Followers

Friday, February 25, 2011

Keliru


Semalam ketika sesi soal-jawab selepas selesai kuliah tafsir, para jemaah melahirkan rasa 'keliru' dengan beberapa persoalan hukum.Kata mereka, kekeliruan ini timbul hasil daripada pandangan yang pelbagai datang dari 'ustaz' dan 'ustazah'. Antaranya ialah ada 'ustazah' yang mengatakan bahawa kalau tertinggal tahiyyat awal dan tidak sujud sahwi, maka batallah solat seseorang itu. Pelik juga dengan 'ilmu' yang diberikan oleh 'ustazah' itu. Takkan dia masih tak boleh nak bezakan sama ada tahiyyat awal itu sunat atau wajib? Persoalannya di sini, apakah 'ustazah' itu masih tak mahir dalam hukum-hakam solat atau jemaah tersilap dengar? wallahu'alam.

Kata jemaah lagi, ada 'ustaz' yang mengatakan bahawa orang bukan Islam tidak boleh masuk masjid sebab berhadas besar dan mencemar kesucian masjid. Tidakkah 'ustaz' ini membaca sirah nabi SAW yang berdakwah kepada orang bukan Islam dalam Masjid Nabawi dalam keadaan semua orang bukan Islam itu berhadas besar belaka. Apakah 'ustaz' itu menyampaikan ilmu berdasarkan pengetahuan atau pakai lojik sahaja? Atau apakah jemaah tersilap dengar? wallahu'alam.

Menyampaikan ilmu adalah satu amanah. Justeru, ilmu hendaklah disampaikan dengan benar dan bertanggung jawab. Sekiranya tidak pasti terhadap sesuatu jawapan, maka tidak seharusnya malu untuk menyatakan 'saya tak tahu', atau 'saya tak pasti', atau 'saya akan beri jawapan kemudian'. Sedangkan Imam Malik ketika ditanya 40 soalan, beliau hanya menjawab 4 soalan sahaja, yang selebihnya beliau menyatakan 'La Adri' (aku tak tahu). Hal ini menunjukkan Imam Malik begitu berhati-hati dalam memberikan sesuatu jawapan atau sesuatu hukum menganai ajaran Islam kerana ia merupakan satu amanah. Tapi, malangnya contoh daripada Imam Malik ini tidak diteladani, lalu asalkan ada soalan mesti ada jawapan walau jawapan tersebut tersasar daripada kebenaran.

Contohnya, ada 'ustaz popular' ketika ditanya tentang apakah beza antara 'kafirun' dan 'kafirin', lalu beliau menjawab bahawa yang satu masuk neraka selamanya dan satu lagi masuk neraka hanya sementara sahaja. Asalkan orang bertanya terus menjawab hingga jawapan beliau itu jelas menunjukkan bahawa beliau langsung tidak menguasai Bahasa Arab. Sedangkan beza kedua-dua perkataan tersebut hanyalah dari sudut nahu Arab sahaja.

Begitu juga ada 'ustaz' yang menyarankan kepada wanita yang kematian suami tidak berkahwin lain kerana kalau berkahwin lain, maka dia tidak akan dapat berjumpa dengan suami di akhirat kelak. Katanya lagi, sekiranya wanita itu tidak ada sesiapa yang nak menanggung nafkah makan pakai, maka barulah ada kewajaran kahwin, tetapi kalau wanita itu dah mempunyai pendapatan sendiri maka tak wajar kahwin. Mengapa 'fatwa' seumpama ini dikeluarkan? Tidak terfikirkah bahawa wanita tersebut bukan sekadar berhajat kepada nafkah zahir, tetapi secara fitrahnya dia juga perlukan nafkah batin, apatah lagi kalau wanita tersebut masih berusia muda ketika suaminya meninggal dunia. Apakah benar wanita yang berkahwin lain selepas kematian suami tidak boleh lagi bersama suaminya di akhirat kelak? Secara ringkasnya, dalam hal ini ada 3 pendapat; 1.Wanita itu akan kembali kepada suami yang terbaik akhlaknya ketika bersamanya di dunia, 2. Ia akan kembali kepada suami yang terakhir, 3. Ia akan diberi hak oleh Allah untuk memilih mana satu dari mereka. Sesuatu yang penting harus diingati bahawa walau apa pun pilihan wanita itu, kalau dia dikurnikan untuk berada dalam syurga, maka segala pilihannya indah belaka kerana tidak ada kekecewaan, kemurungan , dan kesusahan ketika berada dalam syurga, sebaliknya semuanya seronok belaka.

Sehubungan dengan itu, untuk mencari penyelesaian terhadap isu 'keliru' ini, dinasihatkan agar kita belajar kepada ramai ustaz dan ustazah, jangan tertumpu kepada satu ustaz / ustazah sahaja. Jangan berfikir bahawa 'ustaz popular' itulah yang terbaik dan paling alim.... sedangkan lihatlah pada ilmu yang disampaikan. Setiap ilmu yang disampaikan hendaklah disertai hujah daripada al-Quran, Sunnah, Ijmak, mahu pun pandangan para ulama' agar dapat menghindarkan daripada sebarang kekeliruan

4 comments:

  1. jadi nak merujuk yang mana pak ustaz? jadi apakah hukumnya? di mana kepastiannya? ape kata ustaz berikan kepastian bg persoalan yang dikeluarkAN.SEKURANG2NYA, yang mengikuti blog ini JELAS tentang hukum2nya..TQ

    ReplyDelete
  2. pernah mendengar satu rancangan yang memaparkan perkara diatas. Patutlah hati ni muskil saranan ustaz tu, supaya digalakkan wanita yang kematian suami elok jangan berkahwin lagi sehingga di jemput Allah dlm keadaan tidak berkahwin supaya dapat bersama suaminya diakhirat. Maaflah kalau ayat x betul. lebih kurang macam tu la...

    ReplyDelete
  3. ustaz....mintak izin berkongsi petikan ini...

    ReplyDelete