Followers

Wednesday, February 1, 2012

Budaya Ilmu




Dalam Islam, ilmu hendaklah dituntut sejak 'dari dalam buaian hinggalah ke liang lahad'. Apabila seseorang bayi dilahirkan, dia segera diperdengarkan dengan ilmu iaitu suara azan pada telinga kanannya dan iqamat pada telinga kirinya. Amalan ini sebenarnya menegaskan hakikat bahawa roh dalam bayi perlu "digerakkan" dan "diperingatkan" tentang perkara yang memang telah diketahuinya di alam rohani. Apabila seseorang individu muslim akan meninggal dunia, dia akan diperingatkan lagi tentang Allah s.w.t seperti yang dianjurkan oleh Nabi Muhammad s.a.w.: "Ajarkan orang yang akan meninggal dunia di kalangan kamu dengan ucapan Lailahaillallah".
 
Kisah Abu Rayhan al-Biruni seorang ahli sains, ahli perundangan dan perbandingan agama yang ulung, menunjukkan bagaimana penghayatan terhadap ilmu itu berlaku. Al-Biruni ketika sakit tenat masih mendesak seorang sahabat yang menziarahnya, tentang jawapan kepada satu persoalan fekah. Sahabatnya, dengan nada kasihan bertanya al-Biruni apakah masanya sesuai untuk membangkitkan persoalan itu. Al-Biruni menjawab dengan tegas bahawa beliau tidak mahu meninggalkan alam fana ini dalam keadaan jahil tentang penyelesaian terhadap persoalan tersebut.

Sehubungan dengan itu, semangat ilmu yang diasaskan oleh Islam mestilah disemai dalam diri setiap individu muslim. Kemiskinan, kecatatan dan keadaan persekitaran yang tidak stabil bukanlah alasan untuk gagal mencapai kecemerlangan ilmu. Imam Syafei walaupun merupakan seorang anak yatim dan miskin, telah berjaya menghafaz al-Qur'an ketika berumur tujuh tahun, dan menghafaz pula kitab fekah Imam Malik ketika berumur 10 tahun. 

Syeikhul Islam Ibn Taymiyah yang dilahirkan ketika keadaan politik umat Islam kacau bilau di bawah keganasan Mongol dan Perang Salib, tetap mengutamakan ilmu dalam kehidupannya. Beliau mempelajari al-Quran, hadis, fekah, matematik, sejarah, sastera, ilmu kalam, falsafah dan sebagainya dalam suasana yang sukar. 

Kesenangan hidup juga tidak harus memanjakan diri seseorang untuk menjadi malas menimba ilmu. Ibn Hazm yang dilahirkan di Cordova, dan Ibn Khaldun yang dilahirkan di Tunis merupakan contoh penuntut ilmu yang tekun walau berada dalam persekitaran keluarga yang berada, berpendidikan dan berpengaruh. 

Al-Jahiz seorang yang berbangsa Negro, penjual roti dan ikan, mencapai ketinggian ilmunya bukan sekadar dengan cara menghadiri kuliah sahaja, bahkan dengan cara berdamping dengan para ilmuwan dan cendekiawan di Mirdad, sebuah kawasan terbuka di pinggir Basra. Al-Jahiz juga sering mengunjungi masjid dan mempelajari hal-hal yang bermanfaat di sana. Kisah kematian beliau mencerminkan kehidupannya yang cintakan ilmu pengetahuan. Beliau yang lumpuh tubuh badannya mati tertindih oleh buku-buku yang selalu berada di sampingnya. 

Budaya ilmu yang diberi penekanan oleh Islam, sewajarnya kembali diambil perhatian serius oleh umat Islam di zaman ini. Setiap individu muslim sepatutnya sudah mempersiapkan diri sama ada dari sudut fizikal mahupun mental untuk mendalami ilmu merangkumi ilmu fardhu ain dan ilmu fardhu kifayah. Amat malang sekali sekiranya umat Islam lebih selesa dengan konsep taqlid dengan mengabaikan kewajipan mendalami ilmu sedangkan agama Islam yang mulia ini merupakan agama ilmu!.

1 comment:

  1. Menuntut ilmu adalah suatu kewajipan ke atas setiap individu muslim & suatu perkara yg sangat dituntut di dalam Islam.Bak kata pepatah Arab, tuntutlah ilmu walau ke negeri China.

    ReplyDelete