Followers

Monday, March 22, 2010

Antara Kaedah Mengurus Stres


Oleh : Ustaz Shauqi

Orang yang menghadapi tekanan dan stress hendaklah mengetahui formula pengurusannya agar tekanan yang ditanggung tidak menjadi parah dan kritikal. Pakar-pakar motivasi serta kaunselor-kaunselor banyak mengenengahkan kaedah dan cara pengurusan stress. Antaranya ialah dengan melakukan aktiviti riadah, melakukan kerja-kerja kebajikan seperti gotong royong, berjenaka dan sebagainya. Namun, dalam Islam, banyak cara-cara lain yang boleh dilakukan untuk mengurangkan stress dan tekanan yang dihadapi.

Antara perkara yang boleh dilakukan bagi mengurangkan tekanan dan stress ialah membaca, memahami dan menghayati isi kandungan al-Quran. Membaca al-Quran itu sahaja pun sudah boleh mendatangkan ketenangan, apatah lagi apabila cuba memahami, menghayati serta beramal dengan isi kandungan al-Quran. Disamping membaca al-Quran, hendaklah membanyakkan berzikir kepada Allah. Firman Allah dalam surah al-Ra'd ayat 28, Maksudnya: Ketahuilah dengan "zikrullah" itu, tenang tenteramlah hati manusia.

Kaedah yang seterusnya yang boleh dilakukan bagi mengurangkan stress ialah bertafakkur. Bertafakkur ialah merenung dan memikirkan tentang sesuatu. Orang yang menghadapi stress hendaklah berfikir dan merenung tentang nikmat yang Allah kurniakan kepada diri. Nikmat Allah yang dikurniakan kepada manusia amatlah banyak dan tidak terhitung. Sekiranya kita merenung dan menghayati nikmat yang Allah berikan ini, sudah tentu akan dapat mengurangkan tekanan yang dihadapi. Ini kerana walaupun seseorang itu kehilangan nikmat yang banyak dalam sesuatu tragedi, akan tetapi banyak lagi nikmat Allah yang diterimanya dari semasa ke semasa. Pertolongan dan bantuan yang dihulurkan oleh orang lain pun merupakan salah satu daripada nikmat Allah swt. Firman Allah dalam surah al-Nahl ayat 18, maksudnya: Dan jika kamu menghitung nikmat Allah (yang dilimpahkannya kepada kamu), tiadalah kamu akan dapat menghitungnya satu persatu…".

Selain itu, seseorang itu hendaklah bertaqarrub kepada Allah bagi mengurangkan stress. Taqarrub ialah usaha yang dilakukan bagi mendekatkan diri kepada Allah dengan amalan-amalan kebajikan dan amalan soleh. Ia dapat dilakukan dengan pelbagai cara. Antaranya ialah dengan menghidupkan malam hari dengan tunduk dan sujud kepada Allah swt. iaitu dengan melakukan qiamullail. Firman Allah dalam surah Sajdah ayat 16, maksudnya: Mereka merenggangkan diri dari tempat tidur, (sedikit sangat tidur, kerana mengerjakan solat tahajud dan amal-amal soleh); mereka sentiasa berdoa kepada Tuhan mereka dengan perasaan takut (akan kemurkaanNya) serta dengan perasaan ingin memperolehi lagi (keredaanNya) dan mereka selalu pula mendermakan sebahagian dari apa yang Kami beri kepada mereka.

Imam al-Ghazali telah memberikan sedikit panduan untuk memudahkan seseorang itu bangun pada waktu malam untuk mengerjakan qiamullail iaitu:
1. Tidak makan terlalu banyak pada siang hari
2. Tidak melakukan aktiviti yang terlampau berat sehingga meletihkan badan
3. Tidur qailulah iaitu tidur sebentar pada siang hari sebelum waktu zohor.
4. Menjauhkan diri daripada perbuatan dosa di siang hari.

Selain daripada kaedah yang dinyatakan di atas bagi meredakan ketenangan dan stress, sesuatu yang tidak boleh dilupa dan diabaikan ialah hendaklah bertawakkal kepada Allah dalam menghadapi segala ujian dan pancaroba di atas dunia ini. Sifat tawakkal yang disemai dalam diri akan menghapuskan sikap putus asa, sebaliknya memberikan kekuatan untuk meneruskan kehidupan ini dengan lebih cemerlang dan gemilang.

Jelasnya, stress dan tekanan merupakan fitrah dalam kehidupan. Tiada sesiapa pun boleh lari daripada tekanan. Sebaliknya, setiap dugaan yang datang merupakan ujian Allah bagi menaikkan darjat dan martabat seseorang di sisi Allah. Setiap manusia akan diuji bagi mengenal pasti mereka yang layak menghuni syurga Allah. Oleh itu, umat Islam mestilah bersedia untuk menghadapi tekanan sama ada dari sudut mental mahupun fizikal. Moga tekanan, cabaran dan dugaan yang dihadapi itu akan lebih memantapkan hubungan manusia dengan Allah swt.

No comments:

Post a Comment