Followers

Monday, July 13, 2009

Fenomena Natrah


NATRAH MAAROF atau Bertha Hertogh, 72 meninggal dunia Khamis lalu yang mana kehidupannya sudah menjadi sebahagian daripada ingatan kolektif bangsa Melayu. Peristiwa yang dikenali Rusuhan Natrah akan sentiasa diingat oleh orang Melayu pada masa akan datang. Walaupun ia berlaku pada 12 Disember 1950 di Singapura kerana kekecewaan orang Melayu apabila beliau dimurtadkan sudah berlalu hampir 59 tahun, tetapi ia akan tetap tercatat dalam memori bangsa untuk diwariskan pada generasi akan datang.

Selepas Rusuhan Natrah itu, apa saja perkembangan mengenai dirinya, apabila diketahui tetap menarik perhatian orang Melayu. Maka kini walaupun beliau sudah tiada lagi, tetapi kehidupannya akan terus dikenang kerana kepiluan hidupnya apabila dipaksa meninggalkan daripada menjadi seorang Melayu kembali kepada Belanda menyakitkan bukan saja kepada diri dan keluarga angkatnya, tetapi juga seluruh bangsa.

Sekurang-kurangnya terdapat empat dimensi yang berkaitan dengan keseluruhan hidupnya. Pertama, dimensi Melayu dalam konteks Nusantara. Kedua, agama Islam yang menjadi jati diri bangsa Melayu. Ketiga, dimensi perjuangan bangsa untuk mendapatkan kemerdekaan daripada penjajah Barat. Keempat, psikologi bangsa Melayu yang mempunyai sifat terbuka dan menerima bangsa lain, tetapi pada waktu sama mampu bertindak serius apabila hak jati diri mereka dicabar.

Natrah tidak mempunyai darah Melayu. Beliau yang lahir pada 24 Mac 1937 adalah anak Belanda tulen bernama Bertha, anak kepada Sarjan Adrianus Petrus Hertogh dan ibunya, Adeline. Maknanya, Natrah adalah anak keluarga penjajah yang lahir di tanah jajahan kerana ayahnya berkhidmat dalam tentera Belanda untuk memastikan Indonesia terus dijajah.

Natrah juga bukan lahir di Tanah Melayu. Tetapi dilahirkan di Tjimahi, Jawa, ketika itu sebahagian daripada Hindia Timur Belanda. Tetapi dalam tahun-tahun 30-an, Hindia Timur Belanda dan Tanah Melayu walaupun menjadi tanah-tanah jajahan Belanda dan Inggeris dianggap sebagai tanah air serumpun bersama.

Kedatangan Jepun mengubah hidup Natrah. Demi keselamatannya, beliau diserahkan oleh ibunya dan neneknya Nor Louise kepada Che Aminah Mohamed tanpa pengetahuan bapanya.
Pada masa kacau-bilau itu, perkara ini adalah suatu yang biasa. Dapat terus hidup adalah suatu yang sudah cukup patut dihargai terutama bagi penjajah Belanda dan Inggeris yang sedang lari daripada kemaraan Jepun.

Sejak diserahkan kepada keluarga Melayu itu, maka bermulalah Bertha berubah jati diri daripada seorang Belanda kepada Melayu. Namanya menjadi Natrah dan dia dididik sebagai seorang Islam selama lapan tahun. Bagi orang Melayu, anak angkat adalah seperti anak sendiri. Anak angkat keluarga Melayu seharusnya menjadi orang Melayu.

Lebih-lebih lagi apabila pada 15 November 1945, Natrah dibawa ke Kampung Banggol, Kemaman, Terengganu melalui Singapura. Maknanya kalau Natrah terus berada di sini, maka beliau menjadi orang Melayu dan warganegara Malaysia.

Semasa perang Jepun itu, banyak anak-anak daripada pelbagai keturunan dan agama, sama ada Inggeris, Belanda, Cina atau Jepun terselamat apabila mereka diambil sebagai anak angkat orang Melayu. Mereka membesar sebagai orang Melayu dan Islam. Tidak ada masalah dengan mereka.

Tetapi terhadap Natrah, bapanya yang dibebaskan daripada tawanan Jepun kembali ke Bandung mencari Natrah pada tahun 1945. Beliau tidak dapat menerima bahawa Natrah menjadi Melayu.

Hakikatnya ialah Hertogh adalah tentera penjajah yang bernasib baik selamat dalam perang di tanah jajahan. Kalaulah dia terbunuh dalam perang itu, maka tidak timbul Natrah hendak dikembalikan.

Begitu juga Natrah bernasib baik selamat selepas diserahkan oleh ibu dan neneknya kepada keluarga Melayu. Bukan soal dia menjadi Melayu atau Belanda. Hakikatnya dia terselamat dan dipelihara oleh keluarga angkatnya seperti anak sendiri.

Tetapi pada tahun 1950, Tanah Melayu berada dalam penjajahan Inggeris. Atas bantuan pihak berkuasa Inggeris, bapa Natrah dapat mengeluarkan Natrah daripada keluarga Melayu.

Dalam rayuan Che Aminah pada 28 Julai 1950, keluarga angkatnya itu menang. Untuk memastikan Natrah terus menjadi Melayu, beliau dinikahkan dengan Cikgu Mansor Adabi pada Ogos 1950. Mansor Adabi bukanlah calang-calang orang. Beliau adalah antara anak muda Melayu terpelajar yang timbul pada zaman itu untuk turut menyumbang kepada perjuangan kemerdekaan bangsa.

Bahagia

Ketika itu Mansor berusia 18 tahun, dan Natrah 14 tahun. Mereka hidup di Singapura dan berbahagia. Tetapi kebahagiaan mereka dirampas oleh mahkamah penjajah yang tidak menghiraukan kehendak Natrah itu sendiri.

Maka pada 12 Disember 1950 hakim memutuskan Natrah dikembalikan menjadi Belanda. Dia diperintah supaya kembali kepada ibu kandung, perkahwinannya dengan Mansor dibatalkan dan agamanya dimurtadkan.

Natrah meraung-raung di mahkamah mahu kekal berada dengan keluarga angkatnya dan mahu terus menjadi isteri Mansor. Natrah tidak mahu kembali kepada keluarga kandungnya.

"Saya beragama Islam. Saya tidak mahu pergi ke Belanda,'' kata Natrah di mahkamah sambil memeluk suaminya.

Tetapi dia tidak boleh buat apa-apa. Orang Melayu juga tidak mempunyai sebarang keupayaan. Singapura dan Tanah Melayu masih dijajah Inggeris. Apa yang hanya boleh dilakukan oleh masyarakat Melayu di Singapura ialah melancarkan rusuhan.

Dalam hal ini, tentunya Utusan Melayu yang ketika itu akhbar utama orang Melayu memainkan peranan menyiarkan laporan mengenai perbicaraan dan mahkamah serta ulasan-ulasan bagi meluahkan perasaan orang Melayu.

Maka akhirnya, Natrah dibawa juga ke Belanda, dimurtadkan, ditukarkan namanya kembali kepada Bertha dan pada 20 April 1956 berkahwin dengan Johan Gerardus Wolkenfelt.

Suaminya yang sah dari segi Islam tetapi dipisahkan secara paksa oleh Mahkamah kolonial Inggeris berkahwin dengan Zaiton Juhari setelah ketiadaan Natrah. Beliau aktif dalam Malayan Law Journal sejak tahun 1961 dan menjadi Pengarah Urusan jurnal itu sehingga tahun 1987. Beliau meninggal dunia pada 15 Oktober 1988 di Singapura.

Bagi keluarga angkat Natrah, beliau tetap anaknya. Begitu juga bagi masyarakat Melayu. Walaupun banyak tahun berlalu, ada saja keinginan dari kalangan masyarakat Melayu untuk mengetahui apa yang sedang berlaku pada Natrah.

Orang Melayu berasa pilu dengan peristiwa Natrah itu. Natrah dan keluarga-keluarganya, baik angkat atau kandung adalah mangsa.

Begitu juga dengan mereka yang terbunuh dan cedera dalam Rusuhan Natrah. Lapan belas terbunuh dan 173 cedera apabila tentera menembak para perusuh yang terdiri daripada orang Melayu di Singapura.

Kesemua mereka, dan juga masyarakat Melayu adalah kesemuanya mangsa kepada sistem penindasan kolonialisme dan imperialisme Inggeris, Belanda dan Jepun.
Sumber: Mingguan Malaysia 12 Julai 2009

1 comment:

  1. salam ustaz, saya tertanya2 juga takdakah sebarang perkembangn atau usaha utk bawa kembali natrah tu kepada agama islam selepas dia kembali ke tempat asalnya sehinggalah dia meninggal dunia??

    ReplyDelete