Followers

Tuesday, June 23, 2009

Sekolah Hanya Ada Seorang Murid


TELUK INTAN 22 Jun - ''Saya bosan dan sunyi.'' Itulah luahan hati K. Humah, 12, satu-satunya murid yang belajar di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (SRJK) Tamil Ladang Sungai Timah, dekat sini, sejak enam bulan lalu.

Malah, Humah menjadi seorang murid yang pendiam kerana ketiadaan rakan untuk diajak berbual, apatah lagi bermain permainan disukai pada waktu lapang.

Sekolah itu terletak di kawasan ladang kelapa sawit milik MHC Plantation Berhad, kira-kira 40 kilometer dari sini melalui Jalan Teluk Intan - Lumut.

Selain Guru Besar, M. Paramiswary, sekolah itu dibantu oleh seorang guru akademik, M. Jayakuymar dan guru sandaran, V. Moganathaf, 19.

Humah, merupakan satu-satunya murid tahun enam yang belajar di sekolah berkenaan.

Apa yang menarik, sekolah itu mempunyai kelengkapan setanding dengan sekolah-sekolah lain seperti komputer, projektor, perpustakaan, bilik permainan dalam (indoor), peti televisyen 42 inci, kantin dan padang mini. (bukankah ini suatu pembaziran?)

Usaha Utusan Malaysia untuk mendapatkan ulasan lanjut daripada guru besar sekolah terbabit gagal apabila beliau dimaklumkan sedang cuti sakit.

Difahamkan, punca mengapa berlaku kekurangan murid adalah disebabkan kebanyakan pekerja ladang telah bersara dan berpindah ke tempat lain.


Tahun lalu, sekolah itu mempunyai tiga murid, masing-masing di tahun satu, tahun empat dan tahun lima.

Humah ketika ditemui di rumahnya di Ladang Edward yang terletak kira-kira lapan kilometer dari sekolah itu berkata, dia berasa sunyi dan bosan kerana terpaksa belajar seorang diri tanpa rakan-rakan sebaya yang lain.

''Di sekolah, saya menjadi murid pendiam kerana tidak ada rakan-rakan untuk berbual dan bermain pada waktu rehat,'' katanya yang bercita-cita menjadi guru.

Bapa Humah, P. Krishnan, 40, berkata, dia tiada pilihan lain kecuali terpaksa menghantar anaknya belajar di sekolah itu kerana tidak mampu menanggung kos jika ke sekolah lain.

''Saya terpaksa belanja RM200 sebulan belum masuk wang kocek jika menghantar anak saya belajar di Teluk Intan,'' kata bapa kepada enam anak yang merupakan pekerja ladang dengan gaji sebanyak RM400 sebulan itu.

Selain Humah, kata Krishnan, lima lagi anaknya juga pernah belajar di sekolah yang sama sebelum ini.

No comments:

Post a Comment