Followers

Saturday, March 29, 2008

Hukum Memakai Gelang Magnet

Saya sering ditanya tentang hukum bagi orang lelaki memakai gelang magnet untuk tujuan perubatan. Apatah lagi kita dapati dewasa ini semakin ramai orang lelaki yang memakainya. Lalu ia menimbulkan satu polemik dalam masyarakat...ada yang berpendapat bahawa ianya adalah haram...dan ada pula yang menyatakan bahawa ianya adalah harus. Justeru, kita hendaklah mengenal pasti sebab pemakaian gelang tersebut untuk mengetahui sama ada ia dibenarkan oleh syarak atau tidak. Sememangnya gelang asalnya merupakan perhiasan bagi wanita. Orang lelaki tidak dibenarkan menyerupai wanita dan begitulah sebaliknya wanita tidak dibenarkan oleh syarak untuk meniru atau menyerupai lelaki. Oleh itu, tidak wajar seseorang lelaki memakai gelang tanpa sebab kerana ia boleh dikategorikan sebagai meniru wanita yang diharamkan di dalam Islam kerana Rasulullah melaknat orang lelaki menyerupai wanita.

Lalu, apakah sebab yang mengharuskan orang lelaki memakai gelang? Mereka yang menyatakan bahawa pemakaian gelang tersebut adalah haram menyandarkan dalil pada sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad, Ibnu Majah dan Ibnu Hibban bahawa Nabi saw telah melihat seorang lelaki memakai gelang tembaga di tangannya, lalu nabi saw menyuruh agar ditanggalkan gelang tersebut dengan sabda baginda yang bermaksud: "Tanggalkan dengan segera, ia tidak akan menambahkan kepadamu melainkan kelemahan, dan sesungguhnya sekiranya kamu mati dan gelang itu ada padamu, kamu tidak akan berjaya selamanya". Perbincangan ulama' tentang hadis ini menyatakan bahawa sebab atau punca nabi melarang memakai gelang tersebut kerana ia dipakai sebagai tangkal untuk melindungi seseorang daripada penyakit sedangkan kepercayaan tersebut langsung tidak berasas dan tidak berdasarkan sebarang bukti, sebaliknya kepercayaan seumpama itu membawa syirik kepada Allah swt.

Pandangan peribadi saya dalam hal ini ialah harus orang lelaki memakai gelang magnet sekiranya 'terbukti secara saintifik' atau mendapat 'pengesahan doktor pakar' bahawa ia memang boleh mengubati penyakit. Ini kerana dalam hadis yang sahih memang jelas dilarang bagi orang lelaki untuk memakai sutera dan emas. Namun, nabi saw telah membenarkan Abdul Rahman Bin Auf dan Zubayr memakai baju sutera bagi mengubati penyakit gatal yang dihidapi oleh mereka berdua (hadis muttafaq 'alaih). Begitu juga nabi saw menyuruh seorang sahabat menampal hidungnya yang terpotong dalam peperangan dengan emas setelah usaha menampalnya dengan perak tidak berjaya kerana ia menyebabkan busuk. Dari hadis ini jelas menunjukkan bahawa emas dan sutera yang diharamkan bagi lelaki telah dibenarkan dan diharuskan menggunakannya untuk tujuan perubatan.

Oleh itu, pada pendapat saya gelang magnet sekiranya terbukti boleh mengubat penyakit, maka ia diharuskan. Kepastian bahawa gelang tersebut boleh mengubat penyakit mestilah diakui oleh tokoh perubatan dan golongan pakar, janganlah ia hanya berdasarkan sangkaan dan waham semata-mata. Namun kita mengharapkan agar majlis fatwa dapat berbincang dan mengeluarkan fatwa tentang perkara ini. wallahu'alam.

1 comment:

  1. Salam ust Shauqi..

    Tahniah kerana sudah ada laman blog sendiri..

    ana ada juga tulis pasal gelang perubatan.. kalau ustaz nak tengok dan yang lebih penting kot ada teguran membina.. demi menyamarakkan ilmu..

    wassalam..

    "nice to meet u ust!"

    IbnRajab
    http://ibnrajab.wordpress.com/2008/01/13/lelaki-gelang-untuk-tujuan-perubatan/

    ReplyDelete