Followers

Wednesday, May 20, 2009

Nilai Keutamaan Dalam Masyarakat


Tidak berapa lama lagi, kita akan melangkah ke Bulan Rejab.... dan sebagaimana biasa kita akan merayakan peristiwa Isra' Mikraj dengan meriah sebagaimana tahun-tahun yang lepas. Masyarakat kita amat sinonim dengan sambutan sempena hari-hari kebesaran tertentu.

Baru-baru ini, ketika sambutan maulidur rasul yang diadakan secara besar-besaran di seluruh Malaysia, terlintas di benak fikiran tentang ‘nilai keutamaan’ di sebalik sambutan ulang tahun keputeraan nabi Muhammad saw itu. Apa tidaknya… lebih seratus ribu orang membuat perarakan di Dataran Merdeka dan bersolawat kepada nabi saw dengan penuh bersemangat… namun, apakah penghayatan terhadap sambutan tersebut telah dijelmakan melalui pelaksanaan sunnah nabi saw dalam kehidupan atau sambutan dan perayaan yang diadakan itu hanyalah sebagai suatu adat tahunan semata-mata?

Sesuatu yang lebih malang lagi apabila kedapatan segelintir mereka yang begitu bersemangat memuji nabi saw dengan ‘solawat’ dan ‘perarakan’ langsung tidak menghiraukan kewajipan untuk menunaikan solat apabila telah masuk waktunya. Manakah yang lebih sunnah…. Menunaikan solat atau bersolawat kepada nabi?. Jawapannya tentu sekali kedua-duanya sunnah iaitu solat dan solawat itu sunnah… namun, manakah di antara kedua-duanya itu yang lebih utama? Justeru, apakah memadai memuji nabi dan berseronok dengan perayaan menyambut ulang tahun kelahiran nabi tanpa menghidupkan sunnah nabi yang ‘wajib’ dalam kehidupan. Kalau begitu, apakah solawat kepada nabi hanya boleh dianggap sebagai ‘retorik‘ semata-mata?!

Bukan menjadi suatu kesalahan untuk menyambut perayaan maulidur rasul, bahkan tradisi ini wajar diteruskan kerana ia membawa manfaat dan kebaikan yang banyak. Sambutan dan perayaan tersebut membawa kita untuk semakin ingat kepada nabi saw dan menghayati perjuangan hidup baginda. Namun, sesuatu yang perlu diberi penekanan ialah sambutan tersebut tidaklah terhenti pada ‘adat’ menyambutnya semata-mata, akan tetapi bagaimanakah penghayatan kepada sambutan itu dapat dijelmakan melalui tindakan dan perbuatan untuk menjadikan nabi saw sebagai sebenar-benar contoh dalam kehidupan seharian. Firman Allah dalam surah al-Ahzab ayat 21 bermaksud: “Sesungguhnya bagi kamu pada diri Rasulullah saw itu contoh tauladan yang terbaik…”.

Sehubungan dengan itu, masyarakat Melayu Islam hendaklah berusaha untuk menilai kembali dari sudut ‘keutamaan’ dalam kehidupan ini. Menjadi suatu kerugian yang amat dahsyat apabila nilai keutamaan diabaikan. Akibatnya seseorang itu bersungguh-sungguh melakukan sesuatu yang kurang penting dengan meninggalkan sesuatu yang lebih penting dan utama. Contoh mudahnya ialah betapa ramai masyarakat kita yang berduyun-duyun untuk ke masjid menunaikan solat sunat hari raya, namun dalam masa yang sama terdapat dalam kalangan mereka yang sewenang-wenangnya meninggalkan kefardhuan solat lima waktu. Manakah yang lebuh utama… solat raya atau solat subuh? Kalau penekanan terhadap penilaian keutamaan difokuskan, sudah tentu mereka yang berjamaah menunaikan solat sunat hari raya tidak akan melepaskan peluang berjamaah menunaikan solat lima waktu kerana keyakinan yang mendalam bahawa solat fardhu lima waktu itulah yang lebih utama.

Akan tetapi, akibat tidak memahami keutamaan, atau sengaja tidak mahu faham, maka banyak perkara yang dilakukan di dalam masyarakat Islam tidak bertepatan dengan ‘keutamaan’ mengikut kehendak syarak. Prof Sheikh Yusuf al-Qaradawi dalam kitabnya ‘fi fiqh al-awlawiyyat’ telah menyatakan betapa sikap umat Islam dalam dunia Islam pada hari ini yang begitu ‘dangkal’ dari sudut memahami dan menunaikan keutamaan dalam masyarakat dan Negara.

Prof Sheikh Yusuf al-Qaradawi telah membawakan contoh betapa akibat tidak memahami keutamaan menyebabkan dunia Islam pada hari ini telah memberikan fokus yang lebih kepada aspek hiburan dan sukan melebihi aspek pendidikan dan pertumbuhan fikiran. Beliau berkata: “Sesiapa yang cuba mengamati gerak kehidupan di sekeliling masyarakat kita, sama ada dalam urusan kerohanian atau pun kebendaan, pemikiran atau pun sosial, ekonomi, politik dan sebagainya, pasti akan mendapati bahawa asas penilaian yang mereka guna untuk melakukan penilaian keutamaan terhadap sikap dan tindakan mereka sudah rapuh, pincang dan tidak seimbang lagi… perkara-perkara yang berkenaan dengan kesenian dan hiburan lebih diutamakan daripada urusan berkaitan dengan ilmu dan pendidikan…”. (sila rujuk fi fiqh al-awlawiyyat oleh al-Qaradawi, halaman 14-15)

Justeru, ganjaran serta sokongan yang begitu hebat dan padu diberikan kepada dunia hiburan dalam pelbagai bentuk sama ada wang ringgit, material dan sebagainya. Pelbagai anugerah pula diadakan dari semasa ke semasa untuk memberikan pengiktirafan kepada mereka yang terlibat dalam industri hiburan. Akan tetapi, dalam masa yang sama, sokongan terhadap para ilmuwan tidak ‘sehebat’ mana sekiranya dibandingkan dengan galakan dan sokongan terhadap insan seni. Orang terkenal yang menjadi pujaan masyarakat bukanlah para alim-ulama dan para ilmuwan, tetapi orang yang menjadi pujaan mereka ialah para artis, bintang filem, ahli sukan dan sebagainya. Manakala akhbar, majalah, televisyen dan radio juga memainkan peranan penting dengan lebih menonjolkan aspek hiburan daripada aspek keilmuan. Sehubungan dengan itu, ruangan khusus dalam akhbar utama negara memfokuskan perbincangan tentang artis dan dunia hiburan dengan begitu mendalam, namun ruangan khusus tidak pula disediakan untuk membincangkan dengan mendalam tentang ilmu dan ulama.

Selagi penilaian ‘keutamaan’ masih rapuh dalam diri individu, masyarakat dan Negara, maka selagi itulah impian untuk mewujudkan masyarakat ‘minda kelas pertama’ sebagaimana yang telah diwar-warkan oleh kerajaan akan hanya tinggal sebagai impian dan angan-angan sahaja. Oleh itu, marilah sama-sama berusaha untuk membuat perubahan ke arah yang lebih ‘utama’ dalam kehidupan.

No comments:

Post a Comment