Followers

Thursday, May 27, 2010

LUNASI HUTANG JIWA AKAN TENANG


Pada hari ini, kebanyakan kita terlibat dengan hutang. Kebiasaannya kita memberi kenderaan dan rumah secara hutang dengan syarikat kewangan. Amat sedikit di kalangan kita yang mampu membeli semua itu secara tunai. Malah ada yang membeli kelengkapan rumah secara berhutang atau secara ansuran. Bagi masyarakat kota pula kad kredit adalah umpama kad ajaib untuk mereka membeli keperluan harian mereka dengan berhutang. Pendek kata, amalan berhutang sudah menjadi budaya biasa di kalangan hampir seluruh penduduk Malaysia. Mungkin di kalangan mereka itu peniagalah yang paling banyak berhutang. Mereka berhutang untuk memulakan perniagaan atau membesarkannya. Hal ini mungkin tidak dapat dielakkan lagi oleh kebanyakan peniaga kerana tidak memiliki wang simpanan yang dapat memenuhi keperluan perniagaan mereka. Mereka terpaksa menagih hutang dengan institusi-institusi kewangan, malah ramai juga yang menjadikan saudara mara serta sahabat handai sebagai tempat untuk mereka berhutang.

HUTANG WAJIB DIBAYAR

Satu hal yang amat penting apabila berhutang ialah membayar hutang. Ramai di kalangan kita yang pandai berhutang tetapi tidak pandai membayar atau melengahkan pembayaran hutang. Di dalam Islam, hutang dianggap sebagai satu amanah yang wajib dilaksanakan apabila sampai tempoh yang dijanjikan.


Islam menganggap hutang itu sebagai beban yang menjadi amanah untuk diselesaikan dan dilunaskan. Bayangkan jika seseorang yang berhutang itu meninggal dunia, maka dia akan dipertanggungjawabkan ke atas hutang yang belum dilunaskannya. Jika dia mempunyai harta pusaka, maka hendaklah diselesaikan bahagian hutangnya terlebih dahulu sebelum dibahagi-bahagikan kepada waris-warisnya. Begitulah beratnya tanggunggan orang yang berhutang. Oleh itu, Islam menasihatkan umatnya agar menghindarkan diri daripada berhutang kecuali kerana sangat-sangat memerlukan. Jikapun terpaksa berhutang, hendaklah dengan niat dan azam untuk membayar hutang berkenaan. Sabda Rasulullah SAW:


مَنْ أَخَذَ أَمْوَالَ النَّاسِ يُرِيدُ أَدَاءَهَا أَدَّى اللهُ عَنْهُ ، وَمَنْ أَخَذَ يُرِيدُ إِتْلاَفَهَا أَتْلَفَهُ اللهُ
Maksudnya: Sesiapa mengambil harta orang lain (berhutang) dan berniat akan membayarnya, maka Allah akan luluskan niatnya itu. Tetapi sesiapa mengambilnya dengan niat akan membinasakannya (dengan tidak membayar) maka Allah akan membinasakannya. (Riwayat al-Bukhari )

Orang tidak membayar hutangnya akan menjejaskan amalannya apabila ditagih hutang tersebut selepas kematiannya. Sabda Rasulullah SAW:


مَنْ مَاتَ وَعَلَيْهِ دِينَارٌ أَوْ دِرْهَمٌ قُضِيَ مِنْ حَسَنَاتِهِ لَيْسَ ثَمَّ دِينَارٌ وَلاَ دِرْهَمٌ
Maksudnya: Sesiapa yang mati sedangkan dia berhutang dalam bentuk dinar atau dirham, maka akan dilunasinya dari kebaikan-kebaikannya (pahala-pahalanya) sehingga habis (nilai) dinar dan dirham tersebut. (Riwayat Ibnu Majah )


Amatlah malang bagi orang yang tidak membayar hutang kerana segala amalan kebajikannya akan hilang untuk menggantikan hutangnya di atas dunia. Malah di dalam riwayat yang lain, Rasulullah menyatakan bahawa jiwa orang yang berhutang akan tergantung sehinggalah dilunasi hutang-hutangnya itu .

MELENGAHKAN PEMBAYARAN HUTANG ADALAH SATU KEZALIMAN

Walaupun seseorang itu ada niat untuk membayar hutang namun dia tidak tetap bersalah jika melengah-lengahkannya. Sabda Rasulullah SAW:
مَطْلُ الْغَنِىِّ ظُلْمٌ
Maksudnya: Perbuatan melengah-lengahkan pembayaran hutang oleh (atau kepada) seorang yang kaya adalah satu kezaliman. (Riwayat al-Bukhari )


Ibnu Hajar mentafsirkan maksud al-ghani (orang kaya) di sini dengan dua andaian. Jika al-ghani (orang kaya) di sini bermaksud orang yang berhutang (fa'il) maka maksudnya menjadi perbuatan orang kaya yang melengahkan pembayaran hutang adalah satu kezaliman. Jika al-ghani (orang kaya) di sini bermaksud orang yang dibayar hutang atau yang memberi hutang (maf'ul) maka maksudnya menjadi perbuatan melengahkan pembayaran hutang kepada orang kaya adalah satu kezaliman. Berdasarkan tafsiran kedua ini bermakna jika melewatkan pembayaran hutang kepada orang yang kaya adalah satu kezaliman maka melewatkan pembayaran hutang kepada orang yang tidak kaya adalah lebih buruk daripada itu .



Petikan daripada buku : Etika Perniagaan Dalam Islam, oleh Mohd Zaini Yahya & Mohd Sukki Othman

1 comment:

  1. assamaualaikum wr.wb

    trima kasih ustadz, kami dari jakarta sangat berterima kasih atas nasehat dari ustadz karena saat sekarang saya sedang berjuang untuk melunasi hutang akibat salah urus bisnis. sangat bermanfaat dari abnan santoso, emeail : abnan868@yahoo.com hp.081386836034.
    Wassalamualaikum Wr Wb

    ReplyDelete