Followers

Tuesday, December 11, 2012

Haruskah Ucapan Merry Christmas?



Prof. Dr Yusuf al-Qaradawi pula, ketika membahaskan perkara ini telah menyatakan bahawa tidaklah menjadi suatu kesalahan memberikan ucapan selamat hari raya kepada rakan dan jiran yang musyrikin, kerana Islam tidak menutup hubungan antara dua kaum yang berlainan agama dan kepercayaan ini. Keharusan ini adalah berdasarkan firman Allah dalam surah al-Mumtahanah ayat 8 yang bermaksud: “Allah tidak melarang kamu untuk berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang yang tidak memerangimu kerana agama dan tidak (pula) mengusir kamu dari negerimu, sesungguhnya Allah menyukai orang yang berlaku adil”. Namun, al-Qaradawi melarang keras daripada turut serta dalam perayaan yang berasaskan upacara keagamaan kerana ia melibatkan akidah dan kepercayaan.

Prof Dr Abd al-Sattar Fathullah Said, seorang pensyarah Tafsir dan ‘Ulum Quran di Universiti Azhar pula berpendapat bahawa mengucapkan tahniah dan selamat hari raya pada perayaan bukan Islam adalah harus selagi tidak bercanggah dengan hukum syara’. Akan tetapi sekiranya ucapan tahniah dan selamat hari raya itu diungkapkan dalam bentuk doa seperti ‘moga Allah berkati pada keluarga dan hartamu’, ianya adalah haram dan dilarang sama sekali. Begitu juga menurut beliau harus memberi hadiah sebagai ucapan tahniah kepada bukan Islam pada hari perayaan mereka, tetapi hadiah tersebut mestilah bukan sesuatu yang diharamkan seperti arak, potret lucah dan sebagainya.

Syeikh Dr. Mustafa Zarqa pula ketika membincangkan persoalan ini telah menyatakan bahawa mengucapkan tahniah atau ucapan selamat hari raya kepada kenalan bukan Islam adalah termasuk dalam bab kesopanan (mujamalah) dan keelokan dalam pergaulan. Namun, sesiapa yang keliru, contohnya dengan mengatakan bahawa sambutan hari kelahiran Isa adalah perayaan mereka (seperti Aidilfitri dan Aidil Adha), maka ia adalah haram, kerana ianya mempunyai kaitan dengan aqidah Kristian tentang ketuhanan Isa.

Hujah yang dikemukakan oleh beliau antara lain ialah peristiwa yang berlaku pada zaman nabi s.a.w. Diriwayatkan bahawa Nabi Muhammad s.a.w. berdiri tatkala satu jenazah Yahudi melalui kawasan yang diduduki oleh Rasulullah dan para sahabat. Berdirinya Rasulullah itu adalah penjelasan tentang betapa hebat dan agungnya kematian itu, tidak ada kaitan dengan aqidah jenazah tersebut (iaitu bukan kerana hendak menghormati aqidah jenazah tersebut).

Justeru, perlu juga diberi perhatian bahawa, mengucapkan selamat hari raya kepada kawan-kawan non-muslim atas alasan menjaga persahabatan dan perhubungan (bukan atas dasar aqidah) adalah harus, tetapi merayakannya dengan pengisian-pengisian mungkar di dalamnya, itu adalah haram.

No comments:

Post a Comment

Post a Comment