Followers

Monday, August 19, 2013

Hikmah Lebah & Madu






Oleh: Ustaz Shauqi

Firman Allah SWT dalam surah al-Nahl ayat 68-69 bermaksud:

Dan Tuhanmu memberi ilham kepada lebah: "Hendaklah engkau membuat sarangmu di gunung-ganang dan di pokok-pokok kayu, dan juga di bangunan-bangunan yang didirikan oleh manusia. Kemudian makanlah dari segala jenis bunga-bungaan dan buah-buahan (yang engkau sukai), serta turutlah jalan-jalan peraturan Tuhanmu yang diilhamkan dan dimudahkannya kepadamu". (dengan itu) akan keluarlah dari dalam badannya minuman (madu) yang berlainan warnanya, yang mengandungi penawar bagi manusia (dari berbagai-bagai penyakit). Sesungguhnya pada yang demikian itu, ada tanda (yang membuktikan kemurahan Allah) bagi orang yang mahu berfikir.


Lebah merupakan serangga terpilih berbanding dengan serangga-serangga yang lain. Justeru, Allah SWT menurunkan surah al-Nahl dengan ayat-ayat yang lengkap mengenai lebah dan kehidupannya. Bahkan, pemilihan nama surah ‘al-Nahl’ adalah merujuk kepada maksud lebah itu sendiri. Pengungkapan mengenai lebah dalam ayat al-Quran di atas adalah merupakan tanda kebesaran dan keagungan Allah SWT. Manusia yang mengkaji tentang kehidupan lebah dan madu yang dihasilkan oleh serangga ini sudah tentu akan mengagumi haiwan ini. Kekaguman terhadap serangga ini akan membawa kepada hakikat wujudnya Yang Maha Berkuasa dan Yang Maha Pencipta iaitu Allah SWT. Selain itu, kita juga dapat mengambil pengajaran dan pengiktibaran daripada kehidupan lebah yang boleh mendatangkan manfaat dalam kehidupan seharian.

Allah telah memberikan ilham atau naluri kepada lebah agar membuat sarang di kawasan pergunungan, di pepohonan kayu,  atau di bumbung-bumbung rumah. Seterusnya,  pekerjaan lebah ialah menghirup sari bunga dan buah untuk menghasilkan madu. Madu yang diperoleh daripada lebah dapat dijadikan sebagai ubat dan  penawar kepada manusia terutamanya dalam mempastikan kesihatan tubuh badan yang stabil.


Mengenali Lebah

Lebah adalah sejenis serangga yang kebiasaannya hidup dengan cara kehidupan bermasyarakat.  Di dalam sesebuah masyarakat atau koloni lebah madu, terdapat tiga kumpulan yang masing-masing mempunyai tugas-tugas tertentu. Pembahagian kumpulan tersebut ialah ratu lebah, lebah pekerja dan lebah jantan (Sila rujuk Abu Bakar Atim & Abdul Malik Yaakob (1990), Penternakan Lebah Madu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.).

Perintah Allah kepada lebah dalam ayat al-Quran yang kita bincangkan ini, adalah merujuk kepada golongan kata feminin. Hal ini bersesuaian dengan struktur organisasi masyarakat lebah kerana yang memegang peranan sebagai ketua ialah permaisuri atau ratu lebah. Selain itu, dalam masyarakat lebah, bilangan betina lebih ramai daripada jantan. Boleh dikatakan bahawa pada kebiasaannya dalam satu-satu masyarakat lebah, bilangan lebah jantan adalah sekitar satu pertiga sahaja daripada jumlah keseluruhan lebah. 



Setiap koloni lebah diasas dan diketuai oleh lebah betina, iaitu permaisuri atau ratu. Ratu lebah menduduki kedudukan tertinggi dalam sesebuah masyarakat lebah. Ia mempunyai usia yang lebih panjang berbanding dengan lebah-lebah yang lain. Ratu lebah di sepanjang hidupnya mendapat makanan yang lebih khusus yang disebut sebagai jeli diraja. Jeli diraja ini dihasilkan oleh lebah-lebah pekerja yang masih muda.

Ratu lebah mempunyai kuasa mengawal keseluruhan aktiviti yang dijalankan oleh kumpulan lebah pekerja dan lebah jantan. Kematiannya akan menyebabkan keadaan porak-peranda pada sesebuah kumpulan lebah dan mungkin mengakibatkan kemusnahan kumpulan tersebut. Ratu lebah mengeluarkan dua jenis telur iaitu telur yang subur dan telur yang tidak subur. Telur yang subur menghasilkan lebah pekerja dan ratu lebah, manakala telur yang tidak subur hanya dapat menghasilkan lebah jantan. Kelahiran ratu lebah bergantung kepada keperluan sesebuah koloni itu terhadap ratu yang baru. Kebiasaannya ratu baru diperlukan apabila koloni itu tidak mempunyai ratu, koloni tersebut bersedia untuk berpindah atau berpecah atau apabila ratu yang ada telah tua atau uzur dan lebah pekerja mahu menyingkirkannya.

Lebah pekerja pula merupakan kumpulan lebah dalam kalangan lebah betina. Bilangan kumpulan ini merupakan yang paling banyak iaitu mewakili kira-kira dua pertiga daripada bilangan yang terdapat di dalam sesebuah koloni lebah. Bentuk badannya lebih kecil berbanding ratu lebah dan lebah jantan. Ia merupakan kumpulan kedua pentingnya di dalam sesebuah koloni. Lebah-lebah betina ini mempunyai pelbagai pembahagian tugas; seperti mengumpul manisan dan debunga, membina sarang, menjaga kebersihan dan keselamatan sarang, menyara dan memberi makan kepada lebah-lebah yang lain.

Lebah pekerja mampu menjalankan kesemua kerja sama ada di dalam sarang atau di luar sarang. Tiga tugas utama kumpulan ini ialah mencari manisan dan debunga, membela anak-anak lebah dan mengawal sarang. Pembahagian kerja sungguh sistematik dan bergantung kepada jangka masa umurnya yang sesuai dengan jenis-jenis kerja yang dilakukan. Sebagaimana yang dinyatakan sebelum ini, penggunaan perkataan yang dinisbahkan untuk feminin dalam ayat 68 dan 69 dalam Surah al-Nahl adalah amat bertepatan dengan penemuan ini kerana perkataan-perkataan tersebut merujuk kepada lebah betina (lebah pekerja) yang menjalankan hampir kesemua tugas dalam koloni lebah.

Lebah jantan mempunyai individu lebih kurang satu pertiga daripada jumlah bilangan individu di dalam sesebuah koloni. Saiz badannya lebih besar daripada lebah pekerja dan kecil sedikit daripada ratu lebah. Lebah jantan mempunyai sepasang mata yang besar, badan berbulu dan berwarna hitam serta mempunyai pergerakan yang lembap. Ia tidak boleh menyengat, tidak produktif, tidak pandai mencari makanan sendiri dan hanya mengharapkan lebah pekerja memberi makanan kepadanya. Lebah jantan hanya berfungsi sebagai penyambung zuriat dan boleh mengawan apabila berumur lebih kurang tiga minggu dan akan mati setelah melakukan pengawanan.



Khasiat Madu Lebah

Dalam ayat 69 surah al-Nahl, disebut secara jelas bahawa madu merupakan ubat dan penawar yang dapat menyembuhkan pelbagai penyakit yang dihidapi oleh manusia. Firman Allah bermaksud: “(Dengan itu) akan keluarlah dari dalam badannya minuman (madu) yang berlainan warnanya, yang mengandungi penawar bagi manusia (dari berbagai-bagai penyakit).”

Madu adalah campuran beberapa jenis gula dan air serta mengandungi sedikit bahan-bahan lain seperti logam, asid dan enzim. Madu yang dihasilkan oleh lebah mempunyai pelbagai warna sebagaimana yang telah difirmankan oleh Allah s.w.t. dalam ayat di atas. Ada yang berwarna putih, kuning, merah dan beberapa warna lain yang menarik. Ia bergantung kepada jenis-jenis tumbuhan yang dilawati oleh lebah-lebah tersebut. 

Mengikut Abu Bakar Atim dan Abdul Malik Yaakob dalam buku mereka Penternakan Lebah Madu, terdapat dua faktor yang mempengaruhi warna madu. Faktor yang pertama ialah warna manisan (nektar) dan kandungan debunga yang telah bercampur dengan nektar yang dipungut. Faktor kedua pula ialah tempoh penyimpanan madu, iaitu makin lama ia disimpan, makin gelap warnanya disebabkan oleh tindakan bahan enzim semulajadi yang terdapat di dalam madu tersebut.

Madu dari sudut saintifiknya mengandungi glukosa dan fruktosa serta sejumlah mineral seperti magnesium, kalium, potasium, sodium, klorin, sulfur, besi dan fosfat. Madu juga mengandungi vitamin B1, B2, C, B6 dan B3 yang komposisinya berubah-ubah sesuai dengan kualiti madu.  Antara penemuan saintifik tentang khasiat madu adalah ia kaya dengan bahan anti-oksidan yang boleh mencegah penyakit kanser, dan ia juga sebagai sumber tenaga  yang meningkatkan kekuatan otot dan stamina badan. Selain itu madu juga bertindak membunuh kuman daripada jenis bakteria, fungus dan protozoa, dapat  menyembuh ulser dan luka dengan lebih cepat dan berkesan, serta  mampu menjadi antibiotik yang lebih berkesan .

Madu lebah menjadi penawar dan ubat kepada pelbagai jenis penyakit. Di dalam kitab al-Tibb al-Nabawi ada dinyatakan bahawa madu sesuai digunakan untuk merawat penyakit-penyakit yang bersifat sejuk kerana sifatnya yang panas.  Rasulullah SAW juga menganjurkan agar seseorang itu berubat dengan madu dan al-Qur'an, Baginda bersabda yang bermaksud: "Ambillah / pergunakanlah olehmu sekalian akan dua ubat penyembuh iaitu madu dan al-Qur'an."  (Hadis riwayat Ibnu Majah) .

Terdapat satu peristiwa yang berlaku pada zaman Rasulullah s.a.w. yang berkaitan dengan penggunaan madu dalam bidang perubatan seperti yang terdapat di dalam hadis sahih Bukhari yang bermaksud: ‘Seorang lelaki telah datang kepada Rasulullah s.a.w, lalu dia berkata: “Saudaraku mengadu sakit perut.” Sabda Rasulullah s.a.w: “Berikan madu kepadanya.” Kemudian lelaki itu datang kembali menemui Rasulullah s.a.w. lalu baginda bersabda: “Berikan madu kepadanya.” Lelaki itu datang lagi buat kali ketiga, Rasulullah s.a.w tetap bersabda: “Berikan madu kepadanya.” Dia datang menemui Rasulullah buat kali keempat lalu berkata: “Telah aku lakukan apa yang engkau perintahkan ya Rasulullah (namun sakitnya bertambah juga).” Rasulullah s.a.w. berkata: “Allah itu benar, perut saudaramu itulah yang dusta, minumkan madu kepadanya”. Lalu diminumkannya madu, maka sembuhlah saudaranya.’

1 comment: