Followers

Saturday, April 30, 2011

Pesta Buku 2011

Doa Ketika Mimpi Buruk & Baik


Doa Ketika Mimpi Buruk

اللَّهُمَّ إِنِّيْ أَعُوْذُ بِكَ مِنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ، وَسَيِّئَاتِ اْلأَحْلاَمِ.

Ya Allah aku berlindung kepada-Mu dari perbuatan syaitan dan buruknya mimpi. (HR Ibnu As-Sunni)


Doa Memohon Mimpi Baik

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ رُؤْيًا صاَلِحَةً صَادِقَةً غَيْرَ كَاذِبَةٍ، نَافِعَةً غَيْرَ ضَارَةٍ.

Ya Allah, aku memohon kepada-Mu mimpi yang baik dan benar, tidak bohong, bermanfaat dan tidak berbahaya. (HR Ibnu As-sunni)


Doa Bagi Orang yang Suka Mengigau

لآ إِلهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لا َشَرِيْكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيْرٌ، سُبْحَانَ اللهِ، وَالْحَمْدُ ِللهِ وَلآ إِلهَ إِلاَّ اللهُ، وَاللهُ أَكْبَرُ، وَلاَ حَوْلَ وَلاَ قُوَّةَ إِلاَّ بِاللهِ الْعَلِيِّ الْعَظِيْمِ، رَبِّ اغْفِرْلِيْ.

Tiada tuhan selain Allah, Zat Yang Maha Esa lagi tidak memiliki sekutu. Milk-Nyalah segala kekuasaan dan pujian. Dan Dia Maha Kuasa atas segala sesuatu. Maha Suci Allah. Segala puji bagi Allah. Tiada tuhan selain Allah. Allah Maha Besar. Tiada daya dan upaya kecuali dari Allah Yang Maha Tinggi lagi Maha Mulia. Wahai Tuhanku, ampunilah dosaku. (HR Bukhari, Abu Dawud, Tirmidzi, dan Ahmad. Dalam hadis ini disebutkan bahawa jika orang yang mengigau membaca doa tersebut, maka dosanya akan diampuni)

لآ إِلهَ إِلاَّ اللهُ الْوَاحِدُ الْقَهَّارُ، رَبُّ السَّمَاوَاتِ وَالأَرْضِ وَمَا بَيْنَهُمَا الْعَزِيْزُ الْغَفَّارُ.

Tiada tuhan selain Allah Yang Maha Esa lagi Maha Kuasa. Tuhan langit dan bumi, dan Tuhan antara keduanya, Zat Yang Maha Mulia lagi Maha Pengampun. (HR Ibnu As-Sunni)

Tuesday, April 26, 2011

Pertempuran Antara Tentera Islam & Yahudi



قال صلى الله عليه وسلم : لا تقوم الساعة حتى يقاتل المسلمون اليهود فيقتلهم المسلمون حتى يختبئ اليهودي من وراء الحجر والشجر فيقول الحجر أو الشجر: يا مسلم يا عبد الله هذا يهودي خلفي فتعال فاقتله إلا شجر الغرقد فإنه من شجر اليهود

Nabi saw bersabda dalam sebuah hadis sahih yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari, Muslim dan al-Tirmidhi bermaksud: "Tidak akan berlaku kiamat sehinggalah akan berlaku peperangan di antara orang Islam dan Yahudi, maka pada waktu itu (tentera) Yahudi akan dibunuh oleh (tentera) Islam, sehingga apabila orang Yahudi berselindung di sebalik batu dan pokok, lalu batu dan pokok itu akan bersuara dengan katanya: 'wahai muslim, wahai hamba Allah, di belakangku ini ada Yahudi, marilah bunuhnya', kecuali POKOK GHARQAD (yang tidak bersuara), kerana sesungguhnya ia merupakan pokok Yahudi".

Hadis ini menceritakan tentang peristiwa akhir zaman iaitu waktu hampir kiamat. Pada waktu ini tentera Yahudi yang dipimpin oleh Dajjal akan berperang dengan orang Islam. Dalam peperangan ini, orang Islam akan dapat membunuh dan menewaskan orang Yahudi sehinggakan apabila mereka berselindung di sebalik mana-mana batu dan pokok untuk menyelamatkan diri, maka dengan izin Allah pokok dan batu akan memberitahu tentera Islam tentang Yahudi yang berlindung di sebaliknya. Akan tetapi satu pohon yang tetap berdiam diri dan akan bersekongkol dengan Yahudi iaitu pohon yang bernama Gharqad.

Saya telah dimaklumkan bahawa orang Yahudi pada waktu ini sedang giat menanam pokok Gharqad secara berleluasa di Negara Haram Israel sebagai suatu persediaan menghadapi tentera Islam pada akhir zaman. Ini juga bermakna bahawa orang Yahudi sebenarnya memang tahu dan sedar tentang kebenaran Islam dan kebenaran hadis nabi saw....cuma keegoaan dan sikap bongkak mereka menyebabkan mereka tidak menerima ajaran Islam, sebaliknya terus berusaha memerangi umat Islam dari semasa ke semasa.

Ramai juga yang bertanya tentang bagaimanakah pokok Gharqad. Ada yang menyatakan bahawa ia pokok Krismas, dan ada pula yang menyatakan bahawa ia pokok ru, pokok kaktus dan sebagainya. Moga gambar pokok Gharqad yang dipapar di atas dapat menyelesaikan kekeliruan tentang gambaran pokok Gharqad. Dan yang pastinya pokok Gharqad tidak sesuai dengan iklim di Malaysia dan ia tidak tumbuh di tempat kita. Wallahu'alam.

Thursday, April 21, 2011

Doa Dibaca Selepas Tahiyat Akhir


اللهم إني أعوذبك من عذاب جهنم وأعوذبك من عذاب القبروأعوذبك من فتنة المحيا والممات وأعوذبك من فتنة المسيح الدجال

Maksudnya: Aku berlindung dengan Mu Ya Allah daripada azab api neraka jahannam dan aku berlindung dengan Mu daripada azab kubur dan aku berlindung dengan Mu daripada fitnah semasa hidup dan mati dan aku berlindung dengan Mu daripada fitnah dajjal

Rumah Yang Tidak Dimasuki Malaikat Rahmat


1. Terdapat anjing dan patung di dalamnya: Sabda nabi SAW dalam hadis yang sahih bermaksud: "Malaikat tidak masuk ke dalam rumah yang terdapat padanya anjing dan gambar (patung)".
2. Rumah yang tidak bersih.
3. Penghuni rumah yang memutuskan silaturahim.
4. Penghuni rumah yang menderhaka terhadap kedua ibu bapanya
5. Rumah yang usang seumpama kubur kerana tidak di baca di dalamnya ayat-ayat suci al-Quran dan zikrullah.
6. Dll

RM50 juta sedia e-mel tidak munasabah, membazir


KUALA LUMPUR, 21 April: Pelaburan RM50 juta oleh kerajaan Malaysia bagi menyediakan akaun e-mel kepada semua warga Malaysia yang berusia 18 tahun ke atas, dianggap sebagai tidak munasabah dan merupakan satu pembaziran nyata yang dilakukan oleh kerajaan.

Menurut Ketua Penerangan GAMIS Pusat, Mohd Yusof Hadhari , rakyat melihat hari ini, pelbagai penyedia perkhidmatan e-mel percuma seperti Yahoo, Gmail, Hotmail dan lain-lain sedangkan kini kerajaan Malaysia dengan murah hati menyediakan RM50 juta untuk perkhidmatan emel tambahan kepada semua warga Malaysia yang berusia 18 tahun ke atas.

“Emel@1Malaysia dikhabarkan akan diguna bagi urusan menghantar bil dan sebagainya. Jadi, apa perlunya kerajaan berbelanja RM50 juta untuk memperkenalkan e-mel 1Malaysia?

“Adakah untuk mengintai maklumat peribadi pengguna emel yang berurusan dengan kerajaan?” soalnya.

Menurutnya lagi, lebih meragukan, apabila kontrak bagi menyediakan perkhidmatan e-mel 1Malaysia ini diberikan kepada sebuah syarikat IT tempatan, Tricubes Berhad yang sedang menghadapi masalah kewangan dan juga sebuah syarikat yang mempunyai rekod kewangan yang buruk.

“Saya kira RM50 juta satu nilai yang cukup tinggi, projek emel 1Malaysia ini jelas kepada kita satu projek yang tidak munasabah dan merupakan pembaziran paling nyata jika diteruskan juga.

“Saya cadangkan supaya RM50 juta itu di salurkan atau ditambah dalam dana pendidikan. Sepertimana yang kita maklum, biaya pendidikan yang harus ditanggung para mahasiswa kini semakin membengkak,” ujarnya.

Gamis juga, katanya mengharapkan kerajaan akan menimbang semula cadangan untuk menyediakan akaun e-mel 1Malaysia tersebut.

Wednesday, April 20, 2011

Hukum Memelihara Anjing


Oleh: Ustaz Shauqi

Apabila disebut sahaja anjing, maka bermacam-macam persepsi akan timbul. Ada yang jijik melihat anjing, ada pula yang begitu mesra dengan anjing, dan ada pula orang yang apabila marah akan menggunakan perkataan ‘anjing’ sebagai salah satu kata-kata nista dan keji yang dihamburkan. Bagi masyarakat Melayu Islam pula, anjing merupakan binatang yang paling tidak digemari dan mereka akan sedaya upaya menjauhkan diri daripada binatang tersebut. Lantaran itu boleh dikatakan masyarakat Melayu ‘tidak berani’ mendekati anjing, apa lagi menyentuhnya.

Sebenarnya, anjing sebagai binatang yang dianggap najis, termaktub di dalam hadis yang sahih. Justeru, menurut jumhur fuqahak, anjing membawa najis mughallazah. Ia berdasarkan perintah Rasulullah agar membasuh bekas yang dijilat anjing sebanyak tujuh kali dimulakan dengan air yang dicampur tanah. Nabi Muhammad saw bersabda, maksudnya: “Sucinya bejana (bekas) salah seorang daripada kamu yang dijilati anjing adalah dengan dibasuh bejana itu tujuh kali dengan air dan pada basuhan pertama dicampur dengan tanah.” (Hadis Riwayat. Muslim, Abu Daud dan Ahmad). Mungkin timbul persoalan mengapa Rasulullah menyuruh umatnya menggunakan tanah untuk menyuci bekas yang dijilat anjing? Hikmah yang sebenarnya, hanya Allah sahaja Maha Mengetahui. Namun, ada pendapat yang mengatakan bahawa dalam air liur anjing ada bakteria yang hanya dapat dimatikan oleh tanah yang dicampur air.

Walaupun Rasulullah mengarahkan agar membasuh bekas jilatan anjing sebanyak tujuh kali, namun ini tidak bermakna Islam menganggap anjing sebagai makhluk hina yang wajib dibenci dan dijauhi. Ini kerana Islam mengajar kita supaya mempunyai sifat rahmat di antara sesama makhluk, termasuk kepada binatang. Walau apa pun persepsi manusia terhadap anjing, ia merupakan salah satu daripada makhluk yang diciptakan Allah di atas muka bumi ini. Sekiranya seseorang itu melakukan kebaikan pada mana-mana makhluk Allah, maka sudah tentu akan mendapat ganjaran yang besar di sisi Allah.

Dalam sebuah hadis diceritakan bagaimana seorang lelaki diampunkan dosanya kerana menolong seekor anjing yang kehausan. Abu Hurairah berkata, Rasulullah saw bersabda, maksudnya: “Ketika seorang lelaki berjalan di suatu jalan, dia terlalu dahaga. Tiba-tiba dia menemui sebuah perigi. Oleh kerana tiada timba untuknya menceduk air dari perigi itu, dia pun turun ke dalamnya dan meminum air sehingga puas. Kemudian dia naik ke atas dan ternampak seekor anjing terjelir-jelir lidahnya menjilat pasir kerana tersangat dahaga. Lelaki itu berkata kepada dirinya sendirinya: Anjing ini haus seperti apa yang aku rasakan sebelum ini. Lalu dia turun semula ke dalam perigi dan mengisi air ke dalam kasutnya. Dia memegang kasut yang dipenuhi air itu dengan mulutnya sambil memanjat naik ke atas. Kemudian dia memberi anjing itu minum. Lantas Allah mengampunkan dosanya dan memasukkannya ke dalam syurga.”Sahabat bertanya: “Ya Rasulullah! Apakah dengan menolong haiwan kita mendapat pahala juga?” Baginda menjawab: “Ya! Menolong setiap makhluk bernyawa akan diberi pahala.” (Hadis riwayat al-Bukhari).

Walaubagaimanapun, Islam telah menetapkan beberapa peraturan berkaitan dengan anjing ini, apatah lagi apabila ia termasuk dalam najis mughallazah. Contohnya ialah masalah memelihara anjing, adakah ia dibenarkan oleh syara' atau tidak? Oleh itu, hendaklah dilihat maksud pemeliharaan itu sama ada untuk menjaga kemaslahatan manusia atau tidak. Jika ya, maka hukumnya boleh, dan apabila tidak, maka hukumnya haram.

Menurut Prof Dr Yusof al-Qaradhawi dalam bukunya Halal wa Haram fi al-Islam, termasuk yang dilarang oleh Nabi ialah memelihara anjing di dalam rumah tanpa ada sesuatu keperluan. Nabi bersabda: "Barangsiapa memelihara anjing tidak untuk keperluan berburu atau penjagaan, maka pahalanya akan berkurang sebanyak satu qiroth bagi setiap hari" (Muttafaq 'Alaih)

Pemeliharaan anjing tanpa sebarang keperluan dilarang kerana malaikat tidak masuk ke dalam rumah yang terdapat di dalamnya anjing. Sabda nabi: "Malaikat tidak masuk ke dalam rumah yang ada di dalamnya anjing dan gambar" (Muttafaq 'alaih). Daripada Ibn Umar r.a.meriwayatkan bahawa malaikat Jibril as berjanji akan datang menemui Rasulullah s.a.w. Setelah sekian lama menanti, Jibril as tidak juga muncul. Lalu Rasulullah saw pun keluar, dan baginda menemui Jibril di luar. Rasulullah mengadu akan kelewatan tibanya. Jibril menjelaskan dengan berkata: "Sesungguhnya kami tidak memasuki rumah yang ada anjing dan gambar" (Hadis riwayat al-Bukhari). Abu Hurairah r.a mengatakan bahwa Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya : “Malaikat tidak akan menemani kelompok manusia yang di tengah-tengah mereka terdapat anjing". (Hadis Riwayat Muslim).

Menurut Abdul Qadir Ahmad 'Ata menerusi bukunya Haza Halal wa Haza Haram, antara sebab malaikat tidak masuk ke dalam rumah yang mempunyai anjing ialah anjing merupakan binatang yang banyak makan benda-benda kotor serta mempunyai bau yang kurang menyenangkan yang tidak disukai oleh para malaikat. Sebahagian ulama lain pula ada yang berpendapat, bahawa hikmah dilarangnya memelihara anjing di rumah ialah apabila anjing itu menyalak, ia akan menakutkan tetamu yang berkunjung ke rumah.

Imam al-Qurtubi berkata : "Telah terjadi ikhtilaf di antara para ulama tentang sebab-sebab Malaikat Rahmat tidak memasuki rumah yang di dalamnya terdapat anjing. Sebahagian ulama mengatakan bahawa anjing itu najis, dan ada pula yang mengatakan bahawa ada anjing yang diserupai oleh syaitan. Malaikat yang tidak memasuki rumah yang mempunyai anjing itu ialah malaikat tertentu sahaja seperti Malaikat Jibril dan Malaikat Rahmat. Manakala malaikat-malaikat lain tetap akan masuk ke dalam rumah yang mempunyai anjing. Ini kerana terdapat nas-nas yang menunjukkan malaikat ada di mana-mana bersama anak Adam, khususnya Raqib dan 'Atid yang mencatat segala amalan manusia. Apatah lagi malaikat maut, akan masuk mana-mana rumah untuk mencabut nyawa penghuninya yang sudah sampai waktu ajalnya.

Manakala Ibnu Hajar dalam al-Fath al-Bari pula berkata : "Ungkapan malaikat tidak akan memasuki rumah ...." menunjukkan malaikat secara umum (malaikat rahmat, malaikat hafazah, dan malaikat lainnya)". Akan tetapi pendapat yang dikemukakan oleh Ibnu Wadhdhah, Imam Al-Khatabi, dan yang lainnya mengatakan : "Kecuali malaikat hafazah, mereka tetap memasuki rumah setiap orang kerana tugas mereka adalah mendampingi manusia sehingga tidak pernah berpisah sedetik pun dengan manusia. Sedangkan yang dimaksud dengan malaikat (yang tidak memasuki rumah yang mempunyai anjing) ialah malaikat rahmat (yang suka memohon keampunan untuk manusia) bukan malaikat hafazhah yang menjaga manusia. (Lihat Sharah Shahih Muslim 14/94).

Ringkasnya, Islam melarang memelihara anjing tanpa sebarang keperluan kerana Islam merupakan agama yang mencintai kebersihan. Tambahan itu, larangan tersebut adalah kerana malaikat Rahmat tidak akan masuk kedalam rumah orang yang memelihara anjing di dalamnya.

Akan tetapi, anjing yang dipelihara kerana ada kepentingan dan maslahat bagi manusia, seperti untuk berburu, menjaga tanaman, menjaga binatang dan sebagainya adalah dikecualikan daripada larangan ini. Ini kerana terdapat hadis Rasulullah yang mengharuskannya. Sebagai contohnya ialah sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: "Sesiapa yang memelihara anjing, selain anjing pemburu atau penjaga tanaman dan binatang, maka pahalanya akan berkurang setiap hari satu qirat." (Riwayat Jamaah)

Berdasarkan hadis tersebut, sebahagian ulama' fekah berpendapat bahawa larangan memelihara anjing itu hanya makruh, bukan haram, sebab kalau sesuatu yang haram, sama sekali tidak boleh dilakukan sama ada pahalanya itu berkurang atau tidak. Justeru, al-Khattabi dan Qadhi ‘Iyad berkata, malaikat hanya tidak memasuki rumah orang yang membela anjing tanpa keperluan, tapi bagi mereka yang memelihara anjing untuk tujuan buruan, malaikat rahmat tetap masuk ke dalam rumah itu. Namun, Imam Nawawi menyanggah pendapat ini dengan menyatakan hadis tersebut bersifat umum, jadi malaikat Rahmat tidak akan masuk ke dalam rumah yang memelihara mana-mana anjing sekalipun.

Di samping itu, terdapat hadis-hadis lain yang menerangkan tentang keharusan memelihara anjing dengan tujuan untuk pengawalan atau untuk berburu sekiranya dijaga batas-batas pergaulan dengan binatang tersebut. Antaranya ialah: "Daripada Abu Tha'labah al-Khasyni berkata; Aku pernah bertanya: "Wahai Rasulullah, sesungguhnya kami berada di kawasan berburu, aku berburu dengan anak panahku dan dengan menggunakan anjingku yang terlatih (yang diajar) serta anjingku yang belum terlatih, manakah yang dibolehkan untukku ?" Rasulullah saw menjawab: "apa yang telah engkau buru dengan anak panahmu dan engkau sebut nama Allah sebelumnya, makanlah. Dan yang telah engkau buru dengan anjingmu yang tidak terlatih, lalu kamu sempat menyembelihnya, maka makanlah". (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Sehubungan dengan itu, dapat dinyatakan bahawa memelihara anjing hanya dibenarkan apabila wujud keperluan untuk menjaga maslahah manusia. Namun begitu, sekiranya tidak didasarkan kepada apa-apa keperluan, maka pemeliharaan anjing adalah haram dan dilarang. Ini berikutan 'najis mughallazah' yang terdapat pada anjing tersebut dan kesan pemeliharaan tersebut menyebabkan malaikat Rahmat tidak memasuki rumah penghuninya.

Monday, April 18, 2011

Sistem Pendidikan pondok


Perkataan pondok dalam bahasa Arab adalah bererti rumah tumpangan atau hotel. Manakala dalam bahasa Indonesia pula ia di kenali dengan nama “Pasentren” iaitu dari perkataan “Santri” yang beerti pelajar-pelajar agama. Manakala menurut kamus dewan pondok memberi erti madrasah dan asrama tempat mengaji dan belajar agama. Sekolah pondok merupakan institusi pendidikan Islam tradisional yang berasal dari Pattani Thailand.

Sistem pondok bermula apabila ulama’ Acheh melarikan diri ke tempat lain termasuk Pattani semasa berlakunya perang paderi (perang salib 1821-1838) dan perang Atjeh (1878-1904) di Sumatra. Antara pondok yang cukup terkenal pada masa ini ialah seperti pondok Dala, Bermin, semela, Dual, dan Pondok Teluk Manak. Pondok-pondok ini bukan sahaja menjadi tumpuan penuntut tempatan, malahan juga penuntut luar negeri seperti dari Sri Lanka, Burma, Kemboja, Vietnam, Tanah Melayu, Filipina, dan Indonesia.

Institusi pondok pada permulaannya merupakan sebuah institusi yang mengasingkan diri dikawasan-kawasan pedalaman untuk mengelak daripada pengaruh negatif atau dari pengaruh asing. Pendidikan pondok bukan sahaja memfokuskan orientasinya kepada akhirat atau mengajar ilmu-ilmu yang berkaitan dengan keagamaan sahaja, bahkan ia juga mengajar tentang ilmu-ilmu yang lain seperti ilmu hisab dan ilmu kaji bumi.

Pendidikan pondok di kelantan bermula sejak awal abad ke 19 masihi lagi. Ia telah dipelopori oleh ulamak yang berpendidikan dari Pattani. Daripada kajian yang dilakukan, pondok yang pertama didirikan di kelantan ialah pada tahun 1820. pondok ini telah didirikan oleh Haji Abdul Samad bin Muhammad Salleh (Tuan Tabal) yang lebih di kenali dengan nama Tok Pulai Chondong. Pondok ini terletak di jalan Kuala Krai kira-kira 28 kilometer dari bandar Kota Bharu.

Setelah kematian beliau, institusi tersebut telah di teruskan oleh anaknya Haji Arshad. Pada tahun 1880 pondok tersebut telah mencapai kemajuan dalam peningkatan jumlah murid iaitu meningkat kepada hampir 800 orang. Selepas perjanjian Bangkok pada Julai 1909, negeri-negeri di utara tanah melayu telah diserahkan kepada Inggeris menyebabkan pengajian pondok semakin berkembang di Kelantan dan di ikuti oleh negeri Kedah. Pembangunan sistem pendidikan pondok pada awal abad 19 adalah mengikut corak sistem pembangunan yang di terajui oleh ulama’ seperti Haji Abdul Samad bin Muhammad Salleh ( Tuan Tabal), Haji Wan Ali bin Haji Abdul Rahman (Tok Wan Ali Kutan), Haji Nik Daud bin Wan Sulaiman, Haji Awang atas Banggol, Hakim Haji Abdullah dari Johor, Haji Wan Ismail bin Jamaluddin dan Haji Nik Abdullah.

Sekolah pondok pada masa tersebut adalah lebih formal dan berpusat di sekitar Ibu Negeri. Sebahagian besar dari ulama’ pondok juga menjadi pengajar sambilan di masjid negeri dan pada masa yang sama mereka merupakan peneraju pondok di kawasan masing-masing. Golongan ulama’ ini di gelar sebagai “Tok Guru” oleh masyarakat tempatan. Dari segi rujukan pula pelajar pondok belajar menggunakan kitab-kitab lama (kitab kuning) yang ditulis dalam bahasa melayu asli (jawi) dan hanya sedikit menggunakan teks arab. Ini adalah berbeza dengan metod yang digunakan pada akhir abad 19 yang mana ketika itu teks arab digunakan meluas dan guru akan memberi penjelasan tentang makna kepada para pelajar. Dari segi kedudukannya ia tidaklah begitu jauh dari masjid bagi memudahkan mereka untuk berulang alik ke masjid. Metod pengajian ini tersebar di sekitar Kota Bharu dan kemudiannya tersebar keseluruh jajahan di Negeri Kelantan. Pelajar yang datang untuk belajar di sini bukan sahaja rakyat tempatan, malah dari seluruh Asia Tenggara. Metod pengajian ini kemudiannya di teruskan oleh Ulama’ generasi yang kedua seperti Haji Muhammad Yusof (Tok Kenali), Haji Pak Chik Musa bin Abdul Rahman, Haji Wan Daud bin Husain, Haji Cik Idris bin Haji Hassan, Haji Cik Ibrahim bin Yusof, Haji Wan Musa bin Abdul Samad dan banyak lagi.

Pada masa yang sama juga terdapat Ulama’ yang datang dari luar Kota Bharu yang telah membuka pondok masing-masing seperti Haji Abdul Rahman bin Haji Othman (Tok Selihur) dan Haji Uthman bin Haji Muhammad (Tok Bachok). Dari segi Organisasi pula sekolah pondok di tadbir oleh seorang guru yang di panggil dengan gelaran “Tok Guru”. Rumah Tok guru, pembantu dan masjid biasanya akan dikelilingi oleh pondok-pondok yang didirikan oleh para pelajar. Pada kebiasaannya, pelajar yang menetap di pondok telahpun menamatkan pengajian asasnya di kampung atau di negeri masing-masing sebelum melanjutkan pengajian mereka di pondok dengan lebih mendalam. Pada mulanya, pembelajaran di pondok tidak di kenakan sebarang bayaran, namun selepas itu sedikit bayaran di kenakan untuk tujuan penyelenggaraan masjid dan juga untuk menganjurkan majlis-majlis agama seperti sambutan maulidurrasul dan sambutan hari Assyura. Dari segi sukatan pelajaran pula, Tok guru akan menetapkan kitab yang di fikir sesuai untuk digunakan oleh pelajarnya.

Sukatan dan kitab yang digunakan di susun untuk di sesuaikan mengikut kategori pelajar. Perkara asas yang diajar ialah Nahu Soraf dan Balaghah. Pelajar di kehendaki mahir dalam mata pelajaran berikut sebelum beralih kesukatan lain seperti Syariah, Tajwid, Tauhid, Sirah Nabi, Tafsir Hadith, Fiqah, Usul Tafsir, Ulum Hadith, Usul Fiqh dan lain-lain. Ini kerana dengan memahami perkara asas tersebut akan memudahkan mereka untuk memahami matapelajaran lain. Mereka yang belajar di pondok terbahagi kepada dua golongan iaitu golongan penadah dan golongan pendengar.

Golongan penadah ialah mereka yang mempelajari agama secara serius dan menggunakan kitab-kitab semasa hadir di dalam sesuatu jemaah pengajaran guru-guru. Tujuan mereka menadah kitab ialah untuk membolehkan mereka menjadi alim kelak. Golongan pendengar pula ialah mereka yang hanya sekadar datang ke dalam jemaah pengajaran semata-mata untuk mendengar pengajarannya. Kehadiran mereka ialah untuk mengambil pengajaran guru itu untuk dijadikan panduan kepada kehidupan mereka. Golongan penadah terdiri dari golongan lelaki sahaja, manakala golongan pendengar pula pada umumnya terdiri dari golongan lelaki dan perempuan dan kebanyakannya adalah orang-orang tua. Pada awalnya pengajian dengan cara menadah ini tidak dibuka kepada golongan perempuan. Namun atas desakan orang ramai, kini pengajian cara ini dibuka kepada golongan perempuan. Sebagai contohnya di pondok Terusan Pasir Tumbuh Kelantan telah membuka kepada golongan perempuan untuk turut belajar sama. Kaedah pembelajaran dengan cara “menadah kitab” ialah setiap pelajar di kehendaki menyediakan kitab masing-masing. Bagi mereka yang tidak mampu untuk membeli kitab, mereka mengambil inisiatif dengan menyalin kitab tersebut.

Guru akan mengajar dari kulit ke kulit dan setiap persoalan yang timbul akan di terangkan denga terperinci. Kaedah ini biasanya akan mengambil masa selama 10 tahun untuk menghabiskan semua sukatan. Segala pengajaran dijalankan di masjid, rumah Tok Guru dan di rumah pembantu kerana mereka tidak mempunyai bilik darjah. Pengajian di mulakan selepas subuh sehingga pukul 10 malam ( termasuk waktu rehat). Pengajian tidak di adakan pada hari Jumaat, dan pada kebiasaannya pelajar yang tinggal berhampiran akan pulang ke kampung masing-masing. Bagi yang tinggal jauh mereka akan menetap di pondok dengan menjalankan kegiatan sampingan seperti mengulangkaji pelajan dan ada juga yang menghafal Al-Quran.

Thursday, April 14, 2011

Doa Berkaitan Masjid


A. Doa Menuju Masjid

اَللّهُمَّ اجْعَلْ فِيْ قَلْبِيْ نُوْرًا وَفِيْ لِسَانِيْ نُوْرًا وَاجْعَلْ فِيْ سَمْعِيْ نُوْرًا وَاجْعَلْ فِيْ بَصَرِيْ نُوْرًا وَاجْعَلْ مِنْ خَلْفِيْ نُوْرًا وَمِنْ اَمَامِيْ نُوْرًا وَاجْعَلْ مِنْ فَوْقِيْ نُوْرًا وَمِنْ تَحْتِيْ نُوْرًا. اَللّهُمَّ أَعْطِنِيْ نُوْرًا.

Ya Allah, jadikanlah cahaya dalam hatiku, pada lidahku, pada pendengaranku, pada penglihatanku, di belakangku, di depanku, di atasku, dan di bawahku Ya Allah, berilah aku cahaya. (HR Bukhari-Muslim)

B. Doa Ketika Di Depan Pintu Masjid

اللَّهُمَّ إِنِّيْ أَعُوْذُ بِكَ مِنْ إِبْلِيْسَ وَجُنُوْدِهِ.

Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu dari godaan Iblis dan bala tenteranya. (HR Ibnu As-Sunni)

C. Doa Masuk Masjid

باِسْمِ اللهِ، اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ. اللَّهُمَّ افْتَحْ لِي أَبْوَابَ رَحْمَتِكَ.

Dengan nama Allah, ya Allah, berilah berkat dan rahmat kepada Nabi Muhammad. Ya Allah, bukalah pintu-pintu rahmat-Mu untukku. (HR Ibnu Majah)

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لَنَا ذُنُوْبَنَا وَافْتَحْ لَنَا أَبْوَابَ رَحْمَتِكَ.

Ya Allah, ampunilah dosa-dosa kami dan bukalah pintu-pintu rahmat-Mu untuk kami. (HR Ibnu As-Sunni)

Catatan: Rasulullah Saw. menganjurkan agar sebelum membaca doa ini, kita berselawat terlebih dahulu

اللَّهُمَّ افْتَحْ لِيْ أَبْوَابَ رَحْمَتِكَ.

Ya Allah, bukalah pintu-pintu rahmat-Mu untukku. (HR Muslim)

D. Doa Keluar Masjid

باِسْمِ اللهِ، اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ.اللَّهُمَّ أَعِذْنِيْ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيْمِ.

Dengan nama Allah, ya Allah, berilah berkat dan rahmat kepada Nabi Muhammad. Ya Allah, lindungilah aku dari godaan syaitan yang terkutuk. (HR Ibnu Majah )

اللَّهُمَّ افْتَحْ لِيْ أَبْوَابَ فَضْلِكَ.

Ya Allah, bukalah pintu-pintu kurnia-Mu untukku. (HR Tirmidzi, Ibnu Majah, dan Ahmad)

Catatan: Dalam redaksi hadis ini menerangkan bahawa sebelum membaca doa di atas Rasulullah Saw. mengucapkan hamdalah dan basmalah terlebih dahulu.

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لَنَا ذُنُوْبَنَا وَافْتَحْ لَنَا أَبْوَابَ فَضْلِكَ.

Ya Allah, ampunilah dosa-dosa kami dan bukalah pintu-pintu kurnia-Mu untuk kami. (HR Ibnu As-Sunni)

Catatan: Rasulullah Saw. menganjurkan agar sebelum membaca doa ini, kita berselawat terlebih dahulu

اللَّهُمَّ إِنِّيْ أَسْأَلُكَ مِنْ فَضْلِكَ.

Ya Allah, aku memohon limpahan kurnia-Mu. (HR Muslim)