhab Ahmad bin Hanbal[19].



Senarai Rujukan:
[1] Al-Zarqani, h. 112.
[2] Ibid.
[3] Al-Kasani, j. 5, h. 112.
[4] Al- Ansari, h. 159.
[5] Ibid.
[6] Al-Hajjawi, h. 267.
[7] Ibn al-Humam, h. 301.
[8]Al-Zarqani, h. 114.
[9] Syah. al-Din al-Ramli, Nihayah al-Muhtaj ‘Ala Syarh al-Minhaj, j. 8, Kahirah, Bulaq, h. 12.
[10] Al-Kasani, j. 7, h. 40.
[11] Al-Haithami, Majma’ al-Zawaid, j. 5, h. 73.
[12] Lihat al-Syawkani, h. 314.
[13] Ibn Qudamah, h. 162.
[14] Ibn al-Humam, j. 5, h. 302.
[15] Al-Zarqani, j. 8, h. 113.
[16] Ibn Qudamah, op.cit.
[17] Ibn al-Humam, h. 308.
[18] Al-Ramli, h. 14.
[19] Ibn Qudamah, op.cit.

1 comment: