Followers

Tuesday, March 29, 2011

Abu Hurairah


Oleh: Ustaz Shauqi

Abu Hurairah ialah tokoh perawi hadis yang terkenal. Beliau merupakan penghafal hadis yang terulung dalam kalangan sahabat Rasulullah s.a.w. Semenjak memeluk Islam, beliau sangat akrab dengan Rasulullah s.a.w. Beliau banyak mengikuti aktiviti dakwah Rasululah s.a.w. Beliau juga dikurniai Allah dengan daya ingatan yang kuat. Oleh sebab itu, beliau dapat meriwayatkan banyak hadis daripada Rasulullah s.a.w. Beliau berasal daripada kabilah al-Dusi, iaitu satu suku kaum yang tinggal di Yaman. Beliau merupakan anak yatim yang tinggal bersama ibunya sahaja semenjak kecil.

Abu Hurairah memeluk Islam melalui Tufail bin Amru, iaitu ketua kaum al-Dusi. Apabila Tufail bin Amru memeluk Islam, beliau telah menyeru kaumnya supaya memeluk agama suci itu. Abu Hurairah merupakan antara orang yang mula-mula menerima seruan Tufail untuk memeluk agama Islam. Pada tahun ke-7 Hijrah, Abu Hurairah telah pergi ke Madinah bersama-sama dengan Tufail bin Amru. Beliau menemui Rasulullah s.a.w. untuk menyatakan keislamannya. Semenjak bertemu dengan Rasulullah s.a.w., Abu Hurairah menjadi sangat rapat dengan baginda. Beliau tinggal di pondok masjid Nabi dan sentiasa mengikut kegiatan dakwah baginda.

Ketika dilahirkan, Abu Hurairah diberi nama Abdul Syams yang bermaksud ‘Hamba Matahari’. Beliau diberi nama itu kerana suku kaumnya merupakan penyembah matahari sebelum memeluk Islam. Apabila bertemu Rasulullah s.a.w., baginda telah menukar nama Abu Hurairah kepada Abdul Rahman bin Sakhr. Walau bagaimanapun, beliau lebih terkenal dengan gelaran Abu Hurairah. Beliau mendapat gelaran sebagai Abu Hurairah kerana beliau amat sayang kepada kucing. Pernah diriwayatkan pada suatu masa Rasulullah ternampak ada sesuatu di dalam lengan baju beliau, lalu Rasulullah bertanya kepadanya. Apabila ia menunjukkan terdapat anak kucing di dalam lengan bajunya, sejak itulah beliau digelar Abu Hurairah yang bermaksud "bapa segala kucing" (Sila rujuk http://ms.wikipedia. org/wiki/Abu_Hurairah).

Apabila Abu Hurairah memeluk agama Islam, ibunya masih tetap dengan kepercayaan lamanya. Dia enggan mengikut Abu Hurairah memeluk agama Islam. Disebabkan terlalu sayang akan ibunya, Abu Hurairah berusaha menyeru ibunya supaya memeluk Islam. Pada mulanya, ibu Abu Hurairah enggan memeluk Islam. Malah dia mengeluarkan kata-kata yang kesat terhadap Rasulullah s.a.w. apabila Abu Hurairah cuba mengajaknya memeluk Islam. Hal itu menyebabkan Abu Hurairah sangat dukacita. Beliau telah mengadukan hal itu kepada Rasulullah s.a.w. dan meminta baginda berdoa agar hati ibunya terbuka untuk menerima Islam. Rasulullah s.a.w. telah memenuhi permintaan Abu Hurairah itu. Baginda berdoa kepada Allah s.w.t agar diberi petunjuk kepada Abu Hurairah. Berkat doa baginda, ibu Abu Hurairah akhirnya telah memeluk agama Islam.

Satu daripada keistimewaan Abu Hurairah ialah daya ingatannya yang sangat kuat. Oleh sebab itu, beliau dapat meriwayatkan banyak hadis Rasulullah s.a.w. Beliau juga amat minat dan rajin menghadiri majlis-majlis ilmu bersama Rasulullah. Walaupun beliau seorang yang miskin, namun, kemiskianannya itu tidak menghalang beliau untuk berusaha sedaya-upaya menimba ilmu pengetahuan. Pernah suatu ketika, khalifah Marwan bin al-Hakam cuba menguji daya ingatan Abu Hurairah. Beliau telah mengundang Abu Hurairah ke satu majlisnya. Apabila Abu Hurairah tiba, Marwan meminta beliau membacakan beberapa hadis. Seorang jurutulis Marwan mencatatkan hadis itu tanpa pengetahuan Abu Hurairah. Pada tahun berikutnya, sekali lagi khalifah Marwan mengundang Abu Hurairah ke majlisnya. Apabila Abu Hurairah tiba, beliau diminta menyebut semula hadis-hadis yang diucapkannya dahulu. Abu Hurairah pun membacakan semula hadis-hadis itu tanpa satu kesalahan pun. Peristiwa ini menunjukkan keistimewaan daya ingatan Abu Hurairah. Bahkan Imam Syafie juga mengakui tentang kekuatan daya hafalan Abu Hurairah. Oleh sebab itu, hadis-hadis yang diriwayatkan oleh beliau tidak diragui.

Beliau banyak memberi sumbangan terhadap Islam. Disebabkan akrabnya beliau dengan Rasulullah, beliau dikatakan meriwayatkan sebanyak 5,374 hadith. Hadith beliau yang disepakati oleh Imam Bukhari dan Muslim berjumlah 325 Hadith, oleh Bukhari sendiri sebanyak 93 hadith. Dan oleh Muslim sebanyak 189 Hadith.

Pada zaman Rasulullah, beliau pernah diutus oleh baginda untuk berdakwah ke Bahrain bersama Al-Ala ibn Abdillah al-Hadrami. Disamping itu, beliau pernah diutus bersama Qudamah untuk mengutip jizyah di Bahrain. Tidak lama kemudian, beliau dilantik menjadi Gabenor Bahrain.

Pada zaman Umar al-Khattab, beliau pernah dipecat kerana dituduh menyimpan wang sebanyak 10,000 dirham. Tetapi apabila dibicarakan, beliau berjaya membuktikan bahawa duit tersebut adalah hasil dari memelihara kuda dan pemberian orang. Khalifah Umar menerima pejelasan tersebut dan meminta beliau kembali sebagai Gabenor, namun beliau menolak.

Pada zaman Khalifah Uthman, sewaktu berlaku fitnah terbesar kepada khalifah, Abu Hurairah dan 700 orang Muhajirin dan Ansar tampil mengawal rumah khalifah. Namun, tindakan mereka untuk berperang dilarang oleh Khalifah Uthman.

Pada zaman Khalifah Ali pula, Abu Hurairah pernah menolak tawaran untuk menjadi Gabenor Madinah. Apabila terjadi pertempuran antara Muawiyah dan Ali, beliau mengambil sikap berkecuali dan menghindari fitnah.

Beliau meninggal dunia pada 57 atau 58H ketika berumur 78 tahun. Kehilangan beliau dalam dunia Islam ibarat kehilangan suatu permata yang amat berharga.

1 comment: