Followers

Tuesday, March 26, 2013

Hukum Tidak pakai Telekung Ketika Solat






Soalan

Saya seorang wanita yang selalu ditugaskan untuk bekerja di luar kawasan. Kadang-kala saya terlupa membawa telekung sembahyang, jadi apakah dibolehkan saya menunaikan solat tanpa telekung?

Jawapan:

 Seseorang wanita yang ingin mengerjakan solat, hendaklah mempastikan bahawa ia menutup aurat dengan sempurna. Aurat bagi wanita ialah menutup seluruh tubuh badannya kecuali muka dan tapak tangan (pergelangan tangan). Allah swt telah berfirman dalam surah al-A’raf ayat 31, bermaksud: ”Wahai anak Adam, pakailah pakaianmu yang indah pada setiap kali (memasuki) masjid...”. Ibnu Abbas telah menyatakan bahawa maksud daripada ayat ini ialah memakai pakaian (menutup aurat) ketika menunaikan solat. (Sila Rujuk Mughni Muhtaj dan al-Fiqh al-Islamiy Wa Adillatuh).

Daripada Ummu Salamah, bahawasanya beliau pernah bertanya kepada rasulullah saw: ”Apakah seseorang wanita itu boleh menunaikan solat dengan memakai baju panjang dan penutup kepala tanpa memakai kain sarung?”. Jawab baginda Rasulullah: ”Boleh sekiranya baju itu luas yang boleh menutupi bahagian atas telapak kakinya”. (Hadis diriwayatkan oleh Abu Daud).

Selain menutup keseluruhan tubuh badan kecuali muka dan pergelangan tangan , syarat yang perlu dipenuhi bagi menutup aurat bagi wanita ialah memakai pakaian tebal yang sekurang-kurangnya boleh menutup warna kulit badan. Sekiranya pakaian yang dipakai itu nipis dan menampakkan warna kulit, maka ia tidak dianggap menutup aurat dan solat tidak sah. Begitu juga disyaratkan pakaian yang dipakai tidak terlalu ketat yang boleh menampakkan susuk tubuh pemakainya.

Kadang-kala berlaku kekeliruan terutamanya bagi wanita yang menganggap bahawa solat tidak sah tanpa memakai ’telekung sembahyang’. Oleh itu, apabila seseorang wanita itu terlupa untuk membawa ’telekung sembahyangnya’, maka dia akan meninggalkan solat dengan anggapan tidak dapat menutup aurat. Ini merupakan persepsi yang salah terhadap aurat. Sebenarnya, apabila seseorang muslimah itu beriltizam dengan menutup aurat apabila berada di luar rumah iaitu dengan menutup seluruh tubuhnya kecuali muka dan pergelangan tangan, maka dia boleh menunaikan solat dengan menggunakan pakaian tersebut asalkan ianya bersih, tanpa diperlukan ’telekung sembahyang’!.

3 comments:

  1. Sya seornag suri rmh.kat rmh tiada siapa kcuali ank-ank yg msi kcil.blhkah sya solat tnpa tlkung.dan blhkah pkaian sya hy bju t dn kain srung.

    ReplyDelete
  2. tak boleh, walau keseorangan sekalipun tetap wajib menutup aurat ketika menunaikan solat

    ReplyDelete
  3. Assalam Ustaz:-) tapak tangan(pergelangan tangan)..adakah belakang tapak tangan dimaafkan ye ustaz? :-)

    ReplyDelete