Oleh: Mohd Sukki Othman (Ustaz Shauqi)
Al-Quran adalah mukjizat teragung yang diturunkan oleh Allah kepada  Nabi Muhammad s.a.w sebagai hidayah, panduan dan pedoman dalam kehidupan  manusia. Ini dijelaskan menerusi firman Allah dalam surah al-Isra’: 9.
Menurut Sheikh Manna’ Qattan dalam bukunya Mabahith fi ‘Ulum  al-Quran, proses penurunan al-Quran berlaku dalam dua peringkat.  Peringkat pertama ia diturunkan daripada luh mahfuz ke langit dunia  secara sekali gus. 
Peringkat kedua pula diturunkan daripada langit dunia kepada Nabi  s.a.w secara beransur-ansur melalui perantaraan malaikat Jibril as.  al-Quran yang diturunkan secara beransur-ansur ini mengambil masa selama  hampir 23 tahun. 
Ayat pertama diturunkan ialah ayat 1-5 daripada Surah al-‘Alaq yang diturunkan pada 17 Ramadan tahun 610 Masihi di Gua Hira’. 
Ayat terakhir  ialah ayat 281 surah al-Baqarah yang diturunkan sembilan malam sebelum kewafatan Rasulullah.
Setiap orang Islam mesti berusaha sedaya upaya untuk membaca,  memahami, menghayati dan mempraktikkan keseluruhan isi kandungan  al-Quran dalam kehidupan. 
Dr. Solah Abdul Fattah al-Khalidi dalam bukunya Mafatih li al-Ta’amul  ma’a al-Quran menyenaraikan beberapa tujuan utama al-Quran itu  diturunkan. Antaranya ialah:
* Untuk mendapat hidayah daripada Allah. 
* Untuk mewujudkan peribadi muslim yang unggul dan seimbang. 
* Mewujudkan masyarakat Islam tulen. 
* Sebagai senjata dalam menghadapi musuh-musuh Islam yang berusaha untuk menghancurkan Islam.
Untuk melihat bahawa kita benar-benar beriman dan yakin terhadap isi  dan kandungan al-Quran tersebut perlulah, ada pada diri kita beberapa  ciri sebagai tanda dan ukuran. Ciri-ciri yang dimaksudkan itu ialah:
* Hendaklah kita sentiasa membaca dan berusaha menghafalnya. Dengan  membaca al-Quran ia dapat menambah kebersihan jiwa, ketenangan, keimanan  dan ketaqwaan kepada Allah. Dengan membaca al-Quran itu juga, kita akan  mendapat ganjaran pahala dan syafaat dari Allah, sebagaimana maksud  sabda junjungan kita Nabi Muhammad s.a.w: “Bacalah al-Quran,  sesungguhnya ia akan datang pada hari kiamat sebagai syafaat kepada  pembacanya”. 
* Al-Quran itu hendaklah dibaca dengan tartil iaitu dengan bacaan yang terang, jelas dan betul mengikut ilmu tajwid.  
* Hendaklah kita sentiasa meneliti, memahami kandungan dan pengertian  yang disampaikan dalam al-Quran. Allah berfirman yang bermaksud:  Maka  adakah mereka sengaja tidak berusaha memahami serta memikirkan isi  al-Quran? Atau telah ada di atas hati mereka kunci penutup yang  menghalangnya daripada menerima ajaran al-Quran. (Muhammad: 24)
Al-Quran adalah gedung ilmu dan petunjuk yang benar. Ia merupakan  khazanah ilmu yang mampu membentuk pemikiran serta akal  manusia. Sebab  itu apabila seseorang berfikir dengan berlandaskan al-Quran, maka ia  menjadi satu pemikiran yang kukuh dan sepadu serta berjaya memimpin  diri, keluarga, masyarakat dan negara ke arah yang diredai oleh Allah.
Apatah lagi pada bulan Ramadan ini, Allah menjanjikan pahala yang  besar terutamanya pada Lailatul qadr iaitu malam yang padanya diturunkan  al-Quran. Lailatul qadr merupakan peluang terbaik kita, oleh itu jangan  sia-siakan peluang keemasan ini.
Mengenai persoalan  mengapakah masih ramai hamba Allah yang masih  memandang ringan kepada Lailatul qadr. Mungkin antara sebabnya ialah:
* Mereka mengidap penyakit lemah iman, kurang jelas tentang kebesaran  dan kemuliaan serta ganjaran pahala pada  malam al-Qadr, sebaliknya  mereka lebih nampak besar perkara-perkara materialistik yang boleh  didapati dengan segera di dunia ini.
* Selalu mengikut hawa nafsu sampai mereka tidak sudi untuk melakukan  ibadat pada malam-malam 10 akhir Ramadan. Kerana nafsu ingin berehat,  menonton televisyen, berbual-bual kosong, mahu bersama-sama bantal,  tilam dan kain selimut. 
Ada pula yang sibuk membeli-belah untuk persiapan raya sampai terlupa ganjaran yang disediakan oleh Allah pada malam al-qadr.
* Penyakit panjang angan-angan. Mereka berangan-angan akan hidup 100  tahun lagi yang menyebabkan mereka membiarkan malam-malam 10 terakhir  Ramadan berlalu begitu sahaja tanpa diisi dengan amal ibadat kepada  Allah.
Marilah kita sama-sama menerima bonus Allah yang berupa nikmat  Lailatul qadr dengan penuh kesyukuran dan ikhlas hati. Kita sahut  panggilan surah al-Qadr ini dengan azam  melaksanakan sebanyak-banyak  ibadat pada 10 malam tersebut. 
Caranya, melakukan solat fardu berjemaah, solat sunat tarawih dan  witir, membanyakkan bacaan al-Quran, mengulangi membaca surah al-Ikhlas,  berzikir dan berselawat kepada junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w  dengan penuh harapan semoga kita termasuk di dalam golongan hamba-hamba  Allah yang soleh
salam ustaz ana nak tanya apa beza nuzul quran dan lailatul al-qadr?kedua-duanya perihal turunnya al quran
ReplyDelete