Followers

Tuesday, March 3, 2009

Keperluan Undang-Undang Jenayah Islam


Oleh ROOSFA HASHIM
Penulis adalah Pensyarah di Pusat Pengajian Umum, Universiti Kebangsaan Malaysia. roosfa@ukm.my

Buku Mengapa Perlu Kepada Undang-undang Jenayah Islam? oleh Mohd. Sukki Othman dan Mohamad Hadi Ahmad Talhah terbit dalam pasaran ketika masyarakat berdepan dengan pelbagai gejala jenayah. Keruntuhan moral akibat pelbagai gejala sosial telah mendorong pertambahan angka pelbagai kes jenayah.

Indeks jenayah 2005-2006 yang ditampilkan pada bahagian awal buku ini sedikit sebanyak memberi alasan kenapa buku ini wajar hadir dalam suasana masyarakat sekarang. Sepanjang tempoh tersebut, berlaku pertambahan dalam kes yang dicatatkan.

Pengarang memulakan perbincangan mereka dengan membentangkan falsafah dan dasar perundangan Islam, iaitu suatu topik yang umum dan memang telah diketahui oleh kebanyakan pembaca. Falsafah penghukuman dalam undang-undang Islam juga dibincangkan iaitu Islam menekankan konsep keadilan dan konsep pencegahan jenayah dalam masyarakat. Pelaksanaan undang-undang jenayah Islam selain menghukum penjenayah juga bertindak dalam memelihara nilai murni dalam masyarakat, iaitu memelihara agama, jiwa, akal, keturunan dan harta.

Pada prinsipnya, pelaksanaan undang-undang jenayah ialah bagi menunaikan tuntutan Allah SWT. Pelaksanaannya dilakukan sebagai tanda taat kepada Allah tanpa ragu atau mempersoalkannya kerana Allah yang Maha Pencipta lebih mengetahui apa yang terbaik untuk hamba-Nya di dunia.

Pengarang menjawab persoalan yang menjadi judul buku ini, mengapa kita memerlukan pelaksanaan undang-undang jenayah Islam dalam bab kedua. Undang-undang jenayah Islam menurut pengarang mempunyai sifat ketinggian dan keadilan berbanding undang-undang ciptaan manusia yang ada ketikanya tunduk kepada manusia berkedudukan dan berkuasa.

Ahli falsafah Barat pernah mengakui undang-undang manusia bagaikan sarang labah-labah, serangga kecil sering tersangkut dan terperangkap sedangkan yang besar seperti gajah dapat merempuhnya dengan sombong.

Undang-undang jenayah Islam bukan sekadar menghukum atau suatu pembalasan tetapi juga berbentuk pencegahan sebuah masyarakat daripada kerosakan dan kemusnahan akibat salah laku jenayah.

Pengarang juga membincangkan perbezaan yang jelas antara undang-undang jenayah Islam dengan undang-undang ciptaan manusia. Undang-undang jenayah Islam datangnya daripada Allah yang Maha Mengetahui segala keperluan hamba-Nya, maka syariat yang diturunkan bersesuaian dengan fitrah manusia.

Dalam buku ini pengarangnya menekankan keyakinan mereka akan keberkesanan pelaksanaan undang-undang jenayah Islam dalam membanteras jenayah dengan memperlihatkan kegagalan undang-undang ciptaan manusia dalam menangani jenayah yang semakin kompleks pada hari ini.

Konsep dan pembahagian jenayah dalam Islam juga dibincangkan dalam buku ini. Dalam undang-undang jenayah Islam asas dalam mengiktibar sesuatu perbuatan jenayah bergantung pada sejauh mana perbuatan itu membawa kemudaratan kepada masyarakat, sama ada menggugat keselamatan dan mengancam keamanan, memecah perpaduan, mencabar sistem atau merosakkan akidah.

Penghakiman undang-undang jenayah juga melihat sejauh mana perbuatan individu itu membawa mudarat sehingga menggugat kepentingan individu yang dilindungi oleh syarak. Soal kepentingan individu melibatkan juga soal memelihara agama, jiwa, akal, keturunan, maruah dan harta.
Segala bentuk jenayah tanpa sebarang pengecualian boleh mengganggu kepentingan individu dan membahayakan masyarakat di mana jenayah itu dilakukan. Undang-undang moden buatan manusia meskipun mempunyai beberapa aspek yang menyamai prinsip undang-undang jenayah Islam namun jika diperhalusi, mempunyai banyak perbezaannya.

Undang-undang Islam menitikberatkan agama, jiwa, akal, keturunan dan harta. Jadi diperuntukkan hukuman mati bagi mereka yang murtad, sebat dan rejam bagi yang berzina, dan sebat bagi mereka yang minum arak. Aspek ini yang tidak terdapat dalam undang-undang moden ciptaan manusia yang melihatnya sebagai tidak berperi kemanusiaan dan zalim. Namun, hanya Allah yang Maha Mengetahui segala ketentuan yang telah Dia tetapkan.

No comments:

Post a Comment