Followers

Wednesday, September 28, 2011

Konsep & Pembahagian Jenayah Dalam Islam




 Oleh: Ustaz Shauqi


 Definisi Jenayah

Pelbagai takrif yang telah dikemukakan ilmuan di dalam mendefinisikan jenayah. Dalam bahasa Inggeris jenayah disebut crime, manakala dalam bahasa Arab pula disebut  jinayah (جناية). Di dalam kamus Collins English Leaner’s Dictonary menyebut makna jenayah atau crime itu ialah action which is against the law – for example – murder and robbery are crimes[1].

          Perkataan jenayah menurut Kamus Dewan bererti perbuatan kejahatan (seperti mencuri, merompak, membunuh dll) yang salah di sisi undang-undang[2]. Jenayah dari segi bahasa bererti apa yang dipetik (dilakukan) dan diusahakan oleh seseorang daripada kejahatan, asalnya diambil daripada perkataan جنى الثمر  yakni memetik buah daripada pokok. Adapun dari segi istilahnya pula ialah kata nama bagi perbuatan yang diharamkan oleh syarak samada berlaku perbuatan itu pada tubuh, harta dan lain-lain. Namun kebanyakan para ulama lebih mengkhususkan penggunaan kalimah jenayah terhadap perbuatan ke atas tubuh badan atau anggota-anggotanya iaitu dengan membunuh, mencedera dan memukul[3].



          Jenayah menurut undang-undang moden pula membawa makna perbuatan jahat yang dikenakan hukuman mati atau kerja berat selamanya atau bertempoh ataupun penjara[4]. Definisi seperti ini mendapat perhatian sebahagian ulama dan mereka menyatakan bahawa definisi ini kurang tepat dan tidak menepati syariat.

          Sebab itulah definisi jenayah menurut syariat Islam menyalahi definisi yang dibuat oleh undang-undang moden. Tambahan pula undang-undang moden ialah ciptaan akal manusia, jadi sudah tentulah ada kekurangan dan kelemahannya. Manakala definisi jenayah di dalam syariat Islam adalah jelas kerana ia berkait dengan perintah dan larangan Allah s.w.t. serta kehendak perintah dan larangan[5].

          Perkataan jenayah yang diperbahaskan oleh para ilmuan bermaksud melakukan perbuatan jahat. Ia bererti orang yang melakukan kejahatan itu telah melakukan satu dosa kerana menurut pandangan Islam setiap kejahatan itu dianggap dosa dan tidak seharusnya dilakukan oleh sesiapa pun, tambahan pula bagi orang Islam.

          Konsep jenayah di dalam Islam terbahagi kepada dua seperti yang digariskan oleh ulama:

i)          Melakukan apa yang dilarang oleh Allah s.w.t.
ii)        Meninggalkan apa yang diperintahkan oleh Allah.

          Melihat kepada ini, konsep jenayah dalam Islam adalah melakukan perkara terlarang dan meninggalkan perkara wajib yang hampir sama dengan konsep undang-undang jenayah  moden. Berdasarkan pada kenyataan ini, Imam al-Mawardi mendefinisikan hudud sebagai satu hukuman yang mampu menakutkan yang ditentukan oleh Allah s.w.t. untuk mencegah seseorang daripada melakukan perkara yang terlarang atau cuai (tidak melakukan) terhadap perkara yang diperintahkan.

          Seterusnya al-Mawardi menjelaskan dengan lebih lanjut bahawa jenayah ialah tegahan syarak (محظورات شرعية) yang ditegah oleh Allah  melalui hukum hudud atau takzir. Kesalahan-kesalahan hudud dianggap sebagai hak Allah yang dilarang-Nya seperti mana yang dijelaskan oleh Allah dalam al-Quran, antaranya:

3 y7ù=Ï? ߊrßãn «!$# Ÿxsù $ydrßtG÷ès? 4

Maksudnya: Itulah hukum-hukum (hak-hak) Allah, maka janganlah kamu melanggarinya.(Surah al-Baqarah: Ayat 229)

          Seperti yang dinyatakan terdahulu, konsep tegahan syarak (محظورات شرعية) dalam undang-undang jenayah Islam hampir menyamai akta jenayah dan undang-undang jenayah dalam undang-undang moden tetapi apa yang membuatkan kesalahan jenayah dalam undang-undang jenayah moden berbeza dengan undang-undang jenayah Islam ialah perbezaan sumber bagi kedua-dua undang-undang tersebut. Perkara yang terlarang dalam Islam tidak semestinya terlarang dalam undang-undang jenayah moden dan begitulah sebaliknya. Contohnya hubungan seksual secara suka sama suka yang terjadi antara lelaki  dan wanita yang belum berkahwin tidak dianggap kesalahan jenayah dalam undang-undang jenayah moden, tetapi ia adalah kesalahan (dosa) yang sangat serius menurut hukum Islam.

          Perkara yang diperintahkan dalam Islam tidak semestinya diperintahkan dalam undang-undang moden dan begitulah sebaliknya. Contohnya perintah Allah s.w.t. dan rasul-Nya yang wajib kita patuhi, jika diingkari maka ia dianggap sebagai kesalahan yang berat dan boleh dikenakan hukuman mati sebagai orang yang murtad.


Pembahagian Jenayah

Jenayah telah dibahagikan oleh para ulama kepada tiga bahagian berdasarkan jenis hukuman yang dikenakan bagi setiap bahagian itu.. Walaupun terbahagi kepada tiga bahagian ianya diikat dengan satu makna iaitu ketiga-tiganya adalah merupakan larangan syarak (محظورات شرعية) yang dikenakan hukuman tertentu apabila dilakukan. Tiga bahagian itu ialah:
i)          Jenayah (kesalahan) hudud.
ii)        Jenayah (kesalahan) qisas dan diyat.
iii)      Jenayah (kesalahan) takzir.


Jenayah (kesalahan) hudud

Hudud ialah kata jama’ bagi perkataan (حد), pada bahasa bermakna menahan atau mencegah  (المنع)[6] dan pada istilah syarak bermakna عقوبة مقدرة وجبت حقا لله تعالى iaitu hukuman yang telah ditetapkan kadarnya dan ianya adalah hak Allah taala.[7] Maksud ditetapkan kadarnya ialah syaraklah yang menentukan sesuatu hukuman itu dan tidak ditentukan selain daripada Allah. Maksud ia hak Allah taala ialah hukuman ini dikenakan untuk menjaga kepentingan dan kebaikan seluruh manusia dan menolak keburukan daripada diri mereka. Jadi setiap kesalahan jenayah yang menggugat perpaduan manusia amnya dan faedah hukuman yang dikenakan ke atas penjenayah boleh mengembalikan keharmonian kepada mereka, maka hukuman yang ditentukan itu adalah hak Allah taala.

          Ini bererti bahawa “Had” atau “Hudud” itu dalam pengertian istilahnya yang asal ialah “Keseksaan” yang mempunyai ciri penting. Pertama; ia merupakan keseksaan-keseksaan yang rigid bentuknya dan tidak boleh berubah atau diubah-ubah oleh hakim atau pemerintah kerana semua aspek di dalamnya telah ditentukan sendiri oleh syarak, dan kedua; ia dikenakan bagi tujuan menjamin hak-hak Allah, atau dengan kata-kata lain boleh disebut kepentingan awam. Kesalahan-kesalahan hudud adalah perbuatan yang boleh dihukum dengan keseksaan ini. Dengan kata-kata lain, ia merupakan kesalahan-kesalahan atau perbuatan-perbuatan jahat yang menyentuh kepentingan umum masyarakat dan yang akan dihukum dengan keseksaan tertentu sebagaimana dihuraikan sendiri secara terperinci oleh al-Quran dan al-Sunnah. Malah lebih dari itu, kesalahan-kesalahan itu sendiri ditentukan dengan secara jelas dan terperinci  oleh al-Quran dan al-Sunnah dan tidak boleh diubah-ubah atau diubahsuai oleh mana-mana kuasa pemerintahan, perundangan atau kehakiman yang ada[8].

          Ulama telah membahagikan pula jenayah hudud ini kepada enam bahagian: zina, qazaf, minum arak, mencuri, merompak dan murtad.


[1] David J. Carver, Michael J. Wallace, John Cameron (1979), Collins English Learner’s Dictionary, Press of the Publisher, Glasgow, h. 119.
[2] Dr. Teuku Iskandar (1997), Kamus Dewan, Edisi ketiga, Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka, h. 531.
[3] Abd. al-Qadir ‘Audah (1994), al-Tasyri’ al-Jinaiy al-Islami, j. 2, c. 5, Beirut, Muassah al-Risalah, h. 4.
[4] Ahmad Mawafi (1996), Baina al-Jaraim Wa al-Hudud, c. 6, al-Majlis al-A’ala Li al-Syuun al-Islamiyah, h. 12.
[5] Muhammad Ibrahim Muhammad (1989), Musqitat al-‘Uqubah al-Haddiyah, Dirasah Fiqhiyyah al-Muqaranah, c. 1, Khurtum, Dar al-Asalah, h. 36.
[6] ____________, al-Munjid, c. 28, Beirut, Dar al-Masyriq, h. 120.
[7] Dr. Wahbah al-Zuhayli (1989), al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh,  j. 6, c. 3, Dah.yik, Dar al-Fikr, h. 12. 
[8] Paizah Haji Ismail (1996), Undang-undang Jenayah Islam, c. 3, Petaling Jaya, Tradisi Ilmu Sdn. Bhd., h. 3-4.

No comments:

Post a Comment