Followers

Monday, September 15, 2008

Sheikh Abdul Samad al-Falimbani


Oleh: Shauqi al-Yarmouki

Syeikh Abdul Samad al-Falimbani dilahirkan pada 1116 H/1704 M, di Palembang. Tentang nama lengkap Syeikh al-Falimbani, sejauh yang tercatat dalam sejarah, ada tiga versi nama. Yang pertama, seperti yang disebut dalam Ensiklopedia Islam, dia bernama lengkap Abdul Samad al-Jawi al-Falimbani. Versi kedua, merujuk pada sumber-sumber Melayu, sebagaimana dikutip Azyumardi Azra dalam bukunya Jaringan Ulama Timur Tengah dan Kepulauan Nusantara Abad XVII dan XVIII , ulama besar ini memiliki nama asli Abdul Samad bin Abdullah al-Jawi al-Falimbani. Sementara versi terakhir, bahawa bila merujuk pada sumber-sumber Arab, maka Syeikh al-Falimbani bernama lengkap Sayyid Abdul al-Samad bin Abdul Rahman al-Jawi.

Dari silsilah, nasab Syeikh al-Falimbani berketurunan Arab, iaiti dari sebelah ayahnya yang bernama Syeikh Abdul Jalil bin Syeikh Abdul Wahhab bin Syeikh Ahmad al-Mahdani. Ayah al-Falimbani adalah ulama berasal dari Yaman yang diangkat menjadi Mufti negeri Kedah pada awal abad ke-18. Sementara ibunya, Radin Ranti, adalah wanita Palembang yang merupakan isteri kedua Sheikh Abdul Jalil, setelah sebelumnya sempat menikahi Wan Zainab, puteri Dato' Sri Maharaja Dewa di Kedah.

Syeikh Abdul Jalil adalah ulama besar sufi yang menjadi guru agama di Palembang. Beliau seperti orang Arab yang lain datang ke Nusantara untuk menyebarkan Islam. Dalam pengembaraannya ke Palembang, putera mahkota Kedah, Tengku Muhammad Jiwa, bertemu dengan Syeikh Abdul Jalil dan berguru padanya, bahkan mengikutinya mengembara ke pelbagai negeri sampai ke India. Dalam sebuah perjalanan mereka, Tengku Muhammad Jiwa mendapat khabar bahawa Sultan Kedah telah mangkat.

Tengku Muhammad Jiwa lalu mengajak gurunya itu pulang bersamanya ke negeri Kedah. la dinobatkan menjadi sultan pada tahun 1112 H/1700 M dan Syeikh Abdul Jalil diangkat menjadi mufti Kedah dan dinikahkan dengan Wan Zainab. Tiga tahun kemudian Syeikh Abdul Jalill kembali ke Palembang kerana permintaan beberapa muridnya yang rindu padanya. Di Palembang beliau menikah dengan Radin Ranti dan memperoleh putera, Abdul Samad.
SHEIKH ABDUL SAMAD AL-FALIMBANI SEMASA KECIL

Seperti lazimnya anak-anak kecil di masa itu, Syeikh al-Falimbani menerima pengajaran agama daripada orang tuanya sendiri iaitu Sheikh Abdul Jalil mufti Negeri Kedah, selain beberapa guru di kampungnya yang sempat membimbing dirinya. Minatnya terhadap ilmu-ilmu keagamaan telah terlihat sejak usia muda.

Selain di kampung halamannya, Syeikh al-Falimbani juga mendapatkan pendidikan agama di daerah Kedah dan Patani (Selatan Thailand). Beliau sempat berkawan dengan Syeikh Daud Bin Abdullah al-Fattani ketika belajar agama di Pondok Pauhbuk, Mayur, Pattani. Beliau nampak hebat sejak berada di pondok lagi sebab itu beliau menjadi 'kepala telaah' (tutor).

Merasa kurang puas dengan ilmu yang dicapainya, orang tua al-Falimbani kemudian menghantar anaknya itu ke tanah Makkah dan Madinah (30 tahun di Makkah, 5 tahun di Madinah). Di Makkah, beliau menjadi kawan seperguruan menuntut ilmu dengan ulama Nusantara lainnya. Misalnya, Muhammad Arsyad Al-Banjari, Abdul Wahhab Bugis, Abdul Rahman Al-Batawi, dan Daud Al-Fatani. Meskipun beliau menetap di Makkah, namun, beliau tidak melupakan negeri tanah tumpah darahnya. Syeikh al-Falimbani tetap memberikan perhatian besar pada perkembangan sosial, politik, dan keagamaan di Nusantara.

SHEIKH ABDUL SAMAD AL-FALIMBANI SEMASA DI MAKKAH DAN MADINAH

Di Makkah dan Madinah, al-Falimbani banyak mempelajari pelbagai disiplin ilmu kepada ulama-ulama besar masa itu serta para ulama yang berkunjung ke sana. al-Falimbani mempunyai kecenderungan pada tasawuf. Karena itu, di samping belajar tasawuf di Masjidil-Haram. ia juga mencari guru lain dan membaca kitab-kitab tasawuf yang tidak diajarkan di sana.

al-Falimbani rnemantapkan kariernya di Haramayn dan mencurahkan waktunya untuk menulis dan mengajar. Meskipun demikian, dia tetap menaruh perhatian yang besar terhadap Islam dan kaum Muslimin di negeri asalnya. Tulisan-tulisannya tidak hanya menyebarkan ajaran-ajaran sufisme tetapi juga mengajak kaum Muslimin melancarkan jihad melawan kolonialis Eropah.

al-Falimbani berperanan aktif dalam memecahkan dua persoalan pokok yang saat itu dihadapi bangsa dan tanah airnya, baik di kesultanan Palembang mahupun di kepulauan Nusantara pada umumnya, iaitu yang berkaitan dengan dakwah Islamiyah dan kolonialisme Barat.

Mengenai dakwah Islam, beliau mengingatkan agar tidak tersesat oleh pelbagai fahaman yang menyimpang daripada ajaran Islam seperti ajaran tasawuf yang mengabaikan syariat. Mengenai kolonialisme Barat, al-Falimbani menulis kitab dalam bahasa Arab untuk meniup semangat jihad umat Islam sedunia. Tulisannya ini sangat berpengaruh pada perjuangan umat Islam dalam melawan penjajahan Belanda, baik di Palembang mahupun di daerah-daerah lainnya.

KARYA SHEIKH ABDUL SAMAD AL-FALIMBANI

1. Zuhrah al-Murid fi Bayan Kalimah al-Tauhid, ditulis pada 1178 H/1764 M di Makkah dalam bahasa Melayu, memuat masalah tauhid yang ditulisnya atas perrnintaan pelajar Indonesia yang belurn menguasai bahasa Arab. Ini adalah karya pertama Sheikh Abdul Samad al-Falimbani. Ia dikarang di Makkah atas desakan seorang sahabat yang bersama beliau mengikuti syarahan Ahmad Bin Abdul Mun'im al-Damanhuri iaitu seorang ulama' Mesir yang mengunjungi Makkah pada tahun 1763. Karya ini adalah untuk mereka yang tidak menguasai bahasa Arab.

2. Hidayah al-Salikin Fi Suluk Maslak al-Muttaqin
Ia sebuah adaptasi daripada karangan Imam al-Ghazali Bidayatul Hidayah. Ia mengandungi perbahasan usuluddin, syariat dan tasawuf. Ia selesai ditulis di Makkah pada tahun 1778. Ia juga mempunyai pengaruh yang besar di Nusantara dan buku ini telah dicetak berkali-kali di Makkah, Bombay, Kaherah dan lain-lain.

Mengenai Hidayah al-Salikin yang ditulisnya dalam bahasa Melayu pada 1192 H/1778 M, sering disebut sebagai terjemahan dari Bidayah al-Hidayah karya AI-Ghazali. Tetapi di samping menerjemahkannya, Al-Falimbani juga membahas berbagai masalah yang dianggapnya penting di dalam buku itu dengan mengutip pendapat AI-Ghazali dari kitab-kitab lain dan para sufi yang lainnya. Di sini ia menyajikan suatu sistem ajaran tasawuf yang memusatkan perhatian pada cara pencapaian ma'rifah kesufian melalui pembersihan batin dan penghayatan ibadah menurut syariat Islam. .

3. Sayr al-Salikin ila Ibadat Rabb al-Alamin
Ini merupakan karya terbesar Sheikh Abdul Samad. Ia siap di Taif pada tahun 1778. Kitab ini didasarkan kepada kitab Lubab Ihya' Ulumiddin . Ia dicetak berkali-kali termasuk di Pulau Pinang. Sayr al-Salikin ditulis olehnya di dua kota, iaitu Makkah dan Ta'if, 1779 hingga 1788. Kitab ini selain mengandungi terjemahan Lubab Ihya' Ulum al-Din karya Al-Ghazali, juga memuatkan beberapa masalah lain yang diambil dari kitab-kitab lain.

4. Tuhfat al-Raghibin fi Bayan Haqiqat Iman al-Mukminin
Ia dikarang pada tahun 1774. Mengandungi suatu fragmen mengenai perang sabil. Sebuah naskhah berada di Perpustakaan Nasional Jakarta, dan sebuah lagi berada di Perpustakaan Leningrad

5. Al-'Urwah al-Wusqa wa Silsilah Ulil-Ittiqa', ditulis dalam bahasa Arab, menyentuh wirid-wirid yang perlu dibaca pada waktu-waktu tertentu.

6. Ratib 'Abdal-Samad, seumpama buku saku yang berisi zikir, puji-pujian dan doa yang dilakukan setelah solat Isya. Pada dasarnya isi kitab ini hampir sama dengan yang terdapat pada Ratib Samman.

7. Zad al-Muttaqin fi Tauhid Rabb al-'Alamin, berisi ringkasan ajaran tauhid yang disampaikan oleh Syeikh Muhammad al-Samman di Madinah.

PEMIKIRAN TASAWUF SHEIKH ABDUL SAMAD AL-FALIMBANI

Dua karya besar al-Falimbani, Sayr al-Salikin ila 'Ibadah Rabb ai-'Alamin dan Hidayah al-Salikin fi Suluk Maslak al-Muttaqin dianggap sebagai contoh yang menunjukkan para ulama abad ke-18 kembali ke tasawuf Sunni AI-Ghazali dan meninggalkan wahdatul wujud Ibn al-'Arabi yang abad sebelumnya sangat dominan di Aceh.

Berkaitan dengan ajaran tasawufnya, Syeikh Al-Falimbani dinilai mengambil jalan tengah antara doktrin tasawuf Imam Al-Ghazali dan ajaran wihdatul wujud Ibnu 'Arabi. Pendekatan tasawufnya lebih menekankan penyucian fikiran dan perilaku moral. Beliau juga cuba menyelaraskan aspek syariat dan tasawuf. Tauhid sebagai salah satu maqam tertinggi dan tujuan yang ingin dicapai seorang sufi menjadi perhatian penting Al-Falimbani.

JIHAD SHEIKH ABDUL SAMAD AL-FALIMBANI

Perjuangan beliau dalam medan Jihad terserlah dalam peperangan Pattani dan Kedah menentang Siam pada tahun 1832. Tercatat dalam sejarah Peperangan antara Pattani dan Siam berlaku sebanyak 12 kali. Syeikh Daud Fattani dan Syeikh Abdul Samad al-Falimbani meninggalkan Makkah untuk turut serta dalam jihad menentang Siam pada tahun 1832.

Sheikh Abdul Samad telah dilantik sebagai panglima perang. Syeikh Abdul Samad syahid dalam peperangan tersebut iaitu pada tahun 1828. Beliau ditangkap dan disula oleh tentera Siam, dan kepalanya dipancung dan di bawa ke Bangkok untuk dipersembahkan kepada Maharaja Siam sebagai bukti kematiannya. Dikatakan bahawa kuburnya baru sahaja dijumpai oleh pengkaji sejarah di Pattani iaitu di Mukim Jenung, Chanaa iaitu berhampiran dengan Pondok Bantrap.

1 comment:

  1. menurut yang saya tahu syekh abdus shomad al falimbani juga pernah singgah di daerah demak tepatnya di desa gemulak kecamatan sayung kabupaten demak, bahkan makam beliau juga ada di belakang masjid desa tersebut

    ReplyDelete