Followers

Thursday, March 1, 2012

Fenomena Ajaran Sesat



Oleh: Ustaz Shauqi

Realiti  yang berlaku dalam masyarakat kita, ialah pencemaran akidah dan ajaran sesat yang semakin menjadi-jadi. Namun yang amat menghairankan ialah bagaimana terdapat umat Islam yang begitu mudah terpengaruh dengan ajaran sesat? Pencemaran akidah suci umat Islam bukanlah sesuatu yang baru di Malaysia. Malah, pencemaran dan resapan ajaran sesat ke dalam sistem kepercayaan umat Islam di nusantara ini, semakin menjadi-jadi dari semasa ke semasa.  

Ajaran sesat ialah sebarang ajaran atau amalan yang dibawa oleh orang Islam atau orang bukan Islam yang mendakwa bahawa ajaran dan amalan tersebut adalah ajaran Islam atau berdasarkan ajaran Islam; sedangkan pada hakikatnya ajaran dan amalan yang dibawa itu bertentangan dengan ajaran Islam yang berdasarkan al-Quran dan Sunnah serta juga bertentangan dengan ajaran Ahli Sunnah.  

             Kemunculan kebanyakan ajaran sesat ini dipercayai berpunca daripada pengaruh, kebudayaan, adat dan kepercayaan lama yang mengandungi unsure-unsur animisme dan dinamisme serta dicampur aduk dengan doktrin-doktrin lain seperti Kristianiti, Hinduisme, Budhisme, Neo Platonisme dan lain-lain lagi yang meresap dalam ajaran Islam.  Adalah dipercayai ajaran sesat yang paling lama usianya di Malaysia ialah ajaran Taslim yang dibawa oleh Mohammad Bin Shafie atau dikenali sebagai Mohamad Matahari pada awal abad ke-19, di Kampung Seronok, Bayan Lepas, Pulau Pinang.


Pengakuan menjadi Nabi, Rasul dan Imam Mahdi merupakan antara tindakan favourite dilakukan oleh mereka yang mengetuai kumpulan ajaran sesat. Biasanya pengikut-pengikut mereka dijanjikan dengan janji mendapat jalan pintas ke syurga. Sesuatu yang sukar difahami ialah mengapa sesetengah umat Islam itu begitu mudah terpengaruh dengan seseorang guru ajaran sesat terutamanya apabila individu itu mengaku dirinya Nabi atau Imam Mahadi.  

            Biasanya orang yang mudah terpengaruh dengan ajaran sesat ialah golongan yang rapuh ilmunya. Mereka lebih selesa menjadi ‘pak turut’ daripada berusaha mencari ilmu sebenar yang berteraskan al-Quran dan Sunnah. Natijahnya, mereka akan mudah terpengaruh dengan dakwaan-dakwaan songsang itu. Apatah lagi, masyarakat kita biasanya akan mudah terpengaruh sekiranya ‘guru’ tersebut boleh melakukan perkara-perkara luar biasa yang tidak boleh dilakukan oleh orang lain. Lalu, mereka akan menganggap guru tersebut mendapat ‘karamah’, dan seterusnya menjadi wakil Tuhan di bumi dan sebagainya lagi dakwaan-dakwaan yang tidak berasas. Dalam hal ini, Imam Syafie telah menyatakan bahawa ‘sekiranya engkau melihat ahli bid’ah dapat terbang di atas udara sekalipun, maka janganlah engkau tertipu dengannya’.

            Antara ciri ajaran sesat yang berlaku di Malaysia ialah:

1.      Wujudnya budaya memuja dan mendewa-dewakan ketua kumpulan sehingga sanggup menganggap ketua mereka sebagai orang suci atau wakil Tuhan yang maksum. 
2.       Guru mendakwa sebagai nabi, Imam Mahdi dan sebagainya.
3.      Ajaran yang ingin memansuhkan syariat seperti tidak mewajibkan solat, puasa, haji dan sebagainya. Malahan, ada yang menunaikan solat secara ‘niat’ sahaja.
4.      Ajaran yang cuba meremehkan syariat Islam, di samping cuba menghalalkan yang haram atau mengharamkan yang halal.
5.      Mempercayai roh seseorang yang telah mati menjelma semula ke dalam jasad orang yang masih hidup.
6.      Mendakwa semua agama adalah sama.
7.      Melakukan penyerahan rohani dan jasmani secara nikah batin, kononnya untuk mendapatkan anak yang soleh.
8.      Meninggalkan solat Jumaat dan solat secara berjamaah.
9.      Mengubah ayat-ayat al-Quran, atau mentafsirkan ayat al-Quran mengikut hawa nafsu dan tanpa berlandaskan kepada ilmu.
10.  Menjalankan kegiatan dan ajaran secara sulit dan bersembunyi.

Berdasarkan sebahagian ciri-ciri ajaran sesat yang dipaparkan ini, umat Islam hendaklah berwaspada  demi memelihara kesucian dan keutuhan akidah dan syariat Islam  Janganlah terpengaruh dan terikut-ikut sesuatu ajaran yang kita tidak ada ilmu tentangnya kerana dibimbangi ia akan merugikan diri dan kita akan dimurkai oleh Allah s.w.t.  

No comments:

Post a Comment