Followers

Thursday, January 12, 2012

Antara Wang Hantaran & Mahar



Prinsip ajaran Islam itu mudah dan sederhana. Wang hantaran bukanlah sesuatu yang wajib diberikan kepada pengantin perempuan tetapi ianya dibenarkan di dalam Islam sebagai bantuan kewangan untuk majlis perkahwinan dengan syarat selagi tidak melampau. Maksud melampau ialah sehingga membebankan bakal pengantin atau mereka yang berkaitan. Contohnya hingga terpaksa berhutang untuk menyediakan jumlah hantaran tersebut.

Berbeza dengan mas kahwin (mahar) yang merupakan satu pemberian wajib daripada seorang suami kepada isterinya. Malahan isteri dibenarkan menolak permintaan suami pada 'malam pertama' sekiranya bayaran mas kahwin masih belum diberikan.



Maskahwin adalah pemberian yang wajib diberi oleh suami kepada isterinya dengan sebab perkahwinan. Firman Allah s.w.t.  bermaksud : "Berikanlah kepada orang-orang perempuan itu maskahwin mereka ". ( Surah An-Nisaa' - Ayat 4 ) , Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud : "Carilah untuk dijadikan maskahwin walaupun sebentuk cincin yang diperbuat daripada besi". (Riwayat Bukhari ) .

Dari hadith di atas nyatalah bahawa mas kahwin boleh dijadikan daripada apa sahaja asalkan benda itu berguna dan berfaedah sama ada berupa wang, barang atau sesuatu yang bermanafaat sebagaimana diberitakan Rasulullah s.a.w. pernah mengahwinkan seorang lelaki yang tiada memiliki sesuatu pun untuk dijadikannya maskahwin, lalu Rasulullah s.a.w. bertanya kepada lelaki itu, adakah pada engkau (hafaz ) sedikit daripada ayat Al-Qur'an, lelaki itu menyahut bahawa ia mengingati beberapa surah kemudian Rasulullah s.a.w. pun mengahwinkan lelaki itu dengan bermaskahwinkan surah yang diajarkan kepada perempuan yang bakal menjadi isterinya.

Maskahwin itu tidak dihadkan oleh syarak banyak atau sedikit, jadi untuk menentukan banyak atau sedikitnya itu terpulanglah kepada dua pihak di atas persetujuannya dan berdasarkan taraf atau darjat pengantin tersebut dan hukum syarak tidak menggalakkan maskahwin yang terlalu tinggi yang menyebabkan kesukaran bagi pihak lelaki.

Sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: "Sebaik-baik maskahwin ialah yang lebih rendah ". ( Riwayat Abu Daud ) , Dan sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: "Sesungguhnya yang besar berkat nikah ialah yang sederhana belanjanya ". ( Riwayat Ahmad )

 Dalam situasi masyarakat sekarang, telah berlaku satu fenomena yang kontra. Pemberian wajib (mahar) diletakkan dalam jumlah yang terlalu sedikit sedangkan pemberian 'hantaran' yang harus diletakkan dalam jumlah yang tinggi. Wang hantaran inilah yang menjadi masalah kepada kaum lelaki sekarang untuk berkahwin. Masyarakat seolah-olah berlumba untuk meletakkan Wang hantaran paling tinggi kepada anak gadis mereka. Sikap sebegini dilarang oleh agama.

Masyarakat kita hari ini semakin hari semakin memberatkan dan menyulitkan perkahwinan dengan meletakkan hantaran perkahwinan yang tinggi. Jika ditakdirkan wanita tersebut mempunyai kelayakan ijazah tinggi, maka lagi tinggilah belanjanya. Bagi keluarga dan mungkin wanita itu sendiri, beranggapan bahawa dengan belanja yang tinggi, masyarakat akan memandangnya dengan nilai 'value' yang tinggi. 

 Apabila sudah ramai muslim yang berfikir dan bertindak sedemikian, mereka seperti "membudayakan" kebiasaan meminta ‘hantaran’ yang berlebih-lebihan.  Akibatnya ramai golongan muda  yang tidak mampu mendirikan rumah tangga, penyakit moral bertambah luas dan akhirnya banyak sekali lelaki dan wanita yang hidup merana disebabkan oleh" krisis perkahwinan".

3 comments:

  1. x sah perkahwinan tanpa wang hantaran zmn sekarang..masyaAllah..tanda2 akhir zaman ustaz

    ReplyDelete
    Replies
    1. kalau x bagi wang hantaran x pe ke ustaz?

      Delete
  2. Pada saya mas kahwin je yg wajib. Macam saya tinggal di selangor mas kahwin wajib rm300. Hantaran lebih baik dijadikan duit pendahuluan nak beli rumah, dan aset2 yg lain. Kalau pihak perempuan demand minta hantaran tinggi, saya akan cakap macam ni..."yang kecoh2 ni ke yang nak kahwin? Kalau dapat duit hantaran pun, takkan sampai ke lubang kubur."

    ReplyDelete