Followers

Thursday, July 22, 2010

Mengapa Mudah Terpengaruh Dengan Perkara Pelik?


Oleh: Mohd Sukki Othman (Ustaz Shauqi)


Ajaran Islam telah berjaya meresap ke dalam amalan orang Melayu sejak dahulu-kala sehinggakan masyarakat Melayu terkenal dengan masyarakat yang mempunyai sifat, adab dan budi pekerti yang baik. Namun, malangnya orang Melayu mudah tergoda dengan pengaruh atau benda-benda pelik yang sampai ke telinganya. Sehubungan dengan itu, terdapat dalam kalangan masyarakat Melayu yang apabila mendengar sahaja seseorang boleh melakukan sesuatu yang luar biasa terus dianggap sebagai ‘keramat’, yang akhirnya begitu mudah terjebak dengan ajaran sesat.

Suatu ketika dahulu telah dilaporkan di dada-dada akhbar tentang ‘keramat’ di Pulau Besar, Melaka. Antara tempat yang dikatakan ‘keramat’ di pulau tersebut ialah Makam Tujuh Beradik, Makam Sultanul Ariefin, Makam Syarifah Rodziah dan sebagainya. Lalu, berduyun-duyunlah orang ke sana untuk bernazar, bertawasul dengan makam tersebut untuk mendapatkan anak dan pelbagai lagi perkara khurafat yang dilakukan. Apatah lagi apabila seorang dua daripada mereka yang ‘termakbul’ hajatnya setelah pergi ke sana, maka kepercayaan terhadap ‘keramatnya’ tempat tersebut menjadi semakin menebal.

Baru-baru ini juga saya telah ditanya tentang solat ‘makrifat’. Pelik juga mendengarnya, tapi setelah meminta penerangan, maka saya pun diberitahu bahawa solat makrifat itu ialah solat yang dilakukan untuk mengenal Allah sesuai dengan kata-kata hikmah ‘permulaan agama mengenal Allah’. Solat makrifat ditunaikan sebanyak dua rakaat…. Setelah beberapa lama solat itu ditunaikan, maka akan dapat dirasai diri semakin dekat dengan Allah , bahkan akan nampak cahaya Allah di hadapan semasa menunaikan solat tersebut. Hal ini sebenarnya bukan ‘kenal’ Allah, tapi kenal syaitan. Begitu mudah masyarakat kita terpengaruh dengan benda-benda ‘pelik’ seumpama ini yang akhirnya terjebak dalam kesesatan.

Justeru, terdapat mereka yang ‘pantang’ mendengar wujudnya orang yang ‘pandai’, maka berduyun-duyun hendak bertemu dan berubat dengannya. Orang Melayu memang suka kepada benda-benda yang dianggap pelik, bahkan dirasakan seolahnya ia merupakan suatu keistimewaan tanpa menilai terlebih dahulu sama ada ia merupakan perkara yang benar atau semata-mata tahyul dan khurafat. Sehubungan dengan itu, ramai juga yang percaya kepada keramatnya ‘kayu kokka’ dan sebagainya…. Hal ini semuanya mempunyai unsur syirik kepada Allah.

Saya sendiri pernah berbual dengan seseorang yang kononnya merupakan ahli tarikat kesufian. Lalu dia pun memberitahu saya betapa dia mempunyai seorang guru mursyid yang merupakan seorang kiyai yang hebat serta mempunyai karamah. Gurunya itu boleh menembusi dinding dan melakukan perkara-perkara pelik yang lain yang membuatkan ia begitu teruja. Lalu perbahasan tertumpu kepada persoalan apakah iblis itu salah atau tidak kerana tidak sujud kepada Nabi Adam. Dia pun dengan penuh yakin menyatakan bahawa kita tidak boleh mengatakan bahawa iblis itu salah semata-mata disebabkan ia tidak sujud pada Nabi Adam. Hal ini kerana iblis tidak sujud kepada Nabi Adam disebabkan Nabi Adam itu adalah makhluk. Alasannya ialah makhluk tidak boleh sujud pada makhluk.

Begitu mudah dia mempercayai kata-kata gurunya yang mempunyai sifat ‘luar biasa’ itu sehinggakan akhirnya terjebak dalam kepercayaan yang sesat. Sedangkan Allah SWT telah menegaskan di dalam al-Quran bahawa Iblis tidak mematuhi arahan Allah untuk sujud pada Nabi Adam itu bukannya disebabkan Nabi Adam itu makhluk sepertinya, tetapi keengkaran Iblis itu datang daripada sifat degil dan takabbur yang ada padanya.

Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 34 bermaksud: “Ketika Kami (Allah) memerintahkan kepada malaikat untuk sujud pada Adam, kesemuanya sujud kecuali Iblis, dia enggan dan takabbur, maka ia tergolong dalam golongan yang kufur”. Jelasnya daripada ayat ini menunjukkan bahawa perbuatan iblis tidak sujud kepada Nabi Adam bukannya disebabkan Nabi Adam itu makhluk, tetapi adalah disebabkan sifat degil dan takabbur yang ada pada dirinya.

Kesimpulannya … janganlah mudah teruja dengan sesuatu yang pelik dan luar biasa kerana bukanlah semua yang pelik dan luar biasa itu adalah karamah sebaliknya banyak juga perkara pelik yang datang daripada syaitan. Al-Imam Syafei pernah berkata: ‘sekiranya engkau melihat orang yang melakukan bid’ah itu boleh terbang di udara, maka janganlah engkau tertipu dengannya’.

Justeru, penyelesaian kepada masalah-masalah syirik, khurafat dan tahyul seumpama ini ialah dengan kembali kepada ilmu. Oleh kerana itulah, Islam sangat menitik-beratkan persoalan ilmu yang berlandaskan al-Quran dan Hadis agar manusia tidak tersesat dalam kehidupan di dunia ini. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: ‘Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang kamu tidak akan sesat selamanya apabila berpegang dengan kedua-dua perkara tersebut; iaitu Kitab Allah (al-Quran) dan Sunnahku’.

No comments:

Post a Comment