Followers

Friday, June 20, 2008

Sofiyyah Binti Abdul Muttalib


Oleh: Mohd Sukki Othman (Ustaz Shauqi)

Beliau merupakan seorang wanita yang berkeperibadian hebat. Sejarah telah merakamkan keunggulannya agar beliau dapat menjadi suri teladan kepada umat sepanjang zaman sebagai seorang wanita muslimah yang wajar dicontohi. Beliau merupakan contoh yang ‘hidup’ sebagai seorang muslimah yang berani, sabar, bertanggungjawab dan berjuang mempertahankan agama Allah. Beliau yang dimaksudkan ialah srikandi wanita sejati iaitu Sofiyyah Binti Abdul Muttalib.

Bapa Sofiyyah ialah Abdul Muttalib Bin Hashim iaitu datuk kepada Rasulullah s.a.w., Jadi, Sofiyyah merupakan emak saudara nabi Muhammad s.a.w. Pada zaman Jahiliyyah, Sofiyyah berkahwin dengan al-Harith Bin Harb Bin Umayyah. Selepas itu, beliau berkahwin dengan al-'Awwam Bin Khuwailid Bin Asad Bin Abdul Uzza. Anak Sofiyyah yang paling masyhur ialah Zubayr Bin 'Awwam yang merupakan salah seorang sahabat Rasulullah yang dijanjikan syurga.

Sofiyyah memeluk Islam bersama suaminya al-Awwam dan anak-anaknya. Beliau telah beriman pada peringkat awal dakwah Rasulullah. Peristiwa bukit Sofa adalah sebuah titik tolak untuk membuktikan komitmennya kepada Islam. Beliau merupakan salah seorang muslimah yang menyokong seruan Rasulullah ketika baginda menyeru kaum kerabatnya di bukit Sofa untuk memeluk Islam.

Sofiyyah juga merupakan salah seorang wanita yang amat gigih menyokong perjuangan Rasulullah. Beliau juga amat gigih berdakwah kepada keluarga dan kaum kerabat yang terdekat. Ketika turunnya perintah untuk berhijrah ke Madinah, Sofiyyah pun tidak melepaskan peluang hijrah ini, lantas beliau berhijrah ke Madinah bersama-sama anaknya Zubayr Bin Awwam dalam keadaan keimanan yang tinggi kepada Allah dan RasulNya.

Peristiwa Di Uhud

Dalam peperangan Uhud, umat Islam berhadapan dengan tentera-tentera musyrikin Makkah yang mencecah 10,000 orang, sedangkan tentera Islam berjumlah hampir tiga ribu orang sahaja. Sofiyyah tidak ketinggalan untuk turut serta membantu tentera-tentera Islam dalam peperangan ini. Beliau bersama-sama wanita Islam yang lain bertugas memberi minuman kepada para tentera serta merawat tentera yang cedera.

Suatu ketika, apabila Sofiyyah melihat adanya senjata-senjata yang ditinggalkan seperti lembing, beliau mengambil kesempatan untuk menggunakannya melawan musuh. Dalam satu riwayat menyatakan bahawa Sofiyyah telah berjaya membunuh beberapa orang lelaki dari pihak musyrikin. Begitulah keberanian Sofiyyah yang tidak takut kepada kematian, sebaliknya berusaha untuk mempertahankan agama Allah.

Ketika tentera Islam berada dalam keadaan kucar-kacir dan lari meninggalkan medan pertempuran, Sofiyyah sambil memegang lembing berkata dan berteriak dengan penuh semangat: 'Apakah kamu semua akan meninggalkan Rasulullah ?' Apabila mendengan teriakan itu, semangat juang kaum muslimin kembali bergelora. Mereka lantas berlawan dengan musuh dan akhirnya berhasil menyelamatkan Rasulullah.

Dalam peperangan Uhud ini, ramai tentera Islam gugur syahid iaitu berjumlah seramai tujuh puluh orang. Antara yang syahid ialah Sayyidina Hamzah Bin Abdul Muttalib iaitu saudara lelaki Sofiyyah seibu sebapa. Mayat Sayyidina Hamzah yang syahid itu telah dirobek-robek dengan amat teruk tanpa belas kasihan. Apabila Sofiyyah mengetahui perkara ini, beliau pun ingin melihat jasad saudaranya itu. Pada mulanya Rasulullah s.aw. ingin menghalang Sofiyyah daripada melihat tubuh badan Sayyidina Hamzah, bimbangkan dia akan berasa gerun apabila melihatnya nanti.

Namun, apabila melihatkan kesabaran yang begitu jelas terpancar dari dalam diri Sofiyyah, beliau pun dibenarkan untuk melihat jenazah saudaranya itu. Tatkala melihat jasad Hamzah, Sofiyyah segera beristighfar dan ber'istirja', seraya berkata: (Inna Lillahi wa inna ilaihi raji'un) (sesungguhnya kita adalah milik Allah dan sesungguhnya kita akan kembali kepada-Nya). Lalu Sofiyyah pun berdoa untuk jenazah Sayyidina Hamzah.

Peristiwa di Khandak

Ketika Rasulullah s.a.w keluar ke Khandak bersama tentera Islam, Baginda telah menempatkan para wanita di sebuah kubu yang dibina daripada batu. Rasulullah menugaskan Hassan Bin Thabit untuk menjaga keselamatan mereka daripada musuh. Ini kerana pada ketika itu, Yahudi Bani Qainuqa' melakukan pengkhianatan terhadap Islam.

Pasukan musuh mengelilingi kubu dari segala penjuru. Pada suatu hari, seorang 'perisik' Yahudi telah datang ke kubu tersebut untuk mengintai sama ada terdapat dalam kubu itu orang lelaki atau wanita sahaja. Ini kerana, sekiranya ditinggalkan wanita sahaja dalam kubu tersebut tanpa sebarang pengawasan, Yahudi itu akan menyerang, membunuh dan menawan mereka dengan begitu mudah.

Sofiyyah menyedari tentang kedatangan perisik Yahudi tersebut. Lantas, beliau cuba mencari jalan untuk menentang Yahudi itu. Ini kerana, sekiranya maklumat berguna didapati oleh Yahudi , nescaya dia akan mengajak rakan-rakannya ke situ untuk menyerang mereka. Lalu, dengan keberanian yang ada pada diri Sofiyyah, beliau telah mencari sesuatu untuk dijadikan senjata, dan terjumpalah dengan sebatang kayu.

Dengan perlahan-lahan, Sofiyyah dengan membawa sebatang kayu berjalan menuju kepada Yahudi tersebut yang sedang melekapkan telinganya di dinding kubu. Kemudian, Sofiyyah pun membuka pintu kubu dengan perlahan-lahan agar tidak disedari oleh pengintip Yahudi itu. Setelah membuka pintu, Sofiyyah dengan beraninya terus meluru ke arah Yahudi tersebut dan memukul kepalanya dengan kayu, menyebabkan Yahudi itu jatuh. Kemudian, dengan bantuan beberapa wanita yang lain, mereka terus memukul Yahudi tersebut sehingga dia menemui ajal. Kejadian ini menyebabkan orang Yahudi yang lain terus menjauhkan diri mereka daripada kubu tersebut serta membatalkan rancangan untuk menyerang dan menawan kubu itu.

Sofiyyah di Khaibar

Sofiyyah sentiasa ingin turut serta dalam peperangan menentang musuh Islam. Walaupun beliau tidak membawa senjata untuk berperang, tetapi beliau berpuas hati apabila dapat membawa air untuk minuman para pejuang, merawat luka dan kecederaan mereka, serta memberi perangsang dan semangat untuk menentang musuh.

Di Khaibar, Sofiyyah juga terlibat dalam memberi semangat kepada anaknya Zubayr untuk menentang musuh. Kehebatan Sofiyyah bukan sahaja terserlah dalam mempertahankan Islam, bahkan beliau juga amat mengambil berat dan bertanggungjawab dalam soal mendidik anak-anak ke arah mempunyai sifat juang yang tinggi demi mencapai kebahagiaan di dunia dan di akhirat.

Selepas kewafatan Rasulullah s.aw., Sofiyyah meneruskan perjuangan menegakkan yang makruf dan mencegah yang mungkar. Pendirian beliau dalam mempertahankan Islam tidak pernah berubah sehinggalah beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir.

Di samping keberanian Sofiyyah, beliau juga mempunyai hati yang mudah tersentuh. Beliau banyak menghasilkan puisi. Antara puisi yang dihasilkan olehnya ialah puisi yang menangisi pemergian ayahnya Abdul Muttalib, saudaranya Hamzah dan Rasulullah s.a.w. Di samping puisi sedih, beliau juga menghasilkan puisi yang berbentuk semangat dan kata-kata perangsang.

Sofiyyah meninggal dunia pada zaman pemerintahan Saidina Umar al-Khattab, ketika berusia 73 tahun. Jenazahnya disemadikan di perkuburan Baqi', Madinah.


Rujukan:

1. Ibn Hajar al-'Asqalani. (t.th) al-Isobah fi Tamyiz al-Sahabah , Dar Ihya' al-Turath al-'Arabiy, Beirut.
2. 'Iffat Wisal Hamzah (1994), Nisa' Ra'idat, Dar Ibn Hazm, Lubnan.
3. Sirah Ibnu Hisham (1955), Beirut, Lubnan.

No comments:

Post a Comment