Followers

Monday, October 18, 2010

Kaedah Qiyam Tangan Ketika Solat


Oleh: Mohd Sukki Othman (Ustaz Shauqi)


Sunat Meletakkan Tangan Kanan Di Atas Tangan Kiri

Jumhur atau majoriti ulama’ (kecuali ulama’ aliran mazhab Maliki) menyatakan bahawa sunat selepas daripada takbiratul ihram untuk meletakkan tangan kanan di atas belakang pergelangan tangan kiri. (Sila rujuk al-Fiqh al-Islamiy wa Adillatuh oleh Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhayli 1/687). Hal ini adalah berdasarkan kepada hadis yang telah menyatakan bahawa Wa’il Bin Hujr telah melihat nabi saw ketika memulakan solat: “...kemudian nabi saw meletakkan tangannya yang kanan di atas belakang tangannya yang kiri di pergelangan tangan dan di hasta (dari siku ke bawah)”. (Hadis ini telah diriwayatkan oleh Muslim, Ahmad, Abu Daud dan al-Nasa’ei ). Dalam hadis Wa’il Bin Hujr yang lain, dia telah berkata: “Aku pernah menunaikan solat bersama nabi saw dan baginda meletakkan tangan kanannya di atas tangan kirinya di dada”. (Hadis riwayat Ibnu Khuzaimah).

Dalam hadis yang lain, daripada ‘Abdullah bin Mas’ud r.a dia berkata bahawa Rasulullah saw melihatnya meletakkan tangan kiri di atas tangan kanan, lalu baginda saw menukarkannya dengan meletakkan tangan kanan di atas tangan kiri. (hadis riwayat Abu Daud). Dalam sebuah hadis daripada Sahal bin Sa’ad pula, dia telah berkata bahawa adalah mereka diarahkan atau diperintahkan (oleh Rasulullah saw) untuk meletakkan tangan kanan di atas hasta tangan kiri ketika menunaikan solat. (hadis riwayat Imam Bukhari).

Imam al-Bukhari dalam sahihnya juga telah mengatakan bahawa, “... Saidina ‘Ali r.a meletakkan telapak tangannya di atas pergelangan kiri.” Hadis dalam Sunan al-Baihaqi juga menyebutkan hal yang demikian itu. ‘Uqbah berkata, “Sanad hadis tersebut adalah hasan”. Oleh yang demikian, orang yang menunaikan solat disunatkan untuk meletakkan telapak tangan kanannya di atas pergelangan tangan kirinya iaitu diletakkan tangan kanan di belakang tangan kiri di tempat meletakkan jam tangan atau gelang pada tangan.

Menurut ulama aliran mazhab Syafei, disunatkan untuk meletakkan tangan kanan di atas belakang tangan kiri dengan berkedudukan di bawah dada dan di atas pusat dan hendaklah dibawa ke sebelah kiri sedikit kerana di situ terdapatnya hati (jantung). Maksud dada di sisi ulama Syafei ialah tulang-tulang yang nampak di bahagian hadapan tubuh manusia jika manusia itu membengkokkan dirinya ke belakang. Justeru, meletakkan tangan itu bukan di atas dada, tetapi di bahagian antara pusat dan dada. Itulah as-sadr (dada) yang telah diisyaratkan oleh firman Allah SWT yang bermaksud: Sesungguhnya bukan mata yang buta, tetapi yang buta itu adalah hati yang terdapat di dalam dada (QS 22:46). Manakala ulama’ mazhab Hanbali dan Hanafi pula berpendapat bahawa hendaklah kedudukan tangan itu diletakkan di bawah pusat berdasarkan apa yang telah datang daripada Saidina ‘Ali bahawa beliau telah berkata: “Menjadi sunnah meletakkan tangan kanan di atas tangan kiri di bawah pusat”. (Hadis riwayat Ahmad dan Abu Daud).

Kesimpulannya ialah disunatkan untuk meletakkan tangan kanan di atas belakang pergelangan tangan kiri setelah selesainya bertakbiratul ihram. Apatah lagi, menurut para ulama, meletakkan tangan kanan di atas tangan kiri merupakan salah satu sifat orang yang merendah diri dan boleh membawa kepada khusyuk. Manakala tempat ia diletakkan, sama ada di atas dada, atau diantara dada dan pusat (iaitu di atas pusat sedikit), atau di bawah pusat, maka para ulama’ telah berselisih pendapat mengenainya berdasarkan kepada ijtihad masing-masing terhadap hadis-hadis Rasulullah saw dan kata-kata para sahabat nabi.

Sehubungan dengan itu, ia memberikan kemudahan kepada kita untuk melakukannya berdasarkan apa yang dipelajari. Dalam mazhab Syafei yang menjadi pegangan masyarakat Nusantara, kedudukan tangan tersebut hendaklah berada di atas pusat sedikit dan di bawah dada serta kedudukannya dibawa ke arah kiri sedikit. Namun, sesuatu perkara ‘khilafiyyah’ seumpama ini janganlah diperdebatkan untuk menegakkan hujah ‘siapa yang betul’ sehingga mengeruhkan hubungan sesama umat Islam. Ini kerana terdapat golongan yang ‘ekstrem’ dalam masyarakat kita dewsa ini yang sentiasa menyalahkan orang lain dalam sesuatu perkara ibadah sunat yang ianya merupakan perkara ‘khilaf’ dalam kalangan ulama’. Perkara seumpama ini tidak sewajarnya berlaku kerana janganlah semata-mata hendak menegakkan hujah terhadap sesuatu perkara ‘khilaf’ sehingga terpaksa bermasam muka sesama muslim. Sedangkan bermasam muka dan bertelingkah sesama muslim dengan cara yang salah itu adalah merupakan sesuatu yang dikeji oleh syara’ dan ia adalah perbuatan yang haram!.

No comments:

Post a Comment