Followers

Wednesday, March 5, 2008

Fatwa Ulama Saudi Mengenai Hukum Mengundi

Dipetik dari Ahkam.net

Soalan:

Kami tinggal di sebuah Negara yang tidak berhukum dengan hukum Allah. Adakah harus bagi seseorang mengundi dan mencalonkan diri dalam pilihanraya Negara ini?

Jawapan:

Tidak harus bagi seorang Islam untuk mencalonkan dirinya untuk menyertai kerajaan yang berhukum dengan selain apa yang diturunkan Allah (Al-Qur'an dan Sunnah) dan tidak beramal dengan shariat Islam. Maka tidak harus bagi seorang Muslim untuk mengundinya atau mengundi selain daripadanya yang bekerja dalam kerajaan tersebut. Melainkan jika orang yang mencalonkan dirinya dari kalangan orang Islam dan mereka yang mengundi berhasrat untuk menukar hukum kepada beramal dengan shariat Islam melalui cara memasuki pilihanraya, dan mengambil cara itu sebagai satu jalan untuk menguasai sistem pemerintahan. Orang yang telah berjaya memasuki pemerintahan itu pula tidak bekerja di jawatan-jawatan yang bercanggah dengan shariat Islam.

Fatwa Lajnah Daa'imah yang diketuai oleh Shaikh Ibn Baaz 23/406-407.

Soalan:

Sebagaimana yang pihak tuan sedia maklum, kami di Algeria ini mempunyai pilihanraya tashri'iyyah. Sebahagian parti-parti di sini menyeru ke arah berhukum dengan shariat Islam dan sebahagian lain pula tidak mahu kepada hukum Islam. Maka apa hukumnya mengundi golongan yang tidak mahu menegakkan hukum Islam walaupun dia solat ?

Jawapan:

Wajib bagi orang Islam yang berada di Negara yang tidak berhukum dengan hukum Islam untuk mengerah tenaga dan usaha mereka semampu mungkin untuk berhukum dengan Shariat Islam. Mereka hendaklah berganding bahu dalam membantu parti yang diketahui akan menghukum dengan Shariat Islam. Adapun membantu orang yang menyeru ke arah tidak melaksanakan shariat Islam adalah tidak boleh malah boleh membawa kepada kekufuran berdasarkan kepada firman Allah yang bermaksud:”Dan hendaklah engkau menjalankan hukum di antara mereka dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah dan janganlah engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka, dan berjaga-jagalah supaya mereka tidak memesongkanmu dari sesuatu hukum yang telah diturunkan oleh Allah kepadamu. Kemudian jika mereka berpaling (enggan menerima hukum Allah itu), maka ketahuilah, hanyasanya Allah mahu menyeksa mereka dengan sebab setengah dari dosa-dosa mereka dan sesungguhnya kebanyakan dari umat manusia itu adalah orang-orang yang fasik. Sesudah itu, patutkah mereka berkehendak lagi kepada hukum-hukum jahiliah? Padahal kepada orang-orang yang penuh keyakinan tidak ada sesiapa yang boleh membuat hukum yang lebih baik dari Allah”. (Al Maa'idah 49-50)

Oleh kerana itu setelah Allah menerangkan kekufuran orang yang tidak berhukum dengan shariat Islam maka Allah memberi amaran agar tidak membantu mereka dan tidak mengambil mereka sebagai penolong/kawan/pemimpin. Lalu Allah memerintahkan orang-orang beriman agar bertaqwa jika mereka benar-benar beriman. Maka Allah berfirman yang bermaksud: ”Wahai orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil orang yang menjadikan agama kamu sebagai ejek-ejekan dan permainan daripada orang yang telah diberikan Kitab sebelum kamu dan orang-orang kafir musyrik itu: Menjadi penolong-penolong dan bertakwalah kepada Allah, jika kamu benar-benar orang yang beriman”. (Al Maa'idah 57)

Fatwa Lajnah Daa'imah yang diketuai oleh Shaikh Ibn Baaz 1/373-374

Soalan:

Apakah hukum pilihanraya yang wujud di Kuwait memandangkan bahawa kebanyakan golongan Islam dan Da'wah yang menyertainya telah terfitnah agama mereka ? Apa pula hukum pilihanraya kecil kabilah yang wujud di dalamnya wahai sheikh ?

Jawapan:

Saya menganggap bahawa pilihanraya ini wajib. Kita wajib untuk melantik orang yang kita nampak sebagai memiliki kebaikan kerana apabila orang-orang baik lengah dalam perkara ini maka siapakah yang akan mengambil tempat mereka ? Orang-orang jahat atau manusia lalang yang tidak memiliki kebaikan mahupun keburukan, yang mengikuti setiap yang bersuara lantang. Kita wajib untuk memilih orang yang kita lihat sebagai Soleh. Apabila seseorang berkata bahawa kami telah memilih seorang tetapi majoriti ahli majlis (parlimen/dewan rakyat/dewan negara) adalah daripada aliran lain maka kita menjawab: Tidak mengapa. Seorang ini jika Allah menjadikan dalam dirinya keberkatan dan dia melontarkan kalimah-kalimah yang benar dalam majlis ini nescaya ia akan memberi kesan yang pasti.

Kalimah haqq daripada seorang individu telah memberi kesan kepada begitu ramai orang yang dipimpin seorang pemerintah yang sangat kejam. Oleh itu saya berkata: Walaupun ditentukan bahawa tidak ada di dalam Parlimen melainkan bilangan kecil di kalangan ahli kebenaran nescaya mereka akan memberi manfaat. Tetapi mereka hendaklah ikhlas kepada Allah `Azza wa Jalla. Adapun kata-kata bahawa Parlimen itu tidak harus (dimasuki) dan tidak boleh menyertai serta duduk dengan orang-orang Fasiq, maka adakah kita ada mengatakan bahawa kita menyertai Parlimen untuk menyetujui mereka? Kita duduk bersama mereka untuk menerangkan kebenaran buat mereka. Sebahagian rakan di kalangan `Ulama' menganggap bahawa haram menyertai pilihanraya kerana ia menjadikan seorang yang beristiqamah duduk
dengan seorang yang terpesong. (Jadi kita ingin bertanya) Adakah lelaki istiqamah ini memasuki pilihanraya untuk memesongkan dirinya atau untuk meluruskan apa yang bengkok ?
Jawab ! Adakah seorang lelaki yang istiqamah yang duduk di sebelah seorang yang terpesong dalam pilihanraya untuk memesongkan orang ? Ya, dia menyertai pilihanraya untuk membetulkan dan meluruskan yang bengkok lagi tersasar.Jika dia tidak berjaya kali ini dia akan berjaya lain kali.

Yang bertanya : Pilihanraya kecil kabilah wahai sheikh ?

Jawapan:

Semuanya sama. Lantiklah orang yang kamu anggap sebagai baik dan bertawakkallah kepada Allah.

3 comments:

  1. Salaaam alaikum w.b.t.. Semoga ustaz sentiasa sihat dan bahagia sokmo. Apa pandangan ustaz tentang mengundi di Malaysia, apa hukumnya? Dan saya ingin bertanya tentang sebahagian jemaah tabligh yang tidak mahu terlibat dengan mengundi2 nih, diorg kata ini semua sekular dsbnya. Apa pandangan ustaz tentangnya?? Baarokallahu fiik :)

    ReplyDelete
  2. Waalaikumsalam...

    Fatwa mengenai hukum mengundi ini terpakai juga di negara kita Malaysia. Ia merupakan kewajipan yang tidak boleh diabaikan bagi memastikan kelangsungan al-amr bil makruf wa al-nahy an al-munkar.

    ReplyDelete
  3. Salaaam ... syukron jaziilan yaa ustaz, semoga itu lah yang sebaiknya dan akan dipegang juga oleh mereka2 yang masih memisahkan agama dengan politik. Jazakallahu khoir ...... alhamdulillah, bagus artikel2 terbaru ustaz itu, baarokallahu fiik

    ReplyDelete