Followers

Sunday, September 28, 2008

Perlukah Wanita Berjemaah Solat Raya Di Masjid?


Oleh: Mohd Sukki Bin Othman (Ustaz Shauqi)

Hari raya Aidilfitri merupakan kurniaan Allah s.w.t. khusus kepada hamba- hambaNya yang beribadah dan berjuang melawan hawa nafsu di sepanjang bulan Ramadhan. Dalam bahasa Arab, hari raya Aidilfitri disebut sebagai ‘Id al-Fitr. Perkataan 'Id bermaksud kembali atau pulang, iaitu hari yang mengembalikan kegembiraan kepada umat Islam pada setiap tahun dengan segala bentuk ihsan dan nikmat daripada Allah. Fitr pula bermakna berbuka atau makan minum, iaitu pada hari raya (tanggal 1 Syawal), umat Islam dikehendaki untuk berbuka dan diharamkan berpuasa.

Fitr juga bermaksud fitrah. Maksudnya ialah ibadah puasa yang dilakukan oleh seseorang itu dalam bulan Ramadhan, disertai dengan ibadah-ibadah lainnya seperti solat tarawih pada malam-malam Ramadhan, bertadarus al-Quran, qiyamullail, zikrullah, berdoa, bersedekah dan sebagainya, akan melebur dan membersihkan segala dosa. Sehubungan dengan itu, pada hari tanggal 1 Syawal umat Islam akan kembali kepada fitrah sehingga keadaan diri mereka seolah-olah kembali bersih seperti bayi yang baru dilahirkan.

Anas Bin Malik meriwayatkan bahawa apabila Rasulullah s.a.w tiba di Madinah, baginda mendapati penduduknya mempunyai dua hari perayaan untuk mereka bersukaria. Baginda pun bertanya: ‘Hari perayaan apakah ini?’. Para sahabat menjawab: ‘Kami menyambutnya dengan bersuka ria sewaktu pada zaman Jahiliah’. Lalu Rasulullah s.a.w. pun bersabda: ‘Sesungguhnya Allah s.w.t. telah menggantikan bagi kamu dua hari yang lebih baik daripada hari-hari tersebut, iaitu hari raya Aidiladha dan hari raya Aidilfitri’.(Hadis riwayat Abu Daud).

Sehubungan dengan itu, hari raya Aidilfitri ialah hari kemenangan bagi umat Islam yang telah berjaya menundukkan nafsu ammarah di sepanjang bulan Ramadhan. Untuk merayakan kemenangan pada hari raya, ia hendaklah disambut dengan penuh kesyukuran serta tunduk dan sujud kepada Allah s.w.t dengan menunaikan solat hari raya. Solat hari raya Aidilfitri ialah solat sunat dua rakaat yang dilakukan oleh umat Islam pada pagi 1 Syawal. Hukum menunaikan solat ini ialah sunat muakkad.

Solat sunat hari raya telah disyariatkan pada tahun pertama Hijrah, namun kali pertama ia dilakukan oleh Rasulullah s.a.w ialah solat sunat hari raya Aidilfitri pada tahun kedua Hijrah. Dalam hadis sahih riwayat Imam Bukhari dan Muslim, Ibnu Abbas r.a telah berkata bahawa beliau menunaikan solat hari raya Aidilfitri bersama Rasulullah s.a.w., Abu Bakar r.a. dan Umar r.a. dan mereka menunaikannya sebelum khutbah. Ibnu Abbas juga menyatakan bahawa nabi Muhammad s.a.w. menunaikan solat raya dengan tanpa laungan azan dan iqamah. Justeru, ulama’ telah berijma’ dengan pensyariatan solat hari raya ini.

Menurut Dr Wahbah al-Zuhayliy dalam bukunya al-Fiqh al-Islamiy wa Adillatuh, para fuqaha’ telah bersependapat bahawa waktu untuk menunaikan solat hari raya ialah selepas terbitnya matahari sekadar segalah atau dua galah (iaitu lebih kurang setengah jam selepas terbit matahari) sehinggalah sebelum tergelincirnya matahari iaitu sebelum masuknya waktu Zohor. Solat hari raya disunatkan untuk melaksanakannya secara berjamaah. Namun, sekiranya tidak berkesempatan untuk menunaikannya secara berjamaah, ia juga boleh dilakukan secara bersendirian.

Solat hari raya juga sunat ditunaikan di masjid, surau, padang atau di tempat lapang. Menurut ulama’ aliran mazhab Syafie, yang paling afdhal ialah ia ditunaikan di masjid kerana ia merupakan semulia-mulia tempat, namun sekiranya masjid tidak dapat menampung bilangan jamaah yang ramai, maka bolehlah ditunaikan di tempat lain seumpama di padang atau di tempat lapang.

Namun, sesuatu yang sering diperbincangkan ialah tentang keharusan wanita menunaikan solat hari raya di masjid, surau atau di tempat-tempat yang diadakan secara berjamaah. Alasannya ialah ia boleh mengundang fitnah, apatah lagi apabila wanita-wanita muda yang hadir ke masjid itu siap berpakaian berwarna-warni dan mengghairahkan! Sebenarnya, terdapat sedikit perbezaan pendapat di kalangan fuqaha’ tentang keharusan wanita menunaikan solat hari raya secara berjamaah di masjid.

Dr Abdul Karim Zaydan melalui bukunya al-Mufassol fi Ahkam al-Mar'ati wa Bait al-Muslim telah membawa beberapa pandangan ulama’ mazhab mengenai perkara ini. Menurut pandangan ulama’ aliran mazhab Hanbali, tidak mengapa wanita keluar ke musolla untuk menunaikan solat raya. Ulama’ aliran mazhab Syafie pula menyatakan bahawa dimakruhkan bagi wanita yang mempunyai rupa paras yang menarik dan cantik daripada menghadiri solat raya, tetapi disunatkan bagi wanita yang selain daripada itu apabila mendapat keizinan suami. Menurut ulama’ aliran mazhab Maliki dan Hanafi pula, mereka menyatakan tidak diharuskan bagi wanita untuk keluar menunaikan solat Jumaat dan solat hari raya kerana ia boleh menimbulkan fitnah yang merupakan sesuatu yang haram. Ini berdasarkan kaedah: ‘sesuatu yang boleh mendatangkan perkara haram, maka ianya adalah haram’. Akan tetapi, bagi wanita-wanita tua yang sudah lanjut umur, diharuskan bagi mereka untuk keluar ke tempat solat untuk menyaksikan serta menunaikan solat hari raya.

Mengulas perbezaan pendapat dalam kalangan fuqaha’ ini, Dr. Abdul Karim Zaidan menyatakan bahawa pandangan terpilih dalam persoalan wanita keluar untuk menunaikan solat hari raya berjemaah di masjid, surau atau sebagainya adalah sunat. Hal ini berdasarkan terdapatnya hadis-hadis yang menunjukkan bahawa nabi pernah menyuruh wanita-wanita hadir ke musolla pada hari raya untuk menunaikan solat hari raya. Begitu juga wanita yang kedatangan haid, mereka juga digalakkan untuk hadir ke musolla untuk menyaksikan solat hari raya serta mendengar khutbah raya yang dapat memberi manfaat dan pengajaran ke arah meningkatkan takwa kepada Allah s.w.t.

Antara hadis yang menunjukkan wanita keluar ke musolla pada hari raya ialah hadis yang diriwayatkan oleh Ummu 'Atiyyaah r.a. yang berkata: "Kami disuruh supaya membawa keluar gadis-gadis remaja dan wanita yang sedang haid pada dua hari raya supaya mereka dapat menyaksikan kebaikan dan seruan (doa) orang Islam. Wanita yang sedang haid hendaklah mengasingkan diri dari tempat solat". (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).

Daripada Hafsah binti Sirin, bahawa seorang perempuan telah bertanya kepada Nabi s.a.w.: "Adakah tidak mengapa jika ada dalam kalangan kami (kaum wanita) yang tidak memiliki jilbab, dia tidak keluar untuk menunaikan solat 'eid?", Baginda bersabda: "Hendaklah sahabatnya memakaikannya jilbab yang dia (sahabat itu) miliki". Apabila saya bertemu dengan Ummu 'Atiyyah, saya bertanya kepadanya: "Adakah puan pernah mendengar sendiri daripada Rasulullah?" Beliau menjawab: "Sungguh saya pernah mendengar baginda bersabda: "Hendaklah gadis remaja dan wanita yang sedang haid keluar (ke musolla) untuk menyaksikan kebaikan dan doa orang yang beriman. Wanita yang haid hendaklah berada jauh dari tempat solat".(Hadis Riwayat Imam Muslim di dalam sahihnya, begitu juga Imam Bukhari dengan lafaz yang hampir sama, Abu Daud dan lain-lain).

Dalam hadis-hadis di atas jelaslah bahawa digalakkan kepada wanita untuk keluar berjemaah atau menyaksikan solat hari raya sama ada mereka terdiri daripada wanita yang muda atau pun yang sudah tua. Manakala hujah yang menyatakan bahawa keluarnya wanita muda ke musolla pada hari raya akan menyebabkan timbulnya fitnah tidak timbul sama sekali kerana mereka dikehendaki memakai pakaian yang menutup aurat dengan sempurna (jilbab), iaitu tidak memakai pakaian glamour yang boleh menarik perhatian golongan lelaki dan tidak berwangi-wangian. Mereka juga dikehendaki agar tidak bercampur dengan lelaki yang bukan mahram, iaitu bagi wanita yang haid hendaklah berkumpul di satu sudut di musolla yang terasing daripada jamaah yang menunaikan solat. Manakala wanita yang menunaikan solat hari raya, hendaklah berada di belakang saf jamaah lelaki.

Jelasnya, golongan wanita juga disunatkan untuk keluar ke musolla serta menghadiri solat sunat hari raya. Bagi mereka yang tidak uzur syar’ie, mereka dapat sama-sama melaksanakan ketaatan kepada Allah dengan menunaikan solat sunat hari raya. Manakala mereka yang berada dalam keadaan haid pula, mereka juga mendapat manfaat daripada khutbah raya yang disampaikan. Apa yang paling penting ialah wanita yang keluar ke musolla pada hari raya mestilah mengelak daripada melakukan perkara-perkara yang boleh menimbulkan fitnah dan haram.

No comments:

Post a Comment