Followers

Monday, December 10, 2007

Hakikat Tasawuf

Oleh
Mohd Sukki Othman (Ustaz Shauqi)

Seringkali kita mendengar dewasa ini tentang penyelewengan dan kesesatan yang berlaku pada aliran tarikat sufi. Lalu pelbagai tanggapan negatif telah dilemparkan kepada sesiapa sahaja yang berjinak-jinak dengan ilmu tasawuf. Bak kata pepatah 'kerana nila setitik, rosak susu sebelanga'. Begitulah juga apa yang terjadi pada tasawuf, dek kerana terdapat tarikat dan aliran tasawuf yang sesat, tasawwuf secara keseluruhannya dianggap sesat oleh sebilangan orang.

Oleh itu, marilah sama-sama kita menilai dengan secara yang adil terhadap hakikat tasawuf itu sendiri. Yang sesat tetap dikatakan sesat, tetapi yang bertunjangkan syara' tetap dijunjung.

Mengikut al-Qadi Sheikh Zakaria al-Ansari, tasawuf ialah ilmu yang membicarakan hal ehwal penyucian hati, pembersihan akhlak, dan pembangunan jiwa secara zahir dan batin demi mencapai kebahagiaan abadi. Manakala Sheikh Ahmad Zauruq ketika mendefinisikan tasawuf telah menyatakan bahawa tasawuf merupakan ilmu yang menumpukan masalah pembaikan hati, ilmu fiqh pula bertujuan mengislahkan amalan.

Sesetengan ulama pula telah menyatakan bahawa tasawuf itu semuanya akhlak, sesiapa yang semakin baik akhlaknya, maka bertambahlah tasawufnya. Abu Hasan al-Syazili pula berkata tasawuf itu ialah suatu proses latihan kejiwaan untuk mengabdikan diri kepada Allah swt.

Daripada penerangan di atas, jelaslah kepada kita bahawa asas tasawuf itu ialah pembersihan jiwa daripada segala kemungkaran, dan ahli sufi itu ialah orang yang mempunyai hati yang bersih dan ikhlas semata-mata kerana Allah.

Namun, ada pandangan yang mengatakan bahawa perkataan tasawuf itu sendiri tidak wujud pada zaman sahabat dan tabien, oleh itu mengapakah ia diada-adakan?. Pandangan ini tidak dapat diterima oleh akal yang sihat kerana bukan sahaja istilah tasawuf, tetapi banyak lagi istilah lain yang tidak digunakan pada zaman sahabat, sebaliknya digunakan pada zaman selepas zaman sahabat yang tidak diengkari oleh sesiapa pun penggunaannya seperti istilah Nahu, Fiqh, Mantiq dan sebagainya.

Justeru, para ulama' menyatakan bahawa lafaz dan istilah itu tidak berapa penting, akan tetapi yang lebih penting ialah isi dan kandungan dan asasnya. Oleh itu, apa salahnya pengisian yang ada dalam ilmu tasawuf yang merangkumi pembersihan jiwa, penyucian hati dan pengislahan akhlak demi mencapai martabat al-Ihsan.

Sesetengah orang mungkin juga tertanya-tanya mengapakah seruan ke arah tasawuf tidak wujud pada zaman awal Islam, begitu juga seruan ke arah tasawuf ini tidak wujud kecuali selepas daripada zaman para sahabat dan tabien?

Jawapan kepada persoalan ini ialah masyarakat Islam pada zaman awal Islam tidak berhajat kepada suatu ilmu yang dinamakan tasawuf kerana masyarakat awal Islam memang sudah terkenal dengan ketakwaan, wara', zuhud dan sebagainya ekoran hubungan yang dekat dan secara langsung dengan Rasulullah saw.

Justeru, para sahabat umpamanya sentiasa berlumba-lumba untuk mencontohi apa yang mereka lihat daripada nabi sama ada yang melibatkan perkataan, perbuatan atau pengakuan nabi. Walaupun mereka tidak menyeru ke arah tasawuf, tetapi hakikatnya tasawuf itu sudah berada dalam diri-diri mereka. Para sahabat dan Tabien walaupun tidak dipanggil sebagai ahli sufi pada namanya, akan tetapi hakikatnya mereka memang ahli sufi. Mereka bukan sahaja beriman dengan aqidah Islam dan melaksanakan kefarduan Islam, malahan mereka menghubungkaitkan perlaksanaan ketaatan kepada Allah dengan perasaan yang penuh khusyuk.

Tambahan daripada amalan fardhu, mereka juga memperbanyakkan amalan-amalan sunat serta menjauhi segala perkara makruh lagi haram. Inilah sikap golongan yang disebut oleh Rasulullah saw dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dalam kitab sahihnya yang bermaksud: 'Sebaik-baik kurun ialah kurunku, kemudian kurun yang selepasnya, dan kemudian kurun yang berikutnya'.

Apabila berlalunya zaman, Islam pun semakin berkembang dan pelbagai bangsa di dunia mula memeluk Islam. Seiring dengan kepesatan ajaran Islam yang berjaya 'menakluk' dunia, begitulah juga berkembangnya ilmu pengetahuan. Lalu, sebilangan ulama' telah mengambil inisiatif untuk membukukan ilmu dalam bentuk yang lebih khusus agar mudah dipelajari dan difahami oleh umat Islam. Justeru, muncullah penyususnan dan pembukuan ilmu Nahu, Fekah, Tauhid, 'Ulum al-Hadith, Usuluddin, Tafsir, Mantiq, Mustalah al-Hadith, Faraid dan sebagainya.

Selepas itu, terjadi sesuatu yang amat mendukacitakan apabila sentuhan rohani pada diri semakin berkurangan. Segelintir umat Islam mulai lupa kepentingan untuk mengabdikan diri dengan sebenar-benarnya kepada Allah yang berpaksikan kepada hati yang bersih dan suci. Ekoran daripada itu, ilmu tasawwuf pula disusun dan dibukukan agar umat Islam kembali menghayati zuhud dalam kehidupan dunia yang fana ini.

Telah ditanya kepada al-Imam al-Hafiz al-Sayyid Muhammad Sadiq al-Ghumari, siapakah yang mengasaskan ilmu tasawwuf? Adakah ia merupakan wahyu dari langit? Lalu soalan itu dijawab dengan katanya: 'Ketahuilah bahawa pengasasnya ialah wahyu dari langit yang diturunkan kepada Nabi Muhammad saw, dan tidak syak lagi bahawa ia merupakan konsep al-Ihsan yang merupakan salah satu dari rukun yang tiga (Islam-Iman-Ihsan) yang diajar oleh Jibril as ketika berdialog dengan nabi di hadapan para sahabat sebagaimana yang termaktub dalam hadis yang sahih'.

Islam ialah taat dan ibadat, iman pula ialah cahaya dan aqidah, manakala ihsan ialah maqam muraqabah dan musyahadah sebagaimana sabda nabi: 'Hendaklah kamu mengabdikan diri kepada Allah seolah-olah kamu melihat Allah, Sekiranya kamu tidak dapat melihat Allah, (namun yakinlah), Dia melihat kamu..'. Jelasnya, sesiapa yang meninggalkan 'ihsan', pegangan agamanya menjadi tidak sempurna kerana meninggalkan salah satu daripada rukun yang tiga. Oleh itu, tasawwuf tidak lain tidak bukan ialah menyeru kepada martabat ihsan setelah wujudnya kesahihan pada Islam dan iman.

Ibnu Khaldun dalam bukunya al-Muqaddimah telah manyatakan: ' ilmu tasawwuf merupakan ilmu syarak yang baru, yang pada asalnya merupakan jalan dan pegangan golongan salaf yang terdiri daripada para sahabat, tabien dan golongan selepas mereka yang menuju ke arah kebenaran dan hidayah. Asalnya ialah memfokuskan pada ibadah, dan berpaling daripada kecantikan dan tipu daya dunia dan menanmkan sifat zuhud. Apabila cinta kepada dunia mula menghantui manusia pada kurun kedua dan selepasnya, mereka yang meneruskan pemfokusan semata-mata kepada ibadah disebut sebagai sufi'.

Al-Kindi pula menyatakan bahawa telah muncul di Iskandariah sekumpulan yang dinamakan sebagai ahli sufi, mereka menyeru kepada perkara makruf dan mencegah perkara mungkar. Al-Mas'udi dalam kitabnya Muruj al-Zahab pula ketika menceritakan tentang Yahya Bin Aktham telah berkata: Pada suatu hari Khalifah Makmun sedang duduk, lalu datang kepadanya Ali Bin Soleh al-Hajib mempersembahkan kepada baginda: 'ada seorang lelaki berdiri di pintu istana, berpakaian serba putih, meminta keizinan masuk untuk berdebat, dan setakat yang aku ketahui, beliau merupakan seorang ahli sufi'. Daripada kenyataan diatas, membuktikan lagi kata-kata Ibnu Khaldun tentang kemunculan golongan sufi. Telah dinyatakan di dalam kitab Kasyf al-Zunun bahawa orang pertama yang digelar dengan sufi ialah Abu Hasyim al-Sufi yang meninggal dunia pada tahun 150 Hijrah.

Daripada perbincangan ringkas di atas, boleh dibuat kesimpulan bahawa tasawwuf bukanlah perkara baru yang direka-reka lagi bid'ah, sebaliknya ia diadaptasikan daripada perjalanan hidup Rasulullah saw dan para sahabat baginda yang mulia.

No comments:

Post a Comment