Followers

Friday, August 26, 2011

Hukum Wanita Tunaikan Solat Raya di Masjid


Oleh: Ustaz Shauqi

Sesuatu yang sering diperbincangkan ialah tentang keharusan wanita menunaikan solat hari raya di masjid, surau atau di tempat-tempat yang diadakan secara berjamaah. Alasannya ialah  ia boleh mengundang fitnah, apatah lagi apabila wanita-wanita muda yang hadir ke masjid itu siap berpakaian berwarna-warni dan mengghairahkan! Sebenarnya, terdapat sedikit perbezaan pendapat di kalangan fuqaha’ tentang keharusan wanita menunaikan solat hari raya secara berjamaah di masjid.

Dr Abdul Karim Zaydan melalui bukunya al-Mufassol fi Ahkam al-Mar'ati wa Bait al-Muslim telah membawa beberapa pandangan ulama’ mazhab mengenai perkara ini. Menurut pandangan ulama’ aliran mazhab Hanbali, tidak mengapa wanita keluar ke musolla untuk menunaikan solat raya. Ulama’ aliran mazhab Syafie pula menyatakan bahawa dimakruhkan bagi wanita yang mempunyai rupa paras yang menarik dan cantik daripada menghadiri solat raya, tetapi disunatkan bagi wanita yang selain daripada itu apabila mendapat keizinan suami. Menurut ulama’ aliran mazhab Maliki dan Hanafi pula, mereka menyatakan tidak diharuskan bagi wanita untuk keluar menunaikan solat Jumaat dan solat hari raya kerana ia boleh menimbulkan fitnah yang merupakan sesuatu yang haram. Ini berdasarkan kaedah: ‘sesuatu yang boleh mendatangkan perkara haram, maka ianya adalah haram’. Akan tetapi, bagi wanita-wanita tua yang sudah lanjut umur, diharuskan bagi mereka untuk keluar ke tempat solat untuk menyaksikan serta menunaikan solat hari raya.  


Mengulas perbezaan pendapat dalam kalangan fuqaha’ ini,  Dr. Abdul Karim Zaidan menyatakan bahawa pandangan terpilih dalam persoalan wanita keluar untuk menunaikan solat hari raya berjemaah di masjid, surau atau sebagainya adalah sunat. Hal ini berdasarkan terdapatnya hadis-hadis yang menunjukkan bahawa nabi pernah menyuruh wanita-wanita hadir ke musolla pada hari raya  untuk menunaikan solat hari raya. Begitu juga wanita yang kedatangan haid, mereka juga digalakkan untuk hadir ke musolla untuk menyaksikan solat hari raya serta mendengar khutbah raya yang dapat memberi manfaat dan pengajaran ke arah meningkatkan takwa kepada Allah s.w.t.


Antara hadis yang menunjukkan wanita keluar ke musolla pada hari raya ialah hadis yang diriwayatkan oleh Ummu 'Atiyyaah r.a. yang berkata: "Kami disuruh supaya membawa keluar gadis-gadis remaja dan wanita yang sedang haid pada dua hari raya supaya mereka dapat menyaksikan kebaikan dan seruan (doa)  orang Islam. Wanita yang sedang haid hendaklah mengasingkan diri dari tempat solat". (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).

Daripada Hafsah binti Sirin, bahawa seorang perempuan telah bertanya kepada Nabi s.a.w.: "Adakah tidak mengapa jika ada dalam kalangan kami (kaum wanita) yang tidak memiliki jilbab, dia tidak keluar untuk menunaikan solat 'eid?", Baginda bersabda: "Hendaklah sahabatnya memakaikannya jilbab yang dia (sahabat itu) miliki". Apabila saya bertemu dengan Ummu 'Atiyyah, saya bertanya kepadanya: "Adakah puan pernah mendengar sendiri daripada Rasulullah?" Beliau menjawab: "Sungguh saya pernah mendengar baginda bersabda: "Hendaklah gadis remaja dan wanita yang sedang haid keluar (ke musolla) untuk menyaksikan kebaikan dan doa  orang yang beriman. Wanita yang haid hendaklah berada jauh dari tempat solat".(Hadis Riwayat Imam Muslim di dalam sahihnya, begitu juga Imam Bukhari dengan lafaz yang hampir sama, Abu Daud dan lain-lain).

Dalam hadis-hadis di atas jelaslah bahawa digalakkan kepada wanita untuk keluar berjemaah atau menyaksikan solat hari raya sama ada mereka terdiri daripada wanita yang muda atau pun yang sudah tua. Manakala hujah yang menyatakan bahawa keluarnya wanita muda ke musolla pada hari raya akan menyebabkan timbulnya fitnah tidak timbul sama sekali kerana mereka dikehendaki memakai pakaian yang menutup aurat dengan sempurna (jilbab), iaitu tidak memakai pakaian glamour yang boleh menarik perhatian golongan lelaki dan tidak berwangi-wangian. Mereka juga dikehendaki agar tidak bercampur dengan lelaki yang bukan mahram, iaitu bagi wanita yang haid hendaklah berkumpul di satu sudut di musolla yang terasing daripada jamaah yang menunaikan solat. Manakala wanita yang menunaikan solat hari raya, hendaklah berada di belakang saf jamaah lelaki.

Jelasnya, golongan wanita juga disunatkan untuk keluar ke musolla serta menghadiri solat sunat hari raya. Bagi mereka yang tidak uzur syar’ie, mereka dapat sama-sama melaksanakan ketaatan kepada Allah dengan menunaikan solat sunat hari raya. Manakala mereka yang berada dalam keadaan haid pula, mereka juga mendapat manfaat daripada khutbah raya yang disampaikan. Apa yang paling penting ialah wanita yang keluar ke musolla pada hari raya mestilah mengelak daripada melakukan perkara-perkara yang boleh menimbulkan fitnah dan haram.

No comments:

Post a Comment