Followers

Sunday, July 3, 2011

Kelebihan Bulan Syaaban



Oleh: Mohd Sukki Bin Othman (Ust Shauqi)

Sedar tak sedar kita kini sudah berada pada bulan Syaaban . Masa berlalu dirasakan begitu pantas sekali. Ini juga bermakna umur kita semakin meningkat dan sewajarnya kita sentiasa bermuhasabah iaitu sudahkah kita melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan oleh Allah kepada kita dengan sempurna, dan sudahkah kita bersedia dengan amalan-amalan yang akan dibawa menemui Allah?

Bulan Syaaban menyusul selepas daripada bulan Rejab. Manakala selepas itu, akan datang pula bulan yang mengandungi penuh rahmat iaitu bulan Ramadhan al-Mubarak. Namun, Apabila tibanya bulan Rejab dan Syaaban, kita seringkali mendengar hadis-hadis mengenai mengenai bulan-bulan ini akan dibaca dan diajar secara meluas. Antaranya ialah hadis:“Rejab bulan Allah, Sya`aban bulanku dan Ramadhan bulan umatku”. Hadis ini adalah hadis munkar dan kebanyakan ulama' menyatakan bahawa ia adalah hadis palsu. Apabila membicarakan tentang bulan Syaaban, maka sewajarnya kita merujuk kepada riwayat-riwayat yang sahih dan yang diterima oleh para ulamak agar kita tidak termasuk dalam golongan 'pak turut' yang hanya melakukan sesuatu tanpa ilmu pengetahuan. Sedangkan Islam itu sendiri adalah agama ilmu, maka sewajarnyalah apa yang hendak dilakukan mestilah berteraskan kepada ilmu.

Menurut Prof Dr Yusuf al-Qaradhawi, tidak ada suatu pun keistimewaan pada pertengahan bulan Syaaban (nisfu Syaaban) sebagaimana yang digembar-gemburkan oleh masyarakat pada hari ini. Sebaliknya peristiwa besar yang berlaku pada pertengan bulan Syaaban ialah peristiwa yang berlaku pada tahun kedua hijrah iaitu peralihan kiblat daripada Baitul Maqdis ke Kaabah iaitu daripada Masjid al-Aqsa ke Masjid al-Haram. Perkara itu telah dirakamkan oleh Allah s.w.t. di dalam Surah al-Baqarah ayat 144 yang bermaksud:"Kerapkali kami melihat engkau (wahai Muhammad) berulang-ulang menadah ke langit, maka kami benarkan engkau berpaling mengadap kiblat yang engkau sukai, oleh itu palingkanlah muka kearah al-Masjidil Haram (tempat letaknya kaabah) dan di mana sahaja kamu berada maka hadapkanlah mukamu ke arahnya…"

Selain daripada peristiwa tersebut, sesuatu yang sahih daripada nabi pada bulan Syaaban ini ialah nabi saw memperbanyakkan berpuasa sunat sebagai suatu persediaan menyambut ketibaan Ramadhan al-Mubarak. Dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim Aisyah r.a menyatakan bahawa:

"Adalah Rasulullah saw sering berpuasa hingga kami menyangka bahawa baginda akan berpuasa berterusan. Dan baginda sering berbuka (tidak berpuasa) sehingga kami menyangka baginda akan berbuka (tidak berpuasa) seterusnya. Aku tidak pernah melihat baginda berpuasa sebulan penuh kecuali pada bulan Ramadan, dan aku tidak pernah melihat baginda berpuasa sunat dalam sebulan yang lebih banyak daripada puasanya di bulan Syaaban."

Usamah bin Zaid pula menceritakan; "Saya telah bertanya kepada Rasulullah saw, wahai Rasulullah saya tidak pernah menyaksikan banyaknya puasa tuan pada lain-lain bulan seperti di bulan Syaaban", lalu Baginda menjawab, "Itulah bulan (Syaaban) di mana ramai manusia lalai mengenainya iaitu di antara bulan Rejab dan Ramadan, ini adalah bulan di mana segala amalan diangkat kepada Tuhan Pemilik Sekalian Alam. Oleh itu saya (Baginda) amat suka kiranya amalan saya diangkat ketika saya sedang berpuasa.'' (Hadis riwayat Imam Ahmad dan Nas'aei).

Justeru, daripada hadis-hadis di atas, kita mendapati bahawa nabi saw amat mengambil berat untuk memperbanyakkan puasa pada bulan Syaaban. Di samping itu, sesiapa yang masih berhutang puasa pada Ramadhan yang sebelumnya seperti wanita yang meninggalkan puasa kerana 'datang bulan', maka inilah waktu yang sesuai untuk mempastikan agar segala 'hutang' dilunaskan sebelum tibanya bulan Ramadhan. Sebagai mencontohi sunnah nabi, kita juga sewajarnya memperbanyakkan berpuasa sunat pada bulan Syaaban yang mulia ini.

Di samping berpuasa, kita juga boleh memperbanyakkan amalan-amalan sunat yang lain untuk memepertingkatkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah dan sebagai suatu persediaan untuk memperbanyakkan lagi amalan pada bulan Ramadhan. Antara amalan yang boleh dilakukan selain daripada berpuasa ialah membaca al-Quran, bertaubat, beristighfar, berzikir, memperbanyakkan solat sunat, bersedekah bagi menolong meringankan penderitaan fakir miskin atau anak-anak yatim, melakukan amalan kebajikan, memohon keampunan untuk ibu-bapa, memohon restu kehadrat Allah s.w.t. bagi keselamatan dan kebahagiaan di dunia dan di akhirat dan sebagainya.

Persoalan seterusnya yang selalu timbul dalam masyarakat kita ialah amalan pada malam nisfu syaaban. Biasanya pada malam nisfu syaaban, masjid-masjid dan surau-surau akan merayakan malam tersebut dengan amalan-amalan tertentu. Di beberapa tempat di negara kita, pada malam nisfu syaaban, orang ramai biasanya berkumpul di masjid-masjid dan mereka membaca surah yasin bersama, kemudian melakukan solat sunat dua rakaat dengan niat panjang umur, solat sunat dua rakaat lagi dengan niat agar menjadi kaya dan tidak tergantung pada orang lain, dan sebagainya. Setelah itu, mereka membaca doa yang panjang, iaitu doa yang dikhususkan bacaannya pada malam tersebut.

Menurut al-Qadhi Abu Bakar Ibnul Arabi , tidak ada satu hadis sahih mengenai keutamaan malam nisfu syaaban, dan semua hadis mengenainya bertaraf dhaif yang tidak boleh diamalkan. Walau bagaimanapun terdapat hadis mengenai fadilat malam nisfu syaaban yang dianggap Hasan oleh sebahagian ulamak, walau ia telah didhaifkan oleh sebahagian ulamak lain. Hadis tersebut ialah: “Allah melihat kepada hamba-hambaNya pada malam nisfu Syaaban, maka Dia ampuni semua hamba-hambaNya kecuali musyrik (orang yang syirik) dan yang bermusuh (orang benci membenci) (Riwayat Ibn Hibban, al-Bazzar dan lain-lain). Al-Albani mensahihkan hadis ini dalam Silsilah al-Ahadis al-Sahihah.

Hadis ini tidak mengajar kita apakah bentuk amalan pada malam berkenaan. Oleh itu, amalan-amalan tertentu pada malam tersebut (sekiranya dianggap sebagai satu kemestian dan wajib seperti ‘mesti’ membaca Yasin sebanyak tiga kali, dan menunaikan solat-solat tertentu sempena nisfu syaaban) adalah bukan ajaran Nabi s.a.w. Menurut Prof. Dr. Yusuf al-Qaradawi dalam kitabnya 'Fatawa Mu'asirah', “Tidak pernah diriwayatkan daripada Nabi s.a.w. dan para sahabat bahawa mereka berhimpun di masjid pada untuk menghidupkan malam nisfu Syaaban, membaca do`a tertentu dan solat tertentu seperti yang kita lihat pada sebahagian negeri orang Islam. Bahkan di sebahagian negeri, orang ramai berhimpun pada malam tersebut selepas maghrib di masjid. Mereka membaca surah Yasin dan solat dua raka`at dengan niat panjang umur, dua rakaat yang lain pula dengan niat tidak bergantung kepada manusia, kemudian mereka membaca do`a yang tidak pernah dipetik dari golongan salaf (para sahabah, tabi`in dan tabi’ tabi`in). Ianya satu do`a yang panjang, yang menyanggahi nusus (al-Quran dan Sunnah) juga bercanggahan dan bertentang maknanya".

Inilah juga pendapat majoriti ulamak seperti Sayyid Sabiq, Prof Mutawalli Sya'rawi, Dr Abdul Karim Zaidan dan sebagainya. Begitu juga dengan doa khusus yang dibaca pada malam nisfu Syaaban, ianya bercanggah dengan nas al-Quran dan Hadis. Inilah pendapat yang dikemukakan oleh Prof. Dr. Yusof al-Qaradhawi.

Justeru, daripada pandangan-pandangan ulamak yang dikemukakan di atas, adalah menjadi suatu kewajipan kepada kita untuk memahami dengan sejelas-jelasnya agar kita tidak termasuk dalam golongan yang membuat sesuatu amalan itu secara membuta-tuli. Ini bukanlah bermakna bahawa kita tidak boleh melakukan amalan pada malam nisfu syaaban, akan tetapi kita tidak boleh melakukan amalan-amalan yang tidak diasaskan oleh nabi dan yang bercanggah dengan hukum syarak seperti menunaikan solat sunat khusus untuk panjang umur pada malam nisfu syaaban.

Namun, untuk membaca ayat-ayat al-Quran tertentu seperti Yasin dan seumpamanya, maka ia boleh dilakukan tetapi dengan syarat kita tidak ‘mewajibkan’ bacaan Yasin sebanyak 3 kali dan seumpamanya. Alangkah baiknya juga kalau pada malam itu juga diisi dengan program pengajian ilmu agar pemahaman terhadap ajaran Islam semakin meningkat dari semasa ke semasa.

Justeru, amalan-amalan sunat seperti membaca al-Quran, berzikir, solat sunat, berpuasa dan yang seumpamanya hendaklah dilaksanakan bukan sahaja pada malam nisfu syaaban, akan tetapi kita hendaklah beristiqamah melaksanakan amalan-amalan kebajikan tersebut pada bila-bila masa sahaja siang ataupun malam. Sesungguhnya apabila kita dapat melaksanakan sesuatu amalan dengan penuh keikhlasan dan amalan tersebut bertepatan dengan hukum syara', maka kita akan tergolong daripada umat Islam yang menuju ke arah kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Perbanyakkanlah amalan sunat di bulan Syaaban sebagai suatu persediaan menyambut kedatangan bulan Ramadhan al-Mubarak!

7 comments:

  1. Assalamu'alaikum, Adalah diperhatikan, ramai orang Islam masa kini bertopengkan ulamak yang menjadikan pengikutnya pak turut, memuja yang dikatakan tokoh itu, tinggi melangit.

    Hidup dan mati kita bukan kerana anak Kelantan atau bukan Kelantan dan yang pastinya mesti bertunjang kepada Al Quran, Hadis dan ijma'ululamak.

    Biasanya orang yang tak belajar ugama secara mendalam, mereka inilah yang menjadi pak turut, malah menjadi tukang karut yang mungkar.

    Tanggungjawab ulamak adalah maha besar, silap-silap keluar fatwa, kelak balasan Allah amat dahsyat.

    Bacalah Al Quran serta menghayatinya dan beramal dengannya.

    ReplyDelete
  2. salam,

    betul ka?
    malam nisfu syaban,mengikut sejarahnya
    nabi Muhammad berkata kepada isterinya Aisha,
    bahawa Allah turun kelangit bumi
    untuk melihat amalan-amalan hamba-hambanya.

    dan di katakan,

    malam tersebut Allah swt akan menebarkan segala keampunan.
    saya tidak berapa pasti tentang apa, dimana Nabi menyamakan pahala yg diberikan @ di gandakan sebanyak bulu-bulu kambing ternakan satu kaum iaitu(xtahu kaum apa- tapi kaum ini jika mengembala kambing sangatlah banyak)....

    betulkan jika saya salah...

    ReplyDelete
    Replies
    1. http://www.youtube.com/watch?v=o8NEDmV-EOA&feature=share

      tgk ni.. UAI ada sebut psl 'pahala yg diberikan @ di gandakan sebanyak bulu-bulu kambing ternakan satu kaum'

      Delete
  3. salam ustaz..mohon untuk ambil sedikit ilmu dari sini...terima kasih atas ilmu yang dikongsikan..:)

    ReplyDelete
  4. assalamualaikum ustaz...ada sedikit pertanyaan, ada hadis yg berbunyi begini..."Barang siapa yang mengingatkan kedatangan bulan ini HARAM API NERAKA bagi nya"...hadis sohih ke ustaz?
    minta penjelasan

    ReplyDelete
    Replies
    1. Ni bukan hadis sahih..palsu..

      إِنَّ كَذِبًا عَلَيَّ لَيْسَ كَكَذِبٍ عَلَى أَحَدٍ ، مَنْ كَذَبَ عَلَيَّ مُتَعَمِّدًا فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنَ النَّارِ
      "Sesungguhnya berdusta ke atasku (menggunakan namaku) bukanlah seperti berdusta ke atas orang lain (menggunakan nama orang lain). Sesiapa yang berdusta ke atasku dengan sengaja, maka siaplah tempat duduknya dalam neraka."
      (Muttafaqun 'alaih)

      Delete