Followers

Monday, July 11, 2011

Teori Kedatangan Islam di Nusantara


Terdapat beberapa pandangan yang telah dikemukakan oleh para sejarawan mengenai kemasukan Islam ke Kepulauan Tanah Melayu atau Nusantara. Pandangan-pandangan tersebut boleh dirumuskan kepada tiga kumpulan teori, iaitu penyebaran Islam dari India, China dan Semenanjung Tanah Arab. Sebelum tahun 1883, kebanyakan pendapat umum mengatakan bahawa Islam telah disebarkan ke kawasan Asia Tenggara menerusi usaha dakwah dari Semenanjung Tanah Arab. Namun, satu teori baru telah dilakukan oleh Hurgronje (1973: 17) dengan mengatakan bahawa kedatangan Islam ke Nusantara ialah dari India. Pandangan beliau ini kemudiannya telah menjadi masyhur dan diterima pakai oleh ramai daripada kalangan sarjana pengkaji Timur (orientalis) seperti Harrison (1955), Winstedt (1982) dan Hall (1979). Akan tetapi, tidak juga benar untuk kita menentukan bahawa hanya orang India sahaja yang berperanan dalam penyebaran Islam ke Nusantara. Ini kerana semenjak abad ke-4M lagi, penempatan orang Arab di Canton telah ditemui, khususnya di kawasan tenggara China. Malah pada abad ke-11M, penempatan orang Arab turut ditemui di Champa (Kern 2001: 25-27).

Kenyataan ini secara langsung berkaitan dengan teori kedua yang menyatakan bahawa Islam tiba di Kepulauan Melayu menerusi usaha dakwah dari Tanah Besar China dan Champa. Teori ini diperjelaskan secara lanjut oleh Fatimi (1963) melalui buku yang berjudul Islam Comes to Malaysia dan Abdullah (1990: 65-70) menerusi bukunya, Islam di Nusantara. Berdasarkan catatan sejarah China, pada zaman awal perkembangan Islam ketika pemerintahan Thai Sung (627-655M), sekumpulan orang Islam pertama telah datang ke China dan tinggal di San Gan Fou. Kemudian kumpulan ini diiringi pula oleh kumpulan lain yang menggunakan jalan laut dan menjadikan Yunan sebagai pusat penumpuan mereka (Wan Hussein Azmi 1980: 139). Manakala teori ketiga pula yang menegaskan bahawa kedatangan Islam ke Kepulauan Tanah Melayu ialah dari Semenanjung Tanah Arab dan pandangan ini mendapat sokongan ramai daripada kalangan sarjana dewasa ini. Sebagaimana yang dimaklumi bahawa pedagang dan pelaut Arab sudah pun berada di kawasan Asia Tenggara semenjak sebelum kelahiran Islam lagi. Dengan demikian, apabila Islam tersebar di Tanah Arab, bermulalah pertapakan Islam di Asia Tenggara. Lantaran daripada pandangan ini, para pengkaji mendapati dalam catatan sejarah negara China menyatakan bahawa pada abad pertama Hijrah (seawal abad ke-7M), didapati perkampungan masyarakat Arab telah pun ditemui di Sumatera Utara, khususnya di bahagian barat kepulauan itu.

Suatu perkara yang rumit ialah menentukan teori manakah yang tepat dan pasti mengenai kemasukan Islam ke alam Melayu. Akan tetapi apa yang jelas ialah golongan yang mula-mula menyebarkan Islam itu terdiri daripada kalangan saudagar-saudagar Islam, sama ada mereka berbangsa Arab, Parsi, China mahu pun India, yang sekali gus bertindak sebagai da‘i. Kenyataan ini bersesuaian dengan prinsip utama ajaran Islam yang menyeru supaya penyebaran Islam dilaksanakan oleh setiap umat Islam (Pengiran Haji Mohammad 1992: 51).

2 comments:

  1. emm boleh x kalu list en pendapt dri sejarawan islam plak mengenai teori kedatangn islam di nusantara

    ReplyDelete
  2. Betol ke ad bangsa bani jawi. Ad blog yg wat atikel mgatakan bani jawi iaitu org melayu .dri keturunan nabi ibrahim. Mintak kepastian

    ReplyDelete