Followers

Friday, April 1, 2011

Terpedaya Dengan April Fool


Oleh: Ustaz Shauqi

Hari ini tanggal 1 April 2011. Antara perkara yang diamalkan oleh segelintir masyarakat Islam ialah merayakan April Fool tanpa mengambil tahu asal-usul daripada perayaan tersebut. Apabila berlaku sedemikian, ia bermakna umat Islam terus diperbodohkan dengan amalan-amalan yang tidak membawa faedah. Maka, sewajarnyalah umat islam tidak lagi terpedaya dan tertipu, sebaliknya berusaha untuk menghindarkan diri daripada terjebak dalam hal-hal yang seumpama ini.

Sesuatu yang amat merugikan dan mencemar adab masyarakat Islam yang dilakukan oleh segelintir masyarakat Islam pada bulan April ialah sambutan April Fool. Biasanya apabila tibanya 1 April, maka remaja Melayu Islam terikut-ikut dengan budaya barat yang menjadikan tarikh ini sebagai hari untuk 'memperbodohkan' atau 'mengenakan' orang lain. Di manakah jati diri masyarakat Melayu Islam apabila apa-apa sahaja yang datang dari barat tanpa melihat sama ada ia bermanfaat atau merugikan terus dirayakan dan disambut tanpa usul periksa! Malahan, sesuatu yang lebih teruk lagi apabila terdapatnya mereka yang begitu berbangga dengan apa sahaja yang datang dari barat seolahnya ia melambangkan ketamadunan yang tinggi.

Justeru, tidak menghairankan apabila ‘produk’ barat terus mendapat tempat dalam kalangan masyarakat. Sebagai contohnya, apabila diberi pilihan antara Coca Cola, Mecca Cola, Zam Zam Cola atau Radix Cola, maka sudah tentu dengan penuh kebanggaan Coca Cola akan dipilih kerana ia merupakan produk barat yang dipuja dan dibangga. Inilah mentaliti segelintir masyarakat kita yang tidak dapat membezakan di antara ‘kaca dan permata’, sebaliknya mereka rela terus dijajah pemikiran dan mentaliti sehingga memandang apa sahaja yang datang dari barat itu merupakan sesuatu yang baik dan hebat.

Begitu juga dengan budaya barat yang terus disemai dengan begitu kukuh dari semasa ke semasa dalam masyarakat yang mengakibatkan tercemarnya adab dan budaya Melayu yang berteraskan ajaran Islam yang suci murni. Sehubungan dengan itu, apabila datangnya bulan April, maka sambutan April Fool tidak pernah dilupakan! Sedar atau pun tidak, sambutan April Fool hanya akan membodohkan masyarakat kita sahaja bahkan sambutan itu adalah satu bentuk penghinaan terhadap umat Islam! Telah dikatakan bahawa sejarah 'April Fool' merujuk kepada Tentera Kristian di Sepanyol yang berjaya menipu dan membunuh umat Islam secara beramai-ramai di Sepanyol, sehinggakan tarikh keramat ini dirayakan pada setiap tahun sebagai 'The April Fool’s Day'. Walaupun cerita atau kisah ini tidak dapat dipastikan kesahihannya.... namun budaya menyambut April Fool ini seolah-olah telah dapat diterima di seluruh dunia termasuk dalam kalangan umat Islam sendiri.

Sebagai Muslim, kita hendaklah menjadikan ajaran Islam sebagai panduan supaya tidak terikut-ikut dengan sesuatu yang bukan daripada ajaran Islam, apatah lagi sesuatu yang boleh membawa kepada implikasi yang negatif. Sabda Rasulullah saw yang telah diriwayatkan oleh Imam Ahmad bermaksud: "Sesiapa yang meniru sesuatu kaum (golongan), dia termasuk dalam kalangan mereka".

Mereka yang menyambut April Fool ini sanggup berbuat apa sahaja termasuk menipu dan sebagainya semata-mata untuk menghidupkan budaya ini. Hal ini merupakan sesuatu yang tidak boleh diterima kerana menipu, mengaibkan orang dan sebagainya merupakan perkara dosa yang hanya boleh merenggangkan dan memutuskan hubungan sesama manusia.

Walaupun kadang-kala ia hanyalah sekadar untuk bergurau, namun gurauan itu pun ada had dan batasnya. Gurauan memang merupakan suatu perkara lumrah dalam kehidupan manusia. Hidup dirasakan bertambah ceria dan bererti apabila terdapatnya gurauan yang menyenangkan hati dan perasaan. Akan tetapi sekiranya gurauan dilakukan dengan secara melampau dan berlebihan, maka bukan keceriaan yang diperoleh, sebaliknya kekusutan, dendam dan pelbagai perkara negatif lain yang akan hadir dalam kehidupan. Justeru, seseorang yang hendak bergurau, hendaklah memelihara adab-adab gurauan agar gurauan tersebut berlaku dalam suasana kasih sayang dan keceriaan dan tidak menyebabkan berlakunya permusuhan dan dendam. Itulah indahnya Islam!.

Sesuatu yang lebih malang apabila gurauan April Fool telah menyebabkan berlakunya keruntuhan dalam rumahtangga. Terdapat satu kes, seorang suami yang pulang ke rumah dari tempat kerja pada tanggal 1 April secara tiba-tiba telah melafazkan cerai talak tiga pada isterinya, dengan alasan untuk bergurau sempena April Fool. Akibatnya, pasangan suami isteri itu terpaksa dipisahkan kerana persoalan talak dan cerai bukanlah sesuatu yang boleh dibuat sebagai bahan gurauan.

Sehubungan dengan itu, untuk mengekalkan jati diri umat Islam, sambutan seumpama April Fool ini hendaklah dijauhi kerana ia tidak mendatangkan sebarang kebaikan, malah ia bersifat menghakis dan mencemar adab! Di samping itu, hindarkanlah juga daripada gurauan yang boleh menyakiti hati orang lain seperti mengeluarkan perkataan yang tidak sepatutnya, menghina orang lain, memperlekehkan seseorang, menggelarkan orang lain dengan sesuatu gelaran yang tidak disukainya, apatah lagi apabila mereka-reka cerita dan berbohong dalam bergurau.

Moga jati diri masyarakat kita dapat terus diperkukuhkan dengan penghayatan terhadap ajaran Islam dan menjauhkan diri dari budaya negatif barat serta tidak tertipu dan terpedaya dengan agenda dan perancangan musuh-musuh Islam

No comments:

Post a Comment