Followers

Thursday, November 11, 2010

Masalah Kuota Haji


Setiap kali musim haji, persoalan kuota haji merupakan antara isu yang belum dapat diselesaikan dengan sewajarnya sehingga ke saat ini. Namun, persoalan yang perlu difikirkan bersama ialah mengapakah masih wujud kuota haji yang masih diambil oleh jemaah yang sudah pun melaksanakan ibadah haji? Kuota menjadi penuh ekoran terdapatnya jemaah yang sudah berkali-kali pergi menunaikan haji masih mendapat peluang untuk pergi ke Makkah sekali lagi demi menunaikan ibadah haji sunat!. Dalam masa yang sama terdapat mereka yang masih terus menunggu dan menunggu tapi giliran untuk mereka belum tiba sedangkan mereka adalah jemaah yang akan menunaikan haji buat kali pertama iaitu haji wajib. Terdapat dalam kalangan yang menunggu itu yang umurnya sudah lanjut mencecah 60 atau 70, tapi malangnya mereka masih tidak diberi peluang kerana kuota sudah penuh! Di mana silapnya ... apakah masalah sikap jemaah sendiri atau peraturan Tabung Haji yang tidak efisien?

Hairan juga dengan sikap segelintir umat Islam yang tidak memahami keutamaan (awlawiyyat). Sepatutnya mereka yang sudah menunaikan haji memberikan peluang kepada jemaah yang belum menunaikan haji. Mengapakah terdapat dalam kalangan jemaah haji yang sanggup pergi berulang-kali menunaikan haji (mungkin ada yang sudah 5, 6 kali atau lebih) sedangkan ia sudah menjadi sunat sahaja... Apatah lagi Nabi Muhammad SAW pun hanya menunaikan haji sekali sahaja seumur hidup Baginda. Sepatutnya peluang diberikan kepada jemaah yang belum lagi menunaikan haji yang wajib bagi mereka. Sekiranya jemaah yang pergi menunaikan haji sunat ini secara berulang-kali tidak menjejaskan kuota seperti petugas, mutawif dsbnya, maka tidaklah menjadi apa-apa masalah kerana ia adalah suatu keperluan. Tapi yang ditimbulkan di sini ialah mereka yang seronok buat perkara sunat sedangkan 'wang' yang digunakan untuk buat perkara sunat itu boleh digunakan dalam perkara yang 'wajib'. Inilah perlunya memahami 'Keutamaan dalam amalan'.

Tabung Haji selaku pengelola jemaah haji perlu mengetatkan peraturan dengan memberikan peluang terhadap jemaah yang pertama kali menunaikan haji. Janganlah dipenuhi kuota dengan jemaah yang sudah berulang-kali menunaikan haji. Begitu juga, tidak sewajarnya kanak-kanak yang belum baligh dibenarkan menunaikan haji sekiranya mereka akan memenuhi kuota, apatah lagi haji tidak wajib bagi mereka. Usahlah berbangga dengan laporan akhbar jemaah haji termuda dan sebagainya sedangkan dalam masa yang sama menafikan hak orang dewasa yang sudah akil baligh untuk menunaikan ibadah haji.

Kasihanilah mereka yang setiap tahun masih mendapat status 'stand-by', sedangkan terdapat dalam kalangan mereka yang sudah berusia lanjut dan baru pertama kali hendak ke Makkah. Ada di kalangan warga emas yang bertahun-tahun mengumpul wang untuk mencukupkan tambang ke Makkah... tetapi bila cukup sahaja, tetap tidak mendapat tawaran walau surat rayuan diajukan setiap tahun... Jawapan yang sama ialah 'stand-by'!. Apakah tawaran kepada mereka untuk menunaikan haji hanya akan datang setelah mereka menghembuskan nafas yang terakhir?

6 comments:

  1. isu nabi hanya melaksanakan haji sekali tu tidak patut timbul.bamding perbuatan dengan perkataan baginda saw dalam hal ini. cari rahsia di sebalik haji nabi saw tu kenapa sekali sahaji. Sirah boleh menjawab soalan ini.

    ReplyDelete
  2. Persoalan yang ditimbulkan di sini ialah keutamaan (al-awlawiyyat).... Untuk lebih jelas boleh rujuk kitab Yusuf al-Qaradawi tentang fiqh al-awlawiyyat yang juga menyentuh isu haji sunat yang dibuat berulang-kali.

    Ibadat haji itu wajib dikerjakan hanya sekali seumur hidup berdasarkan hadis Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam daripada Abu Hurairah Radiallahuanhu yang maksudnya :

    "Telah berkata Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dalam khutbah Baginda : "Wahai sekalian manusia, Allah Subhanahu Wataala telah mewajibkan kepada kamu ibadat haji, oleh kerana itu kamu kerjakanlah haji," seorang lelaki bertanya : "Adakah (dikerjakan haji) pada setiap tahun?" Baginda diam tidak menjawab, sehingga lelaki itu mengulang-ulang pertanyaannya sebanyak tiga kali, selepas itu baru Baginda menjawab dan bersabda : "Jika aku katakan "ya", nescaya wajiblah ia (setiap tahun) dan kamu tidak akan berdaya melakukannya." - (Hadis riwayat Ahmad dan Muslim).

    Berdasarkan hadis di atas, ulama sepakat mengatakan bahawa ibadat haji itu wajib dikerjakan hanya sekali seumur hidup dan jika dikerjakan berulang kali maka haji yang kedua dan seterusnya itu dikira sebagai sunat.

    ReplyDelete
  3. teori awlawiyyat oleh al qardhawi mmg diterima .. tp bila dibawa contoh haji patut dibuat sekali itu yg dipertikai .. baca hadith kelebihan ulang2 kan haji .. akal tidak mendahului nas .. teori berkat dalam ekonomi islam juga tidak menyokong contoh yang diberi .. baca juga kritikan ulama mengenai teori2 qardhawi tanpa mengurangkan kesarjanaannya.

    ReplyDelete
  4. akal tidak mendahului nas.... ye memang betul, tapi akal digunakan untuk memahami nas... bukan menjadi golongan yang 'zahiriy' ambil nas secara membuta tuli tanpa berasaskan maqasid syar'iyyah... para ulama yg membincangkan tentang sesuatu perkara tidak pernah mengabaikan nas...

    ReplyDelete
  5. Salam... sepatutnya difahami dgn baik isu yg dibangkitkan... kelebihan menunaikan haji berulang-kali tidak dipertikaikan... memang banyak hadis menyatakan ttg kelebihannya... tapi masalah yg timbul ialah apabila meninggalkan perkara yg lebih utama kpd perkara yang kurang utama... walau apa pun kelebihan haji sunat, ia tak akan dapat menndingi kelebihan amalan wajib... akibat tak faham masalah awlawiyyatlah... masih terdapat ramai yg sanggup keluarkan duit yg banyak utk pi buat haji sunat tapi tak de duit utk bantu perjuangan islam, badan dakwah islam dsbnya yg berjuang utk menyelamatkan aqidah umat Islam... apatah lagi persoalan yg ditimbulkan ialah apabila 'kuota' haji ini diambil oleh org yg pi buat haji sunat dengan mengetepikan orang yang wajib menunaikan haji.

    ReplyDelete
  6. Salam,

    Amat bersetuju dengan pandangan Ustaz, akibat tidak memahami awlawiyyat dalam ibadat maka ramai yang beribadat berasaskan sentimen atau syok sendiri. Yang sunat didahulukan yang wajib dikemudiankan bahkan lebih teruk lagi diabaikan. Akibatnya Umat Islam sendiri yang kerugian. Kita sepatutnya SMART DLM BERIBADAH, agar hasilnya menyeluruh bukan seputar diri sendiri sahaja. Wallahua'lam.

    ReplyDelete