Followers

Monday, June 16, 2008

Peranan Bapa Terhadap Anak


Oleh: Mohd Sukki Bin Othman (Ustaz Shauqi)


Dalam Islam, institusi keluarga merupakan suatu perkara yang amat diambil berat dan diutamakan. Sekiranya ditinjau ajaran Islam, kita dapati Islam telah meletakkan garis panduan yang begitu lengkap dalam menyusun sistem kekeluargaan yang mantap dan harmoni, sekaligus menjadikannya batu asas yang kukuh kepada pembentukan sebuah masyarakat yang teguh lagi utuh. Ini kerana, kebahagiaan yang wujud dalam keluarga akan memberikan kesan yang positif terhadap pembentukan masyarakat dan negara. Akan tetapi, sekiranya institusi keluarga menghadapi masalah dan berada dalam kepincangan, ia akan membawa akibat negatif dalam masyarakat seterusnya menafikan keharmonian hidup. Islam amat prihatin dalam mempastikan kerukunan rumahtangga dan keluarga. Justeru, setiap individu dalam keluarga sama ada ibu, bapa mahupun anak mempunyai tanggungjawab masing-masing yang perlu ditunaikan demi mewujudkan keharmonian dan keutuhan dalam keluarga.

Kadang-kala terdapat tanggapan di dalam masyarakat bahawa tugas mendidik anak bukanlah tugas bapa, sebaliknya ia adalah tugas ibu. Ini menyebabkan golongan bapa 'lepas tangan' dan membiarkan sepenuhnya urusan mendidik ini kepada si ibu. Ini ialah satu tanggapan yang salah dan tidak selari dengan syariat Islam. Bapa sebagai ketua dalam rumahtangga merupakan tonggak kepada institusi keluarga. Oleh itu, bapa juga berperanan sebagai pendidik terhadap anak dan sewajarnya menjalankan tanggungjawab dengan penuh dedikasi dalam mengemudi bahtera rumahtangga demi memastikan anak-anaknya mencapai kecemerlangan di dunia dan di akhirat. Rasulullah sepatutnya dijadikan contoh oleh para bapa masa kini untuk mendidik anak-anak ke jalan yang diredhai Allah. Sebagai seorang bapa, Rasulullah telah berjaya memimpin keluarga ke arah yang dikehendaki oleh Allah. Walaupun puteri Rasulullah mempunyai iman yang kental, namun Rasulullah tetap berpesan kepada puterinya itu: “Wahai Fatimah, bebaskanlah dirimu daripada api neraka”. Bapa pada hari ini sewajarnya mencontohi Rasulullah saw dengan berusaha mendidik anak-anak menjadi anak yang soleh. Apatah lagi Allah swt telah memperingatkan perkara ini di dalam Surah al-Tahrim, ayat 6 melalui firmanNya yang bermaksudnya : “Wahai orang yang beriman! Selamatkan diri kamu dan anggota keluarga kamu daripada api neraka”.

Perlu dijelaskan bahawa fungsi mendidik anak sememangnya terletak pada bahu seorang bapa, manakala ibu sebagai pendokong dan penyokong utamanya. Ini dinyatakan dalam firman Allah dalam Surah Luqman ayat 13 yang bermaksud: "Dan ketika Luqman berkata kepada anaknya, pada waktu dia memberi pengajaran kepada anaknya: Hai anakku, janganlah kamu menyekutukan Allah, sesungguhnya menyekutukan Allah adalah benar-benar kezaliman besar." Di sini, Luqman sebagai seorang bapa, mula mendidik anaknya dengan memperkenalkannya kepada Allah, Pencipta dan Pemilik alam ini. Seterusnya Luqman (mewakili kaum bapa) mengajarkan anaknya tentang bahaya syirik dan menasihatkan anaknya mengenai beberapa tata cara akhlak mulia. Begitulah betapa besarnya tanggungjawab bapa dan ini menunjukkan bapa memang tidak boleh lepas tangan dalam pembinaan syakhsiah anak.

Punca utama bapa yang mengabaikan tanggungjawabnya ialah kerana tiadanya matlamat yang jelas dalam hidup berkeluarga. Sekiranya perkahwinan didasarkan kepada nafsu semata-mata, maka ia akan menjadikan rumah tangga hambar dan tidak berhaluan. Matlamat yang jelas akan menyebabkan seseorang bapa itu membuat perancangan yang teratur untuk masa depan anak-anak dan dapat menjalani kehidupan di dunia dan akhirat dengan lebih cemerlang. Seorang bapa yang diamanahkan oleh Allah dengan isteri dan anak-anak, mempunyai tanggungjawab yang amat penting di dalam menjamin kesinambungan wujudnya generasi yang bertanggungjawab dan berguna kepada diri sendiri, masyarakat dan negara. Sikap prihatin seorang bapa amat penting di dalam menentukan hala tuju hidup seorang anak kerana bapalah orang yang paling berkuasa terhadap ahli keluarga di bawah jagaannya. Justeru, seorang bapa mestilah menentukan matlamat yang jelas sejak daripada awal perkahwinan lagi agar dia dapat mengemudi bahtera rumahtangga di atas jalan yang betul dan lurus.

Apabila seseorang bapa menimang cahayamata, dia hendaklah berusaha mendidik anaknya sejak kecil lagi dengan didikan yang baik dan sempurna. Apatah lagi, pepatah Melayu sendiri ada menyatakan : « melentur buluh biarlah daripada rebungnya ». Seorang bapa perlu prihatin dengan sunnah nabi apabila menyambut kelahiran anaknya, dengan mengazankan di telinga kanan dan mengiqamatkan di telinga kiri anaknya. Amat malang sekali apabila si bapa tidak berada di sisi si ibu ketika anaknya dilahirkan, dan seterusnya kalimah-kalimah suci tidak diperdengarkan di telinga anaknya itu. Seterusnya, bapa bertanggungjawab untuk memberikan nama yang baik kepada anaknya sebagaimana hadis yang telah diriwayatkan oleh al-Hakim dan al-Dailami, Rasulullah saw bersabda maksudnya: “Hak anak ke atas ayahnya ialah memberinya nama yang baik, mengajarnya menulis, mengahwinkannya apabila sudah cukup umur dan mengajarnya al- Quran”. Apabila anak tersebut mencecah umur seminggu, rambutnya hendaklah dicukur, ditahnikkannya (diberi manisan/belah mulut) dan sunat diaqiqahkan bagi mereka yang berkemampuan untuk melahirkan kesyukuran kepada Allah terhadap rezeki yang dikurniakan oleh Allah.

Seterusnya, seseorang bapa amat perlu berganding bahu dengan ibu berpadu tenaga untuk mendidik anak berasaskan akidah Islam yang mantap. Keutuhan akidah akan melahirkan anak yang soleh dan seterusnya menjamin kemuliaan akhlak remaja Islam. Dalam hal ini, Dr Abdullah Nasih Ulwan dalam bukunya Tarbiyyatul Aulad Fil Islam (Pendidikan Anak-anak Di dalam Islam) mengenengahkan beberapa tanggungjawab yang perlu dilaksanakan oleh ibubapa terhadap anak-anak mereka, Antaranya ialah:

1. Tanggungjawab pendidikan keimanan
2. Tanggungjawab pendidikan akhlak.
3. Tanggungjawab pendidikan jasmani.
4. Tanggungjawab pendidikan mental.
5. Tanggungjawab pendidikan rohani.

Perkara pertama dan utama dalam mendidik anak-anak ialah menyemaikan asas-asas keimanan dalam jiwa mereka. Mereka perlu diajar untuk meyakini perkara-perkara ghaib yang telah diterangkan di dalam al-Quran dan hadis seperti beriman kepada Allah, Malaikat, para rasul, alam barzakh, syurga, neraka dan sebagainya. Dalam kitab Ihya’ ‘Ulumiddin karangan Hujjatul Islam al-Imam al-Ghazali, diceritakan kepada kita bagaimana salafussoleh mendidik anak-anak mereka. Antaranya ialah kisah berikut: “Sahal bin Abdullah menceritakan bahawa: "Ketika aku berumur tiga tahun, aku sudah mulai bangun malam dan memerhatikan bapa saudaraku solat. Tiba-tiba pada suatu hari dia bertanya kepada aku, adakah engkau mengingati Allah yang menjadikan engkau? Lalu aku bertanya, bagaimana cara mengingati-Nya?, kemudian beliau berkata kepada ku, sebutkan dalam hatimu tiga kali ketika hendak tidur tanpa menggerakkan lidah mu (Allah bersamaku, Allah melihatku dan Allah menyaksikanku). Setelah beberapa kali aku melakukan, lalu disuruhkan pula aku menyebutnya tujuh kali pada setiap malam. Selepas itu disuruhnya pula sebelas kali sehingga aku merasakan kemanisan bacaan itu dalam hatiku. Setelah berlalu masa setahun, maka dia berkata kepadaku, "Wahai Sahal! jagalah baik-baik apa yang aku ajarkan engkau itu dan bacalah ia hingga engkau masuk ke dalam kubur." Katanya lagi, "Wahai Sahal! Siapa yang mengetahui dan menyedari yang Allah sentiasa bersamanya, menyaksikannya, apakah boleh dia berbuat maksiat lagi? Jauhkanlah dirimu daripada perbuatan maksiat." Melalui proses latihan yang disebutkan di atas serta pendidikan keimanan yang murni muncullah Sahal menjadi seorang ulama' yang terkenal.
Bapa juga perlu memberi perhatian kepada ibadat-ibadat fardhu yang perlu dilaksanakan seumpama solat, puasa dan sebagainya. Sebagai contohnya, nabi Muhammad saw telah bersabda, maksudnya : « Perintahkan anak-anakmu mengerjakan solat ketika dia berumur 7 tahun dan pukullah dia bilamana tidak mahu mengerjakan solat semasa berusia 10 tahun … ». Nabi Muhammad saw menyuruh kita memukul anak berumur 10 tahun yang tidak mahu mengerjakan solat. Tetapi adakah kita menjalankan hukuman tersebut kepada anak yang tidak mahu bersolat? Kita mungkin pukul kalau anak tidak buat kerja sekolah atau tidak lulus periksa. Jarang kedengaran bapa memukul anak kerana tidak mendirikan solat. Macam mana nak pukul anak yang tidak menunaikan solat sedangkan terdapat ibubapa sendiri yang tidak bersolat.
Seterusnya, bapa perlu memberikan perhatian kepada pendidikan akhlak anak. Akhlak mulia anak perlu dibentuk sejak mereka kecil seperti amanah, bercakap benar, menghormati orang tua, berbuat baik kepada jiran dan sebagainya. Nabi sendiri pernah menegaskan bahawa baginda diutuskan untuk menyempurnakan kemuliaan akhlak, ini sekaligus menunjukkan betapa pendidikan akhlak terhadap anak-anak itu sangat penting. Bekas pemimpin India yang masyhur iaitu Gandhi juga telah mengakui hakikat ini dengan kata-kata beliau: “Agama dan akhlak merupakan perkara yang satu, tidak boleh dipisahkan di antara kedua-duanya”. Bagi memastikan anak mempunyai akhlak yang mulia, seorang bapa mestilah mengawasi segala tingkah laku anaknya. Jangan biarkan anaknya membeli bahan-bahan bacaan yang melalaikan seperti majalah hiburan. Begitu juga jangan membiarkan anak berpeleseran dan bercampur gaul dengan rakan-rakan yang rosak akhlak. Di samping itu, pastikan anak-anak diajar untuk menutup aurat sejak mereka kecil dan jangan biarkan mereka mengamalkan pergaulan bebas yang boleh merosakkan diri mereka sendiri.
Tanggungjawab pendidikan jasmani pula ialah bukan sekadar membiasakan anak dengan sukan dan aktiviti-aktiviti yang menyihatkan badan, tetapi bapa juga perlu mengambil berat tentang soal pemakanan yang membentuk jasmani anak Bukan diperhatikan tentang khasiat vitamin makanan itu saja tetapi pastikan kehalalannya. Adakah ia dari sumber yang halal atau haram. Ini penting kerana mengikut Nabi 'daging yang tumbuh dari sumber yang haram, maka neraka lebih utama untuknya'.
Tanggungjawab pendidikan mental pula ialah menyediakan kepada anak ilmu-ilmu manfaat yang perlu dipelajari oleh mereka bagi melahirkan akal dan mental yang sihat. Justeru, pembelajaran fardhu ‘ain perlu diutamakan di samping fardhu kifayah. Akan tetapi, amat malang sekali pada hari ini apabila kita dapati ada bapa yang sanggup menghabiskan wang ringgit untuk anaknya mendalami ilmu fardhu kifayah dengan menghantar anaknya ke kelas tuisyen pada setiap hari, tetapi dalam masa yang sama dia tidak mengambil berat soal fardhu ‘ain anak sehingga ada yang sudah besar panjang tetapi masih tidak tahu membaca Fatihah dengan betul.
Tanggungjawab pendidikan rohani juga tidak kurang pentingnya bagi membentuk sikap dan peribadi anak. Oleh itu, bapa seharusnya melatih anak untuk berqiamullail, berpuasa sunat serta menanamkan dalam jiwa mereka sifat-sifat mahmudah (yang terpuji) dan menjauhkan mereka daripada sebarang sifat yang mazmumah (yang tercela).
Justeru, Walau bagaimana sibuk pun seorang bapa bekerja mencari rezeki, dia berkewajipan untuk meluangkan masa untuk mendidik anak-anak. Mengenai keperluan anak-anak, terdapat sesetengah daripada bapa yang menyangka bahawa kewajipan mereka hanyalah menyediakan keperluan fizikal atau material sahaja seperti makan-minum, tempat tinggal, pakaian dan sebagainya. Selain dari itu tiada lagi tanggungjawab yang perlu ditunaikan. Ini adalah satu pandangan yang silap dan berbahaya. Akibatnya mereka membiarkan anak-anak mengatur langkah mereka sendiri dalam menentukan hala tuju kehidupan mereka tanpa bimbingan dan pemerhatian. Natijahnya, anak-anak mereka mungkin berjaya dari sudut pelajaran kerana mereka disediakan kemudahan ke arah itu, akan tetapi dalam masa yang sama, anak-anak mereka terdiri daripada remaja yang rosak akhlaknya.
Oleh itu, setiap bapa wajar merenung hadis Rasulullah saw ini sedalam-dalamnya iaitu sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: “Setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah (suci bersih), maka ibubapalah yang mencorakkannya menjadi Yahudi, Nasrani atau Majusi”. Hadis ini menjelaskan kepada kita bahawa perlakuan anak-anak atau corak kehidupan mereka pada masa hadapan adalah bergantung kepada sikap dan tahap keprihatinan ibu bapa terhadap mereka.

No comments:

Post a Comment