Followers

Thursday, May 7, 2009

Ummu Waraqah Binti Naufal


Ummu Waraqah Binti Naufal Wanita Ansar Yang Syahid di Rumah
Oleh: Mohd Sukki Othman (Ustaz Shauqi)

Beliau ialah Ummu Waraqah Binti Abdullah Bin al-Harith Bin 'Uwaimir Bin Naufal. Beliau lebih terkenal dengan nama Ummu Waraqah Binti Naufal iaitu dinasabkan kepada moyangnya yang bernama Naufal. Tidak diketahui tahun kelahiran dan kewafatannya secara tepat, namun ahli sejarah telah bersependapat bahawa beliau meninggal dunia pada zaman pemerintahan Khalifah Umar Bin al-Khattab. Justeru, dapat diketahui bahawa beliau hidup pada zaman Rasulullah, zaman pemerintahan Khalifah Abu Bakar, dan zaman pemerintahan Umar al-Khattab. Telah dinyatakan dalam kitab al-Tabaqat al-Kubra bahawa beliau telah syahid pada tahun 22 Hijrah.

Ummu Waraqah merupakan seorang wanita di kalangan Ansar. Beliau merupakan antara wanita Ansar terawal yang beriman dengan risalah yang dibawa oleh Rasulullah saw dan berbai'ah dengan nabi ketika nabi berhijrah ke Madinah. Apabila memeluk Islam, beliau berpegang bersungguh-sungguh dengan agama Islam serta mendalami ilmu agama. Bukan sekadar itu sahaja, bahkan beliau juga merupakan seorang wanita yang banyak menghafaz ayat-ayat al-Quran.

Keunggulan peribadi Ummu Waraqah dapat dilihat apabila Rasulullah SAW sendiri pernah menziarahinya. Ziarah Rasulullah itu adalah sebagai penghormatan kepada Ummu Waraqah yang mempunyai keimanan yang mantap kepada Allah serta memiliki ilmu agama yang tinggi. Ummu Waraqah bukan sahaja mempelajari ilmu secara teori semata-mata, tetapi beliau juga berusaha mempraktikkannya sedaya mungkin sehingga beliau berusaha untuk ke medan jihad melawan musuh dalam peristiwa Peperangan Badar, dengan tidak mengetepikan tanggung jawab dalam rumahtangga.

Pada tahun kedua Hijrah, Ummu Waraqah telah mendengar berita bahawa akan berlaku pertembungan di antara orang Islam dengan tentera Musyrikin. Lalu beliau bergegas menemui Rasulullah untuk meminta keizinan untuk turut serta dalam usaha jihad tersebut, sekurang-kurangnya sebagai orang yang akan membantu merawat tentera yang cedera, menghulurkan bantuan makanan dan minuman dan memberikan apa jua pertolongan kepada tentera Islam semasa peperangan berlangsung.

Telah disebut di dalam kitab al-Isobah, bahawa Ummu Waraqah telah berkata kepada Rasulullah: 'Wahai Rasulullah, sekiranya engkau memberikan keizinan kepadaku untuk turut serta, nescaya aku dapat memberikan bantuan dan rawatan kepada tentera yang cedera, dan semoga Allah mengurniakan syahid kepadaku'. Lalu jawab Rasulullah: 'Wahai Ummu Waraqah, duduklah di rumahmu, sesungguhnya Allah akan mengurniakan syahid di rumahmu'. Semenjak hari itu, Rasulullah telah menggelarkan Ummu Waraqah sebagai 'syahidah' iaitu orang yang syahid. Ketika Rasulullah mengajak para sahabat menziarahi Ummu Waraqah, baginda berkata, 'mari kita menziarahi al-syahidah'.

Kehebatan Ummu Waraqah juga dapat dilihat dalam beberapa perkara iaitu:
1. Beliau merupakan wanita pertama dalam Islam yang diberi keizinan untuk dilaungkan azan dari dalam rumahnya.
2. Beliau wanita pertama yang menjadi imam solat kepada wanita di Madinah.
3. Beliau wanita pertama dalam Islam yang digelar 'al-syahidah'.

Ummu Waraqah telah meminta keizinan daripada Rasulullah untuk menjadikan rumahnya sebagai musolla, dan dilaungkan azan dari musolla di rumahnya itu. Rasulullah telah memberikan keizinan, justeru terdapat muazzin yang dikhususkan untuk melaungkan azan dari musolla di rumah Ummu Waraqah pada setiap kali masuk waktu solat fardhu. Keadaan ini berterusan sehinggalah Ummu Waraqah meninggal dunia.

Rasulullah saw mengetahui bahawa Ummu Waraqah merupakan seorang wanita yang cerdik, banyak menghafaz ayat al-Quran dan alim dalam ilmu agama. Justeru, Rasulullah menyuruh Ummu Waraqah untuk menjadi imam kepada ahli keluarganya di kalangan wanita. Bukan itu sahaja, apabila muazzin mengumandangkan azan dari musolla rumah Ummu Waraqah, wanita-wanita yang tinggal berhampiran dan mendengar seruan azan tadi, akan datang menunaikan solat jamaah yang diimami oleh Ummu Waraqah.

Telah timbul persoalan apakah Ummu Waraqah turut menjadi imam kepada lelaki kerana muazzin yang melaungkan azan itu merupakan seorang lelaki. Al-Syarbasi melalui kitabnya 'Yas'alunaka fi al-Din wa al-Hayat' telah menyatakan bahawa muazzin tersebut hanya melaungkan azan, kemudian beliau akan pergi ke masjid dan menunaikan solat bersama-sama jamaah lelaki. Syeikh Ahmad al-Syarbasi juga menyatakan bahawa Ummu Waraqah mengimami solat di rumahnya yang tidak disertai oleh mana-mana lelaki ajnabi.

Usia Ummu Waraqah semakin lanjut, dan anak-anaknya semakin meningkat dewasa. Lalu anak-anak perempuannya berkahwin dan mengikut suami masing-masing dan tidak tinggal lagi bersamanya. Sehubungan dengan itu, Ummu Waraqah telah mengambil seorang hamba lelaki dan seorang hamba wanita untuk menguruskan rumahnya. Ummu Waraqah telah menjanjikan kepada hamba-hambanya bahawa mereka akan merdeka dan terlepas daripada belenggu perhambaan selepas kematiannya.

Ummu Waraqah menaruh sepenuh kepercayaan kepada kedua-dua orang hamba tersebut. Beliau tidak melayan mereka sebagai seorang hamba, sebaliknya melayan mereka dengan penuh kebaikan. Akan tetapi hamba-hamba tersebut agak kecewa kerana mereka mengharapkan untuk mendapatkan pembebasan segera dengan kematian Ummu Waraqah, namun Ummu Waraqah masih lagi bernafas dan lanjut usianya. Lalu kedua-dua orang hamba tersebut telah merancang untuk membunuh Ummu Waraqah dengan harapan untuk mendapat kemerdekaan daripada perhambaan dengan kadar segera. Setelah berjaya membunuh Ummu Waraqah dengan menjerut pakaian di lehernya, kedua-dua hamba tersebut terus melarikan diri sebagai orang yang merdeka.

Pada keesokannya harinya, Saidina 'Umar al-Khattab yang telah biasa mendengar azan berkumandang dari rumah Ummu Waraqah telah tertanya-tanya ke mana hilangnya suara bacaan al-Quran Ummu Waraqah yang sudah tidak kedengaran sejak semalam. Lantas Saidina Umar mengarahkan seseorang untuk pergi ke rumah Ummu Waraqah bertanyakan keadaannya. Utusan Saidina Umar kembali kepadanya dengan berita bahawa rumah Ummu Waraqah berkunci dan tiada sesiapa pun menjawab apabila dipanggil. Saidina Umar mengesyaki sesuatu perkara buruk telah berlaku, lalu beliau sendiri segera pergi ke rumah Ummu Waraqah untuk menyiasat apa yang berlaku.

Apabila Saidina Umar berjaya memasuki rumah Ummu Waraqah, beliau amat terkejut kerana mendapati Ummu Waraqah telah meninggal dunia. Lalu Saidina Umar pun berkata: 'Allahu Akbar, benarlah Rasulullah saw yang telah menggelarkan Ummu Waraqah sebagai al-syahidah!. Kemudian Saidina Umar pun menaiki mimbar dan mengisytiharkan tentang syahidnya Ummu Waraqah dan memerintahkan agar dua orang hamba yang membunuh Ummu Waraqah dicari segera untuk menerima pembalasan dan hukuman.

Gerakan memburu dua orang pembunuh tersebut dijalankan, akhirnya mereka berdua dapat ditangkap dan dibawa ke hadapan Saidina Umar. Setelah siasatan dijalankan, kedua-dua hamba tersebut telah membuat pengakuan bahawa mereka telah membunuh Ummu Waraqah. Kedua-dua hamba tersebut pun dijatuhkan hukuman di atas kesalahan dan jenayah pembunuhan itu.

Sesungguhnya pemergian Ummu Waraqah meninggalkan pengajaran dan pengiktibaran yang banyak di sepanjang kehidupannya. Beliau menjadi contoh kepada wanita Islam sebagai seorang yang mempunyai pengetahuan yang mendalam dalam agama, dan memberikan sumbangan dengan mengajarkan ilmu kepada wanita-wanita lain selain turut menjadi imam solat kepada wanita di Madinah. Tambahan daripada itu, beliau juga merupakan seorang yang amat komited dengan perjuangan Islam dan sentiasa mengimpikan untuk mendapat syahid di jalan Allah.

No comments:

Post a Comment