Followers

Thursday, March 29, 2012

Ibn al-Jawzi: Pemidato Hebat




Oleh: Ustaz Shauqi

Beliau ialah 'Abdul Rahman Bin 'Ali Ibn Muhammad Abu al-Faraj Ibnu al-Jawzi. Dilahirkan pada tahun 509 Hijrah bersamaan tahun 1126 Masihi di Baghdad.  Beliau telah menjadi yatim ketika berumur 3 tahun lagi apabila bapanya meninggal dunia. Ibunya menghantar beliau belajar dengan seorang ahli hadith terkenal pada zaman itu iaitu yang bernama Ibn Nasir. Dia juga menghafaz al-Quran sejak kecil.  Ibnu Jawzi telah menceritakan kisah persekolahannya:

"Saya dimasukkan ke sekolah rendah ketika berumur 6 tahun. Saya tidak menghabiskan masa dengan bermain, sebaliknya menghadiri majlis syarahan ilmu hadith di masjid. Saya menghafaz serta mencatatkan Hadith dan maklumat mengenai sirah nabi apabila pulang ke rumah. Saya sentiasa membawa buku walau ke mana sahaja saya pergi".

Ibnu Jawzi merupakan seorang yang banyak membaca sejak kecil. Pada zamannya, kota Baghdad mempunyai banyak perpustakaan, lalu beliau banyak menghabiskan masanya di perpustakaan untuk membaca buku. Beliau amat seronok bila berjumpa buku baru. Beliau telah membaca lebih daripada 20,000 buah buku. 



Sifat dan Keperibadian Ibnu Jawzi

Beliau memiliki sifat dan keperibadian yang terpuji. Akhlaknya yang baik dan mulia itu telah dibentuk olehnya sejak dari kecil. Antara sifat peribadi beliau ialah:

1.      Takwa

Beliau terkenal dengan ketinggian akhlak dan ketakwaannya.  Beliau khatam al-Quran sekali setiap seminggu. Beliau selalu berqiamullail dan tidak lalai daripada berzikir kepada Allah. Beliau amat memelihara solat fardhu serta memperbanyakkan solat sunat. Beliau juga gemar bertafakkur dan tidak membuang masa. Beliau pernah menyatakan bahawa "Saya menghendaki agar setiap detik hidup saya digunakan untuk mengingati Allah".

2.      Makan yang halal

Beliau tidak makan sesuatu kecuali setelah pasti bahawa makanan itu adalah dari sumber yang halal. Beliau amat berhati-hati dalam soal memilih makanan ini kerana beliau sedar bahawa apabila sesuatu yang haram itu masuk ke dalam tubuh lalu menjadi darah daging, maka ia akan meninggalkan titik-titik hitam yang akan merosakkan hati dan peribadi.  



3.      Ilmu yang tinggi

Beliau bercita-cita tinggi untuk mendalami setiap lapangan  ilmu. Beliau menyatakan bahawa kekurangan ilmu itu berpunca daripada kekurangan cita-cita. Keazaman dan cita-cita tinggi beliau itu telah berjaya menjadikan beliau berjaya menguasai pelbagai disiplin ilmu termasukilmu tafsir, hadith, sejarah, tasawwuf, dan fiqh.

4.      Berpegang teguh kepada al-Quran dan al-Sunnah

Beliau menyeru manusia agar berpegang teguh dengan ajaran al-Quran dan al-Sunnah. Beliau juga telah mencela perbuatan dan perkara-perkara bid'ah yang menular dalam kalangan masyarakat Islam. Ketegasan beliau ini mengukuhkan lagi perjuangan pendokong-pendokong akidah Ahli Sunnah wa al-Jamaah.

Sumbangan Ibnu Jawzi

Beliau telah memberi sumbangan yang banyak. Antara sumbangan beliau yang besar ialah dalam bidang syarahan dan pidato. Beliau juga banyak menghasilkan kitab dan karya-karya yang amat bermanfaat untuk meningkatkan pengetahuan Islam dalam kalangan masyarakat.

·         Syarahan dan Pidato

Syarahan dan pidato yang diampaikan oleh Ibnu Jawzi berjaya menarik kehadiran   khalifah, para pembesar dan orang awam. Majlis syarahan yang diadakannya biasanya dihadiri oleh 10,000 hingga 15,000. Kadang-kala bilangan hadirin menjangkau sehingga 100,000 orang.

Ucapannya yang berkobar-kobar membuatkan orang ramai insaf dan menangis. Ramai orang yang bertaubat setelah mendengar pidatonya. Ibnu Jawzi juga telah berjaya mengIslamkan seramai 20,000 Yahudi dan Nasrani melalui pidatonya, dan lebih daripada 100,000 telah berikrar untuk menjalani hidup yang soleh setelah mendengar syarahannya.

·         Karya

Ibnu Jawzi telah menghasilkan banyak buku mengenai Tasawwuf, fiqh, ilmu al-Quran, hadith, tafsir dan biografi ulama tasawwuf seperti Ibrahim Adham, Hasan al-Basri, dan lain-lain. Menurut Imam al-Dhahabi, beliau telah menghasilkan lebih daripada 700 buku. Antara karya beliau yang masyhur ialah kitab Talbis Iblis. Kitab ini merupakan kajian kritikal terhadap masyarakat muslim pada zamannya. Beliau telah membuat penilaian kritikal terhadap pelbagai kelas dan golongan masyarakat. Beliau mengkritik ulama yang tidak ikhlas, pemerintah yang tidak adil, golongan berada yang menyeleweng, tasawwuf yang sesat, orang yang menghadiri majlis ilmu tetapi tidak berubah, orang kaya yang menderma untuk mendapat nama, serta mengkritik nafsu yang meruntun jiwa.  

Di samping itu, beliau juga telah memberi saranan agar ditulis riwayat hidup tokoh-tokoh ulama dan orang soleh. Beliau mencadangkan agar dimasukkan pengajian riwayat hidup salafussoleh dalam kurikulum ilmu hadith dan hukum. Ia bertujuan supaya generasi umat Islam sentiasa menjadikan para ulamak salafussoleh sebagai ikutan dan panduan dalam melayari kehidupan di atas dunia yang penuh dengan pancaroba ini.

Ibnu Jawzi meninggal dunia pada malam Jumaat , tahun 597 Hijrah. Seluruh penduduk Baghdad memberhentikan urusan harian demi menghadiri solat jenazah yang diadakan di Masjid Jami' al-Mansur. Ramai orang yang menangis dengan pemergian beliau. Ahli sejarah mencatatkan bahawa ramai penduduk Baghdad yang berjaga malam semata-mata untuk membaca al-Quran dan berdoa untuk kesejahteraan rohnya.

1 comment:

  1. alhamdulillah... penulisan yang sangat banyak manfaatnya kepada ana ustaz... ana harap ustaz dapat menghasilkan lebih banyak tulisan2 yang sangat baik ini...

    ReplyDelete