Followers

Tuesday, June 10, 2008

Melayu Suka Ke Belakang?


Oleh:Mohd Sukki Othman (Ustaz Shauqi)

(Artikel ini telah disiarkan di majalah Milenia Muslim keluaran Jun 2008)

Seringkali didapati orang Melayu Islam apabila berkunjung ke masjid atau ke surau akan mengambil tempat di saf belakang. Apabila terdapat ruang kosong di saf hadapan umpamanya, masing-masing bertolak-tolak untuk memberikan ruang kepada rakan yang lain untuk ke hadapan. Sekali imbas, seolahnya ini merupakan suatu perbuatan yang baik kerana mengutamakan orang lain tanpa mementingkan diri sendiri. Namun apabila difikirkan dengan teliti, ia menggambarkan mentaliti kita yang tidak berwawasan tinggi ke hadapan. Apatah lagi merebut saf hadapan merupakan satu keutamaan bagi setiap individu muslim.

Dalam sebuah hadis, daripada Abu Hurairah r.a, bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Seandainya orang tahu (pahala) yang terdapat di dalam seruan (azan) dan barisan (saf) pertama kemudian mereka tidak mendapatkan cara untuk mencapainya kecuali dengan cara melakukan undian, pasti mereka akan mengadakannya.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim). Dalam hadis yang lain, diriwayatkan daripada Jabir bin Samirah ia berkata, “Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Tidakkah kalian ingin berbaris, sebagaimana para malaikat berbaris di hadapan Rabb mereka.” Maka kami bertanya, “Bagaimanakah para malaikat berbaris di hadapan Rabb?’ Baginda menjawab, “Mereka menyempurnakan barisan yang depan dan saling merapat di dalam saf.” (Hadis Riwayat Muslim)

Bukan sekadar dalam saf solat sahaja didapati ’orang kita’ tidak mahu ke hadapan, bahkan kalau dilihat dalam apa-apa majlis atau program yang diadakan sekalipun iaitu sama ada majlis ilmu, seminar, forum dan sebagainya, pasti kedapatan mereka yang akan memilih tempat di belakang terlebih dahulu walaupun tempat di hadapan masih kosong. Mengapakah situasi ini berlaku? Apakah budaya dalam masyarakat kita mengajar atau mendidik kita untuk menjadi sebegitu?

Memang masyarakat Melayu terkenal sebagai sebuah masyarakat yang bersopan-santun dan berbudi pekerti mulia sesuai dengan ajaran Islam yang suci murni. Oleh yang demikian, apakah dianggap budi pekerti yang baik apabila memilih tempat di belakang dengan tidak mahu ke hadapan? Sedangkan kita dituntut untuk berlumba-lumba melaksanakan kebaikan dan sentiasa berwawasan tinggi untuk maju ke hadapan sesuai dengan ajaran Islam. Berlumba-lumba untuk ke hadapan tidak bermakna saling bercakaran sesama sendiri tetapi ia memberi penekanan kepada saling bantu-membantu untuk terus maju ke hadapan.

Sikap untuk ke belakang tanpa berusaha untuk ke hadapan seolahnya menunjukkan betapa kita tidak mahu bersegera atau berlumba-lumba untuk melakukan kebaikan dan kebajikan. Sedangkan, tuntutan untuk bersegera melakukan kebaikan dan kebajikan itu merupakan suatu perkara yang amat ditekankan di dalam ajaran Islam. Setiap individu Muslim berkewajipan untuk berusaha dan berlumba-lumba melakukan kebajikan dan amalan soleh. Dalam surah al-Ma’idah ayat 48, Allah berfirman yang bermaksud ‘… maka berlumba-lumbalah membuat kebajikan…’. Menurut Syeikh Muhammad ‘Ali al-Sobuni dalam Safwat al-Tafasir, ia bermaksud hendaklah bersegera melakukan sesuatu yang membawa kebaikan iaitu mentaati Allah dan melaksanakan segala peraturanNya.

Dalam ayat 133 surah Ali ‘Imran pula Allah menyatakan yang maksudnya: ‘Dan bersegeralah kamu kepada ampunan dari Tuhanmu dan kepada syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang yang bertakwa’. Menurut Syeikh Wahbah al-Zuhaily dalam Tafsir Munir (1991: 2/86) , dalam ayat ini Allah menyuruh agar bersegera melakukan amalan ketaatan seperti sedekah, silaturrahim, bekerjasama, tolong-menolong dan menjauhi perkara-perkara dosa seperti riba dan seumpamanya. Amalan-amalan kebajikan yang dilakukan ini dapat mewujudkan masyarakat Islam yang saling rahmat merahmati dan hidup dalam keadaan tenang dan bahagia serta jauh daripada sifat hasad dengki, membenci-membenci dan sebagainya. Allah juga memberikan berita gembira kepada mereka dengan balasan syurga.

Justeru, janganlah kita bertangguh-tangguh lagi untuk melakukan kebaikan dan kebajikan walaupun sesuatu kebaikan itu sesuatu yang kecil dan dianggap remeh seumpama berada dalam saf pertama dalam solat... kerana walaupun ia perkara kecil, tetapi mendapat pahala yang besar di sisi Allah. Marilah sama-sama kita membudayakan dan menghidupkan suasana ’ke hadapan’ dengan berlumba-lumba untuk mendapat kebaikan demi kecemerlangan dunia dan akhirat!.

No comments:

Post a Comment