Followers

Thursday, August 14, 2008

Sejarah Ringkas Perlaksanaan Undang-Undang Jenayah Islam

Oleh: Mohd Sukki Othman (Ust Shauqi)

Zaman Rasulullah merupakan zaman pertumbuhan dan zaman perletakan asas perundangan Islam. Perlaksanaan undang-undang pada zaman Rasulullah adalah hasil daripada wahyu dan perintah Allah secara langsung yang diturunkan kepada nabi melalui perantaraan Jibril as. Oleh yang demikian, zaman Rasulullah telah menghasilkan asas-asas perundangan yang lengkap.

Perlaksanaan undang-undang jenayah Islam pada zaman Rasulullah telah dikuatkuasa dan dilakukan oleh Rasulullah saw sendiri. Apabila sesuatu perlakuan jenayah berlaku, Rasulullah akan menunggu wahyu Allah sebelum dijatuhkan hukuman kepada penjenayah tersebut. Sekiranya wahyu tidak turun, Rasulullah akan berijtihad sendiri.

Sebagai contohnya, Anas Bin Malik telah meriwayatkan bahawa apabila bapa saudaranya menampar seorang hamba sahaya sehingga tercabut giginya, Rasulullah memerintahkan agar dilaksanakan hukuman qisas terhadap bapa saudaranya itu. Rasulullah juga dengan tegas menyatakan bahawa itulah sebenarnya hukuman daripada Allah ( Rujuk Abu Zuhrah, al-Jarimah wa al-‘Uqubah, jilid 1, ms 109).

Zaman Para Sahabat Rasulullah

Zaman ini bermula apabila wafatnya Rasulullah hinggalah berakhirnya abad pertama hijrah. Penguatkuasaan undang-undang Islam telah dilaksanakan dengan baik kerana para sahabat telah mengambil contoh teladan daripada Rasulullah dalam melaksanakan undang-undang jenayah Islam ini.

Sebagai contohnya, Saidina Abu Bakar al-Siddiq yang menjadi khalifah pertama dalam silsilah Khulafa’ al-Rasyiudin telah memerangi golongan yang enggan membayar zakat kerana keengganan mereka untuk membayar zakat bererti mereka menolak salah satu daripada komponen rukun Islam.

Zaman Tabi’en dan Imam-Imam Mujtahid

Zaman ini bermula pada awal abad kedua hijrah hinggalah kurun keempat hijrah. Pada zaman ini, kegiatan penulisan buku berjalan dengan aktif sekali. Pada zaman ini jugalah, dibukukan hadis-hadis, fatwa-fatwa, tafsir-tafsir al-Quran, fiqh, usul fiqh dan sebagainya. Zaman ini telah dianggap sebagai zaman keemasan dan kemajuan perundangan Islam. Antara faktor-faktor perkembangannya adalah seperti berikut:-

(a)- Kerajaan Islam bertambah luas.

(b)- Ahli perundangan dan fatwa menikmati kemudahan yang luas dalam kegiatan perundangan ekoran banyaknya sumber-sumber yang tersedia.

(c)- Lahirnya tokoh-tokoh perundangan Islam yang hebat seperti Imam Abu Hanifah, Imam Malik, Imam Syafi’e, Imam Ahmad bin Hanbal dan lain-lain lagi .

Pada zaman ini, perlaksanaan undang-undang jenayah Islam telah berkembang dengan pesat selari dengan perkembangan mazhab yang empat iaitu mazhab Hanafi, Maliki, Syafi’ei dan Hanbali.

Malaysia Sebelum Merdeka

Sebelum kedatangan penjajah barat, undang-undang jenayah Islam telah pun dilaksanakan di Malaysia serta telah menjadi undang-undang dasar negara. Kenyataan ini berlandaskan kepada kewujudan Hukum Kanun Melaka, Undang-Undang Pahang, dan Undang-Undang Kedah (Lihat Mohd Azam Hamzah, 1986, Falsafah dan Prinsip Perundangan Islam, Kuala Lumpur, ms 177, dan M.B. Hooker, Undang-Undang Islam di Asia Tenggara (terj.), ms 10).

Hukum Kanun Melaka telah dilaksanakan sejak zaman kesultanan Melaka lagi, dan ia berdasarkan mazhab Syafie (Sila Rujuk Liew Yoke Fang, Undang-Undang Melaka, 1979, The Haque, dan Dr Mahmud Saedon, Perlaksanaan Undang-Undang Islam di Malaysia: Kenyataan dan Permasalahannya, YADIM, ms 62). Undang-undang Kanun Melaka mempunyai pengaruh yang besar dan berkesan di negeri-negeri Melayu di bawah pemerintahan empayarnya dan di negeri-negeri yang berjiran seperti Johor, Kedah, Pahang, Perak dan Brunei. Negeri-negeri tersebut telah menjadikan Undang-undang Kanun Melaka sebagai asas kepada undang-undang negeri mereka (Sila rujuk Mahmud Saedon, 1988, Ke arah Islamisasi Undang-Undang Islam di Malaysia, YDIM: Kuala Lumpur, ms 33). Umumnya, undang-undang jenayah Islam telah dilaksanakan dengan meluas di Tanah Melayu sebelum kedatangan penjajah.

Apabila Inggeris datang dan menjajah Tanah Melayu, mereka telah melakukan perubahan yang ketara dalam perundangan. Peruntukan Piagam Keadilan I (1807), Piagam II (1826), penguatkuasaan undang-undang sivil (1837), dan undang-undang Tanah Melayu yang baru pada tahun 1956 telah memberi kuasa yang banyak dan luas kepada British untuk mengubah dan menghapuskan undang-undang tempatan dan menggantikannya dengan undang-undang British (Lihat Ahmad Ibrahim, Sistem Perundangan di Malaysia, Kuala Lumpur, ms 71-72).

Situasi yang telah dilaksanakan oleh British telah memberi kesan yang besar terhadap perundangan Islam terutamanya undang-undang jenayah Islam. Justeru, undang-undang Inggeris telah menyelinap masuk sedikit demi sedikit, dan seterusnya menggantikan perundangan Islam yang telah dilaksanakan sebelum ini.

No comments:

Post a Comment