Followers

Friday, October 31, 2008

Perkara Luar Biasa


Allah telah menganugerahkan kepada manusia khusus dan awam 8 perkara luar biasa yang boleh berlaku ke atas manusia. Perkara luar biasa itu bolehlah dibahagikan kepada 2 bahagian iaitu, 4 perkara yang di puji dan 4 perkara yang di keji dan menyalahi ajaran Islam. Ramai daripada kalangan orang Islam sendiri yang terkeliru tentang konsep dan perbezaan perkara-perkara tersebut, kadang-kala masyarakat tidak dapat membezakan yang mana baik dan yang mana mesti dijauhi.
Empat Perkara Yang Terpuji

1. Irhas.
Irhas ialah perkara luar biasa yang di anugerahkan oleh Allah kepada Nabi-Nabi dan rasul-rasul semasa baginda masih kecil. Contohnya seperti Nabi Isa boleh bercakap semasa baginda masih dalam buaian.

2. Mukjizat.
Mukjizat ialah suatu perkara luar biasa yang dikurniakan oleh Allah hanya kepada Nabi-Nabi dan rasulnya sahaja bagi melancarkan usaha rasul-rasul tersebut menyampaikan dakwah dan risalah Allah. Contohnya seperti Mukjizat Nabi Sulaiman yang boleh memahami bahasa semua binatang, mukjizat al-Quran dan Isra’ Mikraj yang berlaku kepada nabi Muhammad saw.

3. Karamah.
Karamah ialah suatu perkara luar biasa yang Allah kurniakan kepada orang-orang mukmin yang berakhlak rasul dan benar-benar berpegang dengan ajaran Islam zahir dan batin. Mereka ini adalah merupakan orang yang alim dan sentiasa beramal soleh. Mereka mahir sekurang-kurangnya tentang ilmu fardhu Ain, Usuluddin, Fekah dan tasauf serta mereka sentiasa beramal dengannya pada setiap masa dan kelakuan. Ikatan diri mereka sentiasa dengan Allah tanpa dapat dipengaruhi oleh alam sekeliling.

4. Maunah.
Maunah ialah perkara luar biasa yang Allah kurniakan kepada orang mukmin awam yang soleh, yang apabila di timpa sesuatu musibah atau hal ke atas dirinya, mereka terus melipat gandakan pergantungan dan keimanan kepada Allah serta memantapkanya melalui berbagai-bagai wirid, dan doa serta amalan-amalan sunat yang lain.

Empat Perkara Yang Di Keji

Perkara luar biasa yang di keji oleh Allah ialah perkara luar biasa yang berlaku ke atas orang biasa melalui pertolongan selain daripada Allah. Contohnya melalui pertolongan khadam-khadam yang terdiri daripada Jin dan Syaitan dan sebagainya. Perkara luar biasa jenis ini mestilah di jauhi oleh setiap orang Islam kerana ianya sesat dan menyesatkan.

1. Istidraj
Istidraj ialah perkara luar biasa yang Allah kurniakan kepada mereka yang berpura-pura beramal dengan amalan soleh, walaupun diri mereka mahir dengan fardhu ain, Usuluddin, fekah dan tasauf. Mereka berbangga dengan perkara luar biasa yang berlaku ke atas diri mereka sedangkan mereka mengetahui punca sebenar datangnya perkara luar biasa tersebut. Lazimnya golongan ini terikat dengan perjanjian serta mewujudkan pantang-larang yang selari dengan hukum syarak. Ini kerana khadam-khadam mereka adalah terdiri daripada golongan Jin sama ada Jin Islam atau terdiri daripada Jin yang kafir. Setiap amalan wirid, jampi dan doa itu ada penjaganya (Khadam). Orang yang beramal dengan kaedah ini kebiasaannya mempunyai suatu perasaan tidak baik yang telah tersemat dalam diri mereka. Antara matlamat mereka ialah :-
- Ingin di puja.
- Ingin dikunjungi oleh orang ramai
- Cinta kepada pangkat dan kebesaran
- Ingin mendapatkan harta dan kuasa

Mereka sebenarnya mengetahui dari mana datangnya zahir perkara luar biasa pada perkataan, perbuatan dan qasad hati, tetapi mereka enggan meninggalkan amalan tersebut kerana mereka ingin menjadi jaguh dalam bidang perubatan dengan mengadakan beberapa keajaiban dari berbagai-bagai jenis ubatan, kaedah perubatan dan sebagainya. Kadang-kadang melalui langkah mempertahankan diri. Mereka juga terjebak dalam permainan tunjuk kuat kebatinan supaya mereka di anggap orang yang paling makbul doanya atau paling keramat. Dia juga inginkan supaya di kunjungi, di puja dan di hormati sebagai seorang Ahlillah secara mutlak, sedangkan dalam masa yag sama dia akan terasa hina dan hilang kewibawaan jika tiada pada dirinya perkara yang luar biasa.


2. Sihir.
Sihir ialah perkara luar biasa yang Allah kurniakan kepada orang-rang Islam yang durhaka (‘asi ) yang tidak faham aqidah, syariat dan ubudiah serta tidak beramal dengannya dan orang-orang yang fasik. Sihir juga diberikan oleh Allah kepada pendita-pendita bukan Islam samada Yahudi, Buddha, Nasrani, Majusi dan yang seumpama dengannya. Sihir ini terjadi melalui pertolongan daripada rohani Jin Islam yang fasik dan Jin-Jin yang kafir melalui perjanjian tertentu. Kebiasaannya golongan ini terikat dengan perjanjian dan mengadakan jamuan yang harus dan haram di sisi Syarak. Mereka mendapat perkara yang luar biasa ini adalah melalui pertolongan kumpulan Jin Islam yang fasik dan daripada Jin yang kafir. Golongan orang Islam yang mendapat perkara luar biasa melalui kaedah ini selalunya sentiasa bergelumang dengan kejahatan dalam semua hal. Golongan ini sebenarnya melakukan syirik kepada Allah dengan jelas dan nyata.


3. Silap Mata.
Silap Mata adalah perkara luar biasa yang Allah kurniakan kepada orang-orang Islam yang fasik dan juga kepada orang-orang kafir, melalui pertolongan daripada Jin kafir. Oleh itu mereka juga terikat dengan perjanjian dan membuat perkara-perkara yang diharamkan oleh hukum syarak. (KECUALI silap mata yang tiada kaitan dengan pertolongan jin iaitu ‘trick’ semata-mata)

4. Sya’wazah.
Sya’wazah ialah perkara yang di kurniakan oleh Allah, yang berlawanan sama sekali daripada kehendak asal. Kebiasaannya perkara ini Allah berikan kepada golongan yang angkuh daripada orang-orang kafir. Misalnya apabila mereka meminta sesuatu yang baik, tetapi Allah kurniakan dengan sesuatu kejahatan yang berlipat ganda.

No comments:

Post a Comment