Followers

Friday, August 31, 2012

Polemik Tentang Hudud




Polemik Tentang Hudud

Oleh:
Ustaz Shauqi


Terdapat segelintir masyarakat  Islam yang masih sangsi dan ragu-ragu terhadap perlunya undang-undang jenayah Islam dilaksanakan. Keraguan dan kesangsian ini timbul disebabkan beberapa faktor. Antaranya ialah krisis keyakinan terhadap undang-undang Islam ekoran racun-racun berbisa daripada musuh-musuh Islam yang telah berjaya menguasai pemikiran sebilangan umat Islam pada zaman moden ini. Benarlah firman Allah dalam al-Quran:

Maksudnya: “ Orang Yahudi dan Nasrani selama-lamanya tidak akan redha dengan kamu sehinggalah kamu mengikuti agama (jejak langkah) mereka”.(Surah al-Baqarah: ayat 120)

Berbeza dengan orang yang beriman, keyakinan kepada al-Quran dan Hadis menyebabkan mereka tidak memandang ringan terhadap hukum hakam Allah swt. Sebagaimana umat Islam dapat menerima kefardhuan solat, puasa, zakat dan haji, begitu juga umat Islam sewajarnya dapat menerima undang-undang jenayah Islam kerana semuanya datang daripada Allah swt bahkan ia merupakan arahan Allah kepada manusia.

Terdapat pula dalam kalangan masyarakat yang memang menerima perlaksanaan undang-undang jenayah Islam seperti undang-undang hudud, namun malangnya mereka masih terpesong dengan racun pemikiran barat dengan menyatakan bahawa belum tiba masanya untuk dilaksanakan. Bahkan bukan sedikit ‘tokoh pemikir’ yang terkeliru dan terikut dengan rentak orientalis tanpa mereka sedari, lalu mereka pun mengalunkan lagu dan menari mengikut rentak golongan orientalis dengan mencadangkan bahawa ‘hudud’ bukan keutamaan bahkan belum tiba masanya untuk dilaksanakan.

Ketakutan pada hudud amat menjadi-jadi, seolahnya ia akan membawa fitnah pada hukum Islam dan pelbagai lagi polemik yang timbul. ‘Pahat’ sudah pun berbunyi sedangkan bangunan belum lagi didirikan. Malu kita pada generasi Malaysia sebelum merdeka yang menerima hukum Islam tanpa sebarang keraguan sebagaimana yang termaktub dalam Hukum Kanun Melaka dan sebagainya.



Sebelum kedatangan penjajah barat, undang-undang jenayah Islam telah pun dilaksanakan di Malaysia serta telah menjadi undang-undang dasar negara. Kenyataan ini berlandaskan kepada kewujudan Hukum Kanun Melaka, Undang-Undang Pahang, dan Undang-Undang Kedah[1]. Hukum Kanun Melaka telah dilaksanakan sejak zaman kesultanan Melaka lagi, dan ia berdasarkan mazhab Syafie[2]. Undang-undang Kanun Melaka mempunyai pengaruh yang besar dan berkesan di negeri-negeri Melayu di bawah pemerintahan empayarnya dan di negeri-negeri yang berjiran seperti Johor, Kedah, Pahang, Perak dan Brunei. Negeri-negeri tersebut telah menjadikan Undang-undang Kanun Melaka sebagai asas kepada undang-undang negeri mereka[3]. Umumnya, undang-undang jenayah Islam telah dilaksanakan dengan meluas di Tanah Melayu sebelum kedatangan penjajah.

Apabila Inggeris datang dan menjajah Tanah Melayu, mereka telah melakukan perubahan yang ketara dalam perundangan.  Peruntukan Piagam Keadilan I (1807), Piagam II (1826), penguatkuasaan undang-undang sivil (1837), dan undang-undang Tanah Melayu yang baru pada tahun 1956 telah memberi kuasa yang banyak dan luas kepada British untuk mengubah dan menghapuskan undang-undang tempatan dan menggantikannya dengan undang-undang British[4].

Situasi yang telah dilaksanakan oleh British telah memberi kesan yang besar terhadap perundangan Islam terutamanya undang-undang jenayah Islam. Justeru, undang-undang Inggeris telah menyelinap masuk sedikit demi sedikit, dan seterusnya menggantikan perundangan Islam yang telah dilaksanakan sebelum ini.

Kegagalan undang-undang ciptaan manusia untuk membendung jenayah sepatutnya menjadi bukti betapa manusia memerlukan undang-undang jenayah Islam bagi menangani masalah jenayah yang semakin meruncing dari hari ke hari. Kita sudah dapat melihat kegagalan formula yang diciptakan oleh manusia dalam membanteras jenayah. Justeru, apa salahnya sekiranya kita dapat pula mencuba formula yang disediakan oleh Islam untuk menjamin keharmonian dan keamanan dalam masyarakat?.   


Menunaikan Tuntutan Allah

Manusia ialah makhluk yang diciptakan oleh Allah yang berperanan menjadi hamba Allah, dengan melaksanakan segala suruhan Allah dan meninggalkan segala larangan-Nya. Oleh itu, mereka berkewajipan untuk melaksanakan hukum-hakam yang terdapat dalam al-Quran dan Sunnah rasul-Nya tanpa ragu-ragu dan tanpa mempersoalkan kesesuaiannya mengikut peredaran zaman. Allah swt sebagai Maha Pencipta dan Maha Mengetahui lebih tahu apa yang terbaik untuk manusia dalam kehidupan mereka di atas dunia.

Justeru, Allah telah menggariskan beberapa panduan dalam kitabNya untuk dipatuhi dan ditaati, bukan untuk diengkari. Perundangan Islam ialah satu bentuk perundangan yang bersifat ‘Ubudiyyah ( perhambaan ), lantaran perlaksanaannya adalah merupakan ibadah kepada Allah. Tidak ada alternatif yang lain bagi umat Islam selain daripada melaksanakan hukum-hakam Allah swt. Firman Allah:  

Maksudnya: “Dan sesungguhnya ini ialah jalanku yang lurus, maka ikutilah, dan janganlah kamu ikuti jalan-jalan yang lain nanti kamu akan menyimpang dari jalan-Nya, demikianlah perintah Allah kepada kamu supaya kamu bertakwa”.( Surah al-An’am: ayat 153)

Undang-undang Islam merupakan syariat Allah yang wajib dilaksanakan. Firman Allah swt: Maksudnya: “Dan hendaklah kamu menjalankan hukuman di antara mereka dengan apa yang diturunkan oleh Allah”.( Surah al-Maidah: ayat 49)

Menurut Ibn Hazm seperti yang dipetik oleh Dr. Abdul Karim Zaidan dalam bukunya ‘Nizam al-Qada’ fi al-Islam’ telah menegaskan: ‘Tidak halal penghakiman melainkan dengan apa yang diturunkan oleh Allah swt ke atas rasul-Nya saw dan itulah yang benar. Setiap undang-undang selain daripada itu, adalah tidak benar dan zalim, tidak halal dihukumkan dengannya, dan hendaklah dihapuskan sama sekali apabila hakim menjatuhkan hukuman dengannya[5].

Jelasnya, umat Islam amat perlu kepada perlaksanaan undang-undang Islam kerana ia merupakan suatu kewajipan dan tuntutan Allah swt kepada manusia. Seseorang itu tidak mungkin akan meragui  perlaksanaan undang-undang Islam selagi dia taat dan patuh kepada Allah, serta menyedari kewajipan menunaikan amanah Allah swt.

Selain daripada itu, perlaksanaan undang-undang jenayah Islam akan turut menyelesaikan masalah kerosakan akhlak yang sedang mengancam manusia dewasa ini. Perlaksanaan undang-undang Islam akan mewujudkan masyarakat yang aman damai dan mendapat keredhaan Allah. Firman Allah:

 Maksudnya: “Sesiapa yang mengikut petunjuk-Ku, dia tidak akan sesat dan tidak pula menjadi celaka”.( Surah Taha: ayat 123)

Selain daripada itu, undang-undang jenayah Islam mempunyai pertalian yang rapat dengan roh Islam itu sendiri. Penghukuman di dalam undang-undang jenayah Islam mempunyai hubungan yang kuat dengan aqidah, ibadah, akhlak dan sebagainya.

Oleh yang demikian, bukanlah suatu perkara yang mudah untuk menjatuhkan hukuman kepada tertuduh mengikut undang-undang jenayah Islam melainkan setelah melalui proses dan prosedur yang ketat bagi menjamin keadilan terlaksana.  

Setiap individu di dalam sesebuah masyarakat akan terjamin haknya. Oleh yang demikian keadilan dapat dinikmati oleh semua. Syariat Islam menjamin kebebasan hak manusia agar tidak disekat, dan memelihara maruah daripada dicerobohi. Justeru, akan terbentuklah dalam masyarakat sikap saling mempercayai di antara satu sama lain, serta wujudnya pembelaan terhadap mereka yang dianiayai. Hasilnya, jenayah dapat dibanteras, punca-punca jenayah dapat diatasi, dan keharmonian masyarakat akan terjamin. Jelasnya, perundangan Islam akan memberikan manusia untuk menikmati kebahagiaan, keamanan, hidup berkasih sayang dan bekerjasama[6].

Punca-punca yang boleh membawa kepada kerosakan manusia hendaklah dicegah dengan pelbagai cara. Sekiranya terdapat juga manusia yang melampau serta sengaja menjerumuskan diri ke lembah kehinaan dan maksiat dengan melayani tipu daya syaitan, maka hukuman yang sewajarnya hendaklah dilaksanakan kerana pencegahan yang telah dilakukan seolah-olah tidak membawa apa-apa makna kepadanya.

Hukuman yang dilaksanakan melalui undang-undang jenayah Islam adalah merupakan proses pembaikan diri manusia.  Allah yang mencipta manusia, Dialah juga Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk manusia. Justeru, langkah-langkah pencegahan telah ditetapkan dalam undang-undang jenayah Islam sebelum proses penghukuman dijalankan. Proses penghukuman adalah merupakan pencegahan bagi sesebuah masyarakat daripada kerosakan dan kemusnahan .



[1] Lihat Mohd Azam Hamzah, 1986, Falsafah dan Prinsip Perundangan Islam, Kuala Lumpur, ms 177, dan M.B. Hooker, Undang-Undang Islam di Asia Tenggara (terj.), ms 10.
[2] Sila Rujuk Liew Yoke Fang, Undang-Undang Melaka, 1979,  The Haque, dan Dr Mahmud Saedon, Perlaksanaan Undang-Undang Islam di Malaysia: Kenyataan dan Permasalahannya, YDIM, ms 62.
[3] Sila rujuk Mahmud Saedon, 1988, Ke arah Islamisasi Undang-Undang Islam di Malaysia, YDIM: Kuala Lumpur, ms 33.
[4] Lihat Ahmad Ibrahim, Sistem Perundangan di Malaysia, Kuala Lumpur, ms 71-72.
[5] Abdul Karim Zaidan, 1994, Nizam al-Qada' fi al-Islam  
[6] Sila rujuk Abdul Kadir ‘Audah, Tasyri’ al-Jina’I al-Islamiy, Muassasah Risalah, Beirut, jilid 1, h. 69.

No comments:

Post a Comment