Followers

Wednesday, December 5, 2007

Bagaimana Menghadapi Stress?

Oleh

Mohd Sukki Bin Othman

Setiap manusia tidak terlepas daripada mengalami tekanan atau stress kerana ia merupakan 'asam garam' dalam kehidupan. Bezanya hanyalah tahap stress atau tekanan yang dialami oleh seseorang itu, sama ada serius atau pun tidak. Sehubungan dengan itu, seseorang yang mengalami stress hendaklah bijak menguruskannya agar kehidupan menjadi lebih aman dan sempurna.

Oleh itu, harus disedari bahawa tekanan dan stress merupakan fitrah dalam kehidupan manusia. Ini kerana stress biasanya timbul apabila seseorang menghadapi dugaan, ujian dan cabaran dalam hidup. Ujian dalam kehidupan ini merupakan suatu lumrah yang diciptakan oleh Allah. Firman Allah swt dalam surah al-Baqarah ayat 155, maksudnya: Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman dan berilah khabar gembira kepada orang yang bersabar".

Firman Allah yang lain dalam surah al-Baqarah ayat 214, maksudnya: Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk Syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan harta benda) dan serangan penyakit serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah? Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada agama Allah).

Apabila seseorang yang mengalami stress mengeluh dengan merasakan bahawa 'nasib' tidak berlaku adil padanya, maka jiwanya akan menjadi semakin tertekan. Sebaliknya, apabila seseorang itu menerima kemunculan stress dengan tenang dan melihatnya sebagai sebahagian daripada kehidupan yang normal, apatah lagi apabila menganggap bahawa sesuatu masalah yang dihadapi itu mungkin mengandungi kebaikan, maka ia sedikit sebanyak akan membantu meringankan tekanan yang dihadapi.

Kebiasaannya seseorang yang menghadapi stress dan tekanan itu adalah apabila kehilangan sesuatu yang disayangi, tekanan di tempat kerja, gaya hidup yang tidak normal, dan sebagainya. Sebagai contohnya ialah tekanan yang dirasai apabila kehilangan ahli keluarga yang meninggal dunia sama ada ibu, bapa, anak, saudara, jiran tetangga mahupun sahabat handai. Justeru, diharapkan agar mereka yang mengalami tekanan akibat daripada apa-apa juga situasi agar dapat bersabar dan berfikir secara positif bagi meredakan tekanan yang dihadapi.

Bagi umat Islam, mereka ada kekuatan akidah keimanan kepada qadha' dan qadar. Keimanan ini akan mendorong seseorang itu tabah menghadapi segalanya serta tidak berputus asa dalam meneruskan kehidupan di atas dunia ini. Mereka juga percaya bahawa sesungguhnya sesuatu itu datang daripada Allah dan akan kembali kepada Allah. Selain itu, ujian Allah yang dihadapi itu, hendaklah ditangani dengan positif agar ia dapat memberi kebaikan kepada semua.

Sekiranya dapat berfikir secara positif terhadap tekanan dan stress yang dihadapi, maka ia akan dapat meningkatkan keyakinan diri, tidak berputus asa dan dapat membina keperibadian yang mantap. Sebaliknya, unsur negatif mungkin dihadapi oleh orang yang mengalami stress, ialah apabila tidak dapat menghadapi dan mengawal sesuatu ujian dan cabaran dengan baik, lalu terjadilah gangguan terhadap emosi dan fizikal.

Dalam Islam, semakin besar tekanan yang datang, dan dihadapi dengan sabar, maka semakin besarlah pahala dan ganjarannya disisi Allah. Apa yang penting ialah kesabaran dan keazaman yang tinggi untuk mencari ketenangan dan keredhaan daripada Allah. Firman Allah dalam surah al-Nahl ayat 97, maksudnya: Sesiapa yang beramal soleh, dari lelaki atau perempuan, sedang dia beriman, maka sesungguhnya Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik dan sesungguhnya kami akan membalas mereka, dengan memberikan pahala yang lebih dari apa yang mereka telah kerjakan.

Kaedah Pengurusan Stress

Orang yang menghadapi tekanan dan stress hendaklah mengetahui formula pengurusannya agar tekanan yang ditanggung tidak menjadi parah dan kritikal. Pakar-pakar motivasi serta kaunselor-kaunselor banyak mengetengahkan kaedah dan cara pengurusan stress. Antaranya ialah dengan melakukan aktiviti riadah, melakukan kerja-kerja kebajikan seperti gotong royong, berjenaka dan sebagainya. Namun, dalam Islam, banyak cara-cara lain yang boleh dilakukan untuk mengurangkan stress dan tekanan yang dihadapi.

Antara perkara yang boleh dilakukan bagi mengurangkan tekanan dan stress ialah membaca, memahami dan menghayati isi kandungan al-Quran. Membaca al-Quran itu sahaja pun sudah boleh mendatangkan ketenangan, apatah lagi apabila cuba memahami, menghayati serta beramal dengan isi kandungan al-Quran. Disamping membaca al-Quran, hendaklah membanyakkan berzikir kepada Allah. Firman Allah dalam surah al-Ra'd ayat 28, Maksudnya: Ketahuilah dengan "zikrullah" itu, tenang tenteramlah hati manusia.

Kaedah yang seterusnya yang boleh dilakukan bagi mengurangkan stress ialah bertafakkur. Bertafakkur ialah merenung dan memikirkan tentang sesuatu. Orang yang menghadapi stress hendaklah berfikir dan merenung tentang nikmat yang Allah kurniakan kepada diri. Nikmat Allah yang dikurniakan kepada manusia amatlah banyak dan tidak terhitung. Sekiranya kita merenung dan menghayati nikmat yang Allah berikan ini, sudah tentu akan dapat mengurangkan tekanan yang dihadapi. Ini kerana walaupun seseorang itu kehilangan nikmat yang banyak dalam sesuatu tragedi, akan tetapi banyak lagi nikmat Allah yang diterimanya dari semasa ke semasa. Pertolongan dan bantuan yang dihulurkan oleh orang lain pun merupakan salah satu daripada nikmat Allah swt. Firman Allah dalam surah al-Nahl ayat 18, maksudnya: Dan jika kamu menghitung nikmat Allah (yang dilimpahkannya kepada kamu), tiadalah kamu akan dapat menghitungnya satu persatu…".

Selain itu, seseorang itu hendaklah bertaqarrub kepada Allah bagi mengurangkan stress. Taqarrub ialah usaha yang dilakukan bagi mendekatkan diri kepada Allah dengan amalan-amalan kebajikan dan amalan soleh. Ia dapat dilakukan dengan pelbagai cara. Antaranya ialah dengan menghidupkan malam hari dengan tunduk dan sujud kepada Allah swt. iaitu dengan melakukan qiamullail. Firman Allah dalam surah Sajdah ayat 16, maksudnya: Mereka merenggangkan diri dari tempat tidur, (sedikit sangat tidur, kerana mengerjakan solat tahajud dan amal-amal soleh); mereka sentiasa berdoa kepada Tuhan mereka dengan perasaan takut (akan kemurkaanNya) serta dengan perasaan ingin memperolehi lagi (keredaanNya) dan mereka selalu pula mendermakan sebahagian dari apa yang Kami beri kepada mereka.

Imam al-Ghazali telah memberikan sedikit panduan untuk memudahkan seseorang itu bangun pada waktu malam untuk mengerjakan qiamullail iaitu:

1. Tidak makan terlalu banyak pada siang hari

2. Tidak melakukan aktiviti yang terlampau berat sehingga meletihkan badan

3. Tidur qailulah iaitu tidur sebentar pada siang hari sebelum waktu zohor.

4. Menjauhkan diri daripada perbuatan dosa di siang hari.

Selain daripada kaedah yang dinyatakan di atas bagi meredakan ketenangan dan stress, sesuatu yang tidak boleh dilupa dan diabaikan ialah hendaklah bertawakkal kepada Allah dalam menghadapi segala ujian dan pancaroba di atas dunia ini. Sifat tawakkal yang disemai dalam diri akan menghapuskan sikap putus asa, sebaliknya memberikan kekuatan untuk meneruskan kehidupan ini dengan lebih cemerlang dan gemilang.

Jelasnya, stress dan tekanan merupakan fitrah dalam kehidupan. Tiada sesiapa pun boleh lari daripada tekanan. Sebaliknya, setiap dugaan yang datang merupakan ujian Allah bagi menaikkan darjat dan martabat seseorang di sisi Allah. Setiap manusia akan diuji bagi mengenal pasti mereka yang layak menghuni syurga Allah. Oleh itu, umat Islam mestilah bersedia untuk menghadapi tekanan sama ada dari sudut mental mahupun fizikal. Moga tekanan, cabaran dan dugaan yang dihadapi itu akan lebih memantapkan hubungan manusia dengan Allah swt.

No comments:

Post a Comment